Gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah dikhuatiri meragut ribuan
nyawa selepas pasukan penyelamat kini mula masuk ke kawasan yang musnah
teruk akibat bencana itu.
Berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia,
jumlah mangsa yang disahkan terkorban setakat 1 tengah hari ini ialah
844 orang.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo
Nugroho, bagaimanapun berkata jumlah korban dikhuatiri meningkat.
Namun media dalam talian Indonesia yang memetik kenyataan Timbalan
Presiden Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesian Volunteer Society, Insan
Nurrohman pula berkata jumlah korban bencana setakat tengah hari ini
adalah seramai 1, 203 orang.
Sutopo menegaskan BNPB menghadapi kekangan bagi penjumlahan mangsa
korban dengan cepat akibat jaringan komunikasi yang belum pulih
sepenuhnya.
"Pihak berkuasa ketika ini bertungkus lumus dalam usaha mencari dan menyelamat," katanya.
Sementara itu, seorang daripada dua rakyat Malaysia yang berada di Palu telah selamat pulang ke Malaysia.
Beliau dikenali pasti sebagai Dr Farah Liana Basri, telah dibawa
menaiki penerbangan khas tentera ke Jakarta dan seterusnya menaiki
pesawat Air Asia jam 1.30 pagi dan selamat tiba di Kuala Lumpur jam 4.30
pagi tadi.
Menurut jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, seorang lagi
rakyat Malaysia, Vijayan Govinathan Nai, kini berada di Poso, Sulawesi
Tengah dan dijadual menaiki penerbangan khas tentera ke Jakarta esok
pagi.
Pihak berkuasa Indonesia dan pasukan mencari dan menyelamat berdepan
kekangan berikutan jalan raya yang rosak teruk selain bekalan elektrik
dan jaringan komunikasi belum pulih sepenuhnya.
Kawasan perkampungan di wilayah Tondo, Parimo, Punglere dan Petobo
yang ramai penduduk juga dilaporkan "lenyap" sementara sesetengah
kawasan musnah teruk.
Pihak berkuasa khuatir ramai penduduk di kawasan itu hilang dihanyutkan tsunami.
Gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter menggegarkan Kota Palu dan Donggala hingga mengakibatkan tsunami pada Jumaat lepas.
Menurut data Badan Meterorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG)
Indonesia, sebanyak 254 gempa bumi susulan bermagnitud 2.9 hingga 6.2
pada Skala Richter dicatatkan sehingga tengah hari ini.
Terbaharu, gempa bumi bermagnitud 5.5 pada Skala Richter berlaku di 62km ke Barat Laut Donggala pada 12.43 tengah hari ini.
Sementara itu, Menteri Perhubungan Indonesia, Budi Karya Sumadi
berkata Lapangan Terbang Mutiara SIS Al Jufri di Palu, mula dibuka untuk
penerbangan komersial hari ini.
"Rencananya (mengikut jadual penerbangan) akan ada 40 penerbangan
dari dan ke luar Palu.
Rekahan dan retakan di landasan lapangan terbang
itu telah dibaiki," katanya.
Lapangan terbang itu kembali beroperasi secara manual semalam berikutan mengalami kerosakan teruk akibat gempa itu.
Operasi penerbangan lebih menjurus kepada penerbangan kecemasan, operasi mencari dan menyelamat dan tindakan kemanusiaan.
- Bernama