HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Disember 2010

Tubuh Majlis Penasihat hanya gimik politik – Dr Lo’ Lo’


Dr._Lo'_Lo'Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali tetap bertegas membantah penubuhan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru sambil menyifatkan cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah undang-undang itu sebagai gimik politik.

Menurut beliau, melalui penubuhan Majlis Penasihat itu jelas menampakan kerajaan tidak jujur memandangkan tidak terikat dengan apa-apa nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru.

"Cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah rang undang-undang tersebut adalah bersifat kosmetik dan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

"Oleh itu, peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kacamata kerajaan," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau yang mewakili penduduk termasuklah pewaris tanah Kampung Baru membantah penubuhan rang undang-undang itu yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun depan.

Cadang Badan Amanah ditubuhkan

"Saya mewakili penduduk-penduduk Kampung Baru membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu tersebut dan menyarankan supaya kerajaan menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan secara langsung dalam pembangunan Kampung Baru."

"Sudahlah penduduk Kampung Baru tidak dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum rang undang-undang tersebut dibentangkan di Parlimen, kini suara dan nasihat mereka yang kononnya dijamin di bawah rang undang-undang tersebut langsung tidak berharga dan tidak mempunyai sebarang makna.

Ketika memberikan penerangan kepada kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru pertengahan bulan ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik berkata, Majlis Penasihat akan ditubuhkan yang mana akan bertindak sebagai penasihat kepada perbadanan itu.

Raja Nong Chik juga berkata Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru akan dilantik sebagai Majlis Penasihat perbadanan itu yang akan dilaksanakan Julai depan.

Rang undang-undang baru itu telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat 14 Disember lalu dan pada hari yang sama diberikan taklimat kepada sebahagian pemilik dan pewaris Kampung Baru.

Semalam Dr Lo’ Lo’ berkata langkah kerajaan pusat membubarkan MAS akan menyebabkan tanah di kawasan itu secara automatik boleh dimiliki bukan Melayu.

Nasib orang Melayu terjejas

Menurut Dr Lo’ Lo’, pembubaran MAS akan menyebabkan nasib orang Melayu di Kampung Baru akan terjejas memandangkan tiada badan yang akan bertindak melindungi hak mereka.

Beliau juga mencadangkan supaya MAS dinaik taraf menjadi Badan Amanah Kampung Baru yang bertindak sebagai penjaga pegangan hartanah dan bukan hak pemilik-pemilik dimansuhkan.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar.

Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 penduduk. Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Pelantikan Khusrin pasti undang pelbagai masalah

FREE MALAYSIA TOSAY

khusrin[1]KOMENTAR FMT: Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Khusrin Munawi muncul sebagai tokoh kontroversi dewasa ini apabila dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Pastinya pelantikan beliau bakal mengundang pelbagai masalah kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

Sejak dahulu lagi, ketika Selangor ditadbir oleh Umno-Barisan Nasional, gerak geri Khusrin seperti "budak suruhan" kepada parti pemerintah di peringkat pusat hingga banyak mendatangkan masalah kepada pentadbiran hal ehwal agama Islam.

Khusrin, yang dianggap sebagai "agen" telah menghalang Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Aziz Nik Aziz dan Presiden PAS Haji Abdul Hadi Awang berceramah di negeri Selangor.

Malahan apabila Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat, Khusrin menjadi "duri dalam daging" dan dipercayai menjadi alat untuk menjatuhkan kerajaan negeri dengan menjalankan kerja-kerja yang bercanggah dengan dasar kerajaan negeri.

Atas kapasitinya sebagai Pengarah Jais, beliau bertindak menahan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah di sebuah rumah di Hulu Klang walaupun mendapat bantahan keras daripada pemimpin Pakatan Rakyat.

Khusrin juga mengkritik keras tindakan Ahli Parlimen Teo Nie Ching yang berucap di sebuah surau di Ampang walaupun ahli-ahli jawatankuasa surau itu yang menjemput Teo atas alasan orang-orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke dalam surau.

Terbaru, Khusrinlah yang mengeluarkan arahan untuk menyerbu markas Syiah di Taman Sri Gombak atas dakwaan para pengikut mazhab itu merupakan komuniti yang sesat dari ajaran Islam.

Macam-macam tohmahan dan fitnah yang beliau lemparkan seperti pengikut Syiah mempercayai darah ahli Sunnah (Wal Jamaah) adalah halal, mengkafirkan para sahabat dan berlebih-lebihan dalam mencintai keluarga Rasulullah saw.

Khusrin ialah lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau bukanlah ahli dalam bidang agama.

Pelantikan beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Januari ini dilihat sebagai ganjaran atas sumbangan beliau yang sedikit sebanyak berjaya mengucar-kacirkan kerajaan negeri dalam hal ehwal pentadbiran tentang agama Islam.

Sumber menyebut wakil rakyat Pakatan Rakyat bimbang dengan pelantikan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu dan mereka percaya ada agenda tertentu di sebalik pelantikan itu.

Sidek Hassan sendiri dipercayai merupakan salah seorang tokoh yang merancang untuk menjatuhkan semua negeri yang berada di bawah pimpinan Pakatan Rakyat dengan mendapat peruntukan khas dari kerajaan persekutuan.

Menurut sumber itu lagi, jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan satu jawatan yang kuat dan berpengaruh. Beliau mempunyai pengaruh dan kuasa ke atas pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Walaupun Sidek Hassan mendakwa pelantikan beliau telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tetapi beliau tidak boleh mengenepikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sama sekali.

Beliau harus berunding dengan Khalid terlebih dahulu dan menurut laporan media, Khalid sendiri telah mencadangkan tiga nama untuk mengisi jawatan itu.

Hasrat Khalid untuk memohon mengadap Sultan Selangor hari ini tidak kesampaian kerana baginda sedang bercuti di luar negeri dan hanya pulang pada 3 Januari depan.

Pelantikan beliau pasti mengundang pelbagai masalah kepada kerajaan negeri, terutama menjelang pilihan raya umum yang dijangka berlangsung seawal bulan Mac atau Jun tahun depan.

Ibu bapa tukar status anak kepada Sino-Kadazan


edwinrocketOleh Staf FMT

KOTA KINABALU: Kontroversi status anak-anak hasil dari perkahwinan campur menyebabkan peningkatan dalam bilangan ibu bapa dan anak-anak yang membuat akuan bersumpah kepada Pesuruhjaya Sumpah bahawa mereka terdiri daripada ‘Sino-Kadazan’ dan bukannya ‘Sino-Pribumi’.

DAP Sabah berkata mereka mengetahui perkara ini lanjutan dari perasmian Persatuan Sino-Pribumi Sabah (SSNA).

"Kontroversi ini menyebabkan ramai ibu bapa dan anak-anak ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membetulkan keturunan mereka," kata setiausaha parti Dr Edwin Bosi.

Saya mendapat tahu dari beberapa Pesuruhjaya Sumpah bahawa anak-anak yang mempunyai ibu berketurunan Sino-Kadazan menukar keturunan mereka daripada Cina kepada Sino-Kadazan.

"Malang sekali JPN yang menukarkan keturunan mereka kepada Sino-Pribumi," kata beliau.

"DAP Sabah mahu mengingatkan kerajaan dan JPN bahawa Sino-Pribumi bukan satu keturunan. Ia cuma satu kumpulan. Dasar perlu diubah untuk mencerminkan identiti sebenar anak-anak ini. Ibu mereka Sino-Kadazan jadi mereka perlu didaftar sebagai Sino Kadazan juga.

Tidak bekerjasama

"Johnny (Mositun, ketua penerangan PBS) perlu ingat bahawa PBS ialah parti komponen Barisan Nasional. Persoalannya, mengapa PBS, parti kedua yang berpengaruh di Sabah tidak bekerjasama dengan Umno dan kerajaan BN untuk membatalkan pembekuan serta-merta?

"PBS sebagai parti komponen BN mesti meminta kerajaan berhenti menggunakan Sino-Pribumi sebagai keturunan dalam sijil kelahiran.

SSNA patut risau dengan perkembangan ini.

"Ini adalah perkara asas (pembatalan pembekuan ke atas pengeluaran sijil pribumi). Ia tidak perlu difikir panjang atau dirancang.

"Kerajaan boleh memberi kenyataan bahawa pembekuan tersebut itu dibatalkan dan membenarkan Mahkamah Pribumi menguruskan segala hal berkaitan hal-ehwal pribumi," kata Bosi.

Beliau menambah bahawa mereka yang tidak gembira mempunyai sijil pribumi "perlu membenarkan Mahkamah Pribumi mengesahkannya".

Beliau berkata DAP Sabah juga kesal dengan kenyataan negatif Mositun, timbalan speaker Dun Sabah terhadap hasrat pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong yang ingin menyertai SSNA.

Memandang rendah Mahkamah Pribumi

Bosi juga menyatakan pengiktirafan Adun PBS Inanam Johnny Goh sebagai presiden SSNA merupakan usaha PBS untuk pecah dan perintah masyarakat mereka sendiri.

Beliau yakin Goh, sebagai ahli PBS akan akur kepada kemahuan tuan politik mereka dalam Umno dan bukannya berusaha demi kebaikan Sino-Pribumi.

"Agak sukar untuk Wong kini untuk mendapatkan bantuan dari SSNA," beliau mengulas berkenaan ketuanya yang menerima notis kerajaan bahawa statusnya sebagai Sino-Pribumi akan ditarik balik.

Bosi turut menempelak Mositun kerana menmandang rendah terhadap peranan Mahkamah Pribumi yang mengisytiharkan Wong seorang pribumi dan memberikannya sijil pribumi.

Beliau berkata timbalan speaker tersebut mempunyai kuasa untuk mencegah wakil rakyat Sekong dan Sulaiman dari Umno yang mahu Mahkamah Pribumi membatalkan sijil pribumi Wong.

"Mositun, sebagai timbalan speaker boleh menghentikan usul tersebut kerana ia tidak relevan memandangkan sidang tersebut adalah sidang belanjawan.

Syak wasangka

Kedua, Mositun sepatutnya menghentikannya kerana menurutnya sendiri, ia bersifat menghasut, syak wasangka boleh menimbulkan permusuhan di antara kaum.

"Ramai orang menghubungi saya untuk membangkitkan isu ini agar pembekuan pengeluaran sijil pribumi dibatalkan serta-merta."

Bosi menegaskan DAP mempunyai keyakinan terhadap Mahkamah Pribumi. Beliau berkata bahawa beliau telah membangkitkan isu rakyat Sabah yang tidak diberi status pribumi dalam Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember lalu di Pulau Pinang kerana isu ini serius.

Beliau berkata Pakatan akan menyelesaikan masalah ini serta-merta sekiranya diberi peluang memerintah.

"Apabila rakyat memutuskan untuk mengubah kerajaan BN, Pakatan akan menyelesaikan masalah ini. Saya boleh beri jaminan kepada Mositun bahawa Pakatan akan mengotakan janjinya."

Tiada tempoh tertentu lantik Setiausaha Kerajaan Negeri

FREE MALAYSIAN TODAY

17383f9195bb44eb45a953e9a4d621dfSHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyangkal kenyataan Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Dato’ Munir Bani yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, "kami menegaskan bahawa tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh atau masa tertentu.

"Tambahan pula, jawatan Dato’ Ramli Mahmud selaku Setiausaha Kerajaan Negeri sepatutnya hanya tamat pada 20 Mac 2011," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, perlu ditegaskan di sini, Kerajaan Negeri telah menjalankan proses pemilihan pada 27 November 2010 dengan menubuhkan Panel Pemilihan yang sejajar dengan Nota Amalan Perkhidmatan Awam.

"Panel yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Dato’ Teng Chang Khim serta dianggotai oleh dua Ahli Majlis Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Xavier Jayakumar, telah menemuramah enam calon dari lapan nama yang telah dicadangkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri dan Pejabat Sumber Manusia," terang beliau.

Panel Pemilihan

Menurut beliau, Panel Pemilihan telah menyenarai pendek calon-calon dan Dato’ Menteri Besar telah pada 17 Disember 2010, mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan Sultan Selangor bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan.

Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab. Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan.

Pakatan Rakyat Selangor katanya, kesal dengan perkembangan mutakhir ini dan merasakan ia adalah tindakan yang didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik mereka.

"Isu Dato’ Khusrin Munawi ini timbul sejurus sebelum Umno mengumumkan Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai Ketua Perhubungan UMNO Selangor," jelas beliau.

Justeru itu katanya, Pakatan Rakyat Selangor memohon rakyat Selangor bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan provokasi yang tidak akan membantu dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Pentadbiran ini menggalakkan persatuan dan pertubuhan masyarakat mengadakan solat hajat di seluruh negeri bagi memberi kekuatan dan kebijaksanaan kepada Sultan Selangor dan pemimpin Negeri dalam menangani salah faham ini (miscommunication)."

"Begitu juga kepada masyarakat bukan Islam digalakkan menjalankan upacara keagamaan menurut kepercayaan masing-masing," katanya.

MP Teo: Saya akan terus layan jemputan masjid, tak kisah Utusan serang

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching akan meneruskan pendekatannya menyertai aktiviti anjuran umat Islam meskipun akhbar Utusan Malaysia milik Umno terus-menerus menyerangnya termasuk yang terbaru kerana mengambil bahagian dalam senamrobik di pekarangan sebuah masjid di Balakong.

Meskipun mengakui tindakan menyertai aktiviti itu di Masjid Taman Cheras kemungkinan menjejaskan sokongan undi orang Melayu, Teo berkata, beliau akan terus menyertai aktiviti seumpama itu dalam usaha merapatkan hubungan dengan para pengundinya.

Hari ini Utusan Malaysia menyiarkan berita muka depan bertajuk “Ahli Parlimen Serdang buat hal lagi?”.

Ogos lalu akhbar itu menyiarkan laporan mempersoalkan Teo masuk ruang solat Surau Al-Huda Kajang Sentral tanpa menutup aurat.

Beliau juga dituduh menyampaikan takzirah ketika kunjungan ketika itu.

Kini ia mendakwa Teo berada di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid tersebut.

Menurut Teo dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching, acara tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

“Apabila saya mendapat jemputan daripada masjid, saya akan pergi,” kata Teo kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Jika mereka (Utusan Malaysia) terus menyerang saya tanpa asas, saya tidak akan putus asa. Ia majlis komuniti yang kecil. Ini peluang untuk merapatkan hubungan dengan pengundi-pengundi saya,” kata beliau.

Bagaimanapun pengerusi jawatankuasa surau Azemi Ahmad berkata, Teo hanya bercakap mengenai skim pinjaman pendidikan Selangor ketika mengunjungi surau tersebut.

Hari ini Teo berkata, beliau dijemput oleh Masjid Taman Cheras Jaya untuk mengambil bahagian dalam senamrobik.

“Jika mereka merasakan okey bagi bukan Islam untuk hadir, mengapa mesti saya tutup pintu,” soal Teo lagi.

“Ia majlis dianjurkan oleh (pengurusan masjid), di pekarangan masjid,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Sehubungan itu kata Teo, beliau percaya tindakan Utusan Malaysia sedemikian akan menyebabkan jumlah pembacanya akan terus jatuh ekoran laporan-laporan yang tidak berasas dan bias.

“Kami mungkin hilang beberapa undi. Tetapi, saya percaya dalam jangka panjang, Utusan Malaysia akan hilang kredibiliti,” kata Teo.

“Ia akhbar bias yang sentiasa menyiarkan isu-isu perkauman dan agama,” katanya.

Teo yang baru-baru ini dipilih sebagai ahli jawatankuasa DAP Selangor juga memberitahu, ramai kalangan orang Melayu menyokong beliau ketika menjadi sasaran serangan berhubung isu lawatan ke surau Ogos lalu.

“Respons daripada orang ramai sangat bagus. Mereka menyambut saya dengan baik, saya merasakan saya melakukan yang terbaik,” katanya.

Kit Siang: Lantikan SUK langgar semangat perlembagaan Selangor



KUALA LUMPUR — Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebenarnya telah melanggar semangat perlembagaan Selangor, dakwa Lim Kit Siang hari ini.

Penasihat DAP menyangkal hujah pegawai Istana Selangor bahawa tiada peruntukan yang mengatakan persetujuan Menteri Besar mesti diperlukan apabila pelantikan seumpama itu dibuat.

Justeru kata Lim (gambar), hujah-hujah sedemikian “sangat lemah dan tidak boleh diterima.”

Dari segi tafsiran literal, kata beliau, Putrajaya tidak harus melibatkan Sultan dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri memandangkan tidak ada peruntukan dalam perlembagaan negeri yang mengatakan Sultan mesti dipersembahkan mengenai pelantikan ataupun sebarang perkenan diraja diperlukan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, meskipun tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor mengenai peranan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan sewajarnya perlu “amat berhati-hati” dalam melantik “pegawai yang sangat tidak popular” untuk berkhidmat sebagai pegawai tertinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

“Ketua Setiausaha Negara yang diberikan tanggungjawab perlembagaan untuk membuat pelantikan ini, seharusnya memikirkan bahawa perikatan yang berbeza memerintah kerajaan negeri persekutuan dan Selangor dan (oleh itu) penting untuk memastikan penyandang jawatan boleh bekerja sebagai penghubung ataupun sekurang-kurangnya tidak dilihat sebagai mudarat kepada kepentingan kerajaan negeri Selangor dan begitulah sebaliknya kepada kerajaan persekutuan,” kata Lim dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, konvensyen perlembagaan agar diadakan perundingan dengan Menteri Besar berhubung soal pelantikan seharusnya diberi perhatian dengan mengambil kira hubungan persekutuan-kerajaan negeri yang sihat boleh terjejas dengan siri perkembangan seperti ini.

“Artikel 55 Perlembagaan Negeri Selangor mengenai Sultan bertindak atas nasihat menyediakan peruntukan bahawa Sultan seharusnya bertindak atas nasihat Majlis Eksekutif Negeri kecuali dalam keadaan-keadaan spesifik - dan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri bukan salah satu kes yang terkecuali di mana Sultan boleh bertindak berdasarkan budi bicara baginda.

“Sidek seharusnya membetulkan pelanggaran semangat ini,” kata beliau sambil menambah, Ketua Setiausaha Negara sewajarnya mengadakan perundingan bermakna dengan Menteri Besar dalam soal pelantikan ini dan mengelakkan krisis perlembagaan.

Semalam, kerajaan negeri Selangor menyangkal dakwaan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani bahawa ia lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, berkata tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh masa tertentu.

Beliau berkata kerajaan negeri mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut pada 27 November lepas dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan.

Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan,” kata Faekah dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Munir dilaporkan berkata Menteri Besar lewat menghantar senarai nama tiga calon yang disenarai pendek bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pelantikan Khusrin, yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

MB Kedah: Pulau Tuba dibangun sebagai pusat ilmu

BERNAMA


LANGKAWI — Kerajaan Kedah bercadang membangunkan Pulau Tuba di sini, sebagai pulau ilmu yang dapat memberi manfaat kepada golongan muda.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata sehubungan itu sebuah sekolah tahfiz dan sains akan dibina di pulau tersebut.

Jabatan Agama Islam negeri dan Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama Kedah akan menyediakan kertas kerja yang akan dibentang kepada kerajaan negeri, katanya pada sidang media selepas lawatanya di sini semalam.

Azizan berkata sebuah pertubuhan telah bersetuju untuk mewakafkan sebidang tanah seluas 1.6 hektar bagi pembinaan sekolah itu.

Pembinaan sekolah ini juga adalah bagi memenuhi permintaan penduduk setempat, katanya.

Selain itu, Azizan berkata kerajaan negeri juga bercadang menaik taraf jeti di pulau tersebut selain menyediakan kemudahan chalet apabila sekolah berkenaan siap.

Selasa, 28 Disember 2010

Singapura lebih banyak manafaat melalui BN

Subky Latif

APA yang tersirat di sebalik ingatan Menteri Perdagangan Antarabangsa tentang kewujudan DAP dalam Pakatan Rakyat betapa parti itu asalnya tajaan PAP yang memerintah Singapura?

Adalah benar DAP itu asalnya PAP yang beroperasi di Semenanjung Malaysia semasa Singapura adalah satu wilayah Malaysia. Apakah PAP ada di semua wilayah Malaysia ketika itu tidak berbangkit sangat tetapi yang jelas Lee Kuan Yewlah Setiausaha Agung PAP baik di mana-mana saja.

Tetapi selepas terpisah Singapura dari Malaysia tahun 1965, PAP telah menjadi DAP. Sudah 35 tahun ia tegak sendiri. Sekali pun ia ada sejak mula dengan Singapura, tetapi usaha menakutkan orang Malaysia dengan pengaruh dan ancaman PAP Singapura sudah jadi lali dan tidak menakjubkan lagi.

Sama dengan ancaman komunis. Tidak siapa takut lagi dengan komunis. Bahkan Umno yang 100 peratus anti komunis ketika ISA digubal tahun 1960 dulu mengudang parti komunis dari banyak negara sebagai tetamu Perhimpunan Agung Umno sejak beberapa tahun lampau.

Maka apa takjubnya memperingatkan tentang DAP tajaan Singapura dulu menjadi kerabat penting dalam Pakatan Rakyat?

Saya tidak nampak apa takjubnya selain hendak menakutkan pengundi Melayu tentang bayang-bayang Lee KuanYew.

Saya tidak bercadang untuk mengatakan apa eloknya DAP dan apa hikmatnya berkawan dengan DAP. Tetapi jika sekadar hendak menakutkan pengundi Melayu tentang Pakatan Rakyat, ia adalah tahun 60an dan70an. Modal itu telah tenggelam mengikut sejarah.

Kalau hendak mengingatkan ia ancaman dari kaum Cina yang berpusat di Singapura, apakah meningatkan tentang Cina itu tidak mengetuk pintu hati rakyat Malaysia berketurunan Cina?

Mungkin tujuannya untuk menggerunkan orang tentang Lee Kuan Yew. Tetapi ia boleh terbalik menjadikannya sebagai dewa dan ikon pula. Lee itu politiknya bersih. Tidak rasuah, anti penyelewengan, anti jenayah, seorang puritan iaitu tidak kaki betina, tidak merokok dan tidak alkoholik. Kalau Islam tahapnya takwa yang tinggi.

Dia menjadi Cina yang dulunya suka berjudi, mengisap candu dan berbagai kepincangan lagi kepada Cina Singapura sebagai Cina contoh di dunia. Dari sebuah Singapura yang kacau bilau dijadikannya Singapura yang berjaya maju, negara dinamik dan pusat kewangan dan dagangan terpenting di Asia Tenggara.

Mana Cina Malaysia yang tidak tertarik dengan pimpinan Cina yang seperti ini? Kalau ada orang Melayu cuba hendak menakutkan rakyat dengan bayang Lee Kuan Yew itu, saya bimbang ia akan bertambah pujaan Cina kepadanya. Bertambah tinggi ingin Cina berpemimpinkan Lee Kuan Yew dan orang-orang dipercayai Lee Kuan Yew.

Jika kita ingatkan orang bahawa DAP itu parti yang dipasang oleh Lee Kuan Yew, apakah ia tidak mendorongkan Cina lebih tertarik kepada DAP kerana DAP mengembang politik dan cara kepimpinan Lee KuanYew. Mana orang Cina Malaysia tidak mahu Malaysia ditadbir seperti Singapura?

Saya percaya ingatan Anggota Parlimen dari Jeli boleh menyebabkan lebih ramai pengundi Cina meninggalkan Barisan Nasional kerana pemimpin Cina dalam BN tak ada sedikit pun imbasan Kuan Yew. Tetapi dalam Pakatan ada DAP yang dikatakan berikonkan Lee Kuan Yew.

Lee dan Singapura lebih berminatkan apa yang mereka boleh dapat dari Malaysia dari menjaga politik DAP dan Lim Kit Siang. Sekalipun ada sayangnya pada Kit Siang dan DAP, tetapi dia tahu kerajaan Malaysia di bawah Umno menyekat apa saja yang boleh menyenangkan DAP dan Kit Siang.

Lee tahu dia tidak boleh lagi menguasai Malaysia seperti yang dibayangkannya ketika menyertai Malaysia dulu. Cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia hancur. Dan peluang DAP untuk berkuasa tidak semudah yang disangka. Setelah 35 tahun wujud baru dapat berkuasa di Pulau Pinang.

Ketika DAP mendapat kejayaan bersama Pakatan Rakyat tahun 2008, Lim Kit Siang sudah tua. Lee lagilah lebih tua. Untuk melihat DAP berkuasa di Malaysia, Lee Kuan Yew dan Lim Kit Siang mati dulu.

Maka tidak banyak yang Lee boleh dapat dari memberi perhatian dan sokongan padu kepada DAP. Bahkan ia boleh mengurangkan peluang melabor dan melagang pembangunan Malaysia.

Yang utama bagi Lew Kuan Yew ia mendapat sebanyak harta dan kekayaan dari bumi Malaysia. Penguasaan ekonomi adalah lebih menguntungkan Singapura dan penduduk Cina dari menjaga kepentingan politik DAP dan Kit Siang.

Untuk menguasai Malaysia dan politiknya Lee tidak perlu datang melalui DAP tetapi ia sudah dapat banyak dari pelaburannya. Berapa banyak dia dapat dari pembangunan Iskandar Johor? Berapa banyak modalnya di Langkawi?

Lebih senang dia masuk Malaysia melalui Khairy Jamaluddin, Muhyidin Yassin dan orang-orang yang disenangi Najib dan Rosmah.

Apabila WikiLeaks menyebarkan petikan kata Lee Kuan Yew tentang Anwar Ibrahim, maka ia bukan sekadar menyusahkan Anwar dan Pakatan Rakyat. Ia menyusahkan DAP sekali dan pengundi DAP yang menyokong Anwar. Tidak benar Lee ke Malaysia melalui DAP saja. Selama ini ia dapat banyak dari kerajaan BN yang pantang melihat duit.

Bekas pelajar bantah kemasukan pelajar perempuan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah (SMKAF), Kelantan, membantah kemasukan pelajar perempuan ke sekolah itu pada sesi persekolahan tahun hadapan.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily, pihak yang menamakan diri mereka sebagai Badan Bertindak Bekas Pelajar (Bantah) mendakwa, keputusan pengurusan pihak sekolah tersebut adalah tidak relevan, sekaligus memecah tradisi dan jati diri sekolah itu yang sebelum ini hanya untuk pelajar lelaki sahaja.

Falahiah adalah sebuah sekolah ditubuhkan sejak tahun 1939 dan dikenali sebagai SMKA bermula tahun 1978.

Ianya sebuah sekolah harian berasrama di Kelantan yang terkenal dengan tradisi kecemerlangannya sebagai sekolah khusus pelajar lelaki di negeri itu.

Difahamkan, keputusan sekolah memasukkan pelajar perempuan ke sekolah itu disebabkan prestasi akademik pelajar yang didakwa jatuh teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun bagi Bantah, mereka menolak alasan itu dan menganggap ianya satu alasan yang melucukan kerana cuba menjadikan pendidikan sebagai 'tikus putih' tanpa kajian terperinci.

"Pihak pengurusan juga seolah-olah lupa dan tidak melihat sejarah SMKA Falahiah. Di mana kecemerlangan sebelum ini tidak pernah pun dikaitkan dengan kehadiran pelajar perempuan.

"Pada kami, kejatuhan akademik adalah daripada berpunca daripada masalah pengurusan sekolah kali ini yang tidak efektif berbanding pengurusan sebelum ini dan disiplin pelajar di sekolah," kata mereka.

Dalam kenyataan yang turut disiar pada laman Facebook Falahians Bantah, mereka mendakwa keputusan itu juga dibuat secara tergesa-gesa tanpa mendapat pandangan dari semua pihak dan tanpa persediaan kajian yang terperinci.

Ianya termasuk mengenepikan perbincangan dengan pihak Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga tidak mendapat sokongan dari kebanyakan tenaga pengajar di sekolah itu.

"Pihak PIBG juga tidak diajak berunding terlebih dahulu sebelum keputusan ini dikeluarkan. Hanya sekadar makluman sahaja.

"Di saat Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan kerjasama erat antara pihak sekolah dan PIBG, tampaknya pihak pengurusan sekolah hari ini dilihat terlalu bersikap individualistik sehingga mengabaikan konsep bekerja secara kolektif," kenyataan itu dipetik.

Difahamkan, kebanyakan guru tidak sependapat dalam hal ini namun hanya melahirkan protes secara diam.

Ini kerana pandangan mereka didakwa telah dikesampingkan dalam beberpa isu sebelum ini.

