HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 November 2015

Tony: DAP tak akan 'tikam belakang' macam PAS

MALAYSIAKINI


 


DAP tidak akan 'menikam belakang' dalam Pakatan Harpan sepertimana yang dilakukan PAS yang meletakkan calon di kerusi Kota Damansara milik PKR pada pilihan raya umum lalu, menyebabkan Umno menang, kata Pengerusi DAP Selagor Tony Pua.

Beliau berkata DAP akan berbincang terlebih dahulu dengan rakan komponen khususnya Parti Amanah Negara (AMANAH) jika mereka ingin bertanding di lapan kerusi DUN yang menjadi kubu kuat PAS di Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pua berkata buat masa ini, sama ada DAP akhirnya akan bertanding lapan kerusi itu tidak penting, sebaliknya mahu memastikan jentera parti itu bergerak dan sedia memberi sokongan penuh kepada AMANAH jika parti Islam itu mahu bertanding di situ.

"Tujuan DAP terus terang. Kita ingin supaya kelapan-lapan kerusi di mana DAP mempunyai sedikit-sebanyak pengaruh akan dimenangi oleh parti-parti komponen Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang akan datang.

"Bersama dengan kawasan DUN yang sedang dipegang oleh DAP, PKR dan Amanah, Pakatan Harapan akan berjaya menubuhkan kerajaan yang baru di Selangor dengan majoriti yang stabil.

"Sama sekali kita percaya, dalam mana-mana kerusi yang DAP bertanding, PKR dan Amanah juga akan memberikan sokongkan tidak berbelah bahagi kepada kita," kata Pua dalam ucapan konvensyen DAP Selangor hari ini.

Pua berkata walaupun DAP akan terus berdalam sebuah kerajaan gabungan secara ad-hoc tetapi ia tidak akan akan kekal selama-lamanya, maka parti itu akan menjalankan peranan supaya dasar bersama Pakatan Rakyat yang disokong rakyat semasa pilihan raya dahulu akan dikotakan.

"Masa depan kita adalah bersama Pakatan Harapan. Apatah lagi PAS telah berulang-kali menegaskan bahawa mereka telah memutuskan segala kerjasama politik dengan DAP dan akan meletak calon-calon PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang dipegang oleh DAP.

"Oleh sebab itu, adalah menjadi keutamaan kepada DAP Selangor untuk mengambil langkah mengukuhkan Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum ke-14. Dalam pilihanraya yang lalu, PAS bertanding dalam 22 buah kerusi Dewan Undangan Negeri dan menang 15 di Selangor," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan jentera DAP untuk bermula persiapan untuk bertanding di lapan kerusi PAS iaitu Seri Serdang, Dusun Tua, Taman Templer, Tanjong Sepat, Chempaka, Lembah Jaya, Paya Jaras dan Meru.

Menurutnya lagi, Edry Faizal dilantik menyelaras Pusat Komuniti dan Khidmat DAP DUN Taman Templer dan bakal Majlis Makan Mengumpul Dana DUN itu Taman Templer pada 17hb Disember depan.

"Aktiviti-aktiviti parti DAP dan Pakatan Harapan tengah diaturkan untuk semua kawasan-kawasan tersebut," katanya dalam ucapan itu.


Subsidi beras Super Tempatan ST15 dimansuhkan

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memansuhkan program subsidi beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) berikutan terdapat banyak masalah ketirisan berkaitannya.

Setiusaha Bahagian Industri Padi dan Beras MOA, Samsuddin Ismail dalam satu kenyataan semalam berkata, kajian mendapati antara masalah yang berlaku ialah beras yang sepatutnya dikeluarkan untuk rakyat Malaysia berpendapatan rendah boleh dibeli oleh bukan warganegara.

"Ada juga laporan mendapati terdapat tempat yang tidak mendapat bekalan mencukupi manakala ada tempat yang mempunyai bekalan berlebihan," katanya.

Beliau berkata walaupun beberapa tindakan telah diambil kementerian termasuk menghentikan lesen pihak terbabit tetapi masalah berkenaan masih timbul.

"Sejak dua bulan lalu, kami telah mencari jalan terbaik bagi memikirkan mekanisme baru yang akan memastikan bantuan yang diberikan lebih menepati golongan sasaran dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat termiskin," katanya.

Samsuddin berkata pengagihan beras ST15 bermula pada 2008 adalah program sementara untuk golongan termiskin membeli beras pada harga paling rendah.

Beras ST15 adalah beras tempatan yang mempunyai kandungan 15 peratus beras hancur yang kualitinya sedikit rendah berbanding beras tempatan biasa ST5 dibeli oleh majoriti pengguna dengan kandungan lima peratus beras hancur.-Bernama


IPU baik di 50 kawasan kecuali Pasir Gudang

MALAYSIAKINI


 


Hampir keseluruhan kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merekodkan kualiti udara sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik setakat 9 pagi ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, 50 kawasan mencatatkan tahap IPU baik, manakala hanya satu kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu di Pasir Gudang, Johor dengan bacaan 52.

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Untuk IPU semasa, orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my.-Bernama


130 PATI ditahan dalam operasi bersepadu di Keningau

MALAYSIAKINI


 


Sebanyak 130 pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan 81 daripadanya warga Indonesia dan 49 rakyat Filipina, ditahan dalam Operasi Bersepadu yang diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

Setiausaha Keselamatan Negeri MKN Sabah, Radzi Md Saad berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian dari 520 individu yang diperiksa dalam operasi bermula 3 pagi pada 30 Okt dan berakhir 5 petang tadi di Keningau.

"Kesemua 130 PATI yang ditahan reman, dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Papar, sementara menunggu keputusan siasatan lanjut selama 14 hari. Mereka berumur antara satu tahun hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Radzi berkata sejak Januari hingga hari ini, sebanyak 8,652 individu diperiksa dalam Operasi Bersepadu yang disertai pelbagai agensi, dan daripada jumlah itu, 3,306 orang ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Radzi juga berkata sehingga hari ini, 5,497 PATI masih berada di empat PTS di seluruh Sabah, iaitu 1,890 di PTS Kota Kinabalu, PTS Papar (1,724), PTS Sibuga (894) dan PTS Tawau (989).

Selain itu, katanya sejak Januari hingga ke hari ini, sebanyak 23,757 PATI dihantar pulang ke negara asal mereka, dan daripada jumlah itu, 18,626 orang adalah rakyat Filipina, 4,924 warga Indonesia, dan 207 orang adalah lain-lain warganegara.-Bernama


DAP: Enggan tolak bajet tunjuk PAS mahu bersama BN

Lu Wei Hoon


 


Keengganan PAS untuk menolak usul Bajet 2016 adalah bukti bahawa dakwaan parti Islam itu bersama dengan parti pembangkang adalah tidak benar.

"Kami kecewa bahawa mereka (PAS) tidak menyokong undi tidak percaya.

"Itu menunjukkan kenyataan sebelum ini bahawa PAS mengatakan mereka bersama-sama dengan parti-parti pembangkang, adalah tidak benar.

"Dan mereka sebenarnya bekerja rapat dengan BN,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika ditemui pemberita pada konvensyen DAP Selangor hari ini.

Menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, Lim berkata rakyat kini perlu memutuskan parti mana yang harus disokong berdasarkan keputusan PAS itu .

"(Dulu), mengundi PAS adalah sebahagian daripada alternatif (untuk BN). Kini mereka telah menunjukkan bagaimana mereka mahu bersama dengan BN.

"PAS pada satu masa menjadi sebahagian dengan Pakatan Rakyat, tetapi kini kenyataan (Hadi) menunjukkan bahawa mereka (PAS) kini adalah sebahagian masalah bersama BN," kata Lim.

Hadi hari ini dilaporkan berkata, keputusan untuk mengambil tindakan berkecuali dalam cadangan penolakan usul Bajet 2016 dipersetujui sebulat suara oleh kesemua ahli Parlimen PAS.

"Dalam soal tolak usul bajet, kita berkecuali dan tidak akan undi bagi pembangkang secara mutlak kerana dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat dan akan membantah perkara-perkara negatif.

“Ada benda yang kita tidak setuju tetapi tidak mungkin kita akan sertai saranan untuk saranan bantah usul Belanjawan (Bajet) 2016,” kata Hadi seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini

Ada sebab tak umum awal perubahan harga minyak

MALAYSIAKINI


minyak


LARUT - Kerajaan tidak akan mengumumkan perubahan harga minyak lebih awal kepada orang ramai bagi mengelak pengusaha minyak mengawal penjualan bahan api itu kepada pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin.
  
Beliau berkata, pengumuman berkaitan harga baharu petrol dan diesel setiap bulan hanya akan dikeluarkan kepada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) pada tengah malam pada setiap hujung bulan.
  
Katanya, kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit untuk petrol RON95, RON97 dan diesel mengikut kaedah Pengapungan Terkawal mulai 1 Disember tahun lepas.
  
"Alhamdulillah selama beberapa bulan dapat diterima baik oleh banyak pihak. Saya mahu rakyat memahami kerana bukan mudah untuk selaraskan harga minyak. Ini adalah sesuatu yang kita buat untuk selaraskan dari segi peniaga dan pengguna.
  
"Sebagai contoh, jika semalam harga minyak dalam tangki RM2.05, esok harga minyak turun....ini tidak adil kerana mereka sudah bayar mengikut kadar sebelum kita umumkan, begitu juga kalau harga minyak naik, tidak adil kepada pengguna kerana pengusaha minyak sudah tahu dari awal tetapi mereka tak nak jual minyak," katanya.

Hamzah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Larut di Padang Majlis Daerah Selama hari ini.
  
Beliau berkata, pengumuman perubahan harga minyak sentiasa mengambil kira kepentingan pengusaha dan pengguna.
  
Harga petrol RON 95, RON 97 dan diesel bagi Oktober 2015 masing-masing naik 10 sen berbanding September, menjadikan harga semasa RON 95 di pam adalah RM2.05 seliter, RON 97 (RM2.45) dan diesel (RM1.90).
  
Terdahulu, Fiesta Larut yang berlangsung empat hari mulai Khamis lepas, menjadi platform KPDNKK menyalurkan maklumat dan peranannya kepada masyarakat sekeliling, dan antara agensi yang terlibat ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad, Bank Rakyat serta Maktab Koperasi Malaysia. - Bernama

Pas sedia jadi penasihat BN

 
Pas kini bukan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, sebaliknya hanya ingin memperbetulkan dasar BN


haji-hadi-awang


KUALA LUMPUR: Pas bersedia untuk menjadi penasihat keajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bersedia untuk mengubah dasar pentadbirannya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perjuangan parti Islam itu kini adalah untuk mengubah dasar pentadbiran dan bukan semata-mata mahu merebut jawatan atau tampok kepimpinan negara.

“Pas sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya UMNO ubah dasar pemerintahan.

“Kita bukan gilakan kuasa atau mahu kuasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita ambil pendekatan lain iaitu ambil alih pemerintahan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online.

Jelas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu, Pas kini bukan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi hanya ingin memperbetulkan dasar.

“Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikat kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan Perdana Menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa,” jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau pada dasarnya bersetuju dengan bantuan-bantuan yang diberi kerajaan terhadap rakyat, sebaliknya, tidak bersetuju dengan cara pelaksanaan bantuan itu kerana didakwa berlaku banyak kepincangan.

“Setuju dengan UMNO bukan bermaksud kita akan jalankan kerjasama politik dengan mereka kerana Pas lebih selesa duduk di luar BN, bukan di dalam BN malah kita tidak akan bergabung dengan UMNO.

“Sebagai langkah untuk perbetulkan kerajaan, Pas sedia menghantar pasukan untuk berbincang dengan UMNO baik mengenai isu berbangkit seperti GST, perumahan , kejatuhan ringgit dan sebagainya,” jelasnya.

Tawaran Pas tidak masuk akal-Raja Bahrin

 
Kerajaan sebelum ini tidak pernah menerima nasihat Pas walaupun ketika parti itu berada dalam komponen BN


raja-bahrain,pas-bn


PETALING JAYA: Tawaran Pas yang mahu menjadi penasihat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai tidak masuk akal.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah menegaskan, Pas tidak mungkin akan berjaya kerana BN sebelum ini tidak pernah menerima nasihat parti itu walaupun ketika ia berada dalam komponennya sebelum ini.

“Kerajaan hari ini telah tidak makan nasihat sejak 58 tahun mereka memerintah baik semasa Pas dalam kerajaan atau di luar kerajaan.

“Mengapa sekarang mereka mahu mendengar nasihat Pas..?,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Raja Kamarul Bahrin, Majlis Raja-Raja sebelum ini juga pernah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang perlunya kerajaan menangani masalah besar ekonomi namun, sehingga ke hari ini saranan itu seolah-olah tidak diambil peduli.

“Adakah Pas berpendapat mereka ada pengaruh lebih besar dari Majlis Raja-Raja Melayu ke atas kerajaan,” ujarnya lagi.

Disebabkan itu Raja Kamarul Bahrin menjelaskan, Parti Amanah Negara (Amanah) menjemput Pakatan Harapan dan Pas untuk sama-sama berganding bahu bagi mendapatkan pandangan yang luas untuk menyelamatkan negara.

Katanya, langkah paling berkesan untuk mencapai matlamat itu adalah dengan menolak bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambah beliau, menerusi cara itu ia secara tidak langsung akan memberi tekanan kepada Najib untuk meletak jawatan kerana dengan cara lain ia tidak akan berjaya.

Pengakuan mangsa kemalangan tentang LPT2 berhantu

Pengakuan mangsa kemalangan tentang 'LPT2 berhantu
Senani melihat lembaga wanita berjubah labuh dan berambut panjang mengurai bergayut pada papan tanda elektronik ini menyebabkan kenderaan yang dipandu nyaris terbabas.
 
 
 

PENGGUNA Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak menolak kemungkinan wujudnya gangguan makhluk halus di laluan itu.

Umum mengetahui LPT2 dicop sebagai ‘lebuh raya berhantu’ rentetan kes kemalangan maut yang berterusan berlaku di laluan sepanjang 184 kilometer itu sejak dibuka sehingga sekarang.

Jolokan itu diberi orang ramai kerana bagi segelintir mereka kemalangan meragut nyawa yang berlaku itu bukan semata-mata berpunca daripada faktor yang boleh dilihat dengan mata kasar sahaja sebaliknya ia turut berkait dengan gangguan makhluk ghaib.

Perihal LPT2 yang kononnya ‘keras’ dan punya ‘penunggu’ juga turut rancak diperkatakan di media sosial terutama di Facebook, malah ada netizen yang tampil menceritakan kisah seram yang pernah dialami untuk peringatan pengguna LPT2 yang biasa menggunakan laluan itu dan perkongsian kisah seram itu turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagi mengetahui sejauh mana dakwaan berkenaan, Sinar Harian mengupas isu tersebut dan berjumpa dengan mangsa kemalangan dan pengguna LPT2 yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Rata-rata mereka tidak menolak kemungkinan kemalangan turut dipengaruhi faktor gangguan makhluk halus berdasarkan pengalaman seram yang pernah dilalui.

Nampak langsuir bergayut pada papan tanda elektronik

Isteri peneroka Felda Neram 2 Kemaman, Senani Omar, 53, berkata, kereta yang dinaikinya sekeluarga nyaris terbabas selepas anak lelakinya yang memandu terkejut melihat lembaga perempuan berbaju putih labuh dan berambut panjang sedang bergayut pada papan tanda elektronik  atau VMS.

Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam berdekatan kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing LPT2 pada awal September lalu semasa mereka empat beranak dalam perjalanan balik dari Kuantan ke rumah mereka di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru.

“Waktu itu makcik duduk di tempat duduk penumpang depan. Tapi semasa tiba di kawasan Plaza Tol Jabor, makcik bersama menantu dan seorang lagi anak yang duduk di belakang tertidur.

“Hanya beberapa ratus meter untuk sampai di depan R&R Perasing, anak makcik, Wan Shahdillah Wan Abdullah, 28, yang memandu itu tiba-tiba nampak langsuir sedang tergantung pada VMS hingga dia terperanjat dan kereta Proton Wira kami hampir terbabas ke kanan jalan. Ketika itu, VMS itu gelap dan tak ada tulisan cerah seperti biasa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan panik berkenaan mereka bernasib baik kerana laluan itu lengang dan anaknya yang bekerja sebagai pemandu lori sawit sempat mengawal stereng dan berhenti seketika di lorong kecemasan.

“Nasib baiklah hanya selang beberapa saat lepas nampak langsuir itu ada bas ekspres yang lalu jadi anak makcik terus memandu dengan mengekori belakang bas hingga tiba ke susur keluar Plaza Tol Cheneh,” katanya.

Namun, ibu sembilan anak itu berkata, anak keempatnya itu tidak menceritakan kejadian itu kepadanya sebaik dia tersedar dari tidur apabila sudah tiba di rumah kira-kira jam 11.30 malam.

“Dia cuma cerita pagi esoknya dan hari itu juga dia ambil cuti kecemasan," katanya.

Terlihat wanita berjubah putih

Kelibat wanita berjubah putih labuh dengan rambut panjang mengurai turut dilihat seorang pekerja kilang sawit, Mohd Muradzi Mohd Nawi, 20, kira-kira tiga jam selepas berlaku kemalangan yang meragut nyawa dua beranak yang juga jiran hadapan rumahnya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.40 malam pada 17 Oktober lalu di Kilometer 273.9 susur keluar ke Plaza Tol Cheneh itu, seorang peneroka Felda Neram 2, Hasan Abd Wahab, 53, dan anak sulungnya, Hanis Shazwani, 21, terbunuh sementara
isteri dan anak bongsunya cedera.

Mohd Muradzi berkata, sejurus mendapat khabar mengenai kemalangan yang menimpa jirannya itu, dia bersama abangnya, Mohd Mutalib, 33, segera bergegas ke Hospital Kemaman di Chukai untuk menziarahi.

“Kami balik ke rumah ikut LPT2, namun di separuh jalan saya nampak satu lembaga wanita yang pakai baju putih labuh dan rambut panjang duduk di atas pengadang jalan di jejambat Lubuk Batu, iaitu lebih kurang lapan kilometer sebelum tempat arwah Pok Hasan kemalangan.

“Tapi muka lembaga itu saya tak nampak sebab gelap. Menggeletar badan saya masa itu dan waktu kami lalu di bawahnya ayat-ayat suci al- Quran tak putus-putus saya baca dalam hati. Waktu itu saya sempat toleh ke arah jam dan jarum tunjukkan pukul 3 pagi,” katanya.

Setelah tiba di rumah, Mohd Muradzi yang bekerja di Bukit Bandi, Cerul pelik kerana abangnya yang memandu kenderaan mengakui tidak nampak apa-apa sepanjang perjalanan pulang mereka ke rumah.

“Sebelum ini saya cuma dengar cerita orang saja pasal macam-macam kisah mistik sepanjang LPT2 ini. Tapi lepas lihat sendiri, tak tahu nak cerita macam mana perasaan waktu itu,” katanya.

Menurutnya, dari pelbagai versi cerita yang pernah didengarnya terdapat satu kisah yang paling diingatnya iaitu kisah rakannya sendiri yang bekerja sebagai pemandu lori dan pernah terserempak dengan seorang warga emas lelaki berkopiah yang berjalan kaki dan menahan lori yang dipandu pada jam 2 pagi di hadapan R&R Perasing.

Sebaik sahaja ditahan, rakan Mohd Muradzi memberhentikan kenderaan dan bertanya mengenai arah tuju pakcik lewat usia itu.

“Pakcik itu jawab ‘mahu ke depan tu sikit’. Tapi dia bukan mahu tumpang kawan saya sebaliknya dia pesan pada kawan saya supaya hati-hati. Dia bagitahu jalan di Perasing itu tak elok sebab ada kisah-kisah lama. Katanya di kawasan itu adanya kubur-kubur lama.

“Saya juga pernah dengar yang kawasan Lembah Perasing di kawasan ini adalah perkuburan besar komunis puluhan tahun lalu dan dalam banyakbanyak lokasi di sepanjang LPT2 ini difahamkan kawasan Perasinglah paling ‘keras’,” katanya.

Mangsa terselamat trauma

Sementara itu, mangsa kemalangan yang terselamat, Salimah Ghalam, 51, yang juga ibu kepada tiga anak mengakui terkejut apabila mendengar kisah jirannya melihat lembaga wanita berambut panjang selepas tiga jam mereka empat beranak kemalangan.

“Muradzi ceritakan kepada saya apa yang dia nampak itu lepas seminggu kami kemalangan. Dia cerita pada saya dekat waktu senja semasa saya sedang termenung di depan rumah.

“Saya pun tidak tahu apa yang arwah suami nampak waktu kami kemalangan. Saya yang duduk sebelah suami tak tidur pun waktu kami kemalangan dan seingat saya secara tiba-tiba kereta terbabas langgar pembahagi jalan sebelum saya pengsan sekejap,” katanya.

Ketika kejadian, Salimah bersama arwah suami dan arwah anak sulungnya serta anak bongsu, Hanis Shazhizatul, 14, dalam perjalanan balik dari Kampung Ibok, Kijal kerana menziarahi adiknya yang tercedera akibat terkena letupan belon gas.

Hanya anak keduanya, Hanis Shazhirah, 19, yang tidak terlibat dalam nahas itu kerana anak perempuannya itu tidak tinggal di rumah disebabkan belajar di Kolej Islam Pahang (Kipsas).

“Saya tak pernah lalu LPT2 sebelum ini tapi mungkin arwah suami dah banyak kali lalu. Sampai sekarang saya masih trauma dan tak mahu lagi lalu jalan itu. Sebagai mangsa, saya tak tolak kemungkinan faktor mistik turut jadi penyebab kemalangan kerana dalam al-Quran sendiri pun sudah dinyatakan ada makhluk lain dicipta selain manusia,” katanya.

Rasa mengantuk ketika lalui tempat ‘keras’

Pemilik pusat rawatan alternatif, Laila Husin, 56, mengakui banyak kali dia hampir terbabas setiap kali melalui ‘lokasi keras’ di LPT2 sekitar Kemaman berikutan rasa mengantuk yang teramat sangat ketika melalui laluan itu.

“Apa yang saya perasan, ada tiga tempat yang tiba-tiba kepala saya rasa hanyut dan datang rasa mengantuk yang teramat sangat setiap kali melalui LPT2,” katanya.

Menurutnya, lokasi itu ialah sekitar R&R Perasing yang menjadi lokasi enam beranak maut dalam kejadian 14 Oktober lalu, di Cheneh (lokasi kemalangan melibatkan bekas Ketua Polis Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam) dan sebelum plaza Tol Kijal.

