HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 November 2008

Kes fitnah RPK: Hakim putus tunggu keputusan Mahkamah Tinggi

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Sekeri Mamat hari ini memutuskan untuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi sama ada perbicaraan kes fitnah Raja Petra Kamarudin akan didengar di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret.

Editor laman web Malaysia Today itu telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Selasa lalu supaya perbicaraan kes tersebut dipindahkan semula daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Majistret.

Peguam beliau, Manjeet Singh Dhillon dalam hujahnya berkata, "secara alternatifnya, Mahkamah Tinggi juga boleh merujuk kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan" untuk mengkaji kaitan antara pemindahan kes-kes majistret ke Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 177, Kanun Prosedur Jenayah dan hak seseorang kepada sesaksamaan di bawah Artikel 8 (1), Perlembagaan Persekutuan.

Raja Petra menghadapi tiga dakwaan kerana memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Kolonel Norhayati Hassan dan suami, Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dalam akuan bersumpah yang dibuat pada 18 Ogos.

Dia didakwa di Mahkamah Majistret Julai lalu namun kesnya telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen pada 15 Ogos.

Ahli Umno amal politik wang akan dilucut jawatan

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
[DIKEMAS KINI]


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi amaran kepada mana-mana ahli UMNO yang terbukti bersalah mengamalkan politik wang akan dilucutkan jawatan yang dimenangi mereka.

"Mereka sepatutnya tahu (tindakan dilucutkan jawatan). Mereka lupa dengan keghairahan nak bertanding, macam-macam boleh berlaku.

"Kalau berlakunya sesuatu yang menjadi masalah, akhirnya nanti mereka akan dikenakan tindakan disiplin termasuk tinggalkan jawatan atau digantung," katanya selepas menyampaikan Anugerah Kualiti Sektor Perkhidmatan Awam 2008, di sini, hari ini.

Abdullah yang juga Presiden Umno berharap siasatan Lembaga Disiplin Umno berhubung politik wang dapat diselesaikan sebelum pemilihan parti Mac depan agar mereka yang bersalah boleh digugurkan daripada bertanding.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah bagi memastikan pentadbiran parti berjalan lancar.

"Sekiranya seseorang yang sudah dipilih untuk memegang sesuatu jawatan dan selepas itu baru didapati bersalah dan jawatan itu terpaksa dikosongkan, ia akan merugikan parti," katanya.

Abdullah berkata, beliau mendapat jaminan daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang pihaknya akan cuba menyelesaikan aduan sebanyak mungkin sebelum pemilihan," katanya.

Bagaimanapun katanya, walaupun siasatan itu perlu dijalankan dengan cepat namun ia perlu dijalankan dengan rapi dan keputusan yang dibuat mestilah betul.

Abdullah berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) masih boleh menyiasat sekiranya wujud unsur-unsur rasuah membabitkan mereka yang bertanding.

Hari Raya Haji pada 8 Disember

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah semalam mengisytiharkan Hari Raya Aidiladha bagi seluruh Malaysia ditetapkan Isnin, 8 Dis ini.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijjah, 1429 Hijrah ialah pada 29 Nov 2008 Masihi.

"Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijjah) bagi seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 8 Dis," menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

Dalang pemalsuan dokumen dicekup

SINAR HARIAN ONLINE


PUCHONG - Seorang lelaki warga Bangladesh nekad melompat keluar dari jeriji tingkap dapur sebuah pangsapuri di tingkat 13, di sini bagi mengelakkan dirinya dicekup pihak berkuasa yang mengadakan serbuan di rumah berkenaan, tengah hari, semalam.

Difahamkan, lelaki terbabit bertindak meloloskan diri dengan melompat ke arah kaki lima rumah pangsa berkenaan selepas menyedari rumah yang menjadi markas aktiviti pemalsuan dokumen itu dikepung pihak berkuasa.

Menurut sumber, pihak imigresen bertindak atas maklumat sebelum menyerbu masuk sebuah rumah di tingkat 13A, Pangsapuri Bayu Puteri, Bandar Puteri 11 di sini dan mendapati tiga lelaki leka mencetak pas pekerja palsu.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki bertindak nekad dengan meloloskan diri ketika pegawai sibuk memecahkan pintu hadapan rumah pangsa berkenaan.

“Bagaimanapun, kita berjaya memberkas kesemua lelaki warga negara Bangladesh berusia lingkungan 20-an termasuk suspek yang cuba melarikan diri,” katanya.

Kata sumber itu lagi, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai berada di negara ini sejak dua hingga tiga tahun dan bergiat aktif melakukan pemalsuan I-Kad atau pas pekerja enam bulan lalu.

Muslimat PAS akan temui PM segera

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Pimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) akan menemui Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum beliau meletakkan jawatan Mac depan.

Perkembangan ini dimaklumkan Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berikutan pertemuan dan perbincangan dengan Pengerusi Pembelaan dan Pemerkasaan Wanita Islam (Senada), Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil, di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, pertemuan itu hanya membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Senada.

"Surat kepada Dato' Seri akan dihantar segera dan kita berharap Perdana Menteri bersedia untuk menemui pimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat dan ketua-ketua Muslimat PAS negeri," katanya.

Tambah beliau perkara itu akan dibincangkan secara serius dalam mesyuarat DMPP akan datang. - lanh_

Perlantikan Shahrizat bazirkan wang negara

Ramli Yamat


MACHANG - Perlantikan Dato' Seri Sharizat Abdul Jalil sebagai Penasihat kepada Menteri Kebajikan Masyarakat oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan gaji RM28,000.00 sebulan merupakan tindakan membazir wang rakyat.

Anggota Parlimen Machang, Saifudin Nasution Ismail berkata, Sharizat tidak sepatutnya dilantik ke jawatan bertaraf menteri itu kerana beliau telah pun ditolak oleh rakyat selepas tewas kepada Puteri Refomasi, Nurul Izzah Dato' Seri Anuar di Kawasan Parlimen Lembah Pantai dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, selain bergaji bulanan, Sharizat juga berhak mendapat elaun tertentu yang dianggarkan tidak kurang RM2,000 sebulan atau sekurang-kurangnya RM30,000.00 sebulan.

Berucap di Majlis Penerangan Isu-isu Semasa Anjuran Pakatan Rakyat Parlimen Machang di Dewan Majlis Daerah itu baru-baru ini beliau berkata, jika dicampurkan gaji dengan elaun, kerajaan terpaksa membelanjakan wang rakyat sebanyak RM360,000.00 setahun bagi membayar gaji dan elaun kepada Sharizat.

Selain Sharizat, wang rakyat juga turut digunakan untuk membayar gaji Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Dato' Dr Abdul Hamid Othman dengan gaji sebanyak RM25,000.00 sebulan.

Namun begitu, walaupun peranan Hamid lebih besar berbanding Sharizat namun gaji yang dibayar kepada Sharizat RM3,000.00 lebih tinggi berbanding Abdul Hamid yang tugasnya sebagai penasihat agama Perdana Menteri.

"Sepatutnya bekas menteri yang kalah dalam pilihan raya umum itu tidak lagi dilantik ke jawatan kerajaan kerana mereka semenangnya telah ditolak oleh rakyat," tegasnya.

Katanya, tindakan itu seolah-olah Perdana Menteri tidak merasa bersalah membelanjakan wang rakyat yang banyak untuk diberikan kepada Shahrizat. - mns_

'Merenjis, bersanding juga ada unsur agama lain'- Mufti

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin. telah menegur pihak Majlis Fatwa Kebangsaan supaya memberi alternatif pada fatwa yoga dengan membuang unsur yang bertentangan dengan agama Islam.

Beliau menasihatkan agar Majlis Fatwa tidak terlalu kaku dalam mengeluarkan fatwa dan memberi alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga untuk kebaikan kesihatan. "Saya bukan kata fatwa itu salah.

Memanglah apa saja perlakuan yang menyerupai agama lain itu haram. Kita sepatutnya pisahkan bacaan atau mentera dalam senaman yoga itu sendiri. Jangan ada sebarang unsur-unsur syirik yang menyamai agama lain.

"Majlis Fatwa jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif," katanya yang dipetik daripada laman web.

Katanya banyak lagi amalan-amalan sukan yang diambil dari budaya lain seperti tai chi, judo, taekwando dan semua sukan tersebut bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan. Katanya seseorang perlu meningggalkan yang bertentangan sahaja, samada pergerakan, bacaan atau kepercayaan namun boleh mengekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan.

"Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan. "Kenapa tak kaji amalan-amalan lain yang ada unsur Hindu seperti tepung tawar, bersanding, merenjis. Semua ini boleh dibahaskan...," kata Dr Asri.-Hrkh _

Khamis, 27 November 2008

Zaman gelap hantu raya Mahathir

Hishamuddin Rais


Apabila saya dibebaskan dari kem tahanan Kamunting pada 2003, saya telah mengeluarkan slogan "Tangkap! Tangkap Madey!" Ramai yang tersalah faham kenapa saya mengeluarkan slogan ini.

Slogan ini bukan kerana dendam. Saya tidak mendendami sesiapa pun. Slogan ini adalah hasil daripada analisis politik.

Di hari Dr Mahathir (Madey) meninggalkan pejabat PM, pada malamnya saya telah mengadakan pesta yang saya panggil "Malam Menghalau Hantu Raya".

Di malam itu, ramai kawan datang untuk berpesta termasuk berbelas-belas anggota polis dan tuan OCPD dari Brickfeilds.

Saya pangil Madey Hantu Raya kerana dari mitologi Melayu ada kepercayaan di mana seseorang yang telah berjanji dengan setan tidak akan mati-mati. Rasa saya metafora Hantu Raya untuk Madey cukup tepat.

Justeru slogan "Tangkap! Tangkap Madey!" itu semakin terbukti tepat. Dan pesta Menghalau Hantu Raya itu juga memang tepat.

Ramai tersalah baca tentang Hantu Raya. Ramai salah analisis dan tidak memahami perjalanan politik. Salah baca ini muncul kerana: Pertama - penganalisisan dan pembacaan politik mereka tidak memiliki asas ekonomi dan kelas. Kedua – penganalisisan politik ini dicampuradukkan dengan harapan dan mimpi si penganalisis itu sendiri.

Politik ialah perebutan kuasa. Kuasa muncul daripada ekonomi. Ekonomi ialah harta dan wang ringgit. Politik ialah perjuangan satu kumpulan atau satu kelas yang ingin mendapatkan kuasa agar dapat memiliki punca harta kekayaan.

Hukum politik dan kuasa ini tidak akan berubah-ubah sama ada di Saudi Arabia yang Islam, di India yang Hindu, di Nepal yang menganut Buddha, di Itali yang Katholik atau di Peranchis yang sekular.

Harus diakui bahawa Hantu Raya ini telah meninggalkan kerusi PM kerana telah dihalau oleh ombak Reformasi. Hantu Raya tidak akan pergi tanpa dihalau. Keputusan pilihanraya umum 1999 membuktikan jika Hantu Raya ini tidak pergi, maka ombak Reformasi akan melingkupkan United Malays National Organisation.

Ketika Hantu Raya mengundur dan hilang kuasa, kita dapat melihat bagaimana polong-polong dan para kroni seperti Halim Saad, Daim Zainuddin, Lim Goh Tong, Ananda Krishan, Eric Chia, Vincent Tan – mula menguncup.

Eric Chia dibawa ke mahkamah untuk kes Pewaja, Vincent Tan dibawa ke mahkamah kerana terlibat dalam kes korek, korek, korek (correct, correct, correct). Malah Hantu Raya sendiri telah diheret ke mahkamah dalam kes pita video Lingam. Keadaan ini cukup menggerunkan Hantu Raya.

Polong dan kroni-kroni Hantu Raya telah mula hilang pengaruh dan hilang kunci untuk dapat merompak dana negara dan merompak harta rakyat tanpa dihalang-halang. Waspada, kaum pemodal yang menjadi polong ini tidak akan pergi tanpa melawan kembali.
Justeru, mereka bersama Hantu Raya telah menyusun strategi untuk kembali berkuasa.

Saya telah banyak menulis dan cuba menerangkan kenapa Hantu Raya ini wajib dilihat sebagai musuh orang ramai. Banyak tulisan yang membuktikan bahawa selama 22 tahun Hantu Raya berkuasa banyak porak-peranda telah menimpa orang ramai.

Dasar penswastaan atau mengagih-agihkan harta rakyat seperti syarikat MAS, syarikat air, elektrik, jalan raya, keretapi, hospital - kepada kroni dan para polong adalah salah satu daripada dasar Hantu Raya yang kita semua rakyat merasai parah akibatnya.

Memaksa kanak-kanak sekolah belajar sains dan ilmu kira-kira dalam bahasa Inggeris adalah satu lagi bukti. Dasar ini dilaksanakan tanpa perbincangan dan pengkajian. Dasar ini telah dan sedang memporakperandakan sistem pembelajaran kebangsaan. Hasilnya bahasa pengucapan kebangsaan semakin parah dan cacamarba.

Hantu Raya juga telah mengusutmasaikan dan merobek lembaga kehakiman negara. Kes pembuangan hakim pada 1988 masih dirasakan musibatnya. Lembaga kehakiman negara menjadi porak-peranda sehinggakan ada susuk peguam, susuk magistret dan susuk hakim boleh dijual beli.

Untuk berkuasa kembali, Hantu Raya telah merancang dengan licik. Hantu Raya telah membuat kelentong hinggakan Tengku Razaleigh Hamzah merasa yakin bahawa dialah yang layak untuk memimpin United Malays National Organisation.

Lihat pula bagaimana Rais Yatim naik ekor dan hampir terpancut apabila badannya diurut-urut oleh Hantu Raya. Tiba-tiba Rais Yatim merasa dialah susuk yang berwibawa untuk menjadi timbalan presiden gerombolan United Malays National Organisation.

Susuk-susuk ini diurut-urut oleh Hantu Raya agar mereka bangun bertandak untuk melekeh dan mengkritik Abdullah Ahmad Badawi. Tidak cukup dengan ini, Hantu Raya telah menggunakan taktik – polis baik dan polis jahat – untuk memberi tekanan kepada Abdullah agar mengundur.

Polis baik ialah Najib Razak. Polis jahat ialah Muhyiddin Yassin. Taktik klasik ini selalu digunakan oleh polis semasa melakukan siasatan. Satu orang akan memberi tekanan secara kasar ganas dan yang satu lagi akan memberi tekanan secara halus. Akhirnya Abdullah Badawi terlucut seluar.

Dari 2003 lagi saya telah menulis dan berkeyakinan bahawa pilihan 'agung' Hantu Raya ialah Najib Razak. Malah kita jangan lupa hampir tiga bulan sesudah menjadi PM, Abdullah Badawi tidak memilih sesiapa pun sebagai timbalan sehingga Hantu Raya membuat pengisytiharan. Abdullah Badawi terpaksa mengiyakan pilihan Hantu Raya.

Maka Najib Razak menjadi timbalannya.

Sila lihat corak siapa yang dilantik dan diyakini dalam kabinet Hantu Raya. Semuanya yang dijadikan pemimpin kanan adalah susuk-susuk yang memiliki masaalah. Rahim dengan budak kecik, Megat dengan penjual kedai video, Nazri dengan teksi-teksinya, Rafidah dengan APnya.

Lagi banyak si menteri bermasalah, lagi setia menteri ini dengan Hantu Raya. Lagi banyak berasuah, lagi senang polong-polong ini mengikut kata Hantu Raya.

Apakah Najib ada masaalah? Saya tidak perlu menjawab soalan bodoh ini. Kalau seekor tikus yang bertanya mungkin saya akan cuba menerangkan kepada tikus ini tetapi kalau warga negara yang celik otak bertanya, maka saya meminta orang yang bertanya ini pindah ke Zimbabwe.

Hantu Raya memiliki strategi berjangka panjang. Semuanya telah, sedang dan akan diatur dengan licik. Tujuan akhir ialah untuk menobatkan anak Hantu Raya. Ini untuk meneruskan dinasti dan memastikan harta kekayaan negara ini akan terus selamat di tangan kaum keluarganya. Juga untuk memastikan Hantu Raya sendiri tidak akan dibawa ke mahkamah untuk menghadapi seribu satu pertuduhan.

Siapa sebenarnya yang diwakili oleh Hantu Raya ini? Jawabnya, bukan Mak Cik dari Felda Taib Andak, bukan tuan punya warong di Pantai Dalam, bukan ahli United Malays National Organisