HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mac 2012

Hotel sedia serah rakaman CCTV

MALAYSIA CHRONICLE


KUANTAN - Pihak pengurusan hotel di Pantai Balok di sini, yang menjadi lokasi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron (gambar kecil) ditangkap atas dakwaan berkhalwat dengan isteri orang pada Sabtu lalu, bersedia untuk menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kes berkenaan kepada pihak berkuasa.

Menurut jurucakap hotel tersebut, pihaknya tidak mempunyai masalah memberi kerjasama kepada pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan polis sekiranya diminta berbuat demikian untuk membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi Sabtu lalu itu.

"Tiada masalah untuk menyerahkan rakaman CCTV tetapi ia perlu mengikut prosedur yang akan ditetapkan oleh pihak hotel ini.

"Sebelum ini pun, apabila berlaku kes jenayah kecurian, pihak kami akan memberi rakaman CCTV tersebut kepada polis bagi membantu siasatan.

"Tambahan pula apabila dikatakan ada kejadian membelasah pelanggan yang mencalar imej hotel ini, kita sedia bekerjasama kalau polis mahu menyiasat," kata jurucakap itu lagi ketika dihubungi semalam.-Kosmo

Phahrolrazi: ‘Hubungan saya dengan MB Kedah kritikal’

TERKINI


KUALA LUMPUR - Datuk Phahrolrazi Nawawi menegaskan beliau sendiri membuat keputusan untuk tidak menyambung tugasnya sebagai exco kerajaan negeri Kedah menambah hubungan dengan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sudah mencapai tahap kritikal.

Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah berkata, beliau enggan dilantik semula sebagai exco kerana mempunyai perbezaan pendapat dengan Menteri Besar itu berhubung soal pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau menambah tindakan untuk tidak menyambung tugas itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak seperti yang dikaitkan sebelum ini iaitu Anwarism atau Erdogan untuk mendesak Azizan melepaskan jawatannya dalam kerajaan.

"Hal berkaitan khilaf atau berbeza pendapat tidak boleh dielak dalam mana-mana kepimpinan organisasi. Kadangkala dalam 10 perkara mungkin empat lima perkara tidak sependapat, tidak apa lagi tetapi kalau enam tujuh perkara tidak sependapat tidak wajarlah kita duduk dalam organisasi ini.

"Kenapa sekarang? Saya melihat tahun pertama PAS Kedah mula mentadbir parti masih terumbang-ambing lagipun tentulah tidak banyak keputusan kita buat, tetapi sekarang banyak perkara dan keputusan dibuat," katanya.

Semalam lapan anggota exco kerajaan negeri mengangkat sumpah jawatan di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Phahrolrazi antara dua exco sedia ada yang tidak termasuk dalam senarai mengangkat sumpah termasuk Datuk Dr Ismail Salleh.

Menurut akhbar rasmi Umno itu, Phahrolrazi mengakui sudah lama 'tidak sebulu' dengan Azizan berkata, ia melibatkan hal berkaitan pentadbiran kerajaan negeri yang meliputi isu kecekapan dan dalam perkara membuat sesuatu keputusan.

Menyentuh kemungkinan beliau akan menerima semula tawaran sekiranya dilantik sebagai exco, Phahrolrazi memberitahu, beliau sedia berbuat demikian, namun dengan beberapa syarat.

"Saya tidak boleh dedahkan syarat itu, biar ia jadi rahsia dulu," katanya.

Phahrolrazi juga mengakui bahawa Dr Ismail sependapat dengan beliau dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.

"Selepas empat tahun mentadbir kita boleh menilai keberkesanan kerajaan negeri, jadi saya memilih untuk tidak lagi bersama barisan kepimpinan negeri," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beliau bercita-cita mahu menjadi menteri besar, Phahrolrazi berkata, perkara tersebut tidak benar kerana beliau sepatutnya perlu terus berada dalam kerajaan negeri jika mahu memegang jawatan itu.

PAS: Hanya Muslim akan pegang jawatan tertinggi parti




Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib
KUALA LUMPUR — PAS menegaskan hanya akan melantik mereka yang beragama Islam bagi memegang jawatan tertinggi dalam parti Islam berkenaan dan cadangan pelantikan bukan Islam mengisi jawatan tertinggi parti berkenaan mustahil untuk dilakukan.

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib dipetik Sinar Online berkata pelantikan bukan Islam bagi mengisi jawatan tertinggi dalam parti memerlukan pindaan perlembagaan dan persetujuan sepenuhnya daripada muktamar.

“Jika Dr Dzulkefly Ahmad mengesyorkan untuk membuka pintu membolehkan bukan Islam dilantik ke jawatan timbalan presiden, saya rasa itu hanya pandangan peribadinya dan tiada kaitan dengan dasar parti. Ia bukan keputusan PAS.

“PAS tidak pernah berbincang mengenainya. Ia bukan perkara mudah kerana memerlukan suara majoriti dan mereka perlu bersetuju serta menerima keputusan untuk membuka jawatan itu kepada bukan Islam,” katanya.

Menurut beliau, individu bukan Muslim harus memeluk Islam dan menjadi ahli PAS sebelum diberi jawatan berkenaan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menjelaskan kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu hanya sekadar teori dan sukar dilaksanakan pada masa sekarang.

“Saya kira PAS patut kekalkan sahaja apa yang ada sekarang,” katanya.

Kekangan perlembagaan jelasnya menjadi halangan bagi melaksanakan syor berkenaan, tetapi tidak boleh meramalkan apa yang boleh berlaku pada masa hadapan.

“Kalau tanya saya sekarang, ia tidak boleh. Jika bukan Islam berminat dengan PAS, mereka disyorkan menganggotai Dewan Himpunan Penyokong PAS, tetapi tetap tidak boleh memegang jawatan timbalan presiden,” katanya.

Dr Dzulkefly dalam wacana Sinar Harian bertajuk ‘'Mengapa Undi Melayu Pecah?’' kelmarin menyatakan PAS bersedia menerima timbalan naib presiden PAS daripada kalangan bukan Islam sekiranya keadaan memerlukan.

MP Sabak Bernam dan pembantu dihukum enam tahun penjara dan denda RM400,000

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR— Ahli parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya Rosli Busro hari ini dijatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM400,000 seorang kerana membuat lapan tuntutan palsu.

Hukuman dijatuhkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini oleh Hakim Azhaniz Teh Azman setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwa.

Abdul Rahman, 47, dari Umno dituduh membuat tuntutan palsu dengan nilai RM10,000 setiap satu yang berjumlah RM80,000 daripada peruntukan kawasannya berhubung majlis yang tidak pernah dijalankan.

Dia dituduh membuat tuntutan itu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi ADUN Sungai Ayer Tawar.

Sementara itu, pembantunya, turut didakwa bersubahat dalam membuat tuntutan palsu berkenaan turut didapati bersalah.

Abdul Rahman didakwa di bawah seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan.

Walaupun telah didapati bersalah, tidak akan berlaku pilihan raya kecil bagi kerusi yang didudukinya kerana Abdul Rahman telah berkhidmat lebih dari tempoh dua per tiga di kawasan berkenaan.

Polis tak siasat jika Badrulamin tak lapor

MALAYSIA KINI

Polis tidak akan membuat sebarang siasatan berhubung dakwaan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Badrulamin Bahron yang beliau dipukul kira-kira 20 orang ketika ditangkap atas dakwaan berkhalwat baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata sebarang siasatan hanya dilakukan jika pengadu membuat laporan polis.

"Namun jika beliau (Badrulamin) tidak mahu membuat laporan polis, itu terpulang kepadanya," katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata pihak polis hanya menerima laporan daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berhubung tangkapan khalwat pemimpin PKR itu.

Pihak polis menerima laporan tangkapan khalwat terhadap individu terbabit yang dibuat Jaip pada 25 Februari lepas, di Balai Polis Beserah di Kuantan pada pukul 10.28 pagi.

Sementara itu, pihak pengurusan hotel yang diserbu Jaip berhubung kes khalwat pemimpin terbabit bersedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa jika ia dapat membantu siasatan kes itu.

Menurut jurucakap hotel berkenaan, pihaknya tidak mempunyai masalah jika pihak berkuasa ingin mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Rakaman CCTV memang boleh diberikan tetapi perlulah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak hotel," katanya. Bernama

Polis cari imam baling kasut

Ketua polis daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata, polis masih perlu mendapatkan kenyataan daripada seorang imam, Hoslan Hussin, berhubung siasatan ke atas kes membaling kasut ke arah hakim Mahkamah Persekutuan minggu lalu.

Katanya, polis cuba menghubungi Hoslan (foto) melalui telefon dan turut mengunjungi rumah imam berkenaan hari ini namun belum tidak berjaya mengesan lelaki tersebut.

NONE"Kita masih berusaha cari dia. Kita pergi ke rumah dia, dia tak ada di rumah. Bila kita telefon, dia letak bila dia tahu polis yang telefon," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Polis setakat ini telah mendapatkan keterangan jurubahasa dan juga anggota polis yang bertugas di mahkamah ketika kejadian itu berlaku, katanya.

Tambahnya, polis juga telah mendapatkan rakaman video litar tertutup (CCTV) mahkamah ketika insiden tersebut berlaku.

"Kita akan semak sama ada (rakaman itu) akan dapat membantu atau tidak," katanya lagi.

Selain itu, polis juga perlu mendapatkan kenyataan peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang turut hadir dalam sesi mahkamah ketika insiden itu berlaku pada 21 Februari lalu, katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas itu, peguam berkenaan Zulkifli Che Yong mengesahkan bahawa polis telah menghubunginya dan beliau akan memberikan kenyataan berhubung kes tersebut.

Polis menyiasat kes membaling kasut itu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan untuk menghalang tugas penjawat awam.

Peniaga pindah jika loji Lynas mula operasi

Walaupun loji memproses nadir bumi - The Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) - di Gebeng Kuantan, masih dalam pembinaan dan operasinya belum bermula, bantahan keras rakyat umum di sekitar Kuantan terhadap projek itu makin kuat.

Kebanyakan peniaga yang ditemui Malaysiakini - sebelum Himpunan Hijau 2.0 berlangsung - mengakui dan mengetahui loji berkenaan melalui laporan media atau perbualan dengan rakan-rakan mengenai projek bernilai RM700 juta itu.

Rata-rata yang ditemubual di bandar Kuantan - yang terletak 35 kilometer dari tapak loji tersebut - tidak menolak kemungkinan untuk berpindah sekiranya loji itu mula beroperasi atau jika terdedah dengan bahan radioaktif.

Mereka memutus demikian ekoran bimbang dengan tahap keselamatan dan bakal berdepan risiko jangka masa panjang jika kebocoran sisa radioaktif berlaku sekaligus mempersoalkan mengapa loji berkenaan tidak di negara asalnya - Australia.

Memutuskan akan berpindah ke kawasan yang lebih selamat jika terdedah dengan kesan radioaktif, seorang penjaja kecil-kecilan Baharudin Salleh, 45, mengakui hal demikian akan menjejaskan mata pencariannya.

"Kemungkinan kalau terdedah, ia merbahaya kepada orang ramai. Menjejaskan perniagaan (kami)... Kalau terdedah radioaktif, apa akan jadi kepada (rakyat) Malaysia," kata Baharudin Salleh - yang menjual jeruk buah-buahan dan air kelapa - di Dataran Kuantan.

"Kita tidak mahu benda itu, jangan berlaku seperti di negara luar," katanya sambil memberi contoh kebocoran radioaktif yang berlaku di Fukushima, Jepun akibat tsunami tahun lalu.

Turut menyertai temubual itu dua lagi penjaja kecil yang berdekatan - Suzunis Sukhilee, 31. dan Rohmah Deraman, 45. Suzunis menjual makanan seperti burger, manakala Rohmah menjual pelbagai aneka asam.

Suzunis turut berkongsi kebimbangan Baharudin apabila turut mempersoalkan tahap keselamatan diri dan keluarganya jika terdedah dengan bahan radioaktif.

"Mengapa nak membahayakan rakyat Malaysia. Kalau tahu bahan itu bahaya, tak fikirkah sebelum ini," katanya yang menetap di Kuantan sejak 11 tahun lalu.

Baharudin - yang menetap di Kuantan sejak lahir - dan Suzunis turut berasa pelik dan mempersoal mengapa sisa berkenaan tidak di proses di Australia, sekiranya ia tidak memberi kemudaratan kepada rakyat di negara itu.

Sehubungan itu, Suzunis berpendapat memandangkan projek itu akan dijalankan, dia berharap kerajaan perlu memberikan maklumat lengkap dan tepat mengenai tahap keselamatan loji berkenaan, untuk kebaikan rakyat yang tinggal di Kuantan.

"Jika berlaku kebocoran, minta umum awal... Buat masa ni, okay lagi," katanya tidak menolak kemungkinan akan berpindah sekiranya terdedah dengan sisa radioaktif.

Rohmah pula mengambil sikap yang berbeza dengan dua rakannya itu. Dia tidak mempunyai masalah dengan terbinanya loji yang diluluskan oleh kerajaan itu.

"Saya tidak ada masalah... Rasanya selamat. Kerajaan Pahang beri jaminan ianya selamat," katanya ketika ditemui.

Katanya, dia mendapat maklumat berhubung tahap keselamatan loji dari rakan-rakannya yang menyertai lawatan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Pahang) ke loji berkenaan, yang menyatakan bahawa ianya selamat.

Rohmah - seperti rakannya yang lain - bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan berpindah sekiranya timbul masalah.

Temubual Malaysiakini di kawasan premis perniagaan pula mendapati, rata-rata peniaga mengambil sikap yang sama - untuk berpindah - seperti ketiga-tiga penjaja tadi.

Pengusaha restoran Nor Azlina Ahmad Suid, yang menetap di Kuantan sejak 1997 dan penjual aksesori motosikal yang mahu dikenali Nicole, 26, akan mengambil keputusan berpindah jika loji tersebut mula beroperasi.

Kedua-dua responden ini bukan sahaja tidak bersetuju dengan loji ini, malah mempersoalkan kewajaran pembinaannya khususnya Nor Azlina yang "tidak menyokong" kerajaan jika projek itu didakwanya merbahaya.

"Kalau betul projek ini bahaya, kerajaan sokong, saya tidak setujulah. Maka tak sokonglah (kerajaan)," katanya menjawab soalan Malaysiakini..

Bagaimanapun, hasil temubual juga mendapati terdapat sesetengah peniaga tidak akan berpindah disebabkan tiada pilihan serta memerlukan modal yang besar untuk berbuat demikian.

"Kita dah tak ada pilihan, ini saja. Macam suami saya pun bekerja dekat kawasan sini, jadi kita dah tak ada pilihan," kata Suzliana Mohd Ghazali, 33, ketika ditemui Malaysiakini.

"Hendak minta tukar (kerja) bukan boleh sebab rumah pun dah masing-masing beli, bukan sewa. Kecualilah kalau sewa, bolehlah pindah (dan) kita sudah beli rumah," katanya, yang tinggal di Batu Hitam - lebih kurang 10km dari Gebeng.

Manakala seorang peniaga warung, Asrul Zamani, 36, tidak mempunyai pilihan selain terus menetap di situ. Dia juga memerlukan modal besar jika membuka perniagaan lain di tempat yang baru.

"Hendak buka perniagaan lain, kena modal besar. RM10,000 tak cukup. Sekurang-kurangnya RM50,000. Macam mana nak cari, kita pun peniaga kecil bukan tauke besar.

"Nak tak nak, kita kena duduk di sini jugak. Nak buat macam mana," katanya sambil menggesa semua pihak termasuk kerajaan menyelesaikan kebimbangan rakyat berhubung projek berkenaan.

Pro-M bantah UM perkenal sistem zon p'raya kampus


Abdul Rahim Sabri

Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM) membantah tindakan pentadbiran universiti memperkenalkan sistem zon bagi kerusi umum dalam pilihan raya kampus yang dijangka berlangsung akhir Mac depan.

Mereka mendakwa peraturan baru yang diumumkan kelmarin, bertujuan untuk "memecah dan mengurangkan" dominasi pelajar khususnya mahasiswa Akademi Pengajian Islam (API), walaupun mereka berpendapat semua mahasiswa dari fakulti boleh bertanding kerusi itu.

NONE"Kita bantah dan tidak bersetuju dengan sistem zon yang diperkenalkan. (Pentadbiran universiti) nak mengecil dan hadkan supaya tidak ada penguasaan Pro-Mahasiswa (bagi kerusi itu)," kata Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM, Mohd Syahid Mohd Zaini (kanan).

Lebih-lebih lagi, dakwa Mohd Syahid, berdasarkan rekod, kerusi umum memang sukar dikuasai pihak lawan khususnya Penggerak Mahasiswa (pro-Aspirasi).

Sehubungan itu, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat sebagai asas bantahan terhadap peraturan itu sebelum bertemu dengan Naib Canselor Profesor Datuk Ghauth Jasmon awal minggu hadapan.

"Kita akan berbincang terus dengan naib canselor berhubung perkara ini," katanya sambil mengakui mempunyai "masalah" dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof Rohana Yusof.

Berbeza dengan tahun lalu, pilihan raya kampus tahun ini menyaksikan perubahan dari sudut kerusi umum di mana ia dibahagikan kepada lima zon. Empat zon untuk pengundi ijazah sarjana muda dan satu zon lagi untuk pelajar sarjana yang memperuntukkan satu kerusi.

Mahasiswa boleh memilih seorang atau dua calon umum bagi setiap zon yang diwakili fakulti tertentu seperti yang ditetapkan. Bagi kerusi fakulti pula, peraturannya dikekalkan dan sebanyak 32 kerusi akan dipertandingkan.

'Kecilkan penguasaan mahasiswa API'

Dalam pilihan raya lalu, semua mahasiswa kampus itu boleh mengundi bagi memilih sembilan kerusi umum yang dipertandingkan. Pro-M menyapu bersih sembilan kerusi tersebut dan menang 16 kerusi fakulti.

Mohd Syahid - yang juga pelajar tahun akhir API - berkata jika peraturan itu dilaksanakan, mahasiswa API hanya boleh memenangi dua kerusi sahaja bagi zon yang terlibat, berbanding enam kerusi yang dimenangi mereka pada tahun lalu, kerana mahasiswa yang boleh mengundi di zon masing-masing sahaja.

universiti malaya um campus election 200109 pro mKatanya, setakat yang difahaminya, walaupun ramai calon API akan bertanding di zon tersebut, hanya dua calon sahaja yang akan dipilih, dan mereka (mahasiswa API) tidak boleh bertanding di zon lain.

"Calon API tidak dapat menguasai kerusi-kerusi umum yang lain. Ia memecahkan dominasi calon API untuk kerusi itu. Setiap tahun, setiap kali calon API bertanding, memang kita menang. Itu (pecah dominsi itu) yang kita nampak setakat ini.

"Pengundi zon itu, boleh mengundi di zonnya sahaja, tidak boleh mengundi di zon lain... Jadi sokongan (untuk) kami semakin mengecil. Mahasiswa boleh memilih dua calon umum sahaja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehubungan itu, Mohd Syahid mendakwa tindakan pentadbiran universiti memperkenalkan peraturan baru yang diumumkan kelmarin bertujuan untuk memastikan penguasaan mahasiswa API mengecil.

Ditanya sama ada mereka mempunyai tempoh untuk membantah memandangkan ura-ura pilihan raya kampus bakal berlangsung akhir Mac ini, Mohd Syahid berkata pihaknya sedaya upaya membantah perkara ini.

"Kita tidak akan putus ada. Kita akan lawan isu ini," katanya sambil berharap mengekalkan sistem dipraktikkan pilihan raya kampus sebelum ini.

MAS catat kerugian bersih RM2.52 bilion tahun lalu

MSTAR ONLINE

PETALING JAYA: Malaysian Airline System Bhd (MAS) mencatat kerugian bersih RM2.52 bilion hasil daripada RM13.9 bilion perolehan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2011.

Bagi tempoh suku keempat, syarikat penerbangan negara itu merekodkan RM1.28 bilion kerugian bersih, hasil pusing ganti sebanyak RM3.68 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya, berkata kerugian kumpulan bagi 2011 menunjukkan pentingnya syarikat penerbangan itu segera melaksanakan usaha untuk mengekang "kerugian" itu. "Ini termasuk penempatan semula petugas, meningkatkan produktiviti, kecekakapan dan kawalan kos dan membuat kajian selanjutnya.

"Kami juga melaksanakan strategi pemasaran dan jualan agresif," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Ahmad Jauhari berkata, prestasi setahun penuh kumpulan itu terjejas teruk akibat peningkatan 21 peratus perbelanjaan berjumlah RM16.2 bilion, berbanding RM13.41 bilion pada 2010.

Beliau berkata, perbelanjaan tinggi itu disebabkan oleh peningkatan 33 peratus kos bahan api sebanyak RM5.85 bilion dan peningkatan 15 peratus perbelanjaan bukan minyak sebanyak RM10.43 bilion.

Peningkatan perbelanjaan bukan bahan api itu sebahagian besarnya disebabkan peruntukan berjumlah RM1.09 bilion yang dibuat pada suku keempat untuk pelupusan saham, penyerahan semula pesawat dan kekurangan pesawat kargo.

Ahmad Jauhari berkata, akaun bagi tahun dalam kajian memperakui peruntukan dan kos operasi yang semakin meningkat dan walaupun sukar, ia memberikan pendekatan hoslitik organisasi dan pengetahuan penuh kedudukan sebenar syarikat.

Bagi setahun penuh, Malaysia Airlines menyaksikan peningkatan kapasiti (tempat duduk setiap kilometer) sebanyak tujuh peratus, trafik penumpang meningkat lima peratus, namun faktor kerusi yang rendah berkurangan kepada 75 peratus.

Beliau berkata, perolehan dan purata tambang bagi semua kelas menunjukkan peningkatan sepanjang tahun, terutama kabin depan.

Bagaimanapun, katanya, terdapat penurunan keseluruhan faktor kerusi kerana syarikat penerbangan itu berusaha untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik.

"Mengikut asas prestasi serantau, perkhidmatan domestik dan jarak pendek, perkhidmatan sesama ASEAN menjadi pasaran utama syarikat itu, dengan segmen berkenaan melaporkan pertumbuhan positif mengikut sukuan selain mengikut asas setahun setakat ini," katanya.

Sementara itu, bahagian kargo mengalami penurunan, selari dengan penurunan industri berkenaan di dunia.

Perolehan susut 14 peratus, kapasiti susut sembilan peratus manakala hasil pulangan dua peratus.

Ahmad Jauhari juga berkata MASkargo mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM19 juta pada 2011 berbanding keuntungan RM141 juta pada tahun sebelumnya berikutan kos bahan api yang tinggi dan kekurangan barisan pesawat A330. BERNAMA

Tun M Mahu Projek Jambatan Gantung Monorel Putrajaya Diteruskan

MSTAR ONLINE

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kerajaan meneruskan projek Jambatan Gantung Putrajaya yang dihentikan pada 2004.

Beliau berkata projek itu perlu diteruskan kerana pusat pentadbiran Persekutuan tersebut kini berdepan masalah kesesakan lalu lintas, terutama sebelah pagi dan petang pada waktu puncak.

Dr Mahathir berkata 'hanya sedikit sahaja lagi kerja' yang perlu dilakukan bagi menyiapkan projek itu kerana kerangka asasnya, iaitu jambatan gantung dan terowong untuk monorel, telah ada.

"Saya tak rasa kos (menyiapkan monorel dan jambatan gantung) akan menjadi begitu tinggi jika kerajaan sanggup menyediakan sejumlah dana sebagai bantuan, sektor swasta pasti akan tertarik untuk melakukannya.

"Mungkin juga operasi dan penyiapannya boleh diswastakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Rekaan Seni Bina Putrajaya Holdings di sini, Rabu.

Beliau berkata jika sektor swasta terpaksa membina dan mengendalikan projek itu, ia akan menjadi mahal serta tidak menguntungkan.

Mengenai Putrajaya, Dr Mahathir mencadangkan beberapa elemen baru disuntik bagi memastikan pusat pentadbiran itu, terutama Putrajaya Boulevard akan lebih meriah pada waktu malam.

"Pejabat kementerian di Putrajaya Boulevard ditutup pada pukul 5 atau 6 petang dan selepas itu, tempat tersebut mati meskipun amat cantik dengan cahaya lampu.

"Jika anda berhasrat menghidupkan Putrajaya Boulevard, maka anda perlu mempunyai pembangunan komersial," katanya.

Dr Mahathir mencadangkan tingkat bawah pejabat kementerian diubah suai menjadi kedai dan tempat pejalan kaki bagi menarik pengunjung.

"Jadikan ia mudah untuk menjalankan perniagaan dan orang ramai akan membanjiri kawasan itu serta menghidupkan Putrajaya Boulevard," katanya.

Putrajaya, yang diilhamkan Dr Mahathir, menjadi Wilayah Persekutuan ketiga Malaysia selepas Kuala Lumpur dan Labuan pada 2001.

Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Rekaan Seni Bina Putrajaya Holdings.

Sejumlah 96 pelajar dan graduan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil bahagian dalam pertandingan yang bertujuan mempromosi elemen rekaan berasaskan kehijauan dalam perancangan bandar serta menggalakkan kreativiti di bidang rekaan seni bina selain mendapat idea daripada generasi muda dalam mewujudkan kerancakan dalam bandar.

Ahmad Askaree Dzharuddin, pemenang konsep terbaik bagi 'rumah mampu milik alternatif' membawa pulang wang tunai RM7,000 manakala Tengku Inda Syazwi Tengku Zubir dan Anwar Fader memenangi tempat kedua serta ketiga, masing-masing menerima hadiah RM5,000 dan RM3,000. BERNAMA