HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2020

Annuar sokong gesaan gubal akta lompat parti

Wartawan MalaysiaGazette
MGF29082020_KEPUTUSAN-1
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Cadangan Majlis Peguam Malaysia agar kerajaan agar mempertimbangkan penggubalan undang-undang anti lompat parti disokong oleh Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Barisan Nasional itu berkata, undang-undang itu dilihat sesuai dan ahli politik tidak boleh memilikperibadikan jawatan dengan melompat parti.

“Malah untuk serah borang pencalonan,watikah guna lambang parti wajib diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, bolehkah melarikannya bila menang?” soalnya dalam ciapan di Twitternya hari ini.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu mengulas gesaan Majlis Peguam Malaysia agar kerajaan agar mempertimbangkan penggubalan undang-undang anti lompat parti semasa persidangan Dewan Rakyat yang akan datang bagi menghalang ahli parlimen daripada beralih parti.

Presidennya, Salim Bashir semalam berkata ini kerana Malaysia telah berdepan beberapa pergolakan politik yang serius sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan perlu pertimbang wujudkan undang-undang anti lompat parti – Majlis Peguam

 

UMANY biadap persoal kuasa YDPA – Kamarul Zaman

Wartawan MalaysiaGazette
MGF11042017_IKSIM02
Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Kenyataan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang mendesak Yang Dipertuan Agong (YDPA) supaya tidak campur tangan dalam urusan negara semalam mendapat kritikan hebat.

Majoriti netizen mengutuk UMANY kerana cuba mempersoalkan institusi raja di negara ini.

Bagaimanapun hari ini hantaran UMANY di Facebook itu telah dipadamkan.

Penganalisis politik Dr. Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan pertubuhan pelajar Cina di UM itu sebagai biadap.

Sebelum ini, katanya, UMANY didakwa menjuarai desakan supaya Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim, meletakkan jawatan kerana terlibat dengan Kongres Maruah Melayu.

“Kini ia secara terbuka pula mendesak YDPA supaya jangan campur tangan dalam urusan-urusan negara.

“Bagaimana YDPA boleh tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara bila menjadi kewajipan dan sumpah baginda untuk “menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia”?” soalnya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Soal Kamarul Zaman, bagaimana YDPA tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara bila Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada YDPA?

“Bagaimana YDPA boleh tidak campur tangan dalam urusan-urusan negara bila Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ‘kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada YDPA dan dua Majlis Parlimen?” soalnya lagi.- MalaysiaGazette

Kerajaan Prihatin Mesti Fikir Perit Jerih Rakyat – Zahida

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata dalam situasi krisis pandemik sekarang ini, suka tidak suka kerajaan harus memikirkan kesukaran rakyat.

Katanya, ramai yang kehilangan perkerjaaan dan ramai yang dipotong gaji hampir 50 peratus.

“Cadangan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di lihat dapat membantu mereka yang terkesan.

“Rakyat tidak minta bantuan tambahan kerajaan, rakyat hanya mahu keluarkan simpanan sendiri untuk kegunaan sara hidup ketika situasi sukar.

“Kami juga berpandangan pencarum berhak keluarkan 30 peratus duit KWSP mereka secara bulanan dalam tempoh satu atau dua tahun atau maximum RM10,000, katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, tambah Zahida lagi, kerajaan Prihatin mesti sentiasa memikirkan perit jerih rakyat.- UMNO Online

Kebajikan Rakyat, Keamanan Negara Dan Kestabilan Politik Jadi Prioriti UMNO – Rosni

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Rosni Sohar menyatakan sokongan ke atas pendirian parti untuk terus mendukung gencatan politik dan Rekonsiliasi Nasional dalam keadaan negara masih dilanda ujian hebat pandemik COVID-19.

Ini kerana katanya, saban hari, kegusaran dan kebimbangan rakyat terus dinyatakan melalui semua platform media sosial yang benar-benar menyatakan realiti kehidupan rakyat yang memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dalam mengemudi pentadbiran negara.

“Fokus semua pihak termasuk kepimpinan parti politik pada hari ini perlu diberikan kepada isu-isu kebajikan rakyat di dalam Belanjawan Negara 2021 akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pandangan dan cadangan membina perlu diberikan oleh semua pihak terutama dalam isu penyambungan moratorium, pengeluaran KWSP, pengecualian cukai, pemberian insentif dan bantuan sara hidup amat perlu dikaji dan direalisasikan dengan segera demi membangunkan semula ekonomi negara.

“Pengurangan birokrasi dan prosedur yang membebankan boleh dipertimbangkan oleh semua agensi yang terlibat di dalam Belanjawan Negara 2021 ini.

“Tidak dapat dinafikan bahawa wanita adalah pembayar hutang yang terbaik dan saya menyeru kepada pihak kerajaan agar mempermudahkan pemberian insentif atau bantuan kewangan kepada usahawan-usahawan PKS dan IKS wanita yang memerlukan sokongan perniagaan.”

Katanya yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, ini penting dalam memastikan wanita dapat turut sama membantu menjaga keperluan keluarga selain menyokong perkembangan ekonomi negara.

“Selain itu, sebagai ahli parti, saya juga ingin mengajak semua ahli UMNO di semua peringkat agar kita sama-sama terus istiqamah dengan ujian yang melanda ini kerana perjuangan kita dalam parti merupakan ibadah demi menentukan kebajikan rakyat terus diperkasa dengan kestabilan politik yang dapat membawa kepada keamanan negara untuk semua,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan keputusan Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi baru-baru ini untuk UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini iaitu berpegang teguh kepada peri pentingnya gencatan politik dan rekonsiliasi nasional demi mendepani wabak COVID-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik. – UMNO Online

Bincang belanjawan: Keputusan kini di tangan Muhyiddin - DAP

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PH dengan jelas telah menyatakan mereka sedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan berkenaan Belanjawan 2021.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, keputusan berkenaan perkara itu kini di tangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Kita telah menjelaskan pendirian kita. Kita dengan jelas mengatakan kesediaan untuk berbincang dengan kerajaan. Jadi sekarang kita tunggu maklum balas mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya jika PH akan mengundi untuk menolak belanjawan itu jika mendapat maklum balas yang dingin, Loke hanya berkata: "Terlalu awal untuk mengatakannya".

Majlis Presiden PH semalam menggesa Muhyiddin segera mengadakan perbincangan dengan pembangkang berhubung Belanjawan 2021, yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 6 November.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuaratnya, Majlis Presiden PH berkata belanjawan perlu memberi tumpuan kepada keperluan petugas barisan depan, mengenal pasti strategi baru untuk ekonomi dan membantu golongan yang hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19.

Walaupun belum ada sebarang respons rasmi daripada kerajaan, sumber dalam PH berkata beberapa pemimpin gabungan itu telah mengadakan "perbincangan tidak rasmi" dengan seorang "wakil" daripada Perikatan Nasional (PN) berkenaannya.

Majlis Presiden PH semalam setuju untuk menggesa perbincangan "terus dan rasmi" dengan perdana menteri.

"Bagaimana kita boleh berbincang dengan seseorang yang bukan datang terus daripada kerajaan? Kita perlukan perbincangan rasmi dan secara betul," kata seorang sumber yang menyertai mesyuarat itu.

Seorang lagi sumber PH berkata gabungan itu sedia untuk bersetuju dengan belanjawan, selari dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong.

"Tetapi kita perlu berunding secara terus dengan perdana menteri. Ini demi rakyat. Tolong jadikannya (perbincangan) rasmi," katanya.

Beberapa pemimpin PH sebelum ini ada membuat cadangan untuk Belanjawan 2021, antaranya Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Salahuddin dan Khalid menggesa peruntukan sama rata untuk semua kawasan Parlimen. Salahuddin turut mencadangkan moratorium pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Lim pula beberapa kali menyuarakan keperluan lanjutan moratorium tersebut - yang berakhir bulan lalu - dan ia sekali lagi ditekankan oleh Majlis Presiden PH semalam.

Pada masa sama, seorang sumber dari PKR berkata parti itu akan menggesa beberapa reformasi institusi.

"Kita perlu mencadangkan sesuatu yang bermanfaat secara institusi kepada semua ahli Parlimen, bukan dasar secara one-off sahaja. Akta Perkhidmatan Parlimen boleh jadi salah satunya," katanya lagi.

Tiga permintaan KKM jika pilihan raya tetap dilaksanakan

Malaysiakini

Ketidaktentuan politik dalam negara hari ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak akan berlakunya pilihan raya dalam tempoh terdekat, di saat negara masih bergelut menangani wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam ini, sebanyak 799 jangkitan baru telah dilaporkan.

Majoriti kes baru ini dilaporkan di Sabah yang baru mengadakan pilihan raya negeri (PRN) bulan lalu. Negeri itu juga mencatatkan tiga kematian hari ini.

Mengulas soalan pemberita berhubung kemungkinan PRU diadakan dalam waktu terdekat, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang ia dijalankan di tengah-tengah penularan wabak.

Bagaimanapun, dia berkata sekiranya ia dilaksanakan, pihaknya hanya meminta tiga perkara diutamakan.

"Kita rasa sebaik-baiknya tangguhkan, kalau kita ada kuasa.

"Tetapi Kementerian Kesihatan tidak ada punca kuasa ataupun dapat menggunakan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) setakat ini....Kalau nak laksanakannya kita kena patuh kepada tiga prinsip.

"Iaitu tidak boleh merentas negeri atau sempadan negeri atau daerah, tiada kempen pilihan raya dan yang ketiga tiada lawatan rumah ke rumah," katanya pada sidang media perkembangan situasi Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Susulan PRN Sabah pada 26 September dan dua minggu tempoh kempen sebelumnya, kes baru Covid-19 telah meningkat secara mendadak.

Selain Sabah yang menerima kesan terburuk, negeri dan wilayah persekutuan lain juga mencatatkan peningkatan kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu.

Noor Hisham kemudian ditanya sama ada Akta 342 boleh digunakan untuk menguatkuasakan tiga prinsip tersebut ketika pilihan raya.

Dia menjawab yang pihaknya sedang mengesyorkan akta itu dipinda untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

"Akta ini dirangka pada 1988, (ketika) kita tak jangka ia akan digunakan untuk pandemik. Akta ini untuk penyakit berjangkit.

"Ada keperluan untuk melihat pindaan dijalankan...Perlu rujuk kepada pihak Peguam Negara," katanya.

Katanya lagi, KKM telahpun menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk digunakan dalam pilihan raya di saat penularan Covid-19.

"Jika lihat SOP untuk pilihan raya memang ada di PRK Chini dan Slim.

"Kita juga telah siapkan SOP untuk PRN Sabah, tetapi isunya ialah ketidakpatuhan. Contohnya ada perhimpunan, kegiatan dari rumah ke rumah dan sebagainya.

"Sebaik-baiknya kita tangguhkan pilihan raya, tetapi KKM tiada kuasa (berkenaan perkara itu)," katanya lagi.

Jumaat, 30 Oktober 2020

Tidak guna berpolitik kalau tak beri faedah kepada rakyat, kata Muhyiddin.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hadir ke majlis perjumpaan pemimpin masyarakat 
Parlimen Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

PAGOH: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, tidak guna berpolitik jika ia tidak memberi faedah kepada kehidupan rakyat, terutama ketika menularnya pandemik Covid-19.

Katanya, apakah tujuan berbahas mengenai politik sedangkan rakyat, terutama yang tinggal di kampung, semakin terhimpit berikutan wabak COVID-19.

“Kalau sebagai perdana menteri hanya nak jaga kedudukan, nak berpolitik sepanjang masa, tiada gunanya memegang jawatan tertinggi kerajaan.

“Rakyat mengadu susah, makan tak cukup, gaji tak ada, dibuang kerja, berniaga tak laku, orang tak datang beli barang. Inilah masalah kita sekarang, bukan berpolitik yang tidak habis-habis.

“Sebab itu saya amat bersetuju dengan saranan Yang di- Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, supaya kita lupakan politik dan tumpukan untuk terus bela dan bantu rakyat, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan ahli Parlimen Pagoh dengan pemimpin masyarakat tempatan, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau tidak mengulas mengenai isu politik sejak menjawat jawatan berkenaan bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada isu membela kebajikan dan membantu rakyat berdepan wabak Covid-19.

“Saya sejak jadi perdana menteri, saya memang tidak mahu cakap soal politik, jika saya cakap soal politik rakyat akan marah pada saya.

“Rakyat sibuk dengan hal Covid-19 sehingga ada yang berkata, ‘kami susah, dia duduk sibuk cakap soal politik tak habis-habi’s.

“Siapa nak jadi perdana menterilah, siapa nak jadi timbalan perdana menterilah, siapa nak jadi ketua bahagian.

“Masyarakat hari ini sudah meluat. Sebab itu saya elak buat pelbagai kenyataan politik, bukan saya tidak tahu, saya sudah hampir 40 tahun dalam politik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan memulakan pembinaannya tidak lama lagi.

“HSR KL ke Singapura akan bernilai lebih RM50 bilion dan jadual pembinaan dijangka dalam tempoh 7 tahun dan ia mula (dibina) tidak lama lagi dan siap pada tahun 2029. Satu daripada hentiannya ada di Pagoh.

“Zon ekonomi Pagoh seluas 4,000 ekar pula akan dibangunkan oleh Sime Darby Properties dan seluruhnya akan dijadikan zon ekonomi bebas dan dalam (zon) itu akan ada kemudahan dari segi cukai.

“Saya juga sedang cari jalan untuk banyak syarikat gergasi besar luar negara datang ke Pagoh. Kalau ini dapat dilakukan, peluang pekerjaan, perniagaan dan ekonomi di Pagoh akan lebih terjamin,” katanya.

Tambahnya, beliau juga sudah menemui beberapa syarikat besar, antaranya berkaitan aktiviti pemasangan kereta nasional bagi membawa industri pemasangan komponen kereta nasional ke Pagoh.

PEMBERITAHUAN:

 BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT '

MP Pasir Gudang dinasihat fahami titah Agong

 DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

SAYA diminta untuk mengulas kritikan YB Hassan Abdul Karim terhadap titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober 2020. Izinkan saya menyampaikan pandangan seperti berikut:

(1) SPB Yang di-Pertuan Agong telah menyampaikan nasihat Baginda melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja agar RUU Perbekalan tidak ditolak semata-mata permainan politiking kerana itu boleh menjelaskan kepentingan rakyat.

Situasi semasa amat kritikal yang memerlukan RUU Perbekalan dibahaskan dan diluluskan dengan merit bagi menangani penularan wabak COVID-19 serta keperluan barisan depan juga pemulihan ekonomi negara.

(2) Nasihat yang disampaikan oleh YDPA ialah susulan daripada nasihat-nasihat terdahulu atas kapasiti Baginda sebagai ketua utama negara yang juga merupakan entiti tertinggi dalam Parlimen.

(3) Pada hakikatnya negara kita tidak mengamalkan prinsip pengasingan kuasa seperti di Amerika Syarikat. Malah prinsip pengasingan kuasa sebenar-benarnya juga tidak berlaku di England. Sebaliknya prinsip Perlembagaan kita menetapkan cabang-cabang kuasa di bawah YDPA dan MRR yang terdiri daripada cabang perundangan, eksekutif dan pentadbiran keadilan. Justeru, kita dapat melihat fungsi YDPA dalam ketiga-tiga cabang kuasa tersebut dengan jelas.

(4) Nasihat YDPA tidak menyentuh atau menghalang penjalanan proses di bawah peruntukan-peruntukan seperti yang dibangkitkan dalam kenyataan akhbar YB Hassan.

(5) Sebaliknya, kenyataan media YB Hassan cuba mempertikai prerogatif YDPA untuk menyampaikan nasihat agar prosiding Parlimen tidak diganggu semata-mata ada kepentingan yang tidak sesuai dijadikan keutamaan buat masa ini.

(6)Tiada dalam mana-mana perenggan kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang bermaksud menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk berbahas dan membuat undian. 

Nasihat YDPA lahir daripada keprihatinan Baginda kepada keperluan semasa serta kegusaran Baginda jika RUU Perbekalan tidak diluluskan bukan kerana alasan merit, tetapi jika digerakkan oleh motif politiking.

(7) Perlu ditegaskan bahawa sumpah Ahli Parlimen untuk memelihara, mempertahan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan termasuklah kewajipan untuk menghormati prerogatif YDPA yang merupakan entiti tertinggi dalam Parlimen dan pemerintahan Persekutuan. 

Malangnya pada hari ini integriti segelintir Ahli Dewan Rakyat mula dipertikai oleh rakyat kerana aktiviti politiking sejak akhir-akhir ini. Justeru titah nasihat YDPA itu tidak wajar dijadikan polemik.

