SHAH ALAM: PAS Selangor terlibat dengan operasi
menyelamat dan menyalur bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan
terjejas sejak hari pertama bencana itu melanda.
Setiausaha
Perhubungan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, petugas dan
sukarelawan PAS dari 22 kawasan terlibat dengan misi tersebut bermula
Sabtu lepas.
Katanya, Khidmat Malaysia Selangor dan Jabatan Amal
Malaysia (Selangor) turut membuka bilik-bilik operasi sejak awal lagi
dan sudah berada di lapangan.
Kata beliau Markas Induk Operasi Banjir KMNS sehingga semalam melibatkan enam kawasan iaitu Kuala Langat, Klang, Kota Raja, Sepang dan Hulu Langat masih berada dalam status terjejas dan perlukan bantuan.
“Manakala Kapar, Kuala Selangor, Puchong, Sungai Buloh dan Bangi pula dalam status terjejas dan dalam pemantauan.
“Kawasan yang terkawal pula iaitu Hulu Selangor, Ampang, Tanjung Karang, Gombak dan Petaling Jaya,” katanya pada kenyataan hari ini.
Menurutnya juga tumpuan sekarang diberikan kepada kerja-kerja pembersihan kediaman penduduk, masjid, surau dan tempat-tempat awam lain yang terjejas akibat banjir.
Roslan juga berkata, petang semalam Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli bergotong-royong bersama penduduk di beberapa kawasan bencana banjir di Kampung Batu 9, Kebun Baru Kuala Langat.
“Antaranya membersihkan Masjid al Amin yang terjejas akibat banjir,” ujarnya.
Turut hadir Adun Sijangkang Dato Dr Ahmad Yunus Hairi, Pesuruhjaya PAS Perak
Razman Zakaria dan sukarelawan Jabatan Amal Selangor serta rombongan PAS Perak.
Menurutnya biarpun keadaan banjir beransur reda, namun semua pihak terutama mereka yang tinggal di kawasan yang sering terjejas hendalah sentiasa berjaga-jaga kerana cuaca masih tidak menentu.
Kata beliau juga PAS Selanogr menubuh Bilik Gerakan Info Bencana di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam.
“Bilik Gerakan itu beroperasi menyampaikan maklumat dan menyelaras sumbangan dan bantuan serta kunjungan delegasi bantuan ke negeri Selangor. Bilik operasi itu boleh dihubungi di talian 03 5523 3718,” ujarnya.
PAS Selangor turut mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan dan sumbangan bagi menampung kerja-kerja pemulihan. Sumbangan boleh disalur melalui akaun Bank Islam – 120 100 100 06093 atas nama Perhubungan PAS Negeri Selangor. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan