HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Januari 2018

Ada pihak tak senang pendekatan saya yang 'mesra' kerajaan negeri - Khairuddin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman mendakwa pendekatannya yang ‘mesra’ dengan kerajaan Selangor selain tidak setuju dengan pendekatan tiga penjuru, menjadi antara sebab beliau digugurkan daripada barisan kepimpinan parti peringkat negeri, sejak dua bulan lalu.
 
“Tidak dinafikan, saya mesra dengan kepimpinan Kerajaan Selangor kerana Exco kita pun ada di sana (dalam pentadbiran).
 
“Saya cuma berpendirian di mana kerajaan Selangor yang ada hari ini perlu dipertahankan, jika tidak kita akan serah Selangor kepada Umno jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
“Bukankah ini mandat yang rakyat beri kepada kita pada penggal PRU 2008 dan 2013, malah Menteri Besar Selangor serta Exco-exco PAS kita, telah pun membuktikan Selangor sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa dan lebih berbanding negeri-negeri yang lain,” katanya dipetik Sinar Harian.
 
Menurutnya, ada kemungkinan sesetengah pihak tidak senang dengan peranan dan pendekatannya mempertahankan kerajaan yang ada selaras dengan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya sebelum ini.
 
Baru-baru ini isu pengguguran Khairuddin daripada Jawatankuasa Perhubungan PAS Selangor hangat diperkatakan meskipun ia berlaku dua bulan lalu. 
 
Pengguguran itu dilakukan selepas hanya kira-kira tiga atau empat bulan beliau dilantik sebagai AJK PAS Selangor.
 
Beliau kini tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.
 
Untuk rekod, Khairuddin sebelum ini juga merupakan bekas Setiausaha PAS Selangor, sebelum tempatnya digantikan Abdul Halim Omar dalam satu rombakan peringkat negeri pada Mei tahun lalu. 
   
“Perkara ini (digugurkan) dah dua bulan lepas, saya pun pelik isu ini jadi hangat sejak dua tiga hari lalu, namun saya masih bersama PAS," tegasnya.
 
Semalam, Exco PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib, memetik laporan sebuah portal berita berkata, Khairuddin akan diberikan jawatan lain oleh kepimpinan PAS negeri berkenaan.
 
Mengulas mengenai perkara itu, Khairuddin menyerahkan urusan berkenaan kepada pimpinan PAS negeri.
 
"Soal sama ada khidmat dan peranan saya masih diperlukan atau tidak, itu terserah kepada pimpinan PAS Selangor untuk tentukan,” katanya.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengulas isu itu baru-baru ini dilaporkan berkata, pengguguran Khairuddin adalah pengurusan organisasi biasa.
 
 

Mahfuz ‘haram,’ kata PAS

DETIK DAILY

 
PAS telah menjatuhkan hukum haram kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar setelah beliau mengambil keputusan meninggalkan parti Islam itu.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata, Mahfuz dikelaskan sebagai haram kerana melanggar bai’ah (janji setia) sehinggalah pilihan raya umum akan datang kerana beliau masih mendapat gaji sebagai ahli parlimen atas tiket PAS.

Semua calon pilihan raya PAS perlu mengangkat sumpah setia terhadap parti itu sebelum menyertai pilihan raya.

Hashim menegaskan agar Mahfuz mengingat kembali sumpahnya dan beliau perlu menjawab kepada tuhan sebab gajinya sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena telah dijatuhkan sebagai haram apabila mengambil keputusan meninggalkan PAS.

Tambah Hashim, PAS tidak terkesan dengan perletakan jawatan Mahfuz itu, malah parti Islam itu tidak menganggap beliau sebagai musuh pun.

“Perkara yang sama juga terpakai untuk bekas pemimpin PAS lain. Pintu kami sentiasa terbuka untuk menerima mereka kembali,” katanya seperti dipetik oleh NST Online.

Mahfuz, ahli veteran PAS sejak 34 tahun lalu telah mengumumkan perletakan jawatannya semalam, lebih kurang sebulan selepas pemimpin pembangkang Kedah dan Adun Anak Bukit Amiruddin Hamzah meninggalkan PAS untuk menyertai Bersatu.

Mahfuz antara pemimpin PAS yang menentang parti Islam itu untuk memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP, yang sebelum ini ketiga parti itu tergabung dalam Pakatan Rakyat.

Sejak 2015, ramai pemimpin progresif dan pro-Pakatan telah meninggalkan PAS, manakala Mahfuz bertahan di dalam PAS dengan harapan untuk meyakinkan kepimpinan parti itu untuk bergabung bersama Pakatan Harapan (PH).

Walaupun pemimpin PAS bersangka buruk dengan PH, Mahfuz tetap mengunjungi acara dan ceramah PH, malah adakalanya beliau turut memberi ceramah, selain secara terbuka menunjukkan sokongannya terhadap PH yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Mahfuz dikatakan belum memberi kata putus parti mana yang akan beliau sertai walaupun khabar angin kencang mengatakan beliau akan menyertai Bersatu. 
 
 

Andainya PRU14...

DETIK DAILY





Oleh Lim Hong Siang

Sudah dua penggal berturut-turut UMNO-Barisan Nasional tidak meraih majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Gelombang tsunami pertama membadai tanpa dijangka pada 8 Mac 2008, dan perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi tidak bersedia untuk berdepan dengannya. Parti pembangkang berjaya merangkul 82 daripada 222 kerusi parlimen, di samping mengambil alih 5 buah kerajaan negeri.

Gelombang tsunami kedua sememangnya dijangka bakal melanda PRU13 pada 5 Mei 2013, cuma tidak pasti sejauh mana impaknya. Malah UMNO-Barisan Nasional telah bersedia untuk situasi “seandainya BN ditewaskan”. Bersedia tidak bermaksud “melepaskan kuasa seandainya kalah”, tetapi boleh jadi “bagaimana mempertahankan kuasa sungguhpun dikalahkan”.

Akhirnya BN menang kerusi sungguhpun kalah undi. Pakatan Rakyat mara selangkah lagi ke depan, dengan 89 kerusi Dewan Rakyat, tetapi sekadar mampu mempertahankan 3 kerajaan negeri.

Kesudahan ini disambut dengan perasaan berbaur. Untuk UMNO-BN, mereka gembira kerana masih memegang 60% kerusi parlimen, dan merampas semula kerajaan negeri Kedah, juga mempertahankan kerajaan negeri Perak yang dirampasnya pada tahun 2009. Namun BN kehilangan kerusi dan undi yang lebih banyak berbanding apa yang dicapai Pak Lah dalam PRU12.

Untuk Pakatan Rakyat, semestinya ia dikecewakan kerana matlamatnya untuk menawan Putrajaya tidak kesampaian. PR hanya boleh senyum dengan memaksa dirinya menerima keputusan ini secara positif. Untuk kali pertama jumlah undi yang diperolehi “pembangkang” mengatasi “pemerintah”, dan lebih 8 kerusi parlimen diperolehinya berbanding PRU12.

Ini sejarah. Padahal di negara demokrasi yang lain, adalah memadai seandainya parti pemerintah menang sekadar dengan majoriti mudah dalam pilihan raya. Cuma di Malaysia, UMNO-BN yang selama ini selesa dengan majoriti dua pertiga, menggariskan matlamatnya pada paras dua pertiga. PM yang gagal mencecahnya, akan digulingkan dalam parti.

Najib Razak sepatutnya dijatuhkan selepas PRU13, tetapi beliau bernasib baik sungguhpun dirinya bangkit dengan menjatuhkan Abdullah yang gagal mencapai majoriti dua pertiga. Persoalannya,
apakah pemimpin UMNO yang lain sanggup memberi peluang kepada Najib sekali lagi, untuk terus menerajui tampuk kuasa, jikalau gagal mengembalikan majoriti dua pertiga dalam PRU14?

Padahal, Najib, 64, telah memegang kuasa untuk 8 tahun, PM yang ketiga panjang tempoh pemerintahannya setakat ini. Timbalannya adalah Ahmad Zahid Hamidi yang sebaya dengannya. Anak tangga kuasa ketiga diduduki Hishammuddin Hussein, 56, dan seterusnya, Khairy Jamaluddin, 41, yang semakin menonjol sebagai pewaris kuasa pada masa depan.

Najib terselamat sekali lagi meskipun terpalit dengan skandal 1MDB, lantaran pendedahan skandal RM2.6 bilion oleh Wall Street Journal pada 2 Julai 2015. Namun dengan segala kuasa dalam tangannya, Najib memecat Muhyiddin Yassin yang teragak-agak untuk bertindak lebih awal ketika itu. Penghalangnya dialih, talian hayat politiknya dilanjutkan, dan kini Najib berdepan dengan cabaran dalam PRU14.

Apa yang jelas, jikapun UMNO-BN tidak ditumbangkan dalam PRU14, kepimpinan Najib tetap dipersoalkan, sekiranya status quo gagal dipertahankan. Ini bermakna seandainya UMNO-BN gagal mengembalikan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, atau jikalau Pakatan Harapan berjaya menembusi lagi beberapa kerajaan negeri, misalnya Kedah, Johor atau Perak. Kepimpinan Najib akan dipertikaikan jikalau BN menang kurang daripada 133 kerusi parlimen, atau UMNO memperolehi kurang daripada 88 kerusi parlimen sebagaimana yang tercapai dalam PRU13.

Justeru itu, Najib sebenarnya menghadapi tekanan untuk melonjakkan prestasi UMNO-BN secara keseluruhan. Tetapi jikalau Najib berjaya merampas kerajaan negeri Selangor, ini mungkin “jasa” untuk menebus “dosa”-nya. Atau jikalau UMNO merampas semula kerajaan negeri Kelantan yang hilang dari tangan UMNO sejak tahun 1990, ini juga prestasi yang mampu memahat namanya sebagai PM yang kedua panjang tempoh pemerintahannya, barangkali.

Apapun, ini cuma teori atas kertas bahawa hayat politik seseorang pemimpin politik ditentukan berdasarkan prestasinya. Mana-mana pemimpin yang gagal mencapai KPI-nya, akan di-rehat-kan, kalau dirinya enggan memberi laluan.

Cuma, perkembangan politik beberapa tahun kebelakangan memperlihatkan bagaimana pemimpin politik berada di tempatnya bukan kerana kepimpinannya, tetapi kekuasaannya. Lebih-lebih lagi, ia disokong dengan budaya dalam parti yang taat secara membuta tuli, ataupun terlalu takut untuk mempersoalkan pemimpin.

Padahal, Najib berada pada tempatnya bukan kerana kepimpinannya, tetapi kelicikannya memecah-belahkan pembangkang, dan kekerasannya untuk memancung musuh dalaman. Lama-kelamaan,
sistem ini mengekalkan mereka yang paling licik berpolitik, dan bukan paling layak sebagai pemimpin. Mengikut logik, parti sedemikian akan menjadi semakin lemah kerana tanpa kepimpinan yang baik.

Persoalannya, sampai bila Najib boleh bertahan, dan sampai bila pula UMNO mampu bertahan? Lebih penting, sampai bila Malaysia boleh bertahan dengan keadaan sebegini? 

Viral jambatan uzur: Bapa mohon maaf

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang bapa hari ini memohon maaf selepas   satu video yang menunjukkannya membawa anaknya menyeberangi jambatan uzur untuk ke sekolah menjadi viral di laman sosial.
 
Abdul Jalil Sulaiman turut memohon maaf mewakili isterinya, Siti Zaharah Otman yang memuat naik video tersebut hingga tular di laman sosial Facebook pagi tadi.
 
Dalam satu video yang dimuatnaik di Facebook 'Friends of PDRM', Abdul Jalil berkata beliau dikunjungi ADUN Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang kemudian menerangkan status jambatan itu.  
 
"YB sendiri sudah jumpa saya dan menerangkan status jambatan terbabit. Saya dengan ini mohon maaf bagi pihak isteri saya kerana viralkan isu jambatan gantung itu.
 
"Dan saya ucapkan terima kasih kepada YB dan Barisan Nasional (BN)," katanya.  
 
Sementara itu Wan Rosdy  berkata, video yang dimuat naik Siti Zaharah sebenarnya adalah kerana 'salah faham'.
 
"Perkara ini sebenarnya salah faham. Saya mengucapkan terima kasih kerana kita dapat berbincang. saya nasihatkan saudara, utamakan keselamatan.  
 
“Sebab ada laluan alternatif tapi sebab banjir jadi jalan tersebut tidak boleh dilalui. Kita juga ada sediakan bot JKKK sebagai pilihan tapi takpalah ini mungkin semangat ibu nak hantar anak ke sekolah...saya tidak tahulah apa sebenarnya...tapi perkara ini dapat diselesaikan," katanya.
 
Sebelum itu, Wan Rosdy serta Abdul Jalil mengadakan perjumpaan di sekolah anaknya, SK Batu Yon, Bukit Betong.
 
Malah, Wan Rosdy menegaskan peruntukan sejumlah RM462,414.40 telah diluluskan JKR dengan arahan kerja baik pulih akan bermula pada 8 Jan dan berakhir 18 Mac 2018.
 
Terdahulu pagi tadi, seorang ibu memuat naik video menunjukkan suaminya memimpin tangan anaknya melalui sebauh jambatan gantung yang uzur.  
 
“Anak emak bersemangat dah nak ke sekolah tapi kena harungi jambatan yang canggih ini. Dah setahun tak ada perubahan langsung. Jambatan gantung di Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala Lipis,” kata kapsyen video itu.
 
Video itu dirakamkan di Jambatan Gantung Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala Lipis.
 
Dalam tempoh beberapa jam saja, video berkenaan ditonton lebih 800,000 kali dan dikongsi lebih daripada 24,000 kali.
 
Ia turut mengundang reaksi netizen. Sebahagiannya menggesa kerajaan agar melakukan sesuatu sebelum kejadian yang tidak diingini terjadi, malah sebahagiannya pula menasihati sang bapa agar lebih mengutamakan keselamatan anaknya. 


Isnin, 1 Januari 2018

Halang kanak-kanak tertinggal kad pengenalan naik pesawat wajar – MAHB

Norlaile Abd Rahman



KUALA LUMPUR – Tindakan kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) tidak membenarkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menaiki pesawat kerana tertinggal kad pengenalan adalah sejajar dengan peraturan dan memastikan keselamatan pintu masuk negara.

Pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan berkata, meskipun bersimpati dengan kesusahan bapa dan kanak-kanak tersebut, MAHB terpaksa meletakkan protokol keselamatan mengikut peraturan yang ditentukan oleh Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Imigresen Malaysia dan polis sebagai keutamaan ketika mengendalikan situasi semalam.

Protokol keselamatan yang ketat itu juga sejajar dengan Program Keselamatan Penerbangan Awam Kebangsaan yang hanya membenarkan penumpang yang mempunyai pengenalan asli atau dokumen perjalanan yang sah menaiki pesawat.

“Kami memahami kesusahan yang dialami oleh Wan Fadillah Wan Ahmad serta anaknya namun kami tidak mampu berkompromi dengan perkara ini kerana langkah tersebut adalah untuk melindungi keselamatan lapangan terbang yang merupakan pintu masuk negara.

“Ia merupakan tanggungjawab kami untuk memastikan semua penumpang memiliki dokumen yang sah.

“Kami minta supaya rakyat faham peranan kami di dalam melindungi keselamatan lapangan terbang dan protokol tegas ini adalah yang terbaik di dalam memastikan keselamatan semua terutamanya penumpang lebih-lebih lagi dengan kes-kes pemerdagangan manusia yang turut melibatkan kanak-kanak.

“Kami harap semua pihak terutamanya ibu bapa menghargai pemeriksaan ketat yang dilakukan oleh pegawai kami,” katanya.

Hari ini viral kisah seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang tersadai di klia2 selama sembilan jam kerana gagal menaiki pesawat ekoran tertinggal kad pengenalan.

Menurut bapa berkenaan, pegawai-pegawai MAHB tidak menggunakan budi bicara semasa menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, MAHB menjelaskan, kanak-kanak berkenaan tidak ditinggalkan berseorangan di terminal sebagaimana dilaporkan.

Sebaliknya dia dijaga oleh sepasang warga emas dan menurut kamera litar tertutup (CCTV), kanak-kanak dan pasangan tersebut dilihat meninggalkan lapangan terbang pada jam 1.48 petang dengan menaiki sebuah kereta. – MalaysiaGazette


Nak mengata Mahfuz tengok kiri kanan dulu, bidas Ustaz Zolkharnain



Nak mengata Mahfuz tengok kiri kanan dulu, bidas Ustaz Zolkharnain



Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin memperingatkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya melihat kiri kanan terlebih dahulu sebelum mengata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang mengisytiharkan keluar Pas semalam.

“Kalau ia pun Timbalan Presiden Pas nak komen Mahfuz keluar Pas, komenlah dengan lebih manis.

Mahfuz bukan anak kecil dalam Pas. Dia masuk Pas bukan pada era gemerlapan seperti era Timbalan Presiden Pas masuk Pas.

Ustaz Zolkharnain Abidin

“Mahfuz bergelumang dengan Pas jauh lebih awal daripada Timbalan Presiden Pas. Ketika Timbalan Presiden Pas masih bersandiwara agama dalam Forum Perdana RTM, Mahfuz sudah pun makan gas pemedih mata FRU.

“Ketika Timbalan Presiden Pas makan elaun Forum Perdana ribu-riban, Mahfuz ke hulu ke hilir berceramah dengan saguhati RM30. Dia sara hidupnya dengan saguhati itu,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau lagi, ketika Timbalan Presiden Pas itu tidur di hotel berbintang-bintang sediaan penganjur Forum Perdana, Mahfuz tidur di bawah meja mesyuarat di bilik mesyuarat pejabat Pas Taman Melewar.

Tambahnya, ketika Timbalan Presiden Pas masih berlembut lidah bercakap agama jaga hati Umno dalam Forum Perdana mengikut skrip RTM, Mahfuz sudah pun hentam BN berapi-rapi dalam ceramahnya.

“Ketika Timbalan Pres Pas berforum perdana di bawah lampu limpah stadium di hadapan ramai orang, Mahfuz sudah pun berceramah berdepan pokok kelapa sawit dan tengah hujan.

“Pendek kata, pedih, payah, susah, lelah Mahfuz bersama Pas jauh lebih awal daripada Timbalan Presiden Pas. Air mata Mahfuz tumpah kerana Pas lebih banyak daripada Timbalan Presiden Pas.
Peluh Mahfuz kerana Pas lebih lencun berbanding Timbalan Presiden Pas.

“Tiba-tiba apabila Mahfuz keluar Pas, Timbalan Presiden Pas kata Mahfuz ibarat buah busuk yang tak berguna. Fuhh… Sedapnya mulut. Buah busuk tidak berguna itulah yang mengusung Pas ke sana-sini sehingga nikmatnya dirasa oleh Tim Pres Pas sekarang.

Jangan lupa, jasa Mahfuz dalam politik diiktiraf apabila dia dianugerah datuk. Anugerah itu kerana jasal dalam politik bukan jasa dalam Forum Perdana RTM seperti Timbalan Presiden Pas itu, kata Ustaz Zolkharnain.

Orang lain paling kurang pernah harum dan manis, kata Hanipa



Orang lain paling kurang pernah harum dan manis, kata Hanipa



Ahli Jawatankuasa AMANAH, Hanipa Maidin berkata, ada pemimpin kanan parti suci yang semua tahu agak kecewa dengan keluarnya sahabat beliau Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sekeluarga daripada parti suci cuba menyembunyikan kekecewaan beliau itu dengan madah berhelah.

Semalam, Mahfuz mengisytiharkan dirinya keluar Pas berkuatkuasa jam 11.56 malam sempena sambutan tahun baharu 2018.

Kata Hanipa, maka diwiridkanlah jika harum manis sudah busuk, ia akan jatuh sendiri dan pada masa itu sekupang pun orang tak mahu beli.

“Diibaratkan juga YB Pokok Sena tu macam ayam betina, bila bertelur riuh sekampung sebab ia terkejut sendiri. Katanya, tiada orang peduli kecuali yang jenis ayam juga,” tulis Ahli Parlimen Sepang itu dalam Facebooknya.

Sehubungan itu beliau telah memberikan komen-komen beliau.

“Bila anta kata seseorang itu harum manis sebelum busuk, paling kurang dia pernah juga orang hidu harum dan orang rasa manis ya sheikh. Yang anta dengan geng anta tu harum pun tak pernah, manis jauh sekali, bukankah lagi teruk? Yang kami tahu anta dan geng “busuk” sokmo.

“Jika YB Pokok Sena keluar parti suci ibarat ayam betina yang bertelur dan kecoh dan yang ambil peduli hanya ayam juga, sahlah anta lah ayam tu.

“Bukankan bila anta komen menunjukkan anta tu ambil peduli ya sheikh. Dalam parti anta pun ada orang yang amat rapat dengan pemimpin tertinggi dan dipanggil juga dengan gelaran ayam, janganlah komen anta menyebabkan dia pedih dan terasa pulak. Dia suci dan tak bersalah ya sheikh.

“Katakanlah satu Malaya kecoh sebab “ayam betina” bertelur, kekecohan itu sebab dia bertelur emas..tu yang jadi rebutan ramai.

“Yang tak jadi rebutan adalah yang jenis ayam jantan yang dah lah tak bertelur, tua bangka pulak tu, lepas tu suka pulak berkubang dengan spesis haiwan yang suka benda-benda kotor pulak tu..mana lah ada orang minat..orang tunggu nak sembelih je ya sheikh!” sindir beliau.

Bolehkah Isa Samad diselamatkan sekali lagi?

DETIK DAILY

 
Oleh 

AHLI politik veteran Mohd Isa Abdul Samad tidak pernah sunyi daripada kontroversi sejak berkecimpung dalam politik Malaysia pada 1978 selepas menang kerusi Linggi, Negeri Sembilan, dan kemudian dilantik menjadi exco negeri sehingga 1982.

Bekas guru itu mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan selama 22 tahun sebagai menteri besar sejak 1982. Keahliannya dalam Umno digantung selama tiga tahun dari Jun 2005 hingga Jun 2008. Pada mulanya keahlian beliau digantung enam tahun, tetapi dikurangkan kepada tiga tahun.

Hukuman tersebut dibuat oleh lembaga disiplin parti yang mendapati beliau terbabit dalam politik wang ketika bertanding untuk jawatan naib presiden bagi tempoh 2004-2007. Beliau didapati terbabit membeli undi.

Beliau menang dalam petandingan jawatan naib presiden dengan meraih 1,507 undi berbanding pencabarnya ketua menteri Melaka pada masa itu, Mohd Ali Rustam (1,329) dan Muhyiddin Yassin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri dengan 1,234 undi.

Tetapi kemenangannya dibatalkan ekoran kes rasuah tersebut.

Kini, ketua Umno Bahagian Teluk Kemang yang popular itu terpalit lagi dengan kes rasuah melibatkan pemilikan tanah Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dipindahkan dalam keadaan mencurigakan.

Lembaga pengarah Felda mendakwa mereka tidak tahu menahu mengenai transaksi itu, yang berlaku ketika Isa menjadi pengerusinya.

Siasatan dalam kes tanah di Jalan Semarak itu masih dijalankan.

Felda, agensi yang ditubuhkan pada 1956 bertujuan untuk menangani penempatan semula golongan luar bandar yang miskin ke kawasan pembangunan baharu dan menyusun pekebun kecil, sepatutnya menjadi platform terbaik bagi Isa untuk kembali dalam arena politik selepas penggantungannya.

Sebagai pengerusi Felda dari 2011-2017, Isa menyelia kawasan rancangan yang menempatkan kira-kira 54 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Kawasan ini merupakan bank undi kerana 1.2 juta pengundi di tanah rancangan yang membentuk 5% daripada jumlah pengundi dalam negara memilih parti kerajaan sejak enam dekad lalu. Tentulah ini satu "deposit tetap" bagi Umno.

Tetapi ahli politik berusia 68 tahun itu mensia-siakan peluang untuk memenangi hati dan budi peneroka Felda dan kembali ke arena politik apabila masalah mula timbul pertengahan 2017 ketika timbul pertengkaran pengurusan antara Isa dan CEO Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Zakaria Arshad.

Susulan itu timbul dakwaan salah pengurusan yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Desakan supaya Isa yang juga lembaga pengarah FGV disingkirkan menjadi semakin kuat apabila Zakaria diminta meletak jawatan dan seterusnya digantung tugas, apabila beliau enggan berbuat demikian.

Ketika Isa dilantik oleh kerajaan pada 2011, tugas utamanya ialah untuk membimbing Felda sehinga FGV, pengeluar minyak mentah terbesar dunia, berjaya disenaraikan. Felda tersenarai pada 2012 dengan penuh gahnya, namun pendapatannya terus merudum pada masa ia dilingkari tuduhan rasuah.
Isa disingkir dari jawatan pengerusi apabila prestasi Felda semakin buruk dan semakin banyak aduan diterima.

Dalam perkembangan lain, Isa direman selama lima hari pada 17 Ogos, 2017 bagi membolehkan SPRM menyoal siasatnya berhubung pembelian hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC), yang turut ditadbirnya sebagai pengarah bukan eksekutif dari 2013 hingga 2017.

SPRM menyiasat dakwaan berhubung percanggahan dalam urusan pembelian Hotel Park City di kawasan mewah Kensington di London antara 2013 dan 2015. FIC dilaporkan membeli hotel itu pada harga tinggi RM330 juta berbanding harga pasaran RM110 juta pada masa itu.
Selain itu, urus niaga yang mencurigakan dalam pembelian Hotel Merdeka Palace di Kuching, Sarawak oleh Felda juga disiasat.

Isa tiba di kompleks mahkamah Putrajaya dengan kenderaan MPV berwarna hitam, ketika pendakwaan memohon perintah reman. Beliau memakai baju tahanan reman SPRM berwarna oren ketika dibawa ke mahkamah, tetapi tidak digari atas “sebab kesihatan”.

Walaupun bekas pengerusi Felda itu nampak tenang ketika disoal oleh pegawai SPRM, beliau dilaporkan tidak dapat memberikan jawapan yang jelas dan tegas tentang perkara itu ketika keterangannya diambil.

Pada masa lalu, Isa turut berdepan cabaran dan kegagalan dalam politik, tetapi beliau tetap mampu mengatasinya. Misalnya, selepas penggantungan keahliannya dalam Umno dibatalkan, beliau bertanding bagi kerusi Jempol dalam pilihan raya umum 2004 – dan menang.

Beliau kemudian dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan sehingga 2005 di mana beliau terpaksa mengosongkan jawatan itu kerana didapati bersalah atas tuduhan mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti berkenaan.

Pada 2009, Isa kembali lagi. Beliau dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Bagan Pinang bagi mengisi kekosongan selepas kematian Adun Azman Mohammad Noor. Isa menang dengan majoriti 5,435 undi, menewaskan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Kemenangan Isa itu dianggap “mengembalikan maruah Umno” kerana ia merupakan kemenangan pertama untuk BN selepas tewas dalam sembilan PRK terdahulu.

Ia dianggap kemenangan besar memandangkan BN masih lagi cuba pulih selepas hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dalam PRU 2008.

Selain itu, beliau juga masih berpengaruh besar dalam di kalangan penyokong Umno di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, antara negeri yang bakal menyaksikan persaingan sengit dalam PRU akan datang.

Beliau juga disukai oleh sesetengah pengundi bukan Melayu di negeri itu, terutama sekali kerana beliau pernah membantu penduduk kampung Cina di Lukut mendapatkan geran tanah yang diduduki selama bertahun-tahun.

Dalam latar ini, pelantikan Isa sebagai pengerusi Felda oleh Perdana Menteri Najib Razak dianggap sebagai langkah strategik.

Isa nampaknya masih mempunyai pengaruh politik, walau dengan pencapaiannya yang teruk di Felda. Selepas disingkirkan dari Felda dan jawatannya diganti oleh Shahrir Samad, Isa dilantik memangku jawatan pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang rata-rata menganggap sebagai “habuan” daripada Najib.

Namun begitu, persoalan masih timbul, sama ada nasib Isa dalam politik masih dapat diselamatkan atau tidak kali ini oleh pucuk pimpinan.

Ini memandangkan, Umno dan BN perlu membuat taruhan besar dalam pilihan raya umum kali ini kerana akan menghadapi cabaran kuat dari pembangkang yang kembali bergabung. 
 
 

Selamat tinggal Ampang Park

DETIK DAILY

 
 
KUALA LUMPUR: Setelah 44 tahun beroperasi, kompleks beli-belah Ampang Park akan menutup tirainya hari ini dan detik-detik akhir itu meninggalkan perasaan bercampur-baur bagi peniaga serta pengunjung setianya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kompleks nostalgia itu.

Tinjauan Bernama mendapati sehingga hari terakhirnya, Ampang Park masih menjadi tumpuan warga kota walaupun hari ini kunjungan mereka bukan sekadar untuk membeli-belah tetapi rata-ratanya datang bagi mengimbau kembali kegemilangan kompleks beli-belah tertua negara itu.

Seorang peniaga, Pritam Ranai, 65, Ampang Park merupakan “taman permainan” buat 3 anaknya kerana anaknya membesar di situ.

Pritam membuka kedai pakaian lelaki sekitar 40 tahun lepas menamakan kedainya Jason’s sempena nama seorang daripada anak lelakinya dan ternyata penutupan Ampang Park memberi kesan nostalgik kepada dirinya.

“Saya tidak boleh tidur lena sejak minggu lepas kerana masalah ini, dan saya juga cuba untuk menjual apa saja barangan sebelum kami menutup kedai hari ini.

“Pelanggan saya mengatakan bahawa mereka ingin membeli sesuatu dari kedai saya sebagai kenangan Ampang Park,” katanya dan menambah kedai beliau akan berpindah ke KL Trillion tahun depan.

Richard Lee, 48, pemilik salun rambut Minas pula berkata walaupun beliau akur dengan keputusan pihak kerajaan untuk menutup kompleks beli-belah itu, namun beliau masih menzahirkan rasa terkilan kerana perniagaan tersebut merupakan sumber pendapatannya sejak tahun 1992.
“Walaupun saya akan berpindah ke lokasi perniagaan baharu di The Ampwalk, namun pastinya ia tidak sama kerana saya perlu bermula dari bawah seperti waktu mula-mula berniaga dahulu,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang turut kelihatan berlegar di kompleks beli-belah itu berkata Ampang Park begitu signifikan kerana ia banyak membantu golongan Bumiputera terutama Melayu dalam perniagaan mereka.

“Hari ini merupakan hari terakhir kompleks ini beroperasi, memang saya agak sedih kerana saya selalu ke sini untuk mencari barang keperluan.

“Bagaimanapun pembangunan harus diteruskan seiring dengan arus pemodenan negara,” katanya.
Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang awam pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli-belah pertama di negara ini dengan keseluruhan 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan selain perkhidmatan untuk warga kota.

Kompleks berkenaan akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Ampang Park.

Penjawat awam Norazean Farina Dawam, 37, yang ditemui ketika leka “mencuci mata” di kompleks beli-belah itu berkata beliau jarang ke Ampang Park sejak berpindah ke Cyberjaya, namun tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama orang ramai pada hari terakhir kompleks berkenaan.

“Saya lihat banyak kedai di tingkat bawah membuat jualan lelong dan saya sempat membeli beberapa barangan seperti kasut dan baju,” katanya yang ditemani suami Johan Kurniawan Suar Nor, 37.

Dalam pada itu, restoran McDonald’s di Ampang Park, di sini hari ini tidak melepaskan peluang mencipta kenangan manis bersama pelanggannya sebelum ia ditutup selamanya bermula esok.

Restoran berkenaan yang beroperasi di kompleks beli-belah itu hampir 3 dekad, menutup sejarahnya dalam suasana cukup meriah dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti persembahan busker, lukisan muka, gubahan belon dan sesi fotografi.

Pengarah Kanan Pemasaran, Komunikasi dan Penyelidikan McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata pelanggan boleh mencipta memori baharu di McDonald’s yang baru dibuka di Intermark, di Jalan Tun Razak di sini.

“Restoran yang dibuka sejak seminggu lepas kini menawarkan suasana moden buat pelanggannya iaitu dengan konsep teknologi baharu dan perkhidmatan pelanggan yang inovatif.

“Antaranya pelanggan kini boleh membuat pesanan sendiri di kiosk layan diri, cara ini memudahkan dan mampu mengurangkan masa menunggu tanpa perlu beratur panjang,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan McDonald’s Ampang Park di sini, hari ini.

Beliau berkata pelanggan yang bekerja atau tinggal di kawasan berhampiran Ampang Park masih boleh mendapatkan hidangan McDonald’s tanpa perlu berjalan jauh. 
 
 

Hanya Mahfuz & Keluarga Keluar PAS

 
 



Walaupun mendakwa berjaya menggerakkan gelombang kedua di kalangan ahli PAS, namun hanya Datuk Mahfuz Omar sekeluarga yang mengumumkan keluar PAS berkuatkuasa jam 11.59 malam tadi.

Bercakap pada sidang media di Royale Signature, Alor Setar itu, Mahfuz mendakwa beliau tidak mahu keluar PAS dalam gelombang pertama terdiri bekas pimpinan PAS yang diketuai Mohamad Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS yang kemudiannya menubuhkan Parti Amanah Negara, untuk menggerakkan gelombang kedua di kalangan ahli PAS yang lain.

Walau bagaimanapun, apabila Mahfuz mengumumkan hanya beliau dan isteri beliau, Datin Ruswati Jaafar, 58 serta anak mereka, Siti Nur Syahidah, 30 keluar PAS, usahanya dalam gelombang kedua disifatkan tidak berjaya.

Seorang lagi anak beliau, Muhammad Mujaheed, 35, sudah keluar parti dan menyertai Amanah sejak setahun lalu.

LIHAT VIDEO DI SINI