HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Oktober 2021

Persefahaman UMNO-PAS: Terserah PAS untuk putuskan – Muhyiddin

 Azrulhakimie

PN akan meneruskan strategi yang telah dibincangkan dan dirancang

MELAKA – Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan PAS untuk membuat keputusan berhubung keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk meneruskan persefahaman dengan parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu akan meneruskan strategi yang telah dibincangkan dan dirancang serta bersedia dengan untuk pertembungan tiga penjuru.

“UMNO di Perhimpunan Agung dia telah buat keputusan tak nak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi kita tak akan tunggu dan teruskan persiapan kita untuk pilihan raya negeri ini.

“Sama ada tiga penjuru ke, empat penjuru ke, kerana bagi saya ini adalah cabaran dan kita berusaha untuk menawarkan pilihan yang terbaik untuk negeri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang bersama profesional Melaka di sini hari ini.

Khamis lepas, UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November ini. – Bernama

PRN Melaka: Undi pemimpin yang mampu beri manfaat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

Pecah undi Melayu tidak bagus untuk masa depan

BANGI – Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum penamaan calon, namun masih tiada persefahaman yang kukuh untuk UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Justeru, tidak mustahil pertembungan sengit antara parti Melayu akan berlaku, sekali gus memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Dari satu sudut, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff tidak menafikan pertembungan parti Melayu akan membuka ruang kepada perpecahan undi di kalangan orang Melayu.

Baginya, keadaan itu tidak bagus dalam hala tuju serta masa depan orang Melayu.

Sekiranya situasi itu tidak dapat dielakkan, beliau menyarankan rakyat melihat kepada ciri-ciri pemimpin yang mampu memberi manfaat di sesuatu kawasan.

“Saya berpandangan, pertama kita lihat sama ada parti itu memberi manfaat kepada masyarakat sesuatu kawasan serta keseluruhan.

“Kedua, personaliti tokoh politik itu sendiri iaitu individu yang bertanding boleh dipercayai, amanah dan ikhlas membantu, tidak menimbulkan masalah dan kekeliruan kepada masyarakat serta boleh menyatupadukan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau menyifatkan penilaian sebegini lebih optimis dan rasional, berbanding memilih pemimpin daripada satu parti namun tidak mengenali wakil rakyat berkenaan.

“Bagi saya sampai masanya rakyat Melaka bersikap matang bukan sahaja memilih parti tetapi juga pemimpin yang memperjuangkan nasib mereka.

“Tidak guna bazir masa hanya memilih parti. Ini bukan macam dulu, kita pilih parti sebagai tonggak tapi kadang-kadang kita dapati ada pemimpin parti yang tidak berkaliber, gagal jadi wakil rakyat,” katanya.

Sabtu, 30 Oktober 2021

Tuntutan Hua Zong melampau, cuba ubah sejarah Malaysia

Oleh Zuhayati Yazid

'Sepatutnya mereka yang patuh dan akur dengan sistem pendidikan kita'

BANGI – Tuntutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina, Hua Zong supaya kerajaan meminda Perlembagaan dalam usaha menjaga sekolah vernakular disifatkan sebagai bukan satu permintaan ringan.

Ia kerana tuntutan tersebut jika dilihat dengan teliti seolah-oleh cubaan untuk mengubah sejarah negara ini.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mendakwa, tindakan sedemikian mampu mengugat perpaduan penduduk berbilang bangsa di Malaysia.

“Orang Melayu sendiri tidak pernah desak mahu ubah atau pinda Perlembagaan…ini tindakan sangat melampau.

“Kenapa mahu pinda dan tunduk dengan permintaan mereka, sedangkan sistem pendidikan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) berlawanan dengan sistem pendidikan negara.

“Sepatutnya mereka yang patuh dan akur dengan sistem pendidikan kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Hua Zong meminta kerajaan mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan Persekutuan serta meminda atau memperkuatkan peruntukan yang relevan jika perlu.

Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, ia bagi mengelakkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaa Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah Perlembagaan terus dicabar.

Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan sehingga ke hari ini masih belum mampu menyelesaikan isu berkaitan sekolah vernakular.

“Ini melibatkan isu negara dan harus ingat kemantapan sesebuah negara sebenarnya bergantung kepada sejarah,” katanya.

Sehubungan itu, Prof Ahmad Murad berharap sekolah satu aliran dapat diwujudkan segera demi menjamin perpaduan kaum yang lebih utuh.

MCA dakwa isu arak ‘Timah’ sandiwara politik

 Siti Hafidah

Menjadi detik tewasnya logik dan pemikiran rasional

BANGI – Perdebatan mengenai penggunaan nama ‘Timah’ oleh jenama wiski tempatan, yang akhirnya menyebabkan penukaran nama dan gambar pada produk itu bakal membuka ruang kepada muslihat politik yang mengarah kepada pemikiran tidak rasional, kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Memetik laporan MCA Lantian semalam, beliau mendakwa, kontroversi penggunaan nama itu oleh produk wiski dimulakan oleh Parti Amanah Negara (PAN), yang kemudiaannya disahut oleh parti lain, ahli politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, hujah mengenai kontroversi ini semakin tidak masuk akal di antaranya kenyataan Ahli Parlimen PKR, Rusnah Alua baru-baru ini yang menyamakan penggunaan nama ‘Timah’ dengan meminum wanita Melayu.

Kenyataan sedemikian katanya, sudah mencapai tahap yang tidak dapat difahami.

Dakwanya lagi, kontroversi berkaitan ‘Timah’ dari mula lagi adalah permainan parti dan ahli politik untuk meraih sokongan yang akhirnya bertukar menjadi sandiwara politik yang tiada berkesudahan serta telah mengorbankan kebebasan rakyat Malaysia.

“Andainya Timah akhirnya menukar nama dan gambarnya, ia akan menjadi detik tewasnya logik dan pemikiran rasional kepada sandiwara dan muslihat politik, Malaysia akan menjadi bahan jenaka di seluruh dunia,” kata beliau.

Sebelum ini, syarikat pengeluar arak tempatan berjenama ‘Timah’ memohon tempoh selama seminggu bagi menukar nama dan imej pada label produk keluaran mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan kerajaan dengan wakil syarikat pengeluar arak terbabit – Winepark Corporation (M) Sdn Bhd.

“Melalui perbincangan yang diadakan, syarikat ini memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka,” katanya.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT       

PRN Melaka: Jangan bagi muka pengkhianat bersekongkol DAP

Siti Hafidah

Parti Melayu perlu 'move on' menang semua kerusi

BANGI – Keputusan yang sukar dijangka apabila UMNO memutuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Difahamkan, keputusan itu selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Biarpun begitu timbul persoalan sama ada keputusan UMNO itu atas dasar semangat untuk selamatkan negara ataupun semata-mata tindakan segera ‘selamatkan diri’.

Apa-apa pun Ketua Pergerakan Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Fahmi Bazlan Muda merakamkan ucapan tahniah berhubung keputusan itu kerana dilihat langkah yang terbaik untuk rakyat Melaka.

“Jika tiada keputusan ini, PRN Melaka tiada makna, merugikan dan menggadai masa depan Melaka untuk terus kekal di tangan kita.

“Move on untuk menang semua kerusi, yang penting jangan bagi muka kepada pengkhianat yang bersekongkol dengan DAP,” katanya menerusi kenyataan, hari ini

Dalam perkembangan sama, beliau yakin Pakatan Harapan (PH) pastinya tergugat dengan perkembangan terbaru ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

Bajet 2022 jangan sekadar cantik di atas kertas saja: BERJASA

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI – Bajet 2022 yang dibentangkan kerajaan diharapkan bukan sekadar cantik di atas kertas semata-mata tetapi perlu memastikan pelaksanaan yang sempurna.

Dalam hal ini, sistem pengagihan adalah aspek paling penting supaya segala perancangan seperti yang diideakan dapat direalisasikan dengan berjaya dan mencapai sasaran.

Selain itu, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Haji Zamani Ibrahim mengingatkan, kepentingan aspek pemantauan agihan bagi mengelak daripada berlakunya ketirisan.

“Kita tidak mahu bajet semalam sekadar cantik di peringkat idea sahaja sedangkan pelaksanaannya nanti tidak selancar dan sempurna seperti yang diharapkan.

“Perlu ada pemantauan dan kawalan bagi menjayakan setiap yang dicadangkan kerana kita juga tidak mahu idea bernas tadi hanya dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja terutama mereka yang rapat dengan ahli politik sahaja menyebabkan tidak sampai kepada sasaran,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembentangan Bajet 2022 semalam melibatkan peruntukkan RM332.1 bilion dalam usaha Malaysia memulihkan semula setiap segmen sosioekonomi pada tahun depan.

Belanjawan tersebut merangkumi RM233.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM75.6 untuk perbelanjaan pembangunan dan RM23 bilion dibawah Kumpulan Wang COVID-19.

Dalam masa sama, Haji Zamani memuji Bajet 2022 yang dilihat mengambil kira roh dan kesan daripada pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak wujud karenah birokrasi yang boleh membantutkan perjalanan bajet dirancang.

“Kita mahu di peringkat pelaksana bersungguh jayakan seperti yang dibincangkan supaya tidak tersasar kepada pihak lain,” ujarnya.

Ditanya mengenai peruntukan kepada golongan usahawan dalam usaha kerajaan memacu semula ekonomi yang kini bergerak lemah kesan daripada COVID-19, beliau berpandangan bantuan dari semasa ke semasa perlu diperluaskan.

“BERJASA merasakan kerajaan perlu serius membantu golongan usahawan untuk kembali bangkit kerana kini bukan sahaja sakit lagi tetapi ada yang terus lumpuh berikutan terkesan dengan COVID-19.

“Kita melihat menjadi keperluan dan keutamaan kepada kerajaan untuk wujudkan program khas kepada golongan terkesan supaya mereka mampu bangkit dengan sokongan dan bantuan daripada kerajaaan sendiri,” katanya.

Yusoff cabar jawapan pembelaan Anwar, dedah butiran kejadian


Bekas staf, Muhammed Yusoff Rawther mencabar kenyataan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman serangan seksual yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu tiga tahun lalu.

Yusoff dalam kenyataan pendakwaan mendedahkan butiran yang jelas melibatkan keberadaan Anwar sekitar 3 petang pada 2 October 2018, selepas diarahkan menyerahkan sendiri draf ucapan yang akan disampaikan bekas bosnya itu bagi acara peringatan mengenai Mahatma Gandhi pada malamnya.

Beliau mencabar kenyataan Anwar yang mengatakan ahli keluarganya termasuk anak perempuan dan cucu-cucunya turut berada di banglo tersebut ketika insiden itu didakwa berlaku.

Dalam kenyataan itu juga, Yusoff mendakwa tidak berapa lama selepas masuk ke ruang perpustakaan rumah tersebut, Anwar cuba melakukan serangan seksual terhadapnya.

Dalam pernyataan pembelaannya bulan lalu, Anwar menolak semua tuduhan, mengatakan beliau sibuk melayani anak keduanya, Nurul Nuha dan anak-anaknya selain beberapa orang kawannya antara pukul 2 petang dan 6 petang di rumahnya, sejurus selepas tiba dari Port Dickson untuk berkempen sebagai calon Pilihan Raya Kecil Port Dickson mewakili Pakatan Harapan (PH).

Anwar dicabar Yusoff perlu membuktikan semua dakwaan lain selain daripada kenyataan Anwar yang dijadualkan berada di Port Dickson pada sebelah pagi.

Untuk rekod, Yusoff pertama kali membuat tuduhan terhadap Anwar dalam sebuah akuan bersumpah pada November 2019.

Sebuah laporan polis juga turut dibuat susulan pengakuan tersebut yang kemudian disusuli beberapa minggu siasatan dijalankan Bukit Aman di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang meliputi jenayah kekerasan dan cabul.

Sepanjang siasatan, polis turut melakukan ujian poligraf terhadap Yusoff selama empat jam di Bukit Aman.

Bagaimanapun Anwar menolak untuk menjalani ujian tersebut.

Anwar dalam pembelaannya, menuduh Yusoff bekerjasama dengan beberapa individu “tidak dikenali” bagi menjatuhkan beliau menjelang peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Anwar kemudian turut mempertikaikan waktu kejadian yang didakwa Yusoff dan pemfailan saman yang dilakukan pada Julai, mengatakan ketika itu berlaku krisis politik di mana beliau “ada kemungkinan” menjadi perdana menteri.

Yusoff juga mempersoalkan kegagalan Anwar untuk membuat tindakan susulan berhubung ancaman pada Januari 2020 yang mahu membuat saman malu terhadapnya ekoran dakwaan serangan seksual tersebut.

“Defendan mempunyai setiap peluang untuk membawa tindakan saman terhadap plaintif sebelum pemfailan tindakan plantif terhadap defendan, namun defendan takut untuk berbuat demikian dan/atau gagal berbuat demikian,” katanya.

Geram tuntutan ditolak Asyraf beri amaran akan semak dokumen bajet


Pemuda UMNO yang begitu terkesan dan kecewa dengan Bajet 2022, memberi amaran kepada kerajaan pimpinan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa kerajaan akan berdepan cabaran dan kekangan untuk melaksanakan belanjawan berkenaan.

Bukan itu sahaja, disebabkan kecewa kerana kerajaan tidak tunduk kepada kehendak mereka dalam Bajet 2022 itu juga menyebabkan Pemuda UMNO geram hingga mahu menyemak semua dokumen belanjawan, termasuk Laporan Ekonomi.

Tidak terlepas untuk mereka teliti ialah teks ucapan Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perkara ini dijelaskan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini ketika mengulas pembentangan Bajet 2022 oleh Tengku Zafrul di Dewan Rakyat semalam.

