Ahli
Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan mengapakah
Mursyidul Am Pas Ustaz Hashim Jasin begitu mudah mengeluarkan “fatwa”
menghianati janji bagi calon Pas yang keluar parti itu tetapi berdiam
diri terhadap calon parti itu yang menghianati pengundi Cina dan Melayu.
Beliau merujuk kepada Malaysiakini yang memetik laporan Utusan
Malaysia yang mengatakan Mursyidul Am Pas itu mendakwa Ahli Parlimen
Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang mengisytiharkan diri keluar Pas
kelmarin sebagai menghianati janji atau melanggar baiah.
Ahli parlimen AMANAH itu berkata, seperti yang diduga, Musrsyidul Am
bersandar pada baiah lalu dikatakanlah yang YB Pokok Sena perlu
bertanggungjawab kerana didakwa khianat janji dengan Allah.
“YB Pokok Sena menjadi mangsa terbaru dituduh khianat, selepas dulu
kami khususnya enam orang MP AMANAH juga didakwa sebegitu. YB Tumpat
yang berhijrah ke PKR juga dihentam dengan isu yang sama.
“Beberapa orang Adun AMANAH juga dihentam sama khususnya YB Salor
yang sehingga kini masih terus dihentam,” tulis beliau dalam
Facebooknya.
Sehubungan itu, Hanipa mempersoalkan, sewaktu YB Pokok Sena itu masih
dalam parti suci itu dan juga teruk dihentam dan diserang, mengapakah
Mursyidul Am diam tidak bersuara?
“Begitu juga bila YB Marang agak kerap tidak hadir sidang Parlimen,
tak dengar juga suara Mursyidul Am menegur YB Marang dan tak dengar pula
“fatwa” Mursyidul Am tentang status pendapatan YB Marang.
“Takkan serangan terpilih pulak? Dalam zaman Khalifah Umar Al-Khatab
selalu dijaja yang wanita rakyat biasa pun berani tegur Khalifah.
“Jika orang lain mudah sangat di “fatwa” khianat janji tapi bila para
calon parti suci menang dengan sokongan pengundi muslim dan non muslim
yang benci gila kat BN lalu undi calon parti suci, lalu menang pulak dan
lepas menang dilihat parti suci banyak kali “mesra” dan bagi “nyawa”
kepada BN, tak dengar pulak kita “fatwa” Mursyidul Am?
“Yang itu masih raba-raba lagi ke ustaz macam 1MDB jugak?
“Saya tak pasti masa YB Pokok Sena dah mula aktif dalam parti suci
Mursyidul Am sudah atau belum aktif atau masih “cari makan” dengan Felda
lagi masa tu?
“Maaf tak pasti. Yang saya pasti YB Pokok Sena aktif dalam parti suci
ketika parti suci tengah susah dan pernah di ISA dan masuk penjara
sebulan menentang kehadiran pasukan kriket Israel ke Malaysia,” kata
beliau.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata, sebab partinya dianggap
sebagai pembangkang yang 'sesat' di mata DAP hanyalah kerana mereka
enggan tunduk kepada parti itu.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam
yang menyifatkan PAS sudah menyimpang daripada perjuangan politiknya dan
kini menjadi 'pembangkang olok-olok' dan 'sesat' sehingga dipuji Umno.
Idris berkata, kenyataan seumpama itu hanya menunjukkan sikap sebenar DAP sebagai parti politik yang angkuh.
"Sesat di neraca Lim apabila PAS tidak boleh dicucuk hidung oleh DAP.
Tidak mengapalah kalau hendak tuduh PAS sesat kerana mempertahankan
prinsip perjuangan kami," katanya dalam kenyataan, hari ini.
"Lagi banyak Lim serang PAS dan perjuangan Islamnya lagi baik. Biar
masyarakat tahu siapa Lim dan DAP yang sebenarnya. Baru perintah satu
negeri sudah tunjuk belang sebenar," katanya lagi, sambil menyifatkan
kritikan DAP terhadap parti itu hanya akan menimbulkan kemarahan
masyarakat, terutama orang Melayu.
Dalam sidang media semalam, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang
berkata anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengambil tindakan
keluar PAS kerana ingin bersama parti yang benar-benar melawan BN.
"Mahfuz mahu pakatan pembangkang yang boleh bersihkan Malaysia dari
skandal Felda, 1MDB, nak benar-benar lawan BN bukan nak kerjasama secara
senyap-senyap, curi-curi," katanya.
Bangkang dengan adil
Idris menyifatkan kritikan Lim itu sebagai mengarut dan tidak adil
memandangkan PAS sentiasa konsisten bersuara dalam isu melibatkan
kepentingan negara seperti 1MDB dan Felda.
Hanya parti itu berlaku adil dan tidak menyuarakan kritikan berdasarkan bukti, katanya lagi.
"Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah mendesak Suruhanjaya Siasatan
Diraja untuk 1MDB sejak tahun 2015. Presiden berpegang dengan prinsip
Islam iaitu siasat dan bawa ke pengadilan.
"Sama seperti ketika Lim dihadapkan ke mahkamah dalam isu pembelian
banglo mewah. Presiden berkata beliau tak bersalah sebelum dibuktikan
bersalah.
"Tidak seperti Pakatan Harapan (HARAPAN), belum apa-apa sudah balun
PAS dalam isu RM90 juta," katanya lagi, merujuk kepada dakwaan parti itu
menerima RM90 juta wang 1MDB daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
Katanya lagi, PAS juga tidak melulu-lulu menuduh parti pembangkang
lain ingin bersama Umno walaupun pemimpinnya dilihat bersama-sama dengan
pemimpin Umno, tidak seperti tuduhan mereka terhadap PAS.
"Ada gambar kemesraan Lim dengan pemimpin Umno. Bukan setakat berlaga
pipi, malah berlaga perut. Tetapi PAS tidak sebodoh itu untuk
menjadikannya modal menuduh DAP hendak menyertai BN," katanya lagi.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah melahirkan rasa
gembira susulan tindakan anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar
yang meninggalkan parti itu.
Menurutnya, pengumuman Mahfuz keluar sebagai ahli PAS umpama mencabut duri dalam daging.
"Saya gembira apabila Mahfuz keluar daripada PAS, umpama kita cabut duri dalam daging.
"Dan keluarnya dia ini lebih senang untuk PAS terutamanya di kawasan
Pokok Sena fokus dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU14),"
katanya kepada media, di Kota Bharu, hari ini.
Kelmarin, Mahfuz yang menjadi ahli PAS sejak lebih 30 tahun mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil bebas mulai semalam.
Bekas naib presiden PAS itu mendakwa PAS hanya memperalatkan agama
bagi melipatgandakan hukuman kesalahan syariah - melalui Rang
Undang-undang 355.
Beliau turut tidak berpuas hati dengan pendirian parti yang
berkecuali terhadap Belanjawan 2018 serta sasaran PAS untuk hanya
memenangi 40 kerusi dalam PRU14.
Sementara itu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, adalah lebih bagi bagi Mahfuz keluar daripada PAS.
"Sebab bila dia duduk dalam PAS dan mengkritik pimpinan, macam duri
dalam daginglah. Lebih baik dia di luar, bebas nak kata apa sebab dia
bukan ahli PAS lagi.
"Kalau duduk dalam PAS perkara itu (mengkritik) tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Mengulas pengaruh terhadap keputusan Mahfuz itu, Mohd Amar berkata, ia tidak akan memberi kesan besar terhadap parti.
"Dia tak boleh menarik ramai orang PAS keluar. Mungkin ada beberapa
orang seperti isteri, anak atau kawan-kawan rapat. Kesannya tidak
besar," katanya
Ketua Parti AMANAH Bukit Katil, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, sudah
sampai masanya Adun Bukit Baru Dr Md Khalid Kassim dan tiga orang
kanannya memikirkan hala tuju politik yang baharu.
“Bukan jadi rahsia lagi bahawa Dr Md Khalid Kassim berperang dingin
dengan Pas Kawasan Bukit Katil dan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.
“Beliau sekarang ini dilihat bergerak sendiri bersama tiga penyokong
kuat beliau iaitu Yusof Wahab, Yayah Md Deris dan Ibrahim Duralim,” kata
beliau kepada Malaysia Dateline semalam.
Kata Sofi, semua program beliau diatur sendiri tanpa sokongan dan dokongan Pas Negeri dan Pas Kawasan Bukit Katil.
Perkara ini terjadi katanya, selepas Dr Khalid dan ketiga-tiga pendokongnya tewas pada pemilihan 2017 dahulu.
“Berlaku pertembungan antara mereka dan pimpinan Pas Kawasan sekarang
sehingga mereka semua tewas dengan perancangan kepimpinan sekarang.
“Sejak itu mereka tidak memegang apa-apa jawatan di peringkat negeri maupun kawasan.
“Hanya Pas Pusat yang menghargai ketokohan dan pengalaman Dr Khalid
dengan melantik Adun tunggal Pas Melaka itu menjadi AJK Pas Pusat,” kata
Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu.
Pas Negeri dan Kawasan jelasnya, langsung tidak menghargai beliau
malah Dr Khalid dan tiga orang kanannya itu sering ‘diserang’ oleh
kepimpinan negeri dan kawasan pada program-program dalaman parti dan
program-program umum di surau dan markaz.
“Tindakan Pas Negeri dan Kawasan itu jelas membelakangkan Pas Pusat yang melantik Dr Khalid sebagai AJK Pas Pusat.
“Sejak itu Dr Khalid dan orang-orang kanannya sangat jarang dilihat hadir pada program-program anjuran Pas Negeri dan Kawasan.
“Perseteruan sesama sendiri dalam parti sepatutnya tidak berlaku
sehingga menimbulkan ‘perang dingin’ dan pertelingkahan secara terbuka,”
sambung beliau.
Menurut Sofi, AMANAH membuka pintu seluas-luasnya untuk mereka
bersama kami demi meneruskan perjuangan Islam yang membawa rahmat ke
seluruh alam. Bukan perjuangan yang menimbulkan permusuhan sesama
sendiri tanpa kesudahan.
“Perjuangan kami merentasi sempadan perkauman, agama dan ideologi.
“Dr Khalid sudah pasti dihargai dan diberikan peranan yang sesuai
dengan karisma, kepakaran dan ketokohan beliau di dalam AMANAH di semua
peringkat,” katanya.
Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri Dalam Negeri, membuat
kenyataan yang disiarkan oleh media pada 1 Januari 2018 bahawa
Perhimpunan Agung Tahunan PPBM yang telah berlangsung pada 30 Disember
2017 tidak mengikut perlembagaan parti. Ini kerana menurut beliau PPBM
tidak mengadakan persidangan bahagian dan cawangan terlebih dahulu
sebelum Perhimpunan Agung diadakan.
Sebagai seorang Timbalan Menteri di sebuah kementerian yang
bertanggungjawab menjaga hal ehwal pertubuhan, beliau sepatutnya
bersikap lebih profesional. Ternampak jelas bahawa kenyataan beliau itu
tidak bersasaskan fakta yang tepat, tetapi dibuat dengan bermotifkan
politik.
PPBM tidak mengadakan persidangan cawangan kerana setakat ini belum ada
satu cawangan pun yang telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. PPBM
pada waktu ini masih dalam proses mendaftarkan cawangan-cawangan di
seluruh negara. Nur Jazlan sepatutnya boleh memperolehi fakta ini dengan
mudah daripada pejabat Pendaftar Pertubuhan jika beliau membuat semakan
terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.
Persidangan bahagian juga tidak diadakan kerana menurut tafsiran
perlembagaan PPBM, persidangan bahagian hendaklah diadakan setelah
bahagian-bahagian cukup tempoh setahun penubuhannya. Tarikh paling awal
bahagian PPBM didaftarkan dengan mendapat Sijil Pendaftar Pertubuhan
ialah pada 24 Julai 2017. Bermakna, bahagian PPBM yang paling awal
didaftarkan akan genap tempoh setahun penubuhannya pada 24 Julai 2018.
Selepas itu barulah boleh diadakan persidangan bahagian untuk memilih
perwakilan ke Perhimpunan Agung.
Menurut Fasal 29 Perlembagaan PPBM, Majlis Pimpinan Tertinggi mempunyai
kuasa untuk membuat tafsiran mengenai perlembagaan parti, dan tafsiran
yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi adalah muktamad. Tatacara
dan kaedah pelaksanaan Perhimpunan Agung PPBM adalah dilaksanakan
menurut tasiran perlembagaan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi
PPBM. Perkara ini telah dimaklumkan secara bersurat kepada Pendaftar
Pertubuhan sebelum Perhimpunan Agung PPBM diadakan.
Malah, PPBM telah meminta nasihat daripada Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan Malaysia berhubung dengan tatacara mengadakan Perhimpunan
Agung PPBM menerusi beberapa pertemuan dan surat, namun JPPM tidak
memberikan sebarang nasihat yang jelas, melainkan sepucuk surat
bertarikh 19 Disember 2017 yang meminta PPBM melaksanakan Perhimpunan
Agung menurut perlembagaan parti. PPBM telah menjawab surat tersebut
dengan memaklumkan kepada pihak JPPM bahawa tatacara dan kaedah
Perhimpunan Agung adalah teratur menurut tafsiran Perlembagaan PPBM yang
dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
Nur Jazlan selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri tidak berhak untuk
mentafsir perlembagaan PPBM. Tidak ada peruntukan di dalam perlembagaan
PPBM mahupun Akta Pertubuhan 1966 yang memberi kuasa kepada Timbalan
Menteri untuk mentafsir perlembagaan parti. Justeru, andaian beliau
mengenai maksud perlembagaan PPBM tidak mempunyai apa-apa kesan dari
segi perundangan terhadap PPBM. Ini satu fakta yang beliau mesti tahu
sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menjejaskan
kredibiliti beliau sendiri.
Dalam tempoh setahun ini, PPBM telah berjaya menubuhkan 137 bahagian di
seluruh negara yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Sebanyak 21
bahagian lagi masih dalam proses pendaftaran dengan Pendaftar
Pertubuhan. Tidak benar dakwaan Nur Jazlan bahawa PPBM tidak mempunyai
sokongan di peringkat akar umbi. Yang tiada sokongan sekarang ialah
UMNO, kerana rakyat khususnya orang Melayu, semakin kecewa dengan
penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan kegagalan parti itu
untuk membela nasib rakyat yang sedang dihimpit dengan berbagai masalah
dan bebanan kos sara hidup.
Saya ingin mengingatkan Nur Jazlan supaya bertindak lebih profesional
dalam menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri. Hak
berpersatuan adalah suatu hak yang dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan, dan PPBM adalah sebuah parti politik yang sah serta
perjalanannya adalah mengikut lunas undang-undang. Adalah menjadi hak
ahli-ahli PPBM untuk bergiat di dalam parti tanpa sebarang ugutan.
Dalam sebuah negara demokrasi, undang-undang sepatutnya melindungi hak
rakyat, dan kuasa kerajaan dibatasi oleh undang-undang. Janganlah pula
kerana UMNO berada dalam keadaan yang cemas dan lemas pada waktu ini,
undang-undang dan kuasa kerajaan disalahgunakan untuk mengugut PPBM
serta menyekat hak ahli-ahli untuk bergiat di dalam parti pilihan
mereka. Ini adalah satu pencabulan terhadap hak kebebasan berpersatuan
yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan
amalan demokrasi.
Ketua
Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman
Ahmad dan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datin Dr Nor Akma Yusof
bergambar bersama ibu-ibu yang melahirkan bayi pada 1 Januari 2018 pada
Majlis Penyerahan Sijil Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM 50) di
Hospital Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR,
KUALA LUMPUR – Kerajaan dan Permodalan Nasional Berhad (PNB)
memperuntukan kira-kira RM100 juta setahun untuk Amanah Dana Anak
Malaysia 2050 (ADAM50).
Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata,
jumlah tersebut seiring dengan anggaran kelahiran setiap tahun iaitu
sebanyak 500,000 orang. Ketua
Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abd Rahman
bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Amanah Dana
Anak Malaysia 2050 (ADAM 50) di Hospital Kuala Lumpur. foto SAFWAN
MANSOR,
Justeru, kata beliau, dengan jumlah yang besar itu diharapkan ibu dan
bapa akan terus menabung untuk anak-anak yang lahir pada tahun ini
secara konsisten.
“Kos setiap tahun RM100 juta setahun dibiayai kerajaan dan PNB
separuh-separuh. Ini merupakan pelaburan yang amat besar, juga manfaat
yang besar untuk rakyat,” katanya selepas menyampaikan lapan sijil
ADAM50 untuk bayi kelahiran 1 Januari 2018.
Tambah beliau, ADAM50 akan dilaksanakan selama lima tahun bagi tempoh
percubaan untuk melihat sambutannya sebelum kerajaan mempertimbangkan
untuk meneruskannya.
“Kita nak lihat dulu lima tahun ini berapa ramai yang ambil faedah
dan manfaat untuk ini dan kita akan nilai sama ada teruskan atau tidak,”
katanya yang menyifatkan penyampaian sijil pada hari ini sebagai
pra-pelancaran dana amanah tersebut.
Menurut beliau, ibu bapa diberi kelonggaran untuk mendaftar di bawah
skim ini dalam tempoh selepas kelahiran anak mereka dan diberi kebebasan
jumlah tabungan bulanan mengikut kemampuan masing-masing.
Pada pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
mengumumkan pengwujudan skim ADAM50 yang mana sebanyak RM200 akan
dikreditkan kepada anak yang dilahirkan pada 2018 hingga 2022. –
MalaysiaGazette
GERIK: Seekor gajah betina ditemukan mati akibat terkena renjatan elektrik berdekatan Tasik Banding, di sini hari ini.
Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
(Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, pihaknya
menerima maklumat mengenai penemuan bangkai gajah itu daripada orang
awam pada pukul 7.30 pagi.
Menurutnya, pihaknya mengawal tempat kejadian dan arus elektrik telah diputuskan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Bangkai gajah betina yang ditemukan dianggarkan seberat dua tan dan saiz tapak kaki sebesar 35.5 sentimeter," katanya.
Gajah seberat dua tan itu dikatakan mengamuk dengan memecahkan beberapa binaan di situ sebelum terkena renjatan elektrik.
Sementara itu beberapa keping gambar bangkai gajah berkenaan tular laman sosial hari ini.
KINABATANGAN: Seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul
berulang kali oleh adik iparnya dalam kejadian di rumah pekerja Ladang
Menanggol, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi mangsa yang berusia 60 tahun
dipercayai tidur di ruang tamu rumah, sebelum adik iparnya yang berusia
41 tahun pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, selepas meraikan sambutan
tahun baru.
Suspek dipercayai mengambil kayu di luar rumah, dan memukul mangsa menggunakan kayu berulang kali di kepala dan kaki.
Difahamkan, berlaku pergaduhan antara suspek dan mangsa seminggu
sebelum kejadian, di mana suspek mengancam abang iparnya dengan parang.
Pergaduhan itu bagaimanapun dapat diselesaikan oleh pekerja lain.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata
suspek ditangkap di Pejabat Ladang Gomantong pada jam 2.35 petang,
semalam.
Katanya, polis juga sudah menemui kayu berukuran antara 30 hingga 60 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
"Pemeriksaan awal polis menemui dua kesan luka di kepala dan lebam pada mata mangsa.
"Mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di Sandakan untuk proses bedah siasat," katanya di sini, pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
WALAUPUN penilaian penerimaan yang rendah dan dicemari skandal, 2017
merupakan tahun yang baik bagi Perdana Menteri Najib Razak. Tetapi 2018
dijangka akan lebih bagus.
Penganalisis berkata jika Najib yang mengetuai gabungan Barisan
Nasional (BN) memang lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau
akan hampir tidak mampu dikalahkan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dan kemungkinan satu lagi penggal untuk menerajui pimpinan, kata
penganalisis, Hisommudin Bakar kerana pembangkang gagal menonjolkan
dirinya sebagai satu alternatif yang bersatu dan meyakinkan berbanding
BN.
Pencapaian terbesar Najib adalah memastikan PAS tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
"Kerjasama dengan PAS memastikan kemungkinan besar kerusi Melayu akan
jatuh ke tangan Umno," kata penganalisis politik lain, James Chin.
Ini kerana PAS akan meletakkan calon menentang Pakatan Harapan (PH)
dan Umno membawa kepada pemecahan undi anti BN, kata Chin. Perpecahan
tersebut terbukti berdasarkan sejarah memberi kelebihan kepada BN.
Bagaimanapun, Najib masih mempunyai beberapa halangan dalam laluannya
untuk memenangi pilihan raya lain, kata Hisommudin daripada Ilham
Centre.
Faktor paling utama adalah kemarahan yang ketara daripada orang
Melayu Islam – yang menjadi penyokong tradisionalnya – terhadap
kerajaannya kerana inflasi yang tinggi, pertumbuhan gaji yang lemah dan
pengangguran belia, kata Hisommudin.
Satu lagi ialah banyak skandal yang didedahkan daripada Felda.
Terdapat 1.2 juta peneroka Felda dalam skim yang tersebar di 54 kawasan
Parlimen.
Para pengundi ini juga menjadi penyokong setia kepada Umno dan
penting untuk BN. Tetapi hutang daripada projek penanaman semula dan
banyak tuduhan rasuah di Felda serta anak-anak syarikatnya membuatkan
mereka tawar hati terhadap parti Melayu itu.
