HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mac 2016

Tingkatkan Perkhidmatan Teksi, Kurangkan Bebanan Birokrasi



 
Oleh : Nasrudin bin Hassan


1. Kejadian mogok sekumpulan pemandu teksi di ibu negara pagi kelmarin memberikan gambaran terhadap kemuncak tekanan yang dihadapi golongan tersebut sejak sekian lama. Walaupun pada asasnya bantahan tersebut ditujukan kepada perkhidmatan Grab Car dan Uber yang seolah-olah mengganggu punca rezeki mereka, namun, bebanan yang ditanggung pemandu teksi merupakan suatu faktor yang tidak boleh dikesampingkan.

2. Antaranya adalah masalah permit teksi yang diberikan kepada syarikat-syarikat teksi yang lebih suka mengait keuntungan segera dan juga pembayaran wang cagaran atau sewa beli yang tinggi. Keadaan ini telah mendorong kepada bebanan tambahan yang gagal diuruskan dengan baik oleh pihak kerajaan.

3. Secara tidak langsung, ia memberi kesan kepada perkhidmatan teksi. Dalam masa yang sama, pendapatan pemandu teksi merosot kira-kira 50 peratus apabila Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD) pula memberikan peluang promosi terhadap perkhidmatan Grab Car dan Uber.

4. PAS menggesa Kerajaan agar meningkatkan perkhidmatan teksi dengan mengurangkan bebanan birokrasi seperti pemberian permit individu bagi individu yang telah lama berkhidmat, mengurangkan kebergantungan terhadap syarikat-syarikat teksi selain memperkasakan perkhidmatan kebajikan seperti caruman perkeso, KWSP dan sebagainya.

5. Tambahan lagi, Kerajaan juga digesa mencari titik penyelesaian bagi menangani permasalahan berkenaan perkhidmatan Grab Car dan Uber. Sekurang-kurangnya mencari jalan penyelesaian dengan menyediakan “padang yang sama rata” supaya persaingan yang sihat dapat berlaku. Sebaiknya Grab Car dan Uber ini dmansuhkan dan dalam masa yang sama perkukuhkan institusi teksi. Malangnya, Grab Car dan Uber lebih selesa memberikan servis tanpa ada peraturan lain yang dikenakan tidak seperti perkhidmatan teksi hari ini.


Kajian: Tidur siang lebih 40 minit boleh pendekkan umur anda


   

DETIK DAILY


LONDON,  — Jika anda berniat tidur sebentar lagi atau sedang mengantuk ketika membaca berita ini, demi kesihatan diri, pastikan anda menghabiskan bacaan.Amalan tidur siang, khususnya di tengah hari, lebih 40 minit boleh membawa risiko pendek umur, demikian menurut satu kajian terbaru.

Kajian di kalangan lebih 300,000 orang mendapati tidur siang yang lama dikaitkan dengan masalah metabolisme seperti kegemukan, tekanan darah tinggi dan kolestrol.

Hasil kajian ini diperolehi daripada analisis 21 penyelidikan yang melibatkan semuanya 307,237 orang dan dibentangkan dalam persidangan tahunan ke-65 American College of Cardiology.

Menurut portal Daily Mirror minggu lalu, kajian itu merumuskan tidur sebentar di waktu siang, seperti amalan di banyak negara, memang baik.

Namun risiko kesihatan makin ketara, sehingga boleh mati lebih awal, bermula apabila seseorang tidur lebih daripada 40 minit di waktu siang.

Penyelidik yang menemubual peserta-peserta kajian menemui hubung kait antara tempoh tidur siang dengan sejarah masalah kegemukan, kencing manis dan sindrom metabolisme.

Jika tempoh tidur lebih pendek daripada 40 minit, tidak ditemui kaitan antara masalah-masalah kesihatan ini dengan tidur siang.

Sewaktu tidur lama di waktu siang, badan menjangkakan kita ingin tidur nyenyak dan metabolisme terganggu apabila terjaga.

Namun jika tempohnya pendek saja, badan tidak berada dalam keadaan nyenyak, atau deep sleep, dan oleh itu tidak mengalami sentakan.

“Tidur memang penting untuk gaya hidup yang sihat, sama seperti pemakanan dan senaman,” kata Dr Tomohide Tamada, pakar kajian diabetes di Universiti Tokyo, yang mengetuai kajian itu.

“Tidur sebentar boleh membawa manfaat pada kesihatan kita, tetapi kita masih belum mengetahui kesan atau mekanisme badan yang menghasilkan manfaat itu.”

Yayasan Tidur Kebangsaan mencadangkan tidur siang yang sebaik-baiknya antara 20 hingga 30 minit kerana ia menyegarkan semula badan, lapor portal itu lagi.-themalaymailonline.com 

Ringgit cecah paras tertinggi dalam tempoh 7 bulan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ringgit mengekalkan aliran meningkatnya berbanding dolar AS dengan ditutup pada 3.897 hari ini, paras tertingginya dalam tempoh tujuh bulan berikutan sokongan berterusan daripada pelabur.
 
Unit tempatan ditutup pada 3.8970/8070 berbanding dolar AS daripada 3.9385/9455 semalam.
 
Seorang peniaga berkata unit tempatan meningkat ke paras baharu ini didorong oleh sentimen global yang positif.
 
"Sentimen global menerima rangsangan tidak dijangkakan semasa dagangan minggu ini susulan kenyataan pengerusi Rizab Persekutuan AS (FED) Janet Yellen yang memihak kepada kadar faedah rendah yang menidakkan jangkaan kenaikan kadar AS pada April.
 
"Nada berhati-hati beliau ke arah pelaksanaan kenaikan kadar Fed pada masa depan membayangi pandangan memihak kepada kadar faedah tinggi para pegawai Fed lain, di samping memberi kejelasan yang dicari oleh para pelabur," kata Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga dalam satu kenyataan.
 
Beliau berkata, dolar menerima kesan daripadanya apabila indeksnya jatuh merudum ke paras terendah dalam tempoh lima bulan pada 94.60.
 
Seorang peniaga lain berkata, berita itu meningkatkan mata wang Asia termasuk ringgit yang menjadi 'mata wang mencatatkan prestasi terbaik' rantau ini walaupun ia masih kekal kurang menarik.
 
Berbanding mata wang utama, unit tempatan diniagakan tinggi.
 
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.8929/8022 daripada 2.9157/9215 semalam dan naik berbanding yen kepada 3.4689/4788 daripada 3.5087/5159 sebelumnya.
 
Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.4254/4376 daripada 4.4580/4667 dan meningkat berbanding pound British kepada 5.6047/6214 daripada 5.6667/9776 pada Rabu.
 
 

WSJ: PM belanja AS$15 juta untuk cuti, barang kemas

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI


Lebih banyak maklumat berhubung dakwaan sikap boros keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membelanjakan jutaan ringgit didedahkan lagi hari ini.

Menurut akhbar The Wall Street Journal, Najib menghabiskan AS$15 juta bagi percutian, membeli-belah dan barangan kemas. Perbelanjaan dilakukan di Amerika Syarikat, Malaysia, Itali dan di beberapa tempat lain.

Dokumen siasatan pihak berkuasa Malaysia menunjukkan bahawa kad kredit Najib digunakan bagi membayar pembelian di gedung fesyen Chanel di Honolulu, Hawaai bernilai AS$130,625.

Ini berlaku dua hari sebelum beliau bermain golf dengan Presiden Barrack Obama pada malam Krismas 2014.

Kunjungan ke Amerika Syarikat itu menjadi kontroversi apabila beberapa negeri di pantai timur Malaysia dilanda banjir teruk dan Najib terpaksa terbang pulang untuk melawat kawasan yang terjejas.

WSJ melaporkan bahawa seorang pekerja di kedai Chanel di kawasan kelas atasan Ala Moana Center masih mengingati isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang membeli-belah di gedung itu sebelum Krismas.

"Urus niaga di gedung Chanel itu dibayar melalui kad Visa atas nama Najib, menurut dokumen siasatan Malaysia. Pada mulanya transaksi itu tidak berjaya dan Najib yang turut hadir, terpaksa menelefon bank untuk meluluskan pembayaran berkenaan," kata laporan itu.

Dokumen itu juga menunjukkan bahawa kad kredit dibayar melalui akaun atas nama Najib dan akaun berkenaan telah dikreditkan dengan AS$9 juta beberapa bulan sebelum itu.

Kereta mewah

Menurut dokumen itu, wang berkenaan datang dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang kini berada di bawah Kementerian Kewangan dan diterajui oleh Najib sebagai menterinya.

"Pada hari Najib bermain golf dengan Obama, SRC International memindahkan lagi AS$9 juta ke akaun itu melalui cabang tanggungjawab sosial korporat 1MDB. Wang itu tiba sehari selepas Krismas," kata laporan WSJ itu.

Dokumen juga menunjukkan Jakel Trading Bhd, peruncit pakaian mewah Malaysia, sebagai antara penerima paling lazim dana dari akaun Najib.

"Di antara 2011 dan 2014, Najib memindahkan lebih AS$14 juta kepada Jakel, menurut dokumen.

Syarikat itu mengkhusus dalam pakaian tradisional Melayu, sut, pakaian perkahwinan dan kelengkapan rumah."

WSJ berkata terdapat juga perbelanjaan yang dicatatkan pada 28 Jun, 2011, di Signature Exotic Cars, pengedar kereta di Kuala Lumpur dengan harga AS$56,000.

"Kad kredit Najib juga mencatatkan perbelanjaan €750,000 pada Ogos 2014 di cawangan Itali, De Grisogono, sebuah kedai barangan kemas milik Switzerland.

"Seorang pekerja De Grisogono mengesahkan Rosmah, isteri perdana menteri, adalah pelanggan di kedai emas syarikat itu di cawangannya di Porto Cervo, sebuah resort kecil di Sardinia. De Grisogono enggan mengulas."

WSJ juga menghubungi beberapa syarikat lain yang didakwa terlibat dalam urus niaga berkenaan, tetapi semuanya tidak mahu mengulas.

Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku dan menggunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi.





Isu teksi akan diselesai secara adil - PM

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
  
KUALA LUMPUR: Satu penyelesaian yang adil dan saksama akan diputuskan dalam masa terdekat berhubung isu teksi demi kepentingan pengguna dan penyedia perkhidmatan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.
 
Beliau berkata kepentingan kedua-dua pihak itu tetap menjadi pertimbangan utama kerajaan ketika rangka penyelesaian dibincang dan disediakan.
 
"Saya faham dan prihatin terhadap masalah dan rungutan dalam kalangan pemandu teksi disebabkan oleh penggunaan perkhidmatan pemandu kereta Uber dan GrabCar di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.
 
"Saya ada membaca laporan mengenai protes oleh pemandu teksi di Bukit Bintang baru-baru ini," katanya melalui blog NajibRazak.com hari ini.
 
Menurutnya masalah pemandu teksi itu bukan sahaja berlaku di Malaysia malah juga sedang diteliti di banyak negara lain.
 
"Dalam era serba canggih dan berinovasi ini, kita perlu bersedia untuk menerima dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi," katanya.
 
Menurut Najib, persaingan mesti juga dilihat sebagai batu loncatan dan bukan halangan agar perkhidmatan terbaik dapat dinikmati oleh rakyat.
 
Seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), katanya, kerajaan sedang mengkaji dan meneliti cadangan-cadangan bagi menangani dua isu pokok iaitu pertamanya pendapatan dan kebajikan pemandu teksi dan keduanya isu kereta sewa seperti Uber dan Grabcar yang menggunakan aplikasi telefon pintar.
 
Dalam kejadian Selasa lalu kira-kira 300 pemandu teksi berkumpul di sekitar kawasan Bukit Bintang di sini dengan meletakkan teksi-teksi di jalan sehingga menghalang lalu lintas sebagai bantahan terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar.
 
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika ditemui pemberita pada hari itu berkata SPAD telah diminta untuk mempercepatkan proses pendaftaran pemandu yang terlibat dengan perkhidmatan Uber dan Grabcar itu bagi mengelak berlaku syak wasangka dalam kalangan pemandu teksi.
 
 

'22 tahun kita pertahan dia, sekarang mana maruahnya?'

SINAR HARIAN


Najib Mahathir


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepimpinan dan ahli Umno supaya tidak mengkhianati perjuangan parti demi kepentingan agenda peribadi sehingga menggadai maruah diri.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, perjuangan politik yang berlandaskan moral dan prinsip perlu dipertahankan bagi menghadapi pelbagai cabaran dan isu dalam negara.

"Dalam politik, kita mesti ada moral dan prinsip...kalau buat apa-apa pun mesti berpegang kepada Perlembagaan negara, kalau tidak, negara akan huru-hara.

"Kalau huru-hara, apa yang kita perjuangkan sekarang akan hancur lebur...apa nak kita tinggalkan pada anak-anak dan cucu-cucu kita," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Anggota Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) dan pelancaran Kelab Waris PBAKM di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PBAKM, Datuk Melati Ali.

Najib turut membidas pemimpin yang dilihat beralih pendirian dan bertukar perjuangan.

"Bukan ke setengah orang dahulu cakap lain...dahulu suruh sokong parti, dahulu nasihat jangan kalau dah bersara jangan lupa (parti). Waktu kita jadi pemimpin, orang lain sokong kita, bila kita berhenti (jadi pemimpin) kita wajib sokong parti.

"Di mana duduknya orang itu sekarang...dia tidak duduk sebaris Umno lagi, dia tidak duduk dengan pejuang yang setia dengan perjuangan.

"Dia duduk dengan orang yang dahulu dia cakap rasis, cauvanis, komunis, anti-Islam dan anti-Melayu. Apa kita nak kata dia sekarang. Kita pertahankan dia selama 22 tahun. Orang kata dia maha zalim, maha firaun...bukan saya kata, mereka kata. Saya menyambung apa yang mereka kata.

"Sekarang, dia duduk sebaris (dengan mereka)...di mana letak maruah diri. Kalau kita tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya kita ada maruah," kata perdana menteri sambil menegaskan bahawa rakyat tidak lagi terpengaruh dengan usaha menjatuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum.

Najib berkata, rakyat tidak akan membiarkan orang luar menentukan kepimpinan negara sebaliknya, menyokong usaha kerajaan dalam merencanakan pembangunan negara.

"(Oleh itu) jangan layan karenah puak-puak ini kerana kita ada banyak lagi kerja dan agenda untuk rakyat dan negara. Kita mesti istiqamah, fokus sebagai pemimpin kerajaan, kita mesti pastikan negara terus berjaya di bawah kepimpinan Barisan Nasional dan Umno," katanya.

Beliau mengingatkan tentang tanggungjawab pemimpin untuk mewariskan sebuah negara yang lebih kukuh kepada rakyat.

"Kalau ada kesilapan, kita betulkan sesama kita, jangan hancurkan negara kita, jangan hancurkan parti yang kita sayangkan. Kalau parti hancur, tiada lagi perjuangan. Sebab itulah, kita perlu kasihkan parti, kasihkan negara," katanya.

Terdahulu, kira-kira 5,000 anggota PBAKM yang diketuai Melati membaca ikrar taat setia dan menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Najib. - Bernama


Hantaran: Pengantin lelaki jangan berselindung

Hantaran: Pengantin lelaki jangan berselindung
Gambar yang menjadi viral di laman sosial. - Foto Sumber Internet


KOTA BHARU - Kerajaan negeri menasihatkan keluarga pengantin supaya menghormati institusi akad nikah, malah pihak lelaki wajib berterus terang dalam apa jua status terutama  berkait wang hantaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi berkata, seelok-eloknya perkahwinan perlu ada perundingan dan kesabaran, bukan diakhiri dengan sengketa.

“Perkahwinan itu proses berkahwin dan penyatuan dua keluarga, sebaik-baiknya berunding dan sabar, tidak jadi kahwin bukan bererti kena berbalah.

“Mas kahwin pula simbol ekonomi dan nafkah kepada isteri dan ia bukan segala-galanya, namun pihak lelaki wajib berterus terang dengan apa jua status supaya tidak timbul isu dan penipuan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kisah dua keluarga pengantin bergaduh di Masjid Jamek Al-Khadijah di Pantai Dalam, Sabtu lalu dan dimuat naik ke laman Facebook menjadi viral dan bualan masyarakat.

Mumtaz berkata, sewajarnya rombongan yang berada di masjid perlu menghormati tempat ibadah itu kerana masjid adalah institusi yang paling mulia dalam Islam.

“Majlis mulia dan ceria, jangan dicemari insiden hina-menghina dan perkelahian, mereka dituntut menjayakan kerja baik ini,” katanya.

Jelasnya, pernikahan adalah kontrak antara dua manusia sepanjang hidup dan akan melahirkan zuriat, jadi pasangan yang bakal berkahwin perlu berhati-hati dalam soal perkahwinan berkenaan.

“Kedua-dua pihak perlu bersabar dengan solat dan doa kerana syaitan menggalakkan pergaduhan untuk gagalkan perkahwinan,” katanya.

Tegasnya, keluarga itu sendiri dan orang ramai diminta tidak menyebarkan video dan memanjangkan kes tersebut kerana di dalamnya terselit maruah dan masa depan.


Azalina: Serangan terdesak buktikan Najib tak bersalah

Zikri Kamarulzaman




Serangan terdesak ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya membuktikan bahawa beliau tidak bersalah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Lebih banyak mereka buat dakwaan, adalah jelas mereka mengesahkan (bahawa) perdana menteri tidak bersalah kerana mereka terdesak," kata Azalina kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas laporan berita media Australia yang baru-baru ini yang mengkritik Najib.

Azalina berkata, rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli Umno tidak mudah tertipu untuk mempercayai laporan berkenaan dan berkata beliau yakin ada motif tersembunyi untuk menyingkirkan Najib.

Beliau berkata menyifatkan laporan berkenaan sebagai tidak sensitif.
"Bagaimana mereka rasa jika TV3 atau Astro buat dokumentari mengenai pemimpin mereka?" soalnya.

Australian Broadcasting Corporation (ABC) dalam laporannya beberapa hari lalu mendakwa jutaan ringgit dari akaun Ambank yang kononnya dimiliki oleh Najib dibelanjakan untuk pembelian barangan kemas, percutian, kereta mewah dan kempen politik.

Gelang Rosmah tak sampai siku pun, kata Tajuddin .

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI


Tidak ada apa yang salah dengan memiliki beg tangan dan barangan kemas jika seseorang itu berkemampuan, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau yang juga adalah ahli Majlis Tertinggi Umno mempertahankan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor.

"(Hanya) satu atau dua beg, mengapa tidak? Beliau seorang perempuan, saya tahu perempuan suka beg tangan.

"Saya diberitahu bahawa antara cara memenangi hati seorang perempuan adalah dengan membelikan (beliau) beg tangan," katanya kepada pemberita di Parlimen.

Mengenai barangan kemas Rosmah,Tajuddin berkata isteri perdana menteri bersikap sederhana dan secara berseloroh berkata beliau tidak pernah gelang yang dipakai sehingga siku.

"Saya tidak lihat (gelangnya) hingga sini (siku).

"Sesetengah wanita India suka pakai (gelang emas) hingga (siku mereka), tetapi bukan berlian dan emas, semua palsu," katanya sambil bergelak ketawa.

"Saya juga berpakaian segak hari ini, awak tidak cemburu pun kerana saya mampu," katanya merujuk pakaian rasmi ketika menghadiri persidangan parlimen.

Beliau berkata memiliki barangan kemas atau mewah perlu bergantung kepada kemampuan seseorang.

Tajuddin juga mempertahankan gaya hidup Rosmah dan Najib dengan alasan bahawa mereka hidup dalam kesederhanaan dan bukannya dalam kemewahan ataupun boros seperti yang didakwa oleh sesetengah media asing.

"Cara mereka pergi bercuti hanya biasa," katanya.

Beliau mengulas laporan The Wall Street Journal yang mendakwa Najib dan keluarganya membelanjakan AS$15 juta untuk percutian, membeli-belah dan barangan kemas.

Pengesan cepat DNA babi dicipta, hasil dalam sejam

MALAYSIAKINI




Pasukan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta alat pengesan asid deoksiribonukleik (DNA) babi yang mampu memberikan hasil hanya dalam tempoh sejam.

Alat itu dijangka memberi kesan besar terhadap industri halal sedunia.

GeneStat mudah alih itu menggunakan sistem “HaFYS Porcine DNA Detection Assay”, lapor The Star Online.

Ia dapat mengurangkan risiko pencemaran sampel yang dibawa ke makmal selain memendekkan masa analisis yang sebelum ini memakan masa beberapa hari.

“Ia dicipta pada 2011 dan dikomersialkan tahun lalu, tetapi kini kami melesenkannya secara eksklusif kepada syarikat Amerika, DxNA LLC untuk memaparkannya secara global,” Timbalan Pengarah Institut Kajian Halal UPM Prof Dr Shuhaimi Mustafa dipetik sebagai berkata.