“Saya dan teman-teman Pemuda UMNO Malaysia mendengar dengan penuh minat dan harapan yang Belanjawan 2022 yang dibentangkan kelmarin bakal menjadi instrumen penting untuk pemulihan negara yang ramai rakyat di luar sana dambakan,” katanya.

Mengakui Bajet 2022 itu ‘agak menyeluruh dan optimistik’ beliau dan Pemuda UMNO tetap kecewa kerana beberapa permintaan mereka – kononnya ‘tuntutan rakyat’ – tidak dimasukkan ke dalam belanjawan itu.

“Sejujurnya, saya dan teman-teman di Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat menyimpan perasaan kecewa, apabila ada beberapa #TuntutanRAKYAT yang kami perjuangkan tidak dipenuhi, walaupun tidak dinafikan sudah ada beberapa #TuntutanRakyat yang kami perjuangkan ditunaikan kerajaan termasuk Moratorium tanpa faedah.

“Namun antara yang menjadi harapan besar majoriti rakyat iaitu Pengeluaran Simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off yang tidak dimasukkan oleh Kerajaan dalam pembentangan kelmarin.

“Apakan daya, walaupun perkara ini telah berkali-kali diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium, platform termasuk mengadakan siri-siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi negara hatta pengurusan tertinggi KWSP,” katanya lagi.

Oleh itu, Asyraf berkata beliau dan pasukan Pemuda UMNO akan menyemak semua dokumen berkaitan Bajet 2022 berkenaan.

“Pun begitu, saya dan teman-teman di Pemuda UMNO tidak boleh “lepas tangan”. Dokumen-Dokumen Belanjawan 2022 termasuklah Laporan Ekonomi dan Teks Ucapan YB Menteri Kewangan akan diteliti dengan mendalam oleh kami secara bersama.

“Banyak cabaran dan kekangan yang akan dihadapi oleh semua pihak termasuklah Pemerintah untuk menjayakan Belanjawan 2022 ini,” katanya.

Menurutnya, andaian ekonomi dan pengenalan cukai dan duti eksais baru untuk menampung perbelanjaan besar yang dirancang sudah pasti akan memberi impak kepada iklim perniagaan dan harga pengguna kelak.

Noh pecat ahli Bersatu pegang jawatan agensi bawah kementeriannya

 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar didakwa memecat semua ahli Bersatu yang memegang jawatan dalam agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC) yang diterajuinya.

Menteri MEDAC itu menamatkan perkhidmatan beberapa lantikan dari kalangan pemimpin Bersatu di dalam agensi-agensi bawah kementerian itu seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Yayasan Bank Rakyat.

Perkara itu didedahkan Naib Ketua Bersatu Bahagian Puchong, Ts. Shaik Shaszari Shaik Sulaiman dalam satu kenyataan yang membidas tindakan Noh itu cuba mengugat keharmonian dalam kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya turut mempersoalkan adakah langkah ini diambil bagi digantikan dengan lain-lain pemimpin UMNO?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah yang diambil oleh pemimpin UMNO Selangor itu menurut Shaik Shaszari juga dibuat secara tergopoh-gapah walaupun kontrak lantikan masih belum tamat, malah langkah itu secara tidak langsung akan memecahbelahkan keharmonian yang dibina antara Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin dan Ismail Sabri dalam kerajaan pusat.

“Saya secara peribadi mempersoalkan rasional yang diambil dalam masa sama kementerian-kementerian termasuk MEDAC sedang mencapai KPI 100 hari dan saya percaya ahli-ahli Lembaga Pengarah tersebut sedang bersama-sama dalam agensi-agensi bawah MEDAC untuk membantu pihak menteri dalam mencapai KPI 100 hari dan seterusnya.

“Namun sebaliknya tindakan ini secara tidak langsung makin memecahkan keharmonian yang sedang dibina antara Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Parti UMNO antaranya Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri,” katanya lagi.

Beliau turut memberi senarai pemimpin Bersatu yang ditamatkan kontrak lebih awal, antaranya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman selaku Ahli Lembaga Pengarah SKM yang sepatutnya tamat kontrak pada Disember 2022, Ahli Lembaga Amanah TEKUN ialah Puan Najwah Halimah (Timbalan Pengerusi Tekun Nasional), Puan Mizmah Appehdullah (Exco Srikandi Pusat Bersatu), Datuk Wan Shaharir bin Wan Jalil (mantan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Pahang) serta beberapa pemimpin lain lagi.

Untuk rekod, Noh merupakan salah seorang ahli kumpulan 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan setia bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri pada saat akhir bertindak melantik Noh dalam Kabinetnya selepas mengangkat sumpah sebagai PM baharu.