Katanya, rasa hanyut dan mengantuk itu dirasainya pada ketika melalui lebuh raya itu pada waktu siang dan bukan pada waktu malam.

“Yang saya pelik, saya bukannya tak cukup tidur pun. Setiap kali lalui ikut LPT2 mesti saya mengantuk ketika lalu tiga lokasi itu. Kaki saya yang tekan pedal minyak seolah-olah tak rasa apa-apa. Kadang-kadang saya terlelap beberapa saat, sebab itu saya hampir hilang kawalan banyak kali. ‎

“Dalam keadaan begini apa yang penting kita kena basahkan mulut dengan bacaan ayat suci al-Quran dan zikir, malah sebelum mulakan perjalanan juga perlu amalkan baca doa agar sentiasa dilindungi. Dari pengalaman yang saya lalui ini saya percaya adanya gangguan makhluk ghaib tapi ajal maut semuanya di tangan ALLAH SWT,” katanya.


Ada pegawai SPRM 'makan dalam'

Ada pegawai SPRM 'makan dalam'
Abdul Samat (kanan) bersama Naib Ketua Pemuda Pemuda Pas Selangor, Abdul Mu'izz Muhammad (kiri) dan moderator pada Forum Integriti dan Pencegahan Rasuah Bersama Pemimpin Politik Pas Selangor. - Foto Sinar Online oleh RAZIATUL A RAJAK
 
 
SHAH ALAM - Ada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terpaksa menjalani rawatan psikologi gara-gara mengalami tekanan selepas kes yang disiasat ditolak untuk pendakwaan.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Abdul Samat Kasah berkata, hal itu kerana pegawai penyiasat itu yakin kes yang disiasat itu mempunyai bukti kukuh namun akhirnya ia tidak dituduh di mahkamah.

"Ramai yang kata SPRM perlu ada kuasa mendakwa. Kalau tanya saya, kalau boleh pun nak. Sebab selepas kita siasat, kita rasa...pegawai penyiasat ini ada satu semangat apabila buka kes, matlamatnya adalah kes itu boleh dituduh di mahkamah.

"Sehingga ada pegawai kita yang terpaksa menjalani rawatan psikologi kerana kesnya itu dirasakan 'sudah cukup bukti tapi kenapa tidak dituduh?'.

"Dia makan dalam. Siasat tiga bulan, kadang-kadang balik rumah hanya seminggu sekali. Jadi, dia rasa macam makan dalam," katanya pada Forum Integriti dan Pencegahan Rasuah Bersama Pemimpin Politik Pas Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, meskipun ramai yang menyuarakan agar kuasa mendakwa diberikan kepada SPRM bukannya Peguam Negara, namun beliau bimbang penompokan kuasa itu menimbulkan banyak isu lain.

Di mana, apabila siasatan dijalankan dan berlaku berat sebelah yang menyebabkan pendakwaan dilakukan walaupun tidak cukup bukti.

"Tetapi kalau kita beri penompokan kuasa, banyak isunya nanti. Di mana kadang-kadang kita jadi berat sebelah.

"Kita sebagai penyiasat, kadang-kadang dikaburi dengan kehendak kita...bukti tak cukup pun kita nak tuduh. Sebab itu perlu ada semak dan imbang," katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan pertikaian yang berlaku antara SPRM dengan Jabatan Peguam Negara yang berlaku akan dirujuk kepada panel khas penilaian.

"Panel boleh memanggil dan meminta supaya kes ini disemak semula. Panel ini tidak boleh mengarahkan ya, kerana Jabatan Peguam Negara sahaja boleh mendakwa.

"Sejak penubuhan, lebih 30 kes berlaku pertikaian dan lebih 10 kes akhirnya kita berjaya untuk mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk menuduh," katanya.