KUCHING: Berbaki dua hari tempoh berkempen, PKR meletakkan tiga daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi sebagai penanda aras pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tiga kerusi itu adalah DUN Telang Usan dan Mulu dalam Parlimen Baram serta Lambir di Parlimen Sibuti.
"PKR bertanding 28 kerusi (DUN) dan menjelang dua hari terakhir ini, keadaan itu menjadi semakin jelas.
"Ia bermakna menang atau tidak itu menjadi jelas dan saya lebih optimis meletakkan tiga kawasan yang dianggap mempunyai peluang cerah kepada PKR.
"Tiga kawasan itu sebagai kayu pengukur. Jika tiga kawasan itu dapat kami atasi, maka PKR masih ada peluang cerah untuk menang (di kebanyakan kerusi ditandingi," katanya kepada BH, hari ini.
Saifuddin berkata, calon PKR di DUN Mulu, Roland Engan, adalah peguam yang sangat dikenali dalam komuniti tempatan terutama membabitkan isu tanah dan sijil kelahiran.
Katanya, calon di Telang Usan iaitu Philip Jau Ding, adalah aktivis masyarakat yang lantang membantah pembinaan Empangan Baram hingga dibatalkan pada 2015 oleh Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Adenan Satem.
"Di DUN Lambir, ini adalah kali ketiga calon PKR, Zulhaidah Suboh, bertanding. Dalam dua percubaannya dahulu, graf beliau meningkat dan setia menjalankan aktiviti di lapangan selama ini," katanya.
Pada PRN Sarawak Ke-12, PKR yang menggunakan logo parti sendiri
biarpun menjadi komponen Pakatan Harapan (PH), bertanding di 28 kerusi
berbanding pengumuman awalnya sebanyak 49 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan