HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Oktober 2016

Zahid tidak kecil hati dikritik berucap bahasa Inggeris di UNGA

MALAYSIA GAZETTE


Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sama sekali tidak ambil peduli atau berkecil hati berhubung kritikan terhadap beliau yang berucap dalam bahasa Inggeris pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-71 di New York baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau secara sinis berkata apa yang lebih memalukan adalah sekiranya rakyat Malaysia yang lahir dan membesar di tanah air tetapi tidak mampu bercakap dalam bahasa Melayu.

"Sebagai orang Malaysia perlu fahami bahawa di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung," katanya ketika menutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menarik perhatian bahawa terdapat segelintir warga asing yang baru tinggal di Malaysia tetapi fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

"(Ini lebih baik) berbanding dengan rakyat Malaysia yang telah 25 tahun tinggal di negara ini tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu," katanya.

Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata mesej yang disampaikan Ahmad Zahid pada Perbahasan Umum PBB itu diterima baik oleh negara anggota badan dunia itu.

"Adalah malang bahawa sesetengah rakyat Malaysia telah mengkritik dan memilih untuk menonjolkan cara penyampaian ucapan oleh timbalan perdana menteri daripada fokus dan mencerna mesej penting yang beliau sampaikan pada Perbahasan Umum PBB," kata Anifah.-- BERNAMA


Ahad, 2 Oktober 2016

Persempadanan semula konspirasi Umno-SPR, selar DAP

ARIF ATAN
 
 
Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok WaiPemangku Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai


DAP menentang sekeras-kerasnya cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dianggap sebagai konspirasi bersama Umno.

Pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai berkata, dakwaan Umno kononnya mereka juga tidak berpuas hati dengan syor tersebut adalah satu penipuan.

"Persempadanan semula ini satu konspirasi Umno-SPR. Wilayah Persekutuan menyaksikan kawasan-kawasan Umno diperkukuh dengan memindahkan zon-zon atau lokaliti pengundi yang tidak memihak kepada Umno pada PRU (Pilihan Raya Umum) lepas.

"Kawasan-kawasan yang merupakan kubu kuat PKR misalnya dikeluarkan masuk dalam (kawasan) DAP.

"Ini masalah besar kerana keputusan pilihan raya menentukan masa depan negara dan kesejahteraan rakyat," tegasnya yang juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau dalam ucapannya sempena Ceramah Kemuncak Setahun Amanah anjuran Wilayah Persekutuan malam ini menggesa supaya pihak SPR bertanggungjwab dengan persempadanan yang tidak adil.

"Persempadanan semula adalah tidak seimbang dan mesti ditolak. Saya seru Pengerusi SPR letak jawatan atas kesalahannya yang besar ini," tambahnya lagi ketika berucap di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru di ibu negara.

Untuk rekod, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Annuar Musa yang kini merupakan Ketua Penerangan Umno.

Polis perlu bertindak terhadap pengacau konvoi Bersih 5

MALAYSIA DATELINE
 
 
Lim Lip EngLim Lip Eng


Ketua Polis Daerah di setiap daerah di mana juak-juak Umno berbaju merah mencetuskan pertembungan atau keadaan tidak aman terhadap penyokong Bersih mesti mengarahkan kumpulan tersebut ditangkap tanpa perlu menunggu arahan Ketua Polis Negara.

Ahli Parlimen Segamut, Lim Lip Eng berkata pihak polis mesti diperingatkan bahawa mereka mesti bertanggungjawab terhadap sebarang kejadian tidak diingini sepanjang konvoi tujuh minggu Bersih 5, sekiranya Jamal dan kumpulan samsengnya tidak diberkas ekoran pertempuran semalam di Teluk Intan.

Menurutnya, Amaran Ketua pemuda Umno Wilayah, Mohd Razlan Rafii supaya kerajaan bertindak kepada syarikat yang dikaitkan dengan Bersih 5 perlu diberi perhatian.

"Jika kita mengikut logik akal Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Razlan Rafii supaya kerajaan membatalkan kontrak yang diberikan kepada syarikat swasta yang terlibat dengan gabungan penambahbaikan pilihanraya, Bersih, adakah Ali Tinju, Jamal Yunos dan Mohd Razlan sendiri serta semua juak-juak Umno mendapat imbuhan dalam bentuk kontrak atau bayaran setiap kali mereka menimbulkan kekacauan di perhimpunan-perhimpunan aman yang dianjurkan NGO dan juga parti-parti pembangkang?" soalnya.

Kenyataan Razlan katanya, telah menjawab kekeliruan orang ramai tentang kenapa pemimpin Umno dalam kumpulan baju merah serta juak-juak mereka tidak berhadapan tindakan undang-undang apabila membuat ugutan bunuh dan kenyataan provokatif.

"Ini kerana bukan sahaja kerajaan Umno merestui tindakan mereka, malah mereka juga mungkin menerima kontrak kerajaan dan insentif untuk meneruskan perbuatan jahat mereka.

"Jika tidak, kenapa mereka boleh terus kembali membuat kacau di ibu pejabat DAP namun tidak seorang pun dihadapkan ke mahkamah?," katanya.

Menurut Lim, samseng Umno berbaju merah akan terus membuat kacau sekiranya tindakan mereka tidak dibanteras dari awal.

Selangor, Kelantan milik BN PRU14?



Selangor, Kelantan milik BN PRU14?
 

SELAIN Umno dan DAP, semua parti sama ada daripada BN ataupun pembangkang tidak memperoleh apa-apa kelebihan dalam cadangan peta persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sekiranya cadangan persempadanan semula itu diluluskan Parlimen, sementara Pakatan Harapan gagal mencapai kata sepakat dengan Pas mengenai pembahagian kerusi, adalah diramalkan Selangor dan Kelantan yang diperintah oleh pembangkang akan berjaya dirampas oleh BN pada PRU14.

Penganalisis PKR, Chan Ming Kai  memberitahu Sin Chew Jit Poh, hasil kajian partinya juga mendapati tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Terengganu juga bakal dimenangi BN dengan majoriti dua pertiga kerusi.

Menurutnya, di bawah cadangan SPR itu, kebanyakan pengundi Cina akan dipindahkan ke kawasan milik DAP sehingga kawasan campuran Melayu dan Cina semakin berkurangan.

"Apabila berlakunya keadaan ini, Umno Selangor akan dapat faedah kerana tidak dapat dinafikan, kemenangan calon Pas pada PRU 2013 adalah atas sokongan pengundi Cina.

"Keadaan juga tidak akan memihak kepada Pas sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru apabila Amanah turut meletakkan calon," katanya.

Ming Kai berkata, keadaan yang sama juga berlaku di Kelantan apabila Amanah meletakkan calon sehingga membabitkan tiga penjuru.


Keadaan kesihatan Hadi bertambah baik

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang


SHAH ALAM- Keadaan kesihatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini bertambah baik.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, Hadi kini sedang beristerehat di Institut Jantung Negara (IJN), dan mengambil rawatan susulan biasa untuk mengawal tahap kesihatan beliau.

"Tuan Guru agak kepenatan dengan jadual yang agak padat mutakhir ini. Insya-ALLAH dengan kerehatan ini akan mengembalikan kesihatan Tuan Guru.

"Kepada seluruh umat Islam, teruskan berdoa buat murabbi ummah​ ini, agar Tuan Guru dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan untuk memimpin perjuangan Islam di bumi bertuah ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hadi kurang sihat ekoran keletihan]

Sebelum ini Sinar Online melaporkan Hadi kurang sihat dan terpaksa mengehadkan masanya menghadiri program yang telah dijadualkan.

Semalam, Abdul Hadi yang biasanya menyampaikan kuliah mingguannya setiap pagi Jumaat
di Masjid Rusila, Marang hanya memberi ceramah kira-kira satu jam berbanding kebiasaannya selama dua jam.

Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Marang itu, Zaihan Mohd Daud berkata,‎ walaupun berdepan
masalah kesihatan, Abdul Hadi tetap meluangkan masanya untuk menghadiri program.  


Pembangkang sifatkan akta dana politik hanya untungkan BN

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pembangkang tetap bertegas tidak mahu menerima cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) untuk menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik. 
 
Naib Presiden DAP Dr. Tan Seng Giaw berkata, cadangan tersebut hanya akan memberi keuntungan kepada parti pemerintah sahaja. 
 
“Cadangan JKNMPP itu menimbulkan kontroversi kerana ia tidak jelas. Syarat-syarat yang adil dan munasabah perlu diperlihatkan untuk semua ahli politik, sama ada pembangkang mahu pun BN,” katanya dipetik Mingguan Malaysia hari ini.
 
Terdahulu Pengerusi JKNMPP Datuk Paul Low Seng Kuan, mencadangkan satu akta baru, Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik digubal bagi mena­ngani isu berkaitan politik wang yang telah lama wujud.
 
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan, draf akta itu turut merangkumi 32 cadangan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu proses pelaksanaan, keperluan undang-undang baharu dan jangkaan pelbagai isu berbangkit dalam jangka panjang.
 
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata sepatutnya sebelum ia diusulkan, kerajaan perlu memanggil kesemua pemimpin parti politik terlebih dahulu bagi membincangkan mengenai akta tersebut. 
 
“Sepatutnya, beliau perlu memanggil kami semua supaya boleh membincangkan kaedah dan mekanisme terbaik mengenai akta itu,” katanya.
 
Manakala PKR pula pula tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia tidak mempunyai kaedah semak dan imbang yang berkesan dalam usaha menyekat rasuah politik.
 
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata hanya akan menerima cadangan JKNMPP itu sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia untuk mewajibkan semua ahli politik yang akan bertanding dalam pilihan raya mengisytiharkan harta secara terperinci dengan menguatkuasakan lima langkah. 
 
"Antara langkah tersebut adalah pengisytiharan harta secara terperinci melibatkan pengisytihar, isteri dan setiap anak dengan memperincikan pendapatan bulanan daripada semua sumber, perbelanjaan bulanan bagi semua tanggungan dan aktiviti.
 
“Jika Datuk Seri Najib bersetuju dengan langkah-langkah itu, saya akan menjadi orang pertama yang menyokong sebahagian besar cadangan-cadangan yang dikemukakan JKNMPP itu,” kata Rafizi.
 
 

Amanah seru pembangkang sebaris lawan Umno‎ .

Salahuddin Ayub


KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru semua parti-parti politik di negara ini duduk dalam satu barisan bagi menentang BN dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, mana-mana parti pembangkang yang tidak bersama barisan pembangkang jelas menunjukkan sokongan kepada BN.

"Nak menang, semua parti dalam negara ini perlu bersatu. Ayuh satukan tenaga untukk berdepan dengan BN dalam Pilihan Raya ke-14 (PRU14) akan datang.

"Mana-mana parti yang tidak bersama pembangkang, mereka hantar isyarat jelas kepada rakyat bahawa merekalah yang bersama Umno-BN. Kita kena 'firm'," katanya ketika berucap pada Ceramah Kemuncak Setahun Amanah, di sini, semalam.

Salahuddin juga menegaskan kepada penyokongnya, Amanah dan parti pembangkang lain tidak mampu menang sekiranya berseorangan.

"Tapi kalau kita berkawan, kita boleh menang. Dulu kita (Pas) berkawan dengan (Parti) Semangat 46 kita mampu tewaskan Umno BN di Kelantan.

"Kita perlu belajar dari pengalaman lalu," katanya.

Dalam ucapan sama, beliau memberitahu setelah setahun bertapak, Amanah telah mempunyai lebih 80,000 ahli berdaftar.

Amanah ditubuhkan 16 September tahun lalu selepas berlaku perpecahan dalaman Pas.

Adik, jiran maut dibunuh angkara abang

Adik, jiran maut dibunuh angkara abang
Mangsa yang sebelum ini terlantar sakit terbaring di sisi abang (kiri) dan ibunya (kanan).


BALING - Dua maut selepas salah seorang mangsa dibunuh oleh abangnya sendiri dalam satu kejadian amuk di Kampung Lanai, awal pagi tadi.

Seorang lagi mangsa dibunuh ketika cuba meleraikan situasi tegang itu adalah jirannya.

Penduduk, Tamizi Nazir, 43, berkata, bagaimanapun ibu mangsa sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan jiran.

"Mangsa seorang lagi adalah wanita berusia dalam lingkungan 50-an dibunuh ketika ingin meleraikan keadaan.

"Makcik tu kepalanya teruk dihentak objek, darah banyak keluar," katanya.

Muhyiddin minta PAS beri kerusi tradisi pada PPBM

Oleh Zeanaaima Md Yusuf
Post Pic
 
 
KEMAMAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta PAS menyerahkan beberapa kerusi tradisi parti itu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan datang.
 
Bagaimanapun PPBM menuntut kerusi yang gagal dimenangi PAS pada pilihan raya umum yang lepas.
 
"Lepas ini saya nak beri amaran pada PAS, kalau ada kerusi-kerusi PAS...boleh bagi pada BERSATU (PPBM) berilah. Bukan bagi yang dah ada (menang), yang dah menang itu, menanglah tak usah kacau. 
 
"Tapi bagi yang mana PAS tanding tapi kalah, Umno menang. Yang itu bagi kita cabar. Kalau letak BERSATU (PPBM), InsyaAllah, boleh menang," ujarnya ketika berceramah di Himpunan Harapan Semua, PAS Ganti Umno (PGU) HARAP 3.4, di Kemensik, Kemaman, Terengganu, malam tadi.      
 
Muhyiddin malam tadi buat pertama kalinya tampil di atas pentas ceramah PAS memberitahu, dirinya mewakili PPBM sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin PAS dan berbincang mengenai usaha ke arah kerjasama dengan parti itu pada pilihan raya akan datang.
 
Ujarnya, pertemuan itu amat positif dan tidak menolak hasrat untuk pakatan pembangkang menjamin pertandingan satu lawan satu pilihan raya akan datang, menjadi kenyataan.
 
"Sebelum saya gerakkan BERSATU (PPBM), saya runding dua kali dengan Datuk Mustafa Ali (Pengarah Pilihan Raya PAS). Saya jumpa dengan (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presien PAS) dan saya juga berunding Tuan Guru Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beberapa minggu lepas. 
 
"Saya rasa peringkat pertama pertemuan antara BERSATU (PPBM) dengan PAS jelas terbukti minat untuk bersama-sama bergabung dalam satu pakatan untuk tentukan banyak kawasan yang bakal kita tandingi adalah 'satu lawan satu'," Ujar Muhyiddin.
 
PPBM boleh jadi orang tengah 
 
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata beliau yakin, PPBM boleh memainkan peranannya membantu PAS dan Pakatan Harapan (PH), agar bekerjasama menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.
 
"Saya nak alu-alukan kerjasama (antara PAS) dengan parti-parti pembangkang termasuklah BERSATU (PPBM), kami bersedia untuk duduk bersama-sama.
 
"BERSATU (PPBM) bersedia untuk bersama-sama dalam apa jua keadaan sekalipun. BERSATU (PPBM) mengharapkan kerjasama PAS, adalah kerjasam antara dua hubungan parti yang paling kami hargai," katanya.       
 
Muhyiddin dalam ucapannya berkali-kali menyatakan penghargaannya apabila dijemput untuk berceramah dalam program PAS, yang suatu ketika dahulu menjadi musuh politiknya.
 
Malah penampilan sulungnya ini dikatakan banyak pihak sebagai usaha bekas timbalan presiden Umno itu untuk meraih sokongan PAS terhadap penubuhan PPBM, bulan lalu.
 
"Saya berada disini buat pertama kali, saya duduk dengan kawan-kawan yang pakai baju hijau, saya pakai merah, tapi matlamat kita sama.
 
"Dalam sejarah hidup saya tak pernah saya mimpikan berada dalam suatu himpunan bersama pimpinan PAS. Selama lebih 45 tahun saya berada politik Umno, PAS adalah parti yang saya tentang," ujarnya disambut laungan takbir oleh hadirin yang hadir.
 
PAS sebelum ini dilihat menjarakkan diri daripada mengulas kerjasamanya dengan PPBM, selepas parti tajaan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berikrar mahu menjatuhkan kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Najib Razak.
 
PAS berulang kali menegaskan, menerusi slogan terbarunya, Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), parti itu tidak menyokong usaha menjatuhkan kerajaan pemerintah melalui cara yang tidak demokratik.
 
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dalam sidang medianya berkata, kenyataan Muhyiddin bahawa pertemuan PPBM dengan PAS ke arah kerjasama politik, cukup positif adalah pandangan peribadinya.
 
PAS masih bincang kerjasama dengan pembangkang
 
Ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, sehingga kini proses rundingan masih berlaku, malah katanya, keputusan berhubung isu ini tidak akan dicapai dalam masa terdekat.
 
"Sebenarnya kita belum ada keputusan lagi berkenaan isu ini. Saya tidak boleh beri kenyataan peribadi (dalam isu ini). Ini babitkan polisi dan strategi politik pilihan raya. 
 
"Berkenaan satu lawan satu (pada pilihan raya umum), memang kita (PAS) berkehendak macam itulah. Cuma jangan orang pula datang dengan tanpa minta izin dan sebagainya. Konsep kita konsisten," ujarnya kepada pemberita.

BERITA BAIK UNTUK RAKYAT MALAYSIA, SETEM PUN DAH KENA GST!!

shahbudindotcom



 
 
Selain harga petrol menaik sebanyak 10 sen bermula jam 12 tengah malam tadi, bermula 1 Oktober ini turut diumumkan pengenaan cukai GST terhadap setem oleh Pos Malaysia.

Satu lagi kebanggaan berada di bumi Malaysia.