(8) Saya menghormati kebebasan seorang Ahli Parlimen untuk bersuara. Namun tidak adil jika kenyataan seorang Ahli Parlimen itu dibuat tanpa meneliti maksud dan tujuan titah nasihat YDPA. Kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober sepatutnya dihormati malah tidak sekali-kali cuba diputar belitkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh mencabar kewibawaan nasihat YDPA.

(9) Saya berpandangan bahawa perenggan akhir kenyataan media YB Hassan merupakan satu tuduhan liar yang cuba berselindung atas nama ‘amalan demokrasi berparlimen’.

YB Hassan mungkin terlupa bahawa YDPA merupakan bahagian tertinggi dalam institusi Parlimen bahkan Baginda mempunyai kewajipan di bawah Sumpah YDPA untuk memerintah dengan adil dan memelihara keamanan dalam negara.

Sebagai YDPA berposisi pemerintah tertinggi Persekutuan sudah pasti Baginda berhak menyampaikan apa jua nasihat yang Baginda fikirkan mustahak dan perlu. 

Malah Baginda berhak mengulangi nasihat yang sama di Parlimen di bawah Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan sebelum bermula mesyuarat ke III bagi Penggal ke III Parlimen ke-14, bulan depan jika Baginda berkenan.

Apa yang jelas, YDPA hanya menzahirkan hasrat Baginda, tiada unsur paksaan atau sebarang tegahan untuk mana-mana Ahli Parlimen berbahas. 

Baginda boleh sahaja memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat bagi memudahkan proses kelulusan belanjawan negara, tetapi itu tidak berlaku lagi buat masa ini.

Justeru, YB Hassan dinasihati agar meneliti semula teks kenyataan Istana Negara serta bersangka baik dengan hasrat YDPA.

Daulat Tuanku.

(*) DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY

Analisis kajian aktiviti ‘cybertroops’

HARAKAH DAILY

BERDASARKAN Laporan The Global Disinformation Order: 2019 Global Inventory of Organised Social Media Manipulation oleh Bradshaw dan Howard (2019), propaganda menggunakan komputer menerusi penggunaan algorithm, automasi dan data raya dalam membentuk pemikiran manusia telah menjadi semakin berleluasa dan menguasai kehidupan kita sehari-hari.

Kajian telah dijalankan menggunakan metodologi, analisis kandungan, tinjauan literatur, kajian kes dan rundingan dengan pakar.

Kempen manipulasi sosial media

Bukti menunjukkan bahawa kempen manipulasi sosial media yang terancang telah ditemui di 70 buah negara pada tahun 2019 bertambah daripada 48 negara pada tahun 2018 dan 28 negara pada tahun 2017.

Dalam setiap negara yang dikaji, sekurang-kuarangnya sebuah parti politik atau agensi kerajaan menggunakan media sosial bagi membentuk pemikiran dan tingkah laku masyarakat. Walaupun terdapat banyak jaringan sosial media yang ada, Facebook didapati menjadi pilihan paling popular bagi manipulasi sosial media. 

Bagi Malaysia, laporan menunjukkan bahawa Facebook, Twitter, Whatsapp dan Youtube menjadi platform utama bagi manipulasi sosial media bagi aktiviti cybertroop.

Dapatan 1 – Bentuk organisasi

Laporan tersebut telah mengkategorikan bentuk organisasi yang menaungi aktiviti cybertrooper kepada lima jenis iaitu:

(1) Agensi kerajaan.

(2) Parti politik dan ahli politik.

(3) Organisasi swasta.

(4) Organisasi dari orang awam.

(5) Individu dengan pengaruh.

Dapatan kajian bagi Malaysia menunjukkan terdapat lebih dari sebuah agensi kerajaan, parti politik atau ahli politik serta organisasi swasta yang memainkan peranan menggunakan propaganda berkomputer bagi memanipulasi pemikiran orang awam. Turut ditemui adalah bukti dari organisasi orang awam serta individu dengan kelompok pengaruh misalnya golongan belia, penggodam dan lain-lain.

Kajian mendapati bahawa propaganda ini dinaungi oleh organisasi yang terancang dan menggunakan kaedah dan teknik yang tertentu sewaktu pilihan raya.

Dapatan 2 – Jenis akaun palsu yang digunakan

Akaun palsu menjadi alat penting bagi cybertrooper menyebarkan propaganda mereka. Kajian tiga tahun ini menunjukkan tiga jenis akaun palsu yang utama iaitu yang dikendali melalui bot, manusia dan cyborg. Selain itu terdapat juga mereka yang menggunakan akaun curi atau yang telah digodam.

Kajian terhadap Malaysia telah menemui bukti bahawa aktiviti cybertroop ini secara utama telah dikendalikan melalui akaun bot. Bot adalah akaun dengan kuasa automatik tinggi yang direka bagi menyerupai perlakuan manusia di atas talian.

Dapatan 3 – Strategi mesej

Aktiviti cybertroop menggunakan pelbagai bentuk mesej dan strategi tarikan dalam berkomunikasi dengan pengguna di atas talian. Laporan ini telah mengkelaskan lima kategori bentuk mesej yang telah direka iaitu:

(1) Menyebarkan propaganda pro-kerajaan atau pro-parti.

(2) Menyerang atau mengemukakan kempen memburukkan pihak lawan.

(3) Mengalih atau mengubah kritikan dari isu sebenar yang penting.

(4) Memandu pembahagian dan polarisasi.

(5) Tekanan melalui serangan peribadi atau gangguan.

Bukti bagi kajian di Malaysia menunjukkan bahawa mesej yang kerap digunakan adalah melalui penyebaran propaganda yang menyokong pro-kerajaan atau pro-parti, serangan terhadap parti lawan terutamanya dengan mengadakan kempen yang menjatuhkan mereka serta memberikan tekanan misalnya melalui serangan atau gangguan peribadi.

Dapatan 4 – Strategi komunikasi

Cybertrooper menggunakan strategi komunikasi yang pelbagai dan dikategorikan sebagai yang berikut:

(1) Mereka maklumat yang tidak benar serta manipulasi media.

(2) Laporan besar-besaran kandungan atau akaun.

(3) Strategi berpandukan data.

(4) Pelawakan, pendedahan sulit dan gangguan.

(5) Menggandakan kandungan dan media atas talian.

Bukti menunjukkan bahawa propaganda berkomputer yang berlaku di Malaysia telah disebarkan dengan cara manipulasi media dan penyebaran maklumat yang tidak benar, strategi berpandukan data serta penggandaan mesej dan kandungan misalnya dengan menggunakan hashtag.

Manipulasi media dan penyebaran maklumat yang salah telah dijalankan misalnya menggunakan video serta laman web berita palsu. Strategi berpandukan data pula adalah di mana data pengguna telah diperolehi secara online atau offline serta pengiklanan dalam media sosial yang popular secara berbayar.

Dapatan 5 – Kapasiti cybertroop

Laporan ini juga telah cuba mengkaji tiga aspek penting berhubung kapasiti cybertroop iaitu: saiz pasukan, belanjawan dan perbelanjaan serta latihan kemahiran dan pengetahuan. Pasukan ini juga dikenalpasti melalui empat kategori iaitu pasukan dengan kapasiti tinggi, medium, rendah dan minimal. 

Bukti dari Malaysia menunjukkan bahawa kemungkinan pasukan cybertroop yang ada mempunyai pasukan yang tetap dengan kapasiti ahli di antara 50 ke 2,000. Di samping itu latihan yang diberi adalah secara formal dan secara keseluruhannya dikategorikan sebagai pasukan dengan kapasiti medium.

Kesimpulan

Laporan kajian ini telah menyerlahkan bagaimana agensi kerajaan dan parti politik tertentu telah menggunakan media sosial bagi propaganda politik, mencemarkan informasi digital serta menekan kebebasan akhbar dan hak bersuara dalam masyarakat.

Media sosial yang seharusnya menjadi saluran pengukuhan kebebasan dan demokrasi kini kian menjadi wasilah bagi penyebaran maklumat yang tidak benar, pencetus kepada jenayah yang mengakibatkan pengurangan kepercayaan terhadap media dan demokrasinya.

Rujukan: 
Bradshaw, S. & Howard, P. N. (2019. The Global Disinformation Order: 2019 Global Inventory of Organised Social Media Manipulation. Computational Propaganda Research Project, University of Oxford.

QGENANALYSTS (QGA)– HARAKAHDAILY

Sumber Asal: https://www.facebook.com/QGenAnalysts/posts/2768039583484906