"Najib juga perlu berdepan dengan generasi pengundi reformasi antara
1998 hingga 1999. Mereka yang menolak BN pada pilihan raya umum 1999
kini berusia 50an dan 60-an," kata Hisommudin.
"Pengundi Melayu bandar ini menolak BN pada 2013. Persoalannya,
adakah gelombang penolakan ini boleh merebak hingga ke kawasan luar
bandar."
Lebih baik daripada 2016
Chin, daripada University of Tasmania, menggelarkan Najib sebagai
"perdana menteri Teflon", sempena jenama kuali popular yang tidak mudah
melekat.
Penilaian penerimaan terakhir terhadap Najib oleh majalah Time, mengatakan di bawah 40% pada Mei.
Menurut kajian Merdeka Centre, rating penerimaannya adalah 65% ketika beliau mengambil alih pada 2009.
Pada pertengahan 2017, pentadbiran Najib terpaksa berdepan dengan
pendedahan terkini dari siasatan Amerika Syarikat terhadap skandal
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib, yang mengetuai lembaga penasihat 1MDB, menafikan segala salah laku.
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) menganggarkan AS$4.5 bilion didakwa
diselewengkan daripada firma pelaburan negara itu dan digunakan untuk
membeli hartanah mewah, kapal layar, hasil seni dan barang kemas.
Namun, walaupun dengan siri jelajah untuk menghidupkan semula skandal
dalam minda rakyat Malaysia, Najib masih dapat menyangkal tuduhan ini,
kata Chin.
Lawatan beliau ke AS dan pertemuan dengan Presiden Donald Trump
membungkam pengkritik yang mengatakan beliau menjadi individu
dikehendaki di sana.
"Najib benar-benar memahami bagaimana orang Melayu berfikir. Beliau
tahu tidak kira betapa buruknya skandal, jika anda menyeretnya cukup
lama, kemarahan orang Melayu akan sejuk," kata Hisomuddin.
Walaupun Najib selamat daripada pendakwaan sekarang, kemungkinan
masih ada personaliti lain dalam siasatan itu yang boleh berpakat dengan
pihak berkuasa AS dan membabitkan Najib, kata Chin.
Di dalam negara, beliau tidak dapat dikalahkan dalam Umno, kerana
semua pengkritiknya, termasuk bekas mentor yang kini menjadi musuh
ketatnya Dr Mahathir Mohamad sudah keluar untuk membentuk Bersatu.
Seorang pegawai Umno berkata parti itu sudah pulih daripada perpecahan Umno dan Bersatu yang bermula pada 2016.
"Mereka yang keluar beramai-ramai sudah berhenti. Malah, kita kini
melihat orang Bersatu kembali kepada Umno selepas kecewa dengan parti,"
kata pegawai parti itu yang enggan dinamakan.
Bagaimanapun, risiko masih ada bagi Najib dalam meneruskan penggal ketiganya.
Walaupun orang Melayu kelas bekerja bergelut dengan tekanan hidup,
Hisommudin berkata, tinjauan di kalangan mereka menunjukkan tidak jelas
sama ada kemarahan ini akan menjadi undi menentang Najib dan BN.
"Bila ditanya, mereka mengatakan tidak boleh hidup di bawah ekonomi Najib. Tetapi mereka juga tidak percayakan Dr Mahathir."
Ahli politik veteran berusia 92 tahun itu adalah kini menjadi pengerusi PH dan mungkin dinamakan sebagai calon perdana menteri.
"Ketika ini, kita tidak tahu faktor mana yang akan menguasai mereka apabila mengundi," kata Hisommudin.
Walaupun ekonomi dijangka perlahan dalam tempoh enam bulan akan
datang, kerana pelabur menunggu pilihan raya, Chin berkata susut nilai
ringgit juga boleh menjejaskan Najib.
Ringgit menjunam daripada RM3 kepada AS$1 pada 2013 kepada kira-kira
RM4. Ia menyebabkan import makanan lebih mahal dan harga lebih tinggi di
pasaran tempatan.
Sekiranya inflasi naik sekali lagi, ia boleh menjadi faktor yang menyebabkan pengundi luar bandar menolak BN.
"Bahaya di sini adalah satu lagi pusingan penyusutan ringgit yang
mendadak. Tidak banyak yang boleh dilakukan Bank Negara Malaysia
memandangkan rizabnya yang turun," kata Chin.
"Perkara yang Najib boleh terus mengawal – Suruhanjaya Pilihan Raya,
Umno dan PAS – beliau sangat kuat tetapi perkara luar, seperti ringgit
dan siasatan luar negara terhadap 1MBD, beliau secara politiknya masih
dalam bahaya."
PETALING JAYA: Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Dr
Kamarul Zaman Yusoff berkata kedudukan semasa Umno di Johor lebih goyah
daripada tahun-tahun sebelum ini, dan ia ada kaitan dengan kemunculan
PPBM sebagai parti pembangkang.
Di sebalik asal usul PPBM daripada Umno dan salah seorang pengasasnya
pula Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berasal dari Johor dan pernah
memimpin kerajaan negeri, Kamarul berkata apa yang akan berlaku di
Kelantan kira-kira 3 dekad lalu boleh berulang di Johor.
Beliau merujuk veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang
membentuk Semangat 46, selepas perpecahan dengan pimpinan Umno di bawah
presiden ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, walaupun Semangat 46 tidak begitu berjaya pada pilihan
raya umum 1990, kerjasamanya dengan PAS secara umum dipetik sebagai
penyebab kekalahan Umno di Kelantan.
“Umno mungkin berdepan nasib sama di Johor dengan bekas timbalan
presidennya kini menjadi presiden PPBM,” kata Kamarul merujuk Muhyiddin.
Muhyiddin yang dilucutkan daripada jawatan timbalan perdana menteri
pada 2015, pernah menjadi menteri besar Johor selama 9 tahun sehingga
1995.
Ini merupakan faktor ramai rakyat Johor mungkin berasa terhutang budi kepadanya atas pelbagai sebab, kata Kamarul.
“Tambahan, ada semangat rakyat Johor yang terhina oleh layanan tidak
adil yang diberikan kepadanya oleh pimpinan parti itu. Itu mungkin akan
membuatkan rakyat Johor menunjukkan rasa tidak senang hati mereka di
pusat mengundi.”
Selepas dilucutkan daripada Kabinet kerana lantang menyuarakan isu
1MDB, Muhyiddin dipecat daripada Umno. Beberapa bulan kemudian, beliau
berganding tangan dengan beberapa bekas pemimpin Umno lain membentuk
PPBM.
Apa yang mungkin akan menyelamatkan Umno Johor daripada menerima
nasib Umno Kelantan pada 1990 ialah masih ada pemimpin Umno berpengaruh
di negeri itu seperti Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein,
yang juga cucu pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar.
Bagaimanapun, kata Kamarul, Pakatan Harapan (PH) sudah mensasarkan Johor sebelum PPBM ditubuhkan.
“Pakatan pembangkang itu sudah agak lama melakukan perkara asas (untuk memenangi Johor),” katanya.
“Dengan dakwaan rasuah terbaru ke atas Menteri Besar Datuk Khaled
Nordin yang menambah kepada masalah Umno yang banyak, seperti kos hidup
tinggi, parti itu akan menghadapi kesukaran meyakinkan sesetengah rakyat
Johor untuk terus menyokong Umno.”
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub yang berasal dari Johor,
bersetuju PPBM telah memperkukuh kedudukan Pakatan di negeri itu.
“Mempunyai bekas pemimpin Umno seperti Muhyiddin di pihak kita adalah
sangat penting, terutamanya di mata rakyat Melayu di Johor,” katanya
“Saya benar-benar percaya dengan pepatah ‘hanya jauhari mengenal
manikam’. PPBM boleh memecahkan monopoli Umno di negeri itu. Ia boleh
mengambil sebahagian besar daripada penyokong tegar Umno.
“Selagi kita boleh mengekalkan sokongan Cina dan India yang mengundi
kita pada pilihan raya umum lepas, kita sepatutnya boleh memenangi
Johor.”
Salahuddin yang mengetuai operasi pilihan raya PH di Johor, berkata,
beliau telah bekerja pada peringkat akar umbi selama lebih setahun dan
yakin Melayu tidak menerima Umno.
Keyakinan itu kini lebih kuat berbanding sebelum ini sejak aktif dalam politik 35 tahun lalu, tambahnya.
“Kami sangat optimistik dengan peluang kita memandangkan kami menawarkan calon yang mempunyai rekod baik,” katanya.
“Kita mempunyai golongan veteran, pemuda dan profesional.”