HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Oktober 2009

Bagan Pinang: Ahli DAP seluruh negara akan bantu PAS

Harakahdaily


TELUK KEMANG : Semua petugas DAP akan bertumpu kepada Pusat Penyelaras DAP yang dilancarkan di Batu 9 Jalan Teluk Kemang di sini kelmarin.

Pengerusi DAP negeri Terengganu, Ng Chai Hing berkata pusat tersebut akan menjadi penyelarasan semua gerakerja kempen DAP bersama Pakatan Rakyat.

"Ia akan jadi pusat penyelaras bagi pilihanraya kecil bagan Pinang,

"Ahli DAP seluruh negara akan bertumpu ke kawasan ini," katanya ketika dipetik sebuah laman online selepas majlis pelancaran pusat tersebut.

Menurutnya, PRK Bagan Pinang merupakan satu pilihan raya yang sengit yang memerlukan semua petugas Pakatan Rakyat bekerja keras untuk mencapai kemenangan.

Katanya, DAP Terengganu akan menurunkan 10 orang petugas yang akan membantu kempen pilihanraya tesebut selepas penamaan calon.

Menurutnya jentera DAP telah turun padang menemui pengundi bersama-sama jentera Pakatan Rakyat dari PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Selepas kematian bekas wakil rakyat (BN) aktiviti untuk menggerakkan jentera telah dilakukan termasuk aktiviti turun padang dilakukan bersama PAS dan Keadilan.

"Kita berharap ia akan mendatangkan hasil yang baik untuk memenangi pilihan raya kcil DUN Bagan Pinang,"ujarnya. - mks._

Tukar imam: Bantahan penduduk Behor Temak diserah pada MAIPs

Jimadie Shah Othman


Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) akan memanjangkan bantahan kira-kira 200 penduduk Behor Temak, Kangar berhubung isu pertukaran iman di sebuah masjid di kawasan tersebut kepada pihak Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs).

Pengarah JAIPs, Malik Hussin berkata, pihaknya tidak dapat memutuskan permintaan anak kariah Masjid Al-A'la itu kerana ia di luar bidang kuasanya.

"Jabatan (JAIPs) akan panjangkan kepada pihak majlis (MAIPs). Kita di peringkat jabatan hanya sebagai urusetia sahaja, apa-apa hal pun kena rujuk dengan pihak majlis.

"Bidangkuasa kita tertakluk di bawah majlis," kata beliau yang juga setiausaha MAIPS.

Malik diminta mengulas bantahan anak kariah masjid tersebut yang menghantar memorandum bantahan kepada JAIPs berhubung perkara itu Sabtu lalu.

Kelmarin, Malaysiakini melaporkan, kesemua tiga iman di Masjid Al-Al'a meletakkan jawatan pada 31 Ogos lalu, ekoran keputusan JAIPs itu.

Walaupun pertukaran itu dibuat atas alasan penyelarasan semula imam di Perlis, beberapa sumber mengaitkannya dengan fahaman Sunnah Perlis - yang dikenali meluas sebagai Wahabi di kalangan masyarakat umum.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Malik berkata, JAIPs akan menjawab memorandum penduduk tersebut yang diusahakan tiga anak kariahnya, Adnan Saad, Nordin Mahmud dan Zali Yob.

"Saya sudah dapat surat itu. Saya akan jawab. Ia dibuat oleh anak kariah yang mungkin simpati sangat dengan iman berkenaan," kata Malik.

Semalam, Malik dilaporkan berkata, arahan pertukaran dua imam Masjid Al-A'la itu dibuat berdasarkan keperluan setempat, bukan kerana agenda mengembangkang fahaman Wahabi di negeri itu.

Tambahnya, pertukaran tempat bertugas dibuat berdasarkan keperluan sesuatu kawasan.

Memorandum tersebut, antaranya mendakwa wujudnya politik dalaman dalam pengurusan masjid di kawasan itu.

Dalam memorandum itu juga, anak kariah kawasan tersebut juga merayu JAIPS membatalkan perletakan jawasan ketiga-tiga iman terbabit kerana perkhidmatannya didakwa cemerlang selama ini.

Teresa buat laporan polis berhubung 'ugutan bunuh'

Rahmah Ghazali


Lebih setahun selepas kejadian rumah keluarganya di baling bom petrol, ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa beliau menerima satu lagi 'ugutan bunuh' semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai ugutan tersebut di balai Pandan Indah hari ini, Teresa berkata, ugutan tersebut dimuatkan ke dalam blognya 'Sassy MP'.

Menurutnya, ugutan tersebut dimuatkan pada jam 10.37 pagi semalam di bawah nama 'Hanturaya'. Meseg itu berbunyi: "Teresa, kau ni patut diajar dengan darah. Terima kasih".

Komen itu, tambahnya, dimuatkan di bawah laporan "A Second DAP members' branch", yang merujuk kepada penubuhan cawangan DAP sewaktu sambutan Hari Raya baru-baru ini.

"Saya juga difahamkan bahawa komen itu dimuatkan melalui alamat IP 120.141.120.96," kata Teresa yang juga exco kerajaan Selangor dan ADUN Kinrara.

Katanya, beliau perlu membuat laporan polis itu "untuk melindungi diri saya dan keluarga daripada apa juga bentuk ancaman".

"Saya bimbangkan keselamatan kami kerana kami pernah diserang dengan bom petrol oleh pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan saya.

"Saya harap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat segera perkara itu," katanya.

Pada 27 September tahun lalu, rumah keluarganya di Jalan Ipoh di Kuala Lumpur dibaling dengan dua bom petrol pada awal pagi berkenaan.

Teresa, 45, telah dilaporkan berkata ketika itu bahawa ia mungkin ada kaitan dengan penahanannya di bawah ISA pada 12 September kerana didakwa membangkitkan isu-isu mengenai Islam. Dia dibebaskan seminggu kemudiannya.

KL timbang pindah semua 330 penuntut Malaysia di Padang

BERNAMA


JAKARTA: Kuala Lumpur mempertimbang secara serius kemungkinan memindahkan semua 330 penuntut Malaysia di Padang ke tanah air sehingga keadaan selepas gempa bumi yang berukuran 7.6 pada skala Richter di ibu kota Sumatera Barat itu pulih.

Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Amran Mohamed Zain berkata kemungkinannya ialah dengan membawa mereka pulang menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia sebaik Lapangan Terbang Minangkabau, Padang dibuka semula.

"Membawa mereka pulang merupakan pilihan terbaik kerana jika tetap di Padang pun, mereka tidak akan merasa nyaman dalam keadaan serba kekurangan. Apatah lagi semua kuliah juga sudah dibatalkan," katanya kepada BERNAMA di sini hari ini.

Katanya, kedutaan besar telah menghantar para pegawai Pejabat Konsul Malaysia di Medan dan Pekan Baru untuk ke Padang dan membuat penilaian keadaan tempat tinggal, bantuan pakaian dan bekalan makanan bagi para penuntut itu.

"Jika pasukan penilai ini mencadangkan supaya kita memindahkan para pelajar kita, kita akan selaraskan pergerakan dan jadual dengan Wisma Putra," katanya.

Sementara itu, sebuah bilik gerakan dibuka di Konsul Malaysia di Medan sejak petang semalam untuk menyelaraskan maklumat mengenai para penuntut di Padang dan melayani pertanyaan para ibu bapa melalui talian 006-26145531342.

Kebanyakan penuntut Malaysia itu sedang belajar dalam bidang kedoktoran di Universiti Andalas, yang dilaporkan rosak teruk di semua bangunannya termasuk bangunan Fakulti Kedoktorannya, runtuh.

Sehingga malam tadi, mereka berada dalam keadaan selamat walaupun, menurut Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar, "Mereka berkumpul dalam keadaan basah ditimpa hujan, tanpa makanan dan minuman."

Setakat pagi ini, katanya, seorang penuntut tahun dua yang hanya dikenali sebagai Fernisha, mendapat rawatan di Hospital Yodarso kerana kecederaan tulang belakang dan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia di Indonesia, yang hanya dikenali sebagai Martaza pula pitam setelah jatuh dari motosikal ketika hendak melawat Fernisha.

Katanya, kedutaan sedang berusaha menyalurkan bantuan yang diperlukan para pelajar secepatnya.

Penuntut bimbang nasib keluarga di Padang

BERNAMA


KUALA LUMPUR: "Kami cemas dan bimbang dengan keadaan keluarga di Padang kerana sehingga kini mereka langsung tidak dapat dihubungi," itulah keluhan beberapa penuntut Indonesia dari bandar itu, yang kini mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, mengenai nasib keluarga masingmasing setelah gempa bumi melanda Sumatera Barat petang semalam.

Selain gagal menghubungi anggota keluarga, mereka juga tidak dapat berhubung dengan saudara terdekat dan teman rapat untuk mengetahui perkembangan terkini tentang keluarga dan keadaan di Padang.

Midawati, 44, dari Kota Padang, berkata beliau berlepas dari Lapangan Terbang Internasional Minangkabau di Padang pada kirakira 3 petang semalam untuk kembali menyambung pengajian di UKM selepas bercuti Aidilfitri.

"Ketika itu, tidak ada tanda-tanda akan berlaku gempa di sana...tetapi saya terkejut apabila dimaklumkan teman serumah bahawa kejadian gempa bumi berlaku di Padang selepas tiba di rumah sewa di Kajang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Midawati, yang mengikuti ijazah doktor falsafah Geografi Gender di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, berkata beliau juga dimaklumkan bahawa bekalan elektrik, air dan telekomunikasi terputus terus di sana setelah berlakunya gempa bumi itu.

Akibatnya, beliau tidak pasti dengan keadaan keluarganya di Kuala Nyiur, iaitu kawasan penempatan di tepian pantai, berdekatan dengan bandar Padang.

Gempa bumi dengan magnitud 7.6 yang melanda Sumatera Barat sekitar 5.16 petang waktu Indonesia Barat semalam mengakibatkan beberapa bangunan utama di Padang mengalami kerosakan teruk, seperti Rumah Sakit Umum Pusat M Jamil Padang, Rumah Sakit Selasih dan Hotel Rocky.

Menurut laporan, Kota Padang juga diselubungi kegelapan malam tadi berikutan terputusnya bekalan elektrik selain hujan lebat yang memeritkan lagi keadaan penduduk yang masih terkejut dengan kejadian gempa bumi itu.

Sementara itu, Syahrriramadona, 25, berkata beliau berasa amat bimbang kerana langsung tidak dapat menghubungi keluarga dan terpaksa bergantung kepada laporan yang disiarkan portal berita dalam talian.

"Saya berasa amat bimbang dan cemas kerana langsung tidak dapat berhubung dengan sesiapa pun di Padang," katanya.

Penuntut ijazah sarjana Pendidikan Islam di Fakulti Pengajian Islam UKM itu bagaimanapun berharap mereka selamat kerana kediaman keluarganya terletak di Paya Kumbuh, iaitu kira-kira 3 jam perjalanan dari Kota Padang.

Selain itu, beliau juga bimbangkan tentang nasib adik lelakinya yang mengikuti pengajian di Universitas Negeri Padang yang terletak di kawasan bandar Padang.

Sri Nengsih, 24, dari daerah Pesisir Selatan, Padang juga berkongsi perasaan serupa kerana masih gagal menghubungi keluarganya.

Penuntut ijazah sarjana sains Teknologi Nano Institut Kejuruteraan Mikro dan Elektrik Nano UKM berkata selain ibu bapa, beliau juga bimbangkan keadaan anggota keluarga yang lain.

"Teman sekuliah memberitahu bahawa semua saluran komunikasi terputus.. justeru sukar untuk menghubungi keluarga. Tetapi, saya akan terus cuba menghubungi keluarga," katanya.

Diah Febrina, 27, pula sedikit lega apabila menerima khabar mengenai keluarganya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dari kakaknya, Yudian Fermina, 30, setengah jam selepas kejadian itu dan lewat malam tadi.

Menurutnya dua SMS itu memaklumkan bahawa semua anggotanya selamat tetapi kediaman mereka di tepi pantai di daerah Air Tawar retak teruk dan tidak boleh dihuni.

Selain itu, anggota keluarganya termasuk ibu dan bapanya turut diarah mendapat penempatan sementara di kawasan bukit di daerah Limau Manis, kira-kira 50km dari kediaman asal mereka.

Penuntut sarjana Pengurusan Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berkata kakaknya juga memaklumkan bahawa banyak bangunan runtuh dan rosak teruk selain bandar Padang gelap gelita.

Beliau bagaimanapun amat berharap dapat menghubungi keluarganya secepat mungkin untuk mengetahui perkembangan diri mereka.

Gempa Padang: Jumlah kematian masih bercelaru

BERNAMA


JAKARTA: Jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di Sumatera Barat petang semalam masih bercelaru dengan pelbagai laporan menyebut antara 215 orang hingga hampir 500 orang terkorban setakat tengah hari ini, ketika usaha mencari dan menyelamat giat dijalankan.

Pemerintah Indonesia bagaimanapun menganggarkan jumlah kematian akan mencapai angka ribuan kerana masih ramai mangsa yang dikhuatiri tertimbus dan terperangkap di bawah runtuhan lebih 1,000 bangunan termasuk hotel dan rumah serta prasarana lain.

Laporan beberapa pihak berkuasa setempat sehingga tengah hari ini menyebut lebih 100 mangsa dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan Hotel Ambacang di tengah Kota Padang dan lebih 60 murid pula terperangkap dalam bangunan tiga tingkat tempat mereka sedang mengikuti tuisyen ketika kejadian pada pukul 5.16 petang semalam.

Visual TV tempatan menunjukkan anggota tentera, ibu bapa dan orang ramai masih berusaha mencari dan menyelamatkan murid-murid itu, termasuk dengan menggunakan kudrat tangan kosong cuba mengalihkan tiang dan dinding konkrit yang sangat tebal, diiringi jerit tangis kaum keluarga yang menunggu.

Daripada hotel Ambacang pula, kelihatan seorang wanita berjaya di selamatkan dalam keadaan letih lesu dan terus dikejarkan ke hospital, pada ketika beberapa hospital termasuk Hospital Mohamed Jamil dilaporkan sudah tidak cukup tangan menangani mayatmayat mangsa yang dibawa ke situ.

Sejumlah orang juga dilaporkan masih terperangkap dalam runtuhan bangunan Hotel Bumi Minang, yang merupakan satu daripada hotel yang digemari rakyat Malaysia yang melancong ke Kota Padang atau menziarahi saudara mara di sana.

Maklumat dari pusat bencana di Pejabat Gabenor Sumatera Barat pula menunjukkan 215 orang disahkan mati di tiga lokasi utama yang paling teruk dilanda gempa iaitu di Kota Padang (139 orang), daerah kecil Padang Pariaman (62) dan Kota Pariaman (14).

Ketika keadaan di Kota Padang, Padang Pariaman dan Kota Pariaman masih kelam kabut, pagi ini Pulau Sumatera digoncang lagi oleh gempa bumi berkekuatan 7.0 SR di Jambi, berpusat di KM 46 ke tenggara Sungai Penuh pada kedalaman 10 KM di daratan pada pukul 8.52 pagi, dan gempa 5.5 SR berdekatan pada pukul 9.20 serta gempa 5.1 SR di Sipura Mentawai pada pukul 10.34 pagi.

Pemerintah Indonesia mengisytiharkan keadaan darurat bagi provinsi Sumatera Barat dan pelbagai bantuan ubat, makanan dan minuman dilapor telah dikirim ke sana dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang baru pulang dari Amerika Syarikat dijadual melawat Padang hari ini.

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 200 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat ini.

Priyandi Kardono, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata jumlah kematian yang dilaporkan setakat ini adalah dari kawasan Padang.

Jumah angka korban dijangka meningkat di kawasan-kawasan lain kerana sistem perhubungan dan komunikasi di kawasan Sumatera barat terputus.

Kardono berkata hampir 500 bangunan runtuh di Padang yang menempatkan kira-kira 900,000 penduduk.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. AP

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat malam tadi.

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah sebenar kematian belum dapat dipastikan tetapi laporan awal yang diterimanya daripada Datuk Bandar Padang menyebut semua mangsa mati di hospital. "Mungkin angka kematian akan bertambah kerana masih banyak dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk hotel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet di kediamannya di sini, malam tadi.

Mesyuarat itu, menurut laporan media massa tempatan online dihadiri beberapa menteri kabinet yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

Jusuf berkata ketika ini Kota Padang gelap gelita akibat terputus bekalan elektrik dan hujan lebat yang masih turun.

Sementara itu, enam pegawai kedutaan besar Malaysia di sini tidak dapat berangkat ke Padang malam ini kerana Lapangan Terbang Minangkabau ditutup akibat kerosakan yang dialami dalam kejadian gempa pada pukul 5.16 petang Rabu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar berkata mereka akan berangkat dengan kapal terbang pertama yang dibenarkan terbang dari sini ke Padang esok untuk membantu 330 pelajar Malaysia di Padang, yang walaupun selamat tetapi kehilangan tempat tinggal kerana rumah-rumah mereka runtuh.

Pendirian berbeza PAS S'gor dibawa ke peringkat pusat

Salhan K Ahmad


Isu melibatkan PAS Selangor yang mengambil pendirian berbeza dalam isu berhubung sebuah jawatankuasa pendengaran awam di negeri itu, akan dibawa ke peringkat PAS pusat untuk mendapatkan penyelesaian, kata seorang pemimpin kanan parti itu.

Ahli jawatankuasa lajnah politik parti itu, Dr Dzulkefly Ahmad juga berkata isu berkenaan kini sudah cukup "bermasalah" untuk diselesaikan, manakala pemimpin-pemimpin PAS pula tidak perlu memanjangkan lagi pertelagahan berhubung isu berkenaan.

Jelasnya, isu berkenaan akan dibincangkan oleh jawatankuasa PAS pusat yang akan bermesyuarat awal bulan depan, memandangkan kerajaan negeri dan PAS Selangor masing-masing tidak berganjak dengan keputusan mereka.

"Kita mahu perkukuhkan Pakatan Rakyat supaya masalah perbezaan pendapat seperti ini dapat ditangani. Jadi perlu ada kaedah, ianya perlu dibawa kepada penyelesaian," kata Dzulkefly kepada Malaysiakini hari ini.

Ketika diminta mengulas pertikaian antara ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dan exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali, beliau berkata, isu berkenaan tidak perlu lagi diperpanjangkan.

"Saya rasa isu ini kena perlahan sikit, biar ia reda dulu. Kalau tiap-tiap hari bertalu-talu begini, kita nampak tidak cerdik," katanya lagi.

"Kalau mereka hendak menjawab, biar mereka jawab. Tapi saya rasa apa yang YB Khalid cakap itu sudah jelas, tak perlu kita panjangkan lagi. Isu tentang wala'-wala' itu tak payah mainlah," katanya.

'Cari jalan terbaik'

Katanya lagi perbincangan dalam jawatankuasa juga adalah jalan terbaik untuk memulihkan hubungan antara pemimpin PAS yang berkepentingan dalam isu tersebut di Selangor.

"Apa yang saya nampak setakat ini, PAS Selangor masih bertegas dalam pendirian mereka terhadap keputusan kerajaan negeri. Susahlah apabila kedua-duanya tidak mahu berganjak (daripada pendirian). Isu ini tidak akan ke mana," jelas Dr Dzulkefly.

"Fokus kita sekarang adalah untuk memberi maklumat kepada masyarakat dan memperkukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat," tambahnya..

"Bila kita tengok, isu ini takkan habis sebab apabila PAS Selangor bermesyuarat, Dr Hasan berkeras supaya SELCAT dirombak. Tapi bila Tan Sri Khalid dan exco bermesyuarat, mereka mahu teruskan juga dengan dengan SELCAT. Ini sudah cukup bermasalah," jelasnya lagi.

Setakat ini, kerajaan Selangor dan juga PAS negeri itu telah bermesyuarat bagi menyelesaikan pergeseran antara pemimpin-pemimpin parti Islam tersebut dan juga kerajaan Pakatan Rakya di negeri itu, namun isu berkenaan masih berlarutan.

Badan perhubungan PAS Selangor telah bermesyuarat pada Ahad, membincangkan gesaan Khalid Samad supaya Dr Hasan meletakkan jawatan berhubung isu berkenaan. Ini adalah rentetan daripada mesyuarat Dewan Harian PAS Selangor yang diadakan sebelum itu.

Hasil daripada mesyuarat itu, PAS Selangor, yang diketuai Hasan Ali telah mencadangkan supaya keanggotaan SELCAT dirombak bagi meningkatkan integritinya.

Hasan juga telah mendakwa perjalanan siasatan jawatankuasa tersebut telah memalu dan mengaibkan pegawai-pegawai kerajaan negeri yang dipanggil memberi keterangan.

Pada Isnin pula, satu pertemuan khas telah diadakan di Shah Alam antara Menteri Besar, Barisan exco negeri, termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim; para pegawai daerah, yang dipertua pihak berkuasa tempatan serta wakil-wakil rakyat negeri itu.

Hasil daripada mesyuarat yang dilaporkan berlangsung selama kira-kira dua jam itu, mentri besar Tan Sri Khalid Ibrahim semalam dilaporkan berkata SELCAT tidak akan dirombak dari segi prosedur atau keanggotaan buat masa ini.

Korban gempa bumi Padang cecah 200 orang, ribuan mangsa masih tertimbus

OLEH: Reuters


JAKARTA: Gempa bumi kuat yang berlaku berhampiran bandar Padang di Sumatera semalam sudah meragut 200 nyawa dengan ribuan lagi mangsa tertimbus di bawah runtuhan.

Jurucakap agensi bencana Indonesia, Priyadi Kardono, menyatakan angka korban gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu kini ialah di antara 100 hingga 200 orang.

Kira-kira 500 bangunan kediaman di bandar dengan penduduk seramai 900,000 itu runtuh, memerangkap ribuan mangsa.

Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatana Indonesia, Rustam Pakaya, berkata sehingga pagi ini ribuan orang terperangkap di bawah runtuhan.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, memberitahu sidang media lewat malam tadi bahawa angka korban dijangka meningkat kerana banyak bangunan runtuh.

“Bangunan besar sudah runtuih. Bangunan konkrit semuanya runtuh, hospital, pasar utama runtuh dan terbakar," katanya.

Bangunan tidak tahan gempa

Oleh SITI MAISARAH
SHEIKH ABDUL RAHIM


PUTRAJAYA – Bangunan tinggi di negara ini terdedah kepada kerosakan teruk sekiranya berlaku gempa bumi kuat kerana tiada undang-undang dibuat bagi memastikan pembinaannya mengambil kira aspek berkenaan.

Pakar kejuruteraan gempa bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Azlan Adnan berkata, pemeriksaan terhadap 30 peratus daripada 65 bangunan awam di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Klang mendapati ia terdedah kepada risiko berkenaan.

Menurutnya, laporan pemeriksaan itu diperoleh hasil ‘Kajian Risiko Gempa Bumi dan Tsunami di Malaysia’ oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Ikram Structure Assessment Sdn. Bhd.

‘‘Walaupun tidak semua kawasan terdedah kepada risiko bencana alam itu, namun langkah pencegahan harus diambil sebelum sesuatu kejadian tidak diingini berlaku.

‘‘Satu undang-undang perlu dibuat kerajaan bagi memastikan setiap pembinaan di negara ini mengambil kira aspek gegaran gempa bumi berdasarkan tahap kekuatan tanah, ketinggian dan jenis bangunan yang ingin dibina,’’ ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.

Azlan berkata, selain penguatkuasaan undang-undang, satu sistem teknologi yang dipanggil ‘pengasingan tapak’ juga perlu dibangunkan untuk mengasingkan gerakan bumi dari bangunan dan dipraktikkan dalam setiap pembinaan.

‘‘Teknologi pengasingan tapak itu akan dipasang di antara permukaan tanah dengan tiang bangunan yang boleh mengelakkan bangunan daripada turut bergegar apabila berlaku gempa bumi,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, kajian itu turut mendapati kebanyakan struktur bangunan di kawasan yang diperiksa tidak mengambil kira aspek gegaran gempa bumi semasa dibina sedangkan kawasan-kawasan terbabit termasuk di Timur Sabah dikategorikan sebagai Zon II berdasarkan peta ancaman gempa bumi.

‘‘Kawasan-kawasan berkenaan dikategorikan sebagai Zon II iaitu zon berisiko mengalami impak tinggi kerana ia terletak paling hampir dengan garis sasar pusat gempa bumi di Sumatera yang memungkinkan gegaran kuat dirasai apabila berlaku gempa bumi.

‘‘Situasi menjadi lebih kritikal apabila impak yang amat besar dijangka boleh berlaku terhadap bangunan-bangunan berkenaan sekiranya gempa bumi berlaku pada jarak kira-kira 370 kilometer daripada bangunan terlibat,’’ katanya.

Kaji syor baharui lesen memandu kurang 5 tahun

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan akan mengkaji cadangan untuk mengehadkan tempoh pembaharuan lesen memandu bagi memudahkan pemantau terhadap pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, ia bertujuan memudahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan pemandu-pemandu yang terlibat dalam kesalahan jalan raya apabila mereka hendak memperbaharui lesen.

Beliau berkata, tempoh lima tahun seperti yang dibenarkan sekarang terlalu lama menyebabkan sukar bagi pihak berkuasa untuk mengenal pasti pemandu-pemandu yang pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan gagal membayar saman lalu lintas.

"Sekarang ini, pembaharuan lesen memandu boleh dibuat setiap lima tahun sekali.

"Ini bermakna pemandu yang pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya, dipotong markah merit dan gagal membayar saman, tidak boleh dikesan melainkan jika mereka datang memperbaharui lesen," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan laporan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP) di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng; aktres terkenal merangkap Duta Global Bagi Kempen Menjadikan Jalan Raya Selamat, Datuk Michelle Yeoh; Ketua Pengarah Yayasan Automobil Antarabangsa (FIA), David Ward; Ketua Pegawai Eksekutif IRAP Asia Pacific Rob Mclnerney dan Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia, Datuk Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha.

Tee Keat berkata, selain mengkaji tempoh pembaharuan lesen, aspek seperti pengguna jalan raya, reka bentuk jalan raya dan kenderaan juga perlu diberi perhatian jika mahu menangani kes kemalangan jalan raya yang tinggi di negara ini.

Dalam pada itu, beliau tidak setuju dengan pandangan beberapa pihak yang mengatakan bahawa Ops Sikap Ke-20 gagal apabila operasi yang berakhir kelmarin, menunjukkan jumlah kematian kedua tertinggi dalam sejarah sejak ia diperkenalkan lapan tahun lalu dengan mencatatkan sebanyak 261 kematian.

"Apa yang penting ialah prestasi operasi itu dari setahun ke setahun bertambah baik. Lagipun, sasaran mencapai kematian sifar hanya satu idea yang hakikatnya memang sukar dicapai," jelasnya.

Memandangkan 60 peratus daripada angka kematian dalam operasi itu melibatkan penunggang motosikal, Tee Keat berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri Kerja Raya mengenai cadangan membina lebih banyak laluan motosikal bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Mengenai iRAP, menurut beliau, Malaysia berbangga kerana dipilih sebagai negara pelopor bagi program tersebut di rantau Asia.