HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Disember 2021

Pemimpin Amanah dikecam muat naik gambar ‘bercuti’ di Iran ketika kawasan Parlimen dilanda banjir

Azzman Abdul Jamal

Ramai menggesa supaya naib presiden Amanah itu pulang ke segera dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Seorang ahli Parlimen Amanah dikecam pengguna media sosial selepas memuat naik gambar “bercuti” di Iran di Facebook ketika kawasan Parlimennya teruk dilanda banjir.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kemarahan terhadap Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus apabila beliau memuat naik gambarnya ketika berada di ketinggian 5,000 kaki di Gunung Tochal di Iran pada 18 Disember lalu.

Pengguna Facebook bernama Muammar Qaddafi berkata adalah lebih baik Hasanuddin tidak perlu pulang lagi ke Malaysia.

“Amanah pun tak yah calon dah muka ni,” tulisanya di ruangan komen.

Sementara seorang lagi pengguna Facebook bernama Eddie Jaafar dengan sinis menulis: “Jangan risau YB, rakyat jaga rakyat, YB jaga Kashmir.”

Selain itu ramai juga menggesa naib presiden Amanah itu supaya pulang segera untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan membantu mangsa terjejas.

Orang ramai juga meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa wakil rakyat itu dilihat mementingkan hal ehwal di luar negara berbanding pengundi di kawasannya.

Keadaan terbalik ketika bencana banjir di Kampung Jawa, 
Hulu Langat.

Semakan MalaysiaNow terhadap akaun Facebook Hasanuddin mendapati beliau memadam gambar itu dan memuat naik penjelasan menerusi statusnya.

Menurut Hasanuddin, perancangan lawatan ke luar negara itu dirancang lebih awal.

“Saya tidak dapat bersama membantu kerana kini berada dalam misi Turki, Pakistan dan Tehran atas lantikan Speaker Parlimen Malaysia,” katanya.

“Jemputan daripada Parlimen Pakistan dan Iran adalah di bawah kapasiti saya sebagai ahli Parliamentary Friendship Group, Parlimen Malaysia.”

Dalam lawatan itu, Hasanuddin memaklumkan beliau mengadakan pertemuan dengan presiden serta speaker Azad, Jammu dan Kashmir dan beberapa ahli Parlimen Pakistan di Islamabad, Pakistan untuk beberapa projek kebajikan dan perumahan untuk pelarian Kashmir.

Tambahnya, beliau turut mengikuti perkembangan banjir yang sedang berlaku di kawasan Hulu Langat dan mendapatkan penerbangan pulang ke tanah air secepat mungkin.

“Saya arahkan warga kerja Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat untuk membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

“Sata sentiasa berinteraksi dengan APM dan pihak berwajib. Saya sedang berusaha mendapatkan penerbangan secepat mungkin untuk balik ke tanah air.”

Tiada ulasan: