SEPANG- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bekerjasama dengan parti mesra Perikatan Nasional (PN) sebagai membantu mereka menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak 18 Disember ini.
Setiausaha Agong Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerjasama tetap diadakan walaupun partinya tidak bertanding dalam PRN berkenaan.
“Setiap parti politik berhak untuk meletakkan calon pada PRN Sarawak pada bulan depan. Biar pun Bersatu tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak, ia akan bekerjasama dengan parti komponen PN yang meletakkan calon mereka,” katanya dalam sidang media perasmian Pusat Satelit ESD di KLIA hari ini.
Menurutnya, Bersatu sudah membuat pengumuman tidak bertanding di PRN Sarawak.
“Saya tidak akan sentuh mengenai parti politik lain dan kami akan bekerjasama kerana sejak hari pertama kami mengambil alih kerajaan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah parti yang mesra dengan kami (PN).
“Saya rasa adalah tidak salah untuk PN menyokong parti yang mesra dengan gabungan mereka,” tegasnya yang juga Setiausaha Agong PN.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada Pas akan bertanding di PRN Sarawak serta kerjasama PN dengan GPS sepanjang kempen pilihan raya itu kelak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak diadakan pada 18 Disember ini dengan tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember ini.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan