HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Februari 2015

Sirul persulit komplot pembunuhan Altantuya




Oleh Subky Latif


PEMIKIRAN polis dilihat tak sekata tentang perkembangan baru berhubung dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu berikutan Sirul Azhar Umar, seorang daripada dua yang dijatuhi hukum bunuh membunuhnya melepaskan diri ke Australia.
    
Sirul yang lari itu dikatakan mahu memberi cerita tambahan atas kes itu. Dipercayai boleh melengkapkan rahsia pembunuhan. Semua menyangka kisah pembunuhan itu belum terdedah sepenuhnya sekalipun mahkamah lama membicarakan kes itu.

Apa cerita yang Sirul simpan menyebabkan kerabat polis tidak sekata. Bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan berpendapat, patut dibuka semula kertas penyiasatan. KPN sekarang kata tak perlu, memadai dipantau saja.
    
Gara-gara Sirul terlepas daripada kerajaan dan polis Malaysia, kes pembunuhan Altantuya jadi tidak selesai lagi.
   
Percanggahan pandangan antara pemimpin polis sekalipun Musa bukan polis lagi tetapi dia adalah pemimpin polis dulu. Jika polis berbeza pendapat tentang sesuatu dalam kes bunuh itu, maka apa lagilah orang bukan polis yang memerhatikan perkara itu sejak awal yang mengesyaki banyak perkara yang belum terbongkar.
    
Sirul kini bukan sekadar orang yang sudah dijatuhkan hukuman bunuh, tetapi dia boleh menjadi saksi yang amat penting dalam kejadian itu.
   
Orang bukan tidak percaya Sirul terlibat dalam pembunuhan itu tetapi orang mahu tahu apa yang menyebabkan Sirul boleh terlibat dalam pembunuhan itu sedang dia adalah seorang warga polis yang tugasnya pula spesyel.
    
Apabila Sirul terlepas dan boleh mencetuskan kesaksian baru, dengan sendirinya menandakan komplot pembunuhan itu tidak rapi hingga tidak mustahil banyak lagi perkara terbongkar.
   
Ia tidak seperti pembunuhan Presiden Amerika John Kennedy. Selepas suspek pembunuhnya ditahan, dia ditembak pula oleh orang yang kononnya kecewa atas pembunuhan Presiden yang disayangi itu. Dengan pembunuhan itu tidak semua di sebalik pembunuhan dapat diketahui. Mengapa pembunuh itu membunuh Kennedy tidak diketahu kerana kesaksian terpenting telah hapus.
     
Justeru komplot itu tidak menghapuskan segera saksi-saksi penting itu menyebabkan kes pembunuhan Altantuya belum betul-betul selesai sekali pun mahkamah sudah membuat keputusan.
  
Sirul ternyata jadi masalah besar kepada lembaga di belakang pembunuhan itu. Sepanjang kes itu ditangani, sistem keadilan hanya menumpukan siapa yang membunuh dan meletup mayat mangsa saja. Mengapa dia dibunuh dan apa motif dua orang yang dijatuhkan hukuman bunuh tidak dijelaskan.
   
Dan Sirul pula mengambil kesempatan melaikan diri ke Australia, sebuah negara yang tidak ada hukum bunuh. Bagaimana Sirul pilih lari ke Australia dan mengapa tidak pilih negara lain? Adakah dia sendiri tahu akan undang-undang negara itu atau siapa yang memberitahunya dan membantunya lari ke situ?
   
Mengapa dia tidak pilih Perancis yang pengamal undang-undangnya sangat berminat untuk menyelesaikan peranan Altantuya dalam urusan pembelian kapal selam antara Kuala Lumpur dan Paris?
   
Adakah pihak yang membantunya lari ke Australia itu adalah juga dari kalangan lembaga di belakang pembunuhan dan meletupkan mayat itu?
   
Apa polis Malaysia akan buat pada Sirul tidak diketahui? Adakah kerjanya sudah habis dan berlepas tangan saja? Kisah selanjutnya kini ada dalam tangan Australia. Adakah ia mahu tutup begitu saja atau mahu mengambil keterangan mengapa Sirul campur tangan dalam urusan Altantuya dengan orang-orang yang dikenalinya di Kuala Lumpur.
    
Mongolia tidak dapat buat banyak bagi mendapatkan keadilan Altantuya kerana tiada laluan daripada Malaysia. Apakah ia tidak dapat kemudahan daripada Australia bagi mendapatkan keterangan lanjut tentang pembunuhan itu.
    
Sirul ada semua rahsia itu. Apakah polis Malaysia berminat dengannya tidak penting sangat, tetapi apakah interpol dan Perancis tidak minat dengan jenayah berprofil tinggi ini? Apakah kita sekadar jadi penonton bagi kes ini diselesaikan oleh polis antarabangsa? –

3,000 Anggota Tentera Darat Sertai Zikir Perdana

RAKYATNEWS


 


PORT DICKSON - Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merupakan antara kira-kira 3,000 pegawai dan anggota tentera darat yang menyertai majlis Zikir Perdana di sini, malam tadi, sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-82, tahun ini.

Majlis bertempat di Masjid Depot Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diadakan selepas solat Maghrib itu dipimpin oleh Kapt. Hanafiah Mat Zain dari Markas Pemerintahan Medan Tentera Darat.

Turut diadakan ialah tazkirah oleh penceramah jemputan Ustaz Uda Kasim yang merupakan Pengetua Maahad Dakwah Wal Irshad, Bandar Puteri, Kelang.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Raya Tentera Darat Mej Mohd Riduan Yusoff berkata selain menerapkan kepentingan amalan berzikir dalam kehidupan harian, majlis itu juga bertujuan meningkatkan hubungan silaturrahim sesama anggota.

"Amalan ini juga merupakan sesuatu pembinaan kerohanian untuk anggota muslim lebih memahami dan menghayati tuntutan nilai-nilai murni Islam yang perlu diamalkan dalam kehidupan," katanya di sini.

'Izinkan Anwar minum teh bersama Agong'

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat bulan depan, termasuk menghadiri majlis minum petang diraja bersama Yang di-Pertuan Agong selepas acara pembukaan, kata anaknya.

"Beliau perlu dibenarkan memenuhi jemputan Seri Paduka Baginda untuk minum petang bersama. Ada tempat khas untuk ketua pembangkang dalam majlis itu," kata Nurul Izzah, juga ahli parlimen Lembah Pantai.

Dalam sidang medi di pejabat PKR hari ini, beliau menunjukkan kad jemputan ke sidang Parlimen pada 9 Mac sehingga 9 April ini daripada yang dipertua dewan.

Surat rasmi itu dihantar menggunakan sampul surat bertulis 'Urusan Seri Paduka Baginda', tambah Nurul Izzah.

Majlis Peguam tolak tawaran debat Shafee

MALAYSIAKINI


 


Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menolak tawaran untuk berdebat dengan ketua pendakwa dalam kes Liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Katanya, seorang pendakwa raya tidak sepatutnya tampil untuk berdebat seperti itu kerana ia satu tindakan yang melanggar etika.

Leong berkata demikian bagi mengulas tawaran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek untuk menganjurkan debat di antara beliau dan Shafee.

Katanya, seorang pendakwa raya mewakili kerajaan dan rakyat, maka setiap penjelasan mengenai berkenaan perlu dibuat secara “tanpa emosi, berhati-hati dan tenang”.

“Tentu sekali tidak bertempat kalau diadakan jelajah atau debat,” katanya.

Katanya, program seperti itu mungkin akan “memalukan atau menjejaskan keyakinan umum” ke atas institusi badan pendakwaan.

“Adakah sesuatu perintah kepada seseorang pendakwa untuk menjalankan pendakwaan memberi lesen untuk menjalankan kecaman secara umum ke atas seorang individu yang disabit kesalahan dan dipenjara?

“Adakah pendakwa yang diberi perintah ini turut diberi kuasa untuk menjalankan aktiviti sebegini?,” soalnya.

Katanya garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Pendakwa Antarabangsa antara lainnya menetapkan bahawa pendakwa mesti mengekalkan maruah, tidak memihak dan “tidak dipengaruhi oleh kepentingan setempat umum atau tekanan media”.

Katanya garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga menggariskan bahawa pendakwa mesti “mengelakkan sebarang bentuk diskriminasi politik, sosial, keagamaan, perkauman, kebudayaan dan seksual”.

Katanya, pendakwa di Malaysia ditadbir oleh  peraturan Profesion Undang-undang (Amalan dan kesopanan) 1978.

Oleh itu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mesti menjelaskan sekiranya perkara yang sama terpakai ke atas pendakwa yang mendapat perintah seperti Shafee.

"Majlis Peguam membangkitkan isu ini dan melontarkan soalan kerana badan ini menyokong kedaulatan undang-undang dan keadilan.

“Majlis Peguam tidak propembangkang dan tidak juga prokerajaan,” kenyataannya dipetik.

Shafee pada minggu lalu berucap mengenai kes Liwat II dalam dua acara dan mendedahkan butiran yang sebelum ini hanya dinyatakan secara in camera dalam perbicaraan tersebut.

Ramuan rahsia buat anda jadi gemuk

MALAYSIAKINI


 


Para penyelidik percaya bahawa pengemulsi (emulsifiers) – ramuan tambahan dalam makanan - boleh menambah berat badan dan meningkatkan kadar untuk menghidap penyakit seperti kencing manis, kolitis dan penyakit Crohn.

Penyakit Crohn adalah sejenis penyakit keradangan usus (IBD), menyebabkan bengkak dan masalah saluran usus, manakala colitis merupakan radang usus besar (kolon, usus buntu dan rektum).

Pengemulsi – yang semulajadi dan sintetik - digunakan untuk membuat makanan berkrim dan menjadi tebal serta memanjangkan tempoh tamat penggunaannya.

Penyelidikan baru mendapati pengemulsi komersial mempunyai struktur kimia yang serupa dengan bahan pencuci yang mempunyai kesan negatif ke atas badan.

Hasil ujian awal ke atas tikus, penyelidik di Georgia State University mendapati beberapa pengemulsi ini menjejaskan keseimbangan bakteria baik dalam badan dan mengakibatkan radang usus – dan proses itu menyebabkan penyakit kencing manis dan dan menambah berat badan.

Satu penyelidikan yang diterbitkan dalam Nature, memberi tumpuan kepada dua pengemulsi ini - polysorbate 80 dan carboxymethylcellulose - bahan tambahan yang paling biasa dijumpai seperti dalam ais krim, marjerin, mayonis, sos berkrim, roti dibungkus dan banyak lagi makanan yang diproses.

“Kami merasakan terdapat beberapa faktor bukan genetik di luar sana, ada faktor alam sekitar, yang boleh menjelaskan mengenai peningkatan dalam penyakit-penyakit radang yang kronik,” kata Pakar imunologi Georgia, Andrew Gewirtz

“Dan kami menyangka bahawa pengemulsi adalah calon yang baik kerana ia sentiasa ada dan secara kasarnya, penggunaannya selaras dengan peningkatan penyakit-penyakit ini. Tetapi kami terkejut dengan kesannya yang begitu kuat,” tambahnya. - Independent

Untung pracukai FY14 AirAsia RM22.7j

MALAYSIAKINI


 


Keuntungan sebelum cukai AirAsia Bhd pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menjunam kepada RM22.7 juta berbanding RM361.23 juta pada 2013.

Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM5.42 bilion berbanding RM5.11 bilion sebelum ini, kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengendali syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataan berasingan berkata, kenaikan pendapatan itu disebabkan pertumbuhan dua digit dalam tambang purata dan pendapatan sampingan setiap penumpang yang meningkat 31 peratus tahun ke tahun.

Syarikat itu, yang mempunyai 81 peswat berpangkalan di Malaysia setakat akhir 2014 berkata, peningkatan signifikan dalam sumbangan perniagaan sampingan kepada pendapatan keseluruhan tahun ke tahun juga menyumbang kepada peningkatan signifikan dalam pendapatan purata tempat duduk sekilometer (RASK).

"Keuntungan operasi bersih turun sembilan peratus tahun ke tahun kepada RM109.8 juta disebabkan kos pembiayaan lebih tinggi berkaitan pinjaman bankketika syarikat membeli lebih banyak pesawat dan pembiayaan ibu pejabat baru AirAsia di klia2," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Aireen Omar berkata, pendapatan syarikat itu diukur di segi RASK, dilaporkan berada pada 15.95 sen, naik tujuh peratus tahun ke tahun daripada 14.88 sen.

"Saya gembira untuk menyatakan yang tambang purata naik 13 peratus pada suku keempat 2014 kepada RM171 yang menunjukkan pasaran lebih rasional dan pemulihan permintaan, yang pada awalnya terjejas berikutan insiden penerbangan dan kes penculikan di Sabah.

"Perniagaan sampingan juga mencatat prestasi sangat baik berbanding tahun sebelumnya dengan kenaikan 31 peratus.

"Ini membuktikan tidak seperti syarikat penerbangan lain, AirAsia mempunyaimodel yang teguh dan inovatif yang boleh menempuh sebarang keadaan.

"Perpindahan ke lapangan terbang baharu klia2 dan kemudahan yang lebih besar membolehkan kami melaksanakan lebih banyak pemadanan bandar dan pada 2014 sahaja, kumpulan AirAsia mencatat 1.52 juta penumpang, meningkat 90 peratus tahun ke tahun," tambahnya.

Aireen berkata, kos syarikat, diukur di segi kos purata tempat duduk sekilometer CASK), dilaporkan berada pada 13.51 sen, naik sembilan peratus tahun ke tahun, terutama disebabkan kenaikan dalam kos susut nilai dengan tambahan pesawat dimiliki AirAsia Bhd.

Thai AirAsia mencatat pendapatan 7.88 bilion baht (RM870.86 juta) pada suku keempat 2014, manakala Indonesia AirAsia mencatat peningkatan pendapatan tahun ke tahun 11 peratus kepada 1,731.63 bilion rupiah (RM48.25 bilion).

Mengenai prospek, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pada 2015 syarikat itu akan memberi tumpuan meningkatkan kedudukan tunai melalui pengurusan kapasiti dan merancang pembiayaan semula pesawat lebih lama (melalui jualan dan pajakan balik) di samping menjual pesawat vintaj dan slot. - Bernama

Paul Phua warganegara Montenegro

MALAYSIAKINI


 


EKSKLUSIF Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan fail rasmi di Montenegro, Paul Phua, secara teknikalnya, bukan lagi warganegara Malaysia.

Bukti baru berkaitan dengan rangkaian perniagaan Phua di Montenegro dan hubungan dengan pegawai tinggi kerajaan di negeri Balkan itu, menunjukkan dia telah menjadi warganegara Montenegro.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak membenarkan dua kerakyatan, dan sesiapa yang menerima kewarganegaraan negara lain, secara otomatik, hilang kerakyatan Malaysia.

Menurut laporan siasatan oleh portal berita popular Montenegro, Vijesti, Phua telah diberikan kewarganegaraan Montenegro selepas dicadangkan secara peribadi kepada Perdana Menteri di negara ini, Milo Đjukanović.

Phua, yang didakwa seorang anggota kanan kongsi gelap antarabangsa, menerima kerakyatan Montenegro kerana beliau adalah seorang yang "berkepentingan khas bagi negeri itu, saintifik, ekonomi dan lain-lain kepentingan Montenegro."

Dia dianugerahkan kewarganegaraan Montenegro antara Oktober 2013 dan Oktober 2014.

Malaysiakini bulan lalu melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi telah menulis surat kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), membersihkan Phua daripada kaitan dengan kongsi gelap 14K yang berpangkalan di Hong Kong.

Zahid juga menyatakan bahawa Phua, yang berasal dari Sarawak dan menghadapi tuduhan menjalankan perjudian haram di Amerika Syarikat, membantu Malaysia dalam projek-projek keselamatan negara.

Khamis, 26 Februari 2015

Adik PM prihatin isu harta pusaka Tun Razak

MALAYSIAKINI


 


Empat orang adik perdana menteri hari ini menimbulkan kebimbangan ke atas laporan media berhubung harta pusaka bapa mereka, perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Spekulasi itu timbul selepas Pejabat Perdana Menteri memberitahu akhbar New York Times bahawa gaya hidup abang mereka, Najib tidak menghairankan "untuk seorang individu dengan kedudukan dan tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga warisan harta pusaka (yang diperolehinya)".

"Kami sangat bimbang kerana beberapa laporan berita terkini dan tulisan (di Internet) menimbulkan spekulasi berhubung bentuk dan tahap warisan yang ditinggalkan arwah bapa kami, Abdul Razak.

"Kami ingin menyatakan bahawa Abdul Razak merupakan orang yang sangat berprinsip dan hal ini diketahui semua yang mengenali sikap berhemah dan integritinya.

"Apa jua kenyataan atau kaitan yang bertentangan dengan itu sama sekali tidak benar dan mengelabui ingatan padanya dan khidmat serta pengorbanannya pada negara," kenyataan ringkas empat beradik itu petik.

Akhbar berpengaruh itu memetik kenyataan Pejabat Perdana Menteri sewaktu menjelaskan sumber kekayaan tokoh berkenaan.

Akhbar itu juga menyebut, beberapa keping gambar isteri perdana menteri Rosmah Mansor dengan pelbagai jenis beg tangan mahal tersebar meluas di media sosial.

Laporan itu juga mendakwa memperolehi salinan invois bernilai berjuta-juta dolar pesanan barangan kemas Rosmah di Hong Kong pada 2008 dan 2009.

The New York Times menyiarkan kenyataan PMO itu dalam laporannya berkaitan ahli perniagaan Jho Low (kiri) yang ada hubungan dengan ahli keluarga Najib dan gaya hidup mewah mereka.

Jho Low dilaporkan membantu anak tiri Najib, Riza Aziz untuk membeli kondominium mewah di New York dan membiayai penerbitan filem Hollywood yang dilakukan Riza.

Menariknya, akhbar tersebut turut menyiarkan berita yang sama di dalam bahasa Melayu.

Semua perlu sokong Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM


Semua perlu sokong Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM Mustapa (kiri) menjawab soalan hadirin pada pertemuan yang diadakan di Kota Bharu semalam.
 
 
KOTA BHARU - Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya badan bebas ini akan menjadi kenyataan jika mendapat sokongan semua parti politik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap parti pembangkang juga akan menyokong pindaan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini kerana ia penting untuk meningkatkan kewibawaan dan kebebasan SPRM, selain menaikkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

"Kerajaan telah setuju dalam manifesto (Pilihan Raya Umum 2013). Umno dan Barisan Nasional Kelantan sokong seratus peratus. Ahli-ahli Parlimen BN akan sokong. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (BN Kelantan) juga sokong pindaan ini.

"Pindaan ini akan menaikkan imej negara, menjadikan SPRM lebih bebas, baik untuk pelaburan, menarik pelabur dari luar negara," katanya.

Pengerusi Umno Kelantan itu berkata demikian pada Program Keterlibatan Strategik  bersama pemimpin tertinggi politik dan sesi taklimat khas kepada Ahli Parlimen dan Adun Umno di sini, semalam.

Program yang sama membabitkan wakil rakyat Pas dan PKR Kelantan telah diadakan pada 22 Februari 2015.

Di akhir program itu, wakil rakyat Pas Kelantan melahirkan pendirian akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi maksud tersebut, pendirian Pas itu dizahirkan oleh  Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, badan bebas yang memantau SPRM berkata, beliau yakin pembentukan suruhanjaya perkhidmatan khas akan memperbaiki persepsi orang ramai mengenai kebebasan SPRM.

Pada pertemuan hari ini, taklimat mengenai syor penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato Zakaria Jaffar. Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban juga hadir.

Pada sidang media kemudian, Zakaria berkata, pemimpin Pas Negeri Kelantan telah melahirkan sokongan ke atas cadangan membawa dua peruntukan tersebut.

"Dua hari lepas SPRM telah mendapat pendirian yang sama, seperti yang telah disebutkan oleh Datuk Takiyuddin, yang merupakan ahli JKMR SPRM. Hari ini Umno, BN Kelantan mengambil pendirian yang sama. Ini satu perkembangan baik.

"Pada 31 Mac ini akan ada satu pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Pas, mereka akan datang ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (di Kuala Lumpur), akan diberi taklimat mengenai perkara ini," katanya.

Katanya, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengetuai wakil rakyat partinya pada pertemuan itu.

Zakaria berkata, SPRM akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak dan parti-parti politik, peringkat negeri dan nasional, bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen kelak.

SPRM yakin pertemuan seperti ini penting bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama bagi mencegah rasuah seiring dengan slogan “Anda Boleh Melakukan Perubahan, Perangi Rasuah”.

Wartawan Malaysia berisiko tinggi di zon konflik

SINAR HARIAN

Gaza Letupan kuat dari bedilan tentera Zionis di wilayah Gaza.
 
 
KUALA LUMPUR - Wartawan biasanya tidak menulis atau menyiarkan tentang bahaya yang mereka hadapi semasa bertugas mencari berita, kecuali dalam kes-kes ekstrem.

Mereka mahu menulis kisah orang lain tetapi bukan diri sendiri menjadi fokus berita. Malaysia tidak menghasilkan wartawan perang seperti Ernie Pyle, William Russell ataupun Perdana Menteri Britain Winston Churchill, yang menjadi pemberita perang terkenal pertama dalam Perang Boer pada tahun 1899. 

Namun dalam cara mereka yang tersendiri, para wartawan Malaysia mengambil risiko terhadap nyawa mereka sendiri dengan sukarela menerima tugasan di zon-zon konflik, terutama dalam misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama TV adalah wartawan pertama yang gugur semasa bertugas di kawasan berbahaya di luar negara.

Serangan itu berlaku pada 2 September, 2011 di Mogadishu, Somalia ketika Noramfaizul sedang melaporkan untuk Bernama TV dalam satu misi kemanusiaan yang  dianjurkan oleh kelab kebajikan Islam Kelab Putera 1Malaysia.

Terdapat risiko yang tinggi untuk para wartawan yang membuat liputan di zon-zon berkonflik - dan tanggungjawab yang sangat besar buat para editor yang menghantar mereka bagi menghasilkan berita dan menetapkan konteks.

Namun begitu, kematian Noramfaizul tidak menghalang wartawan lain daripada menyertai misi-misi kemanusiaan yang lain.

Bagaimanapun, sebelum insiden tragik itu berlaku ke atas Noramfaizul, wartawan Bernama Mohd Faizal Hassan terlebih dahulu menyertai misi kemanusiaan ke Gaza dan turut berhadapan dengan situasi merbahaya.

Mohd Faizal berlepas dari Malaysia pada 3 Mei, 2011, bersama-sama 12 penumpang dengan menaiki kapal milik Malaysia MV Finch.

Kapal kargo ini, yang juga dikenali sebagai Semangat Rachel Corrie, meninggalkan Pelabuhan Piraeus di Greece pada 11 Mei dan memasuki Laut Mediterranean menuju ke Gaza, mengangkut paip perparitan plastik bagi membantu membaikpulih sistem perparitan sepanjang 7.5 kilometer yang musnah semasa pembunuhan beramai-ramai di Gaza dari 2008 sehingga 2009.

Kapal bantuan kemanusiaan Malaysia itu berada di perairan Rafah pada 16 Mei, apabila ia diekori oleh bot-bot tentera laut Israel selama setengah jam sebelum  empat tembakan amaran dilepaskan ke udara.

Faizal berkata dalam insiden pada pukul 6.05 pagi waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia), MV Finch berada di dalam zon keselamatan Palestin, kira-kira 400  meter dari pantai Gaza, apabila ia dipintas oleh pasukan tentera laut Israel, memaksanya berpatah balik dan berlabuh.

Beliau berkata, satu daripada das tembakan hampir mengenai seorang anak kapal Mohd Jaffery Ariffin menyebabkan yang lain panik dan bersembunyi  menyelamatkan diri.

"Tentera Israel meminta kami memberhentikan kapal dan keluar dari perairan Mesir. Kami berjaya meminta bantuan melalui radio daripada tentera Mesir.

Selepas menyedari kehadiran angkatan tentera laut Mesir, tentera Israel pun  beredar," kata Faizal berkongsi pengalaman yang menakutkan itu dengan para peserta bengkel Kewartawanan Digital dan Multimedia di Bernama baru-baru ini.

Faizal, yang terlibat dengan misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Afghanistan dengan Angkatan Tentera pada Oktober tahun lepas dan misi bantuan ke Jepun pada Mac, 2011 berkata ia adalah satu pengalaman yang sangat menakutkan.

Katanya ketika kejadian itu, beliau berada di dek bawah kapal berkenaan bersama wartawan New Straits Times (NST), Iskandar Alang Bendahara dan seorang sukarelawan dari pejabat publisiti (Felda) Jabatan Perdana Menteri, Mohd Radzillah Abdullah.

Beliau berkata selepas kapal itu memasuki perairan Mesir barulah mereka naik ke dek atas dan lega kerana semua orang selamat.

"Kami sangat bersyukur kerana askar-askar Israel tidak naik ke kapal kami," tambah beliau.

Kapal Tentera Laut Mesir memintas dan mengiringi kapal MV Finch ke kawasan perairan Mesir. Kami berlabuh di luar Pelabuhan El Arish dan berada di situ selama lebih seminggu.

"Kami sangat dekat, tetapi jauh. Kami hanya dapat memerhatikan sahaja rakan-rakan seIslam menunaikan sembahyang Jumaat di masjid yang berhampiran," beliau mengingati detik-detik itu semula.

Faizal berkata tentera Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan menghalang kapal mereka dan melepaskan tembakan.

"Mereka menggunakan peluru anti-pesawat .50mm. “Tiada kata yang dapat menggambarkan ketakutan kami pada waktu itu. Semasa saat-saat menakutkan, kami berserah kepada Allah dan berdoa Yang Maha Kuasa akan melindungi kami," katanya dan menambah bahawa wartawan NST, Iskandar berjaya merakam video  tindakan zalim tentera Israel terhadap mereka.

Wartawan TV Al-Hijrah, Aimy Nor Halimah Abdul Halim dan jurukameranya Muhammad Syafiq Azman memahami risiko yang menanti dan bersedia untuk sebarang kemungkinan apabila mereka menyertai misi yang seumpama ke Lubnan dan Jordan (kedua-duanya pada pertengahan 2014).

Aimy berkata misi 'Return2Aqsa3 - Ramadan Relief Mission' dari 19 Julai hingga 26 Julai, 2014 ke Lubnan adalah pengalaman yang membuka matanya.

Misi bantuan kemanusiaan ini adalah inisiatif Aqsa Syarif, sebuah NGO dan rangkaian pasaraya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, bagi menyediakan bekalan makanan, perubatan dan keperluan pembelajaran bernilai RM500,000 untuk kanak-kanak Palestin di kem-kem pelarian Lubnan.

Aimy dan Muhammad Shafiq menyedari bahawa mereka mempertaruhkan nyawa pergi ke kawasan pergolakan perang di Lubnan bagi melakukan penggambaran kehidupan pelarian Palestin.

"Sangat menyayat hati menyaksikan pelarian Palestin tinggal di kem-kem yang sesak. Saya sangat bersyukur yang saya adalah rakyat Malaysia dan boleh menikmati keamanan dan hidup selesa," kata Aimy.

Menurut United Nations Welfare Relief Agency (UNWRA), seramai 450,000 pelarian berdaftar dengan agensi ini di Lubnan setakat 1 Julai, 2014 dengan 53 peratus tinggal di 12 kem pelarian.

Mereka menghadapi masalah serius seperti kemiskinan, kesesakan, pengangguran, keadaan perumahan yang teruk dan tiada infrastruktur. Konflik yang berlanjutan di Syria telah memaksa ramai pelarian Palestin melarikan diri ke Lubnan untuk keselamatan.

Muhammad Syafiq berkata pada mulanya beliau dijadualkan ke Tebing Barat pada pertengahan 2014, tetapi terpaksa ke Jordan disebabkan kelewatan mendapatkan kelulusan untuk memasuki Tebing Barat yang dikuasai oleh Israel.

Shafiq yang ditugaskan untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai sukarelawan bukan sebagai wartawan, percaya yang pihak berkuasa sengaja melambatkan proses memandangkan beliau dari Malaysia, yang menyokong kuat perjuangan Palestin.

"Mungkin lawatan ini yang diadakan semasa ketegangan yang semakin meruncing selepas pihak Israel menculik, membakar dan membunuh seorang budak lelaki Palestin di Jerusalem Timur pada waktu Subuh awal Julai tahun lepas,” kata Shafiq.

"Ia pengalaman yang sangat mencabar buat kami berdua. Kami menghabiskan masa selama dua minggu di dalam dua kem pelarian terbesar dunia yang terletak di Jordan iaitu Al Azraq dan Zaatari," beliau berkata.

Hampir dua juta pelarian Palestin yang berdaftar tinggal di Jordan. Terdapat 10 kem pelarian Palestin di Jordan setakat 1 Julai, 2014.

Pada April 2014, Jordan membuka kem Azraq bernilai AS$63.5 juta yang dibina bagi menempatkan 130,000 orang.

Para pegawai UN menyatakan bahawa kem Azraq, yang merangkumi kawasan seluas enam batu persegi, boleh menjadi lebih besar daripada kem Zaatari, yang menempatkan lebih 100,000 pelarian Syria. Zaatari sebenarnya bandar keempat terbesar di Jordan dan kem pelarian terbesar di dunia selepas Dadaab di Kenya  yang melindungi hampir 360,000 dari Somalia.

Shafiq berkata kebanyakan rakaman dan temubual dilakukan dengan tergesa-gesa disebabkan masa yang diberikan sangat terhad di dalam kem tersebut berserta kawalan yang ketat. Sebahagian daripada rakaman diambil dari dalam kenderaan.

Menurutnya, beliau dapat menemubual anak-anak Palestin generasi ketiga, termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, yang membesar di dalam kem.

Tidak kira tua atau muda, mereka mengecam kekejaman yang dilakukan oleh Israel yang menggunakan senjata terhadap wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya di Gaza.

"Bagi pelarian-pelarian ini, sesetengahnya dapat melepaskan diri daripada serangan bom Israel, kem ini menggambarkan kesengsaraan, penderitaan dan memori yang menyedihkan. Setiap orang daripada mereka mempunyai cerita yang sangat mengganggu perasaan mengenai penyeksaan atau menyaksikan sendiri kematian  dan kekejaman lain.

"Fokus kami (TV Al-Hijrah) adalah memberi mereka harapan dan kekuatan. Kebanyakan rakyat Palestin yang dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka, jauh di sudut hati mereka masih percaya yang keadilan sebenar tidak dapat dicapai selagi mereka tidak dibenarkan pulang ke tanah air," kata Shafiq. - Bernama