HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Ogos 2010

FDI Menjunam 81 Peratus Malapetaka Bagi Malaysia

Oleh Faizal Ezzany

BAGAN SERAI - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemerosotan sebanyak 81 peratus pelaburan terus asing (FDI) adalah satu malapetaka kepada Malaysia dan hanya dengan menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 kelak barulah ekonomi negara serta keyakinan pelabur dapat dipulih sepenuhnya.

Anwar seterusnya memberi amaran sekiranya fenomena ini tidak ditangani segera negara akan mengalami kejatuhan ekonomi yang lebih teruk dalam masa akan datang.

"Malapetaka telah menimpa negara ini kerana pelaburan asing telah merosot sebanyak 81 peratus dan ini tidak pernah berlaku, tanpa tindakan segera oleh kerajaan Malaysia akan menyebabkan negara ini boleh mengalami kemerosotan ekonomi yang lebih teruk.

"Saya ingin katakan analisis serta maklumat daripada pihak berkuasa menyatakan Umno-BN akan tumbang pada PRU-13 nanti dan melalui pemerintahan Pakatan Rakyat saya akan pastikan pemulihan segera berlaku dinegara ini serta keyakinan pelabur luar masuk ke negara ini untuk melabur.

"Kita sayangkan Malaysia maka kita perlu meningkatkan perjuangan yang di bawa, mulai sekarang kerja yang kuat perlu dilakukan. Dikala Umno berada pada satu tahap yang sangat lemah, sehingga mereka ingin menjalinkan hubungan dengan PAS maka kita perlu mengambil peluang ini untuk menumpaskan mereka, tidak perlu ada sikap simpati kerana Umno yang angkuh itu tidak ada perasaaan belas simpati pun kepada rakyat.

"Rakyat perlu bangkit untuk menyokong Pakatan Rakyat, kita jangan lagi menjadi perkasas kepada Umno-BN dan jangan mengundi parti yang menjadi pengkhianat negara. Kerjasama serta jalinan terbaik antara KEADILAN, PAS dan DAP ini perlu diperkuatkan sebaik-baiknya, kita jangan sia-siakan hasrat rakyat yang mahu negara ini selamat daripada genggaman kuku besi Umno-BN.

"Oleh itu kita perlu bersatu untuk hapuskan Umno-BN pada PRU-13 nanti," kata Anwar pada majlis jamuan makan malam di Bagan Serai anjuran Cabang Bagan Serai bersama rakyat Jumaat lalu.

Mengulas tentang skandal PKFZ yang melibatkan dakwaan menipu terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, Anwar berkata Umno-BN yang tidak begitu cerdik telah ditipu oleh Liong Sik sebanyak dua kali dan apabila DAP menjelaskan bukti penglibatan bekas Presiden MCA itu, Umno menuduh parti itu membuat fitnah.

"Sekarang jelas kes PKFZ siapa yang kena tipu dan siapa fitnah, kita lihat bagaimana berakhirnya kes tersebut, biasanya kes yang berprofil tinggi akan hilang begitu sahaja. Saya harap mahkamah yang adil dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan, pengadilan dilakukan tanpa mengira siapa mereka," tegas Anwar lagi.

Perbicaraan Fitnah II Diteruskan Isnin Walaupun Pincang

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM - Perbicaraan penuh kontroversi Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersambung esok 2 Ogos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan berlatarbelakangkan penafian dokumen dan bahan bukti kepada pasukan pembelaan.

Dalam satu kenyataan media semalam, Biro Antarabangsa KEADILAN menyatakan ramai pemerhati dan pemimpin dunia merasakan pertuduhan ke atas Anwar langsung tidak berasas dan berbaur politik tetapi pihak berkuasa mahu meneruskan juga perbicaraan ini.

Menurut Biro Antarabangsa, perbicaraan ini merupakan hanya satu pengulangan siri perbicaraan yang amat memalukan yang terpaksa ditempuhi oleh Anwar pada tahun 1998 hingga 1999, di mana perbicaraan itu telah dikutuk oleh masyarakat antarabangsa apabila mantan Timbalan Perdana Menteri itu dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun.

"Setakat ini, pihak pembelaan telah dinafikan pelbagai bukti dan laporan melalui keputusan mahkamah yang berat sebelah, dan ini telah memberikan rintangan yang cukup besar kepada pihak pembelaan untuk membina satu pertahanan yang kukuh.

"Ketua Polis Negara dan Peguam Negara yang didakwa terlibat di dalam sekuel kali ini, sebelumnya telah didedahkan memainkan peranan penting memalsukan bukti terhadap Anwar dalam perbicaraan tahun 1998-99," kata kenyataan itu.

Lebih memalukan, satu skandal baru telah didedahkan oleh blogger terkemuka, Raja Petra Kamarudin apabila Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif, didakwa terlibat dalam hubungan sulit dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan, individu yang bukan sahaja mendakwa Anwar malah merupakan saksi utama perbicaraan ini.

Pihak pendakwa raya pula telah mengugurkan Farah daripada kes ini sejurus skandal selepas ini didedahkan.

"Perbicaraan ini perlu dilihat sebagai satu bahagian daripada serangan terancang terhadap Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat yang rapat dengan beliau. Tidak dinafikan bahawa serangan kerajaan Umno-BN yang cukup menyeluruh sejak tahun lalu telah memberikan satu kesan yang cukup dalam.

"Ini termasuklah cubaan berkali-kali memburukkan nama Anwar melalui media aliran perdana yang di bawah kawalan Umno-BN, dan serangan bertubi-tubi Umno-BN ke atas beberapa kerajaan negeri Pakatan, terutamanya Selangor yang merupakan negeri terkaya dan kebanggaan KEADILAN.

"Tindakan Umno-BN dapat dilihat melalui tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang telah berkali-kali menyiasat para pemimpin Pakatan Rakyat Selangor.

"Tidak cukup dengan itu, kerajaan Umno-BN melangkah setapak lagi dengan tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar rasmi ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat iaitu akhbar Suara Keadilan, Harakah dan The Rocket. Kini, permit akhbar PAS, Harakah telah diperbaharui tetapi terpaksa mematuhi beberapa syarat berat yang dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri," jelas Biro Antarabangsa lagi.

Perbicaraan Anwar dijangka diteruskan hingga hujung bulan Ogos.

Kebiadapan Polis Terhadap Rakyat Percepatkan Kejatuhan Umno-BN

Oleh Sidiqin Omar

RENGIT - Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, Datuk Chua Jui Meng menganggap Malaysia sebagai sebuah negara polis, apabila bertindak ganas dengan memukul dan menahan dengan kasar orang ramai termasuk peniaga semasa program ceramah anjuran KEADILAN di Markas PAS Kawasan Batu Pahat di Kampung Sungai Tongkang, di sini semalam.

Chua berkata tindakan tidak demokratik pihal polis hanya membuka mata dam menyedarkan lagi rakyat khususnya di Johor bahawa Umno-Barisan Nasional perlu ditumbangkan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Peristiwa ini menunjukkan dengan jelas bahawa, rakyat telah faham yang Umno dan Barisan Nasional di Johor sudah takut dan putus asa sehingga terpaksa menyalahgunakan institusi polis untuk menghalang proses politik dan demokrasi di negara ini.

"Ini akan menambah keazaman dan keinginan kita untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN di Johor dan menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Ini adalah program pertama saya di Johor selepas dilantik menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri. Memang benar seperti apa yang pernah dikatakan, halangan akan dikenakan kepada mana-mana bekas pemimpin Barisan Nasional seperti saya dan Datuk Seri (Anwar Ibrahim). Jadi kata Tun Dr Mahathir, 'Malaysia Negara Polis' satu ketika dulu, memang benar," komen Chua kepada Suara Keadilan ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Rengit untuk memberikan sokongan kepada mereka yang ditahan semalam.

Turut hadir beberapa pemimpin KEADILAN termasuk Timbalan Presiden, Senator Dr Syed Husin Ali, Ketua Penerangan, Latheefa Koya, Ketua Cabang Batu Pahat, Syed Hamid Ali dan tokoh parti serta peguam, Hassan Karim.

Dalam serbuan yang dilakukan pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ke atas lokasi ceramah di Rengit semalam, seramai tujuh orang ditahan iaitu, Shukri Yusof, 32, Khairul Nurrashid, 26, Sheikh Hussin Abdullah, 43, Radzi Kasim, Ahmad Ariff, 29, Raden NohKamaruzzaman, 22, dan Mohd Hussin Ismail, 19.

Mereka dilepaskan kira-kira pada pukul 4 pagi selepas mendapat jaminan lisan daripada pihak polis.

Tiga daripada mereka yang ditahan iaitu Shukri Yusof, Khairul Nurrashid, Sheikh Hussin Abdullah diminta untuk kembali ke Balai Polis Rengit pada 1 September depan untuk diambil keterangan manakala empat yang lain dikehendaki ke balai polis yang sama pada 13 September.

Sementara itu Ahmad Ariff dan Raden Noh Kamaruzzaman mendakwa mereka telah dikasari oleh anggota FRU yang dikatakan memukul dan memijak mereka sehingga menyebabkan kecederaan.

Kedua mereka dijangkakan akan membuat laporan polis pada hari ini.

Seorang petugas Unit Amal berkata pihak polis dan FRU turut merampas peralatan audio seperti mikrofom dan sistem pembesar suara selain merosakkan beberapa peralatan elektrik dalam tindakan serbuan mereka.

FRU turut melepaskan sejenis gas yang menyebabkan mereka pedih mata dan sakit dada.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, Azlan Ishak mendesak pihak polis memberikan penjelasan berkenaan kekasaran yang dilakukan terhadap orang ramai dalam program malam tadi.

Beliau menganggap tindakan tersebut menyalahi jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan yang membenarkan orang ramai untuk berhimpun dan berekspresi.

"Kita bercadang untuk failkan perkara ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Perbuatan (menyerbu) ini menyalahi undang-undang.

"Program ini diadakan di dalam premis persendirian dan kita telah patuhi. Permit yang dipohon sebenarnya telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), namun ditarik semula atas tekanan politik. Inikah negara demokrasi?" tanya Azlan.

Penjamin Juga Boleh Diisytihar Bankrap

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang menjadi penjamin juga boleh diisytiharkan bankrap sekiranya terdapat perintah mahkamah terhadap peminjam utama yang gagal melunaskan hutang.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, ia mungkin sukar dipercayai namun itulah hakikatnya menyebabkan banyak pihak terus mempersalahkan jabatan itu.

Menurut beliau, timbul suara tidak puas hati mengatakan Jabatan Insolvensi Malaysia bertindak zalim kerana turut memusnahkan kehidupan mereka yang tidak berhutang.

“Perlu diperjelaskan bahawa kami tidak membankrapkan mereka dan sebagai penjamin, mereka sepatutnya bertanggungjawab ke atas jaminan itu.

“Jika peminjam utama gagal membayar hutang maka penjamin perlu mengambil alih tanggungjawab itu,” katanya kepada Mingguan mStar, di sini.

Dari tahun 2005 sehingga Jun tahun ini, seramai 81,908 individu diisytiharkan bankrap membabitkan jumlah hutang RM71.36 bilion.

Daripada jumlah tersebut, 4.66 peratus merupakan penjamin sosial manakala penjamin korporat 5.32 peratus.

Abdul Karim berkata, isu penjamin diisytiharkan bankrap menimbulkan pelbagai reaksi dan kekecohan kerana menyifatkan tindakan itu tidak adil.

Bagaimanapun katanya, kedudukan penjamin dipinda menerusi Akta Kebankrapan 1967 pada tahun 2003 telah mewujudkan perbezaan antara peminjam utama dan penjamin.

“Pindaan telah menjelaskan bahawa pemiutang tidak boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjamin secara terus kecuali boleh dibuktikan di mahkamah membabitkan hutang peminjam utama,” ujarnya.

Menurut beliau, Jabatan Insolvensi Malaysia turut mempunyai budi bicara bagi membantu penjamin keluar daripada status kebankrapan dengan persetujuan pemiutang.

Tambahnya lagi, rundingan bukan saja membabitkan permohonan pelepasan kebankrapan malah jumlah bayaran hutang yang perlu dijelaskan atau dividen.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah menjadi penjamin dan mengambil langkah berhati-hati.

“Paling penting, kita perlu tahu kemampuan untuk menjadi penjamin, mengenali siapa yang mahu berhutang dan keupayaannya untuk membuat bayaran.

“Jangan menjamin seseorang itu atas dasar kasihan kerana kesannya kelak tidak akan mengasihani kita. Buat keputusan dengan bijak,” kata Abdul Karim.

Hutang Individu Bankrap Di Malaysia RM71.36 Bilion

PETALING JAYA: Dari tahun 2005 sehingga Jun tahun ini, jumlah hutang individu yang disytiharkan muflis atau bankrap di negara ini sebanyak RM71.36 bilion, kata Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Beliau berkata, jumlah yang ditadbir urus oleh organisasi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu membabitkan seramai 81,908 individu bankrap daripada 218,561 kes kebankrapan berdaftar.

“Hutang RM71.36 bilion itu merupakan nilai keseluruhan hutang yang telah difailkan oleh pemiutang dengan Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Ini termasuk jumlah hutang yang dimaklumkan oleh pihak petisyen dan pemiutang-pemiutang lain dalam kes kebankrapan,” katanya kepada mStar Online, di sini.

Abdul Karim berkata, jumlah hutang individu bankrap pada tahun lalu adalah berjumlah RM928 juta manakala jumlah hutang dari Januari sehingga Jun tahun ini RM12.39 bilion.

“Kira-kira 40 peratus golongan bankrap mempunyai hutang dengan lebih daripada satu organisasi atau pemiutang,” ujarnya.

Antara jenis hutang yang gagal dilunaskan si bankrap adalah sewa beli kenderaan, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, pinjaman perumahan dan kad kredit.

Dalam pada itu, dari tahun 2005 sehingga Jun tahun ini, jumlah hutang individu bankrap yang sudah dilunaskan kepada pemiutang atau dividen adalah sebanyak RM281.99 juta.

Bagaimanapun Abdul Karim berkata, jumlah dividen itu amat kecil berbanding dengan jumlah hutang keseluruhan iaitu hanya kira-kira 0.39 peratus.

Jelasnya, keadaan itu disebabkan oleh beberapa faktor berikutan terdapat tiga jenis individu bankrap iaitu peminjam utama, penjamin sosial dan penjamin korporat.

“Bukan semua individu bankrap itu mempunyai pekerjaan atau aset yang membolehkan mereka untuk melunaskan hutang.

“Jika mereka tidak mempunyai sumber kewangan, bagaimana hendak membayar hutang? Ini menyukarkan agihan dividen kepada pemiutang malah melambatkan proses untuk mengeluarkan mereka daripada kebankrapan,” ujarnya.

Beliau menambah, ada di antara individu bankrap hidup atas ihsan anak-anak mereka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Daripada 81,908 individu bankrap itu, Abdul Karim berkata, 4.66 peratus merupakan penjamin sosial manakala penjamin korporat 5.32 peratus.

“Jumlah dividen yang diagihkan kepada pemiutang pada tahun lalu sebanyak RM85.6 juta dan RM48.62 juta bagi Januari sehingga Jun tahun ini,” katanya.

Mengenai pelepasan kebankrapan dari tahun 2005 sehingga Jun 2010, seramai 11,223 individu bankrap diberikan pelepasan atas perintah mahkamah dan 9,523 individu dengan kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia.

Denggi naik mendadak di Kelantan

BERNAMA


Wabak demam denggi di Kelantan naik mendadak setakat ini tahun ini berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Wan Mansor Wan Hamzah.

Beliau berkata kedaan ini adalah membimbangkan.

"Sehingga 24 Julai lepas, sebanyak 1,707 kes demam denggi dilapor dikesan di seluruh negeri yang membabitkan lima kematian, berbanding 1,031 kes dan satu kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya kepada Bernama pada majlis Jom Ganyang Aedes bagi peringkat Daerah Kota Baharu hari ini.

Beliau berkata tiga daripada lima kes kematian itu berlaku di daerah Pasir Mas dan dua lagi di Kota Baharu.

"Fenomena peningkatan kes ini agak membimbangkan dan usaha-usaha sedang dijalankan bagi mencegah wabaknya daripada terus merebak," katanya.

Dr Wan Mansor melahirkan rasa kecewa dengan sikap masyarakat yang tidak prihatin untuk membasmi penyakit berkenaan.

"Misalnya daripada kira-kira 200 orang yang menyertai gerakan gotong royong membasmi denggi hari ini, bilangan penduduk tempatan yang menyertainya boleh dibilang dengan jari.

"Ada antara keluarga mangsa penyakit denggi sendiri yang tidak mengendahkan penjagaan kawasan rumah mereka yang menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes," katanya.


Umno perlu direhatkan

Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa (gambar) menyeru rakyat merehatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada bergelumang dengan politik tanahair kerana banyak kesalahan telah dilakukan sehingga ekonomi, keselamatan, kehakiman dan politik negara tidak lagi stabil.

Umpamanya, kata beliau, apabila pemain bola sepak mendapat kad merah kerana melakukan kesalahan yang berulang, dia terpaksa dikeluarkan atau direhatkan untuk beberapa kali perlawanan.

Begitu juga, ujarnya dengan Umno dan BN perlu dihukum sebab terlalu banyak melakukan penyelewengan, pembohongan dan campur tangan tangan sehingga menyulitkan sesuatu keputusan diadili dengan adil.

"Umno dan BN kena direhatkan. Rakyat perlu buat begitu jika tidak mahu melihat negara menuju kehancuran," tegasnya ketika berceramah di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kepala Batas malam tadi.

Ekoran itu, kata Exco Kerajaan Kelantan itu banyak pelabur tidak menanam modal di Malaysia sebaliknya mencari lokasi lain yang lebih selamat.

Tambahnya, apabila terjadi begitu, ekonomi negara merudum teruk ditambah lagi dengan wang negara diboroskan dengan projek mega yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Habislah jika keadaan negara macam ni. Jadi, lebih baik rehatkan Umno dan kuncunya pada pilihan raya umum depan. Bila parti sempit dan perkauman tidak ada, maka senanglah nakhoda melayari bahtera memajukan negara," ujar beliau.

Kepimpinan negara, katanya apabila harga gula dinaikkan terus mengeluarkan kenyataan santai kononnya untuk mendidik rakyat supaya tidak terkena penyakit kencing manis manakala membanding harga dengan negara jiran apabila menaikkan harga petroleum.

Menurutnya, itulah alasan Kerajaan BN sejak dulu sampai sekarang, tidak pun menunjukkan rasa serik atau kesal apabila menindas rakyat malahan rasa bangga bila rakyat tidak menunjukkan protes.

"Mereka sudah menjahanamkan negara, kenapa rakyat masih biarkan mereka memerintah termasuk cadangan terbaru membeli 274 kereta perisai yang harganya sebuah RM31 juta pada hal seluruh dunia tahu harga kereta perisai termahal dari Amerika Syarikat hanya bernilai RM9 juta sebuah," katanya.

Beri peluang PAS sejahterakan rakyat

Ali Hashim


KEPALA BATAS: Umno disaran supaya memberikan peluang kepada PAS untuk memimpin negara bagi memberi kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Husam Musa semasa menyampaikan ceramah anjuran Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pulau Pinang dan Kelab Amanah Rakan Industri Bersatu (KARIB) di Kompleks Sukan Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, semalam.

Dengan pelbagai masalah wang rakyat yang disalahgunakan serta kerugian yang dialami oleh pelbagai agensi milik kerajaan adalah wajar bagi PAS menjadi peneraju bagi menggantikan Umno untuk membela nasib rakyat.

"Dibawah pemerintahan Umno dan BN isu yang melibatkan kerugian banyak belaku. Antara Pos Malaysia, Sime Darby, Felda dan begitu juga dalam isu PKFZ. Ia adalah suatu perkara yang memalukan kerana ketidakcekapan urus selia oleh kerajaan yang berkuasa kini.

"Sekiranya mereka diberi peluang untuk terus menerajui negara maka adalah dikhuatiri wang rakyat akan terus hilang," kata Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, Umno dan BN sekarang sudah berada dalam keadaan sakit disemua peringkat dalam banyak aspek yang menyentuh pentadbiran mereka.

Oleh kerana itu, adalah lebih baik mereka menyatupadukan sesama mereka terlebih dahulu terutama di kalangan pimpinan dan ahli Umno sendiri.

"Di Terengganu sendiri kita lihat bagaimana puak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan puak Datuk Seri Idris Jusoh tidak sehaluan. Perpecahan dalam Umno bukan saja di sini. Seluruh peringkat dan pelusuk,"katanya.

Bagi beliau, dalam isu penyatuan orang Melayu, formula penyatuan harus betul.

"PAS mahukan Islam untuk menyatukan semua kaum dan bangsa yang ada dalam negara ini. Dengan Islam kita dapat menyatukan orang Melayu, Cina dan India. Dengan Islam juga kita dapat menyatukan semua puak dan mereka yang bermasalah.

"Justeru itu sekiranya penyatuan dilakukan atas dasar Islam maka ia akan dapat memanfaatkan semua golongan masyarakat. Tetapi sekiranya dibuat atas nama suku dan bangsa, ia belum pasti boleh mendatangkan manfaat kecuali ia berpaksikan kepada agama Islam,"tambahnya lagi.

Manakala Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar setuju agar Islam dijadikan asas untuk menyatukan kesemua kumpulan masyarakat termasuk Umno dan PAS.

"Sekiranya Umno sanggup untuk meletakkan Islam itu diatas dalam dasar perjuangan mereka, saya yakin ia adalah satu tindakan yang mampu untuk diberi komitmen kerana ia memperjuangkan semua golongan tanpa menjadikan assabiyah itu sebagai satu kemestian

"Namun begitu sekiranya bangsa dijadikan dasar dan asas dalam perjuangan, Islam itu belum pasti akan dapat dinobatkan. Oleh kerana itu maka PAS berkeyakinan hanya Islam saja yang mampu untuk dimartabatkan untuk semua kaum dan manusia yang ada dibumi ini," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dan kepimpinan PR tempatan.

Nizar lalu jalan berlumpur ke tempat ceramah

Nazri Abdullah

PASIR SALAK: Seperti suasana pada awal negara menyambut kemerdekaan dahulu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin terpaksa melalui jalan semak dan berlumpur untuk sampai ke pentas ceramah.

Bukannya jalan yang sedia ada tidak baik, namun setelah negara begitu aman selepas lebih 50 tahun merdeka, beliau terpaksa menghadapinya untuk berceramah di majlis Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Changkat Lada, dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, terpaksa berbuat demikian demi keselamatan dan menjayakan program malam tadi setelah polis dan anggota unit simpanan persekutuan (FRU) menyekat laluan masuk ke tempat program.

Akibat melalui jalan tersebut, kasut dan pakaian Nizar basah dan berlumuran lumpur.

"Alhamdulillah, Datuk Seri Nizar dapat bersama kita walaupun terpaksa lalu jalan berselut dan berlumpur," umum pengerusi majlis disambut laungan takbir para hadirin.

Semasa Nizar sedang berucap pula, FRU yang pada asalnya membuat sekatan di jalan masuk, mula bergerak ke pintu depan tapak program untuk masuk ke kawasan ceramah yang dibuat atas tanah persendirian.

Ekoran itu, palang untuk masuk ke tapak program ditutup dan dikunci oleh tuan tanah dan penyokong.

Anngota FRU, bagaimanapun mahu masuk ke kawasan ceramah walaupun tuan tanah meletakkan poster "Hak Milik Persendirian, Dilarang Menceroboh", namun dibenteng lebih 100 penyokong.

Mereka berada di situ sehingga ceramah Nizar selesai kira-kira sejam setengah kemudian.

Terdahulu, Nizar sewaktu memulakan ucapan turut secara sinis membidas tindakan anggota keselamatan itu.

"Malam ini 847 anggota polis, special branch (SB) dan FRU ada bersama kita.

"Selamat datang untuk dengar ceramah dan menjaga keselamatan kami," katanya disambut tepukan oleh lebih 500 hadirin yang hadir.

Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di sini akan berlangsung sehingga lewat malam ini.

Pagi ini, majlis pelancaran akan disempurnakan Nizar, kemudian beberapa kertas kerja akan dibentang sebelun majlis penutup akan disempurnakan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Kemuncak program adalah pada malam ini apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berceramah di sini.

Polis serbu ceramah PKR di Rengit

Harakahdaily
BATU PAHAT: Sekurang-kurangnya 50 anggota unit simpanan persekutuan (FRU) dan puluhan lagi anggota polis menyerbu pentas Ceramah Pakatan Rakyat di Rengit di sini.

Serbuan dibuat sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berceramah dipantas itu malam tadi.

Polis bertindak mengosongkan pentas, merampai pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah.

Akibat sebuan itu sehingga jam 12.30 pagi tadi difahamkan sekurang-kurangnya sembilan ditangkap terdiri dari tujuh lelaki dan dua wanita.

Kesemua yang ditahan kini dibawa ke balai polis Rengit.

Polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

Turut ada ketika serbuan adalah Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dan Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya dan Pengerusi Perhubungan Negeri johor, Datuk Chua Jui Meng.

Sehingga berita ini ditulis, Lathefaa yang juga peguam masih berada di balai polis menguruskan mereka yang ditahan.

Penyokong juga difahamkan mula memenuhi perkarangan balai polis, dan tidak mahu berganjak walaupun diarah bersurai oleh pihak polis.