"Pandangan para guru amat penting untuk dihargai kerana golongan mereka lebih akrab dengan pelajar dan lebih memahami keadaan pelajar khususnya guru-guru yang telah lama berkhidmat di SMKA Falahiah," kata kenyataan itu lagi.

Menurut mereka, keputusan itu juga dibuat ketika ketiadaan beberapa individu utama pengurusan sekolah, dan kini apa yang menjadi tanda tanya adalah berhubung agenda sebenar individu di sebalik keputusan itu.

"Maklumat yang diperolehi juga menujukkan permintaan ini adalah datang dari pihak pengurusan sekolah bukannya Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan," kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, turut dipertikaikan adalah kesediaan infrastruktur sekolah untuk menerima kemasukan pelajar perempuan ke sekolah itu termasuk padang permainan, kemampuan masjid menampung pelajar dan guru dan dewan makan.

Namun apa yang lebih dibimbangi, adalah masalah sosial yang akan berlaku di kalangan pelajar apabila keputusan ini dilaksanakan kelak.

Harakahdaily turut difahamkan, beberapa kain rentang membantah keputusan sekolah itu juga telah dinaikkan di beberapa tempat tumpuan di sekitar sekolah namun ianya telah dibuang oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun pihak Bantah mendakwa akan terus memperhebatkan bantahan mereka melalui kenyataan kepada media, internet, Facebook dan pengedaran risalah.

Pihak pentadbiran sekolah ketika dihubungi pula mendakwa segala tindakan dan fakta bantahan yang dikemukan kumpulan bekas pelajar itu hanya fitnah.

Bagaimanapun, mereka mengakui akan berlaku kemasukan sekurang-kurangnya 100 pelajar perempuan tingkatan satu dan empat pada sesi persekolahan Januari nanti.

Pengakuan Isa, hanya mahu tutup rekod rasuah

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Pengakuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bahawa beliau tidak mempunyai sebarang impian peribadi dengan perlantikannya sebagai Pengerusi Felda yang baru, menimbulkan persoalan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika diminta mengulas perkara itu berkata, Mohd Isa tidak sepatutnya mengeluarkan pengakuan sebegitu, sebaliknya perlu tampil dengan kenyataan yang lebih berwibawa.

"Pada hal pengakuan seperti itu bukanlah sesuatu yang penting kepada orang lain, melainkan bagi orang sepertinya yang sudah terpalit dengan rasuah sehingga pernah dikenakan tindakan berat oleh partinya sendiri," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, pelantikan Mohd Isa yang berkuatkuasa 1 Januari tahun hadapan dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuannya memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif.

Mohd Isa, 61, menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda.

Mohd Isa pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail.

Beliau telah dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun selepas disabitkan bersalah atas 5 daripada 9 pertuduhan.

Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Perbuatan rasuah itu telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap setiausaha politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan September tahun 2004.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Dr Dzulkefly berkata, dengan rekod buruk Mohd Isa yang sebegitu rupa, beliau bukanlah orang yang selayaknya dilantik oleh kerajaan untuk mengetuai Felda.

Perlantikan Mohd Isa itu, katanya, diyakini akan lebih memburukkan lagi masalah rasuah di kalangan para pemimpin Umno BN yang kini sedang bermaharajela.

"Orang yang sepatutnya dilantik menjadi Pengerusi Felda adalah orang yang mempunyai idea besar, wawasan yang jauh untuk memperkembangkan lagi badan itu, di samping mempunyai rekod bersih. Tetapi jika diberikan kepada orang yang mempunyai rekod buruk, bolehkah beliau membuktikan pengakuannya itu?" soalnya.

Sedangkan katanya lagi, orang yang mempunyai rekod bersih seperti CEO Sime Darby, Tan Sri Ahmad Zubir yang tidak disangka-sangka boleh terlibat dengan lambaian rasuah pun turut diheret ke mahkamah kerana terbabit dengan rasuah berjumlah RM388 juta, apatah lagi orang seperti Mohd Isa yang telah terbukti mempunyai rekod buruk seperti itu.

"Dalam dunia pengurusan kewangan, orang seperti Mohd Isa sebenarnya sudah tiada tempatnya lagi. Jadi, perlantikan beliau tentunya menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada orang ramai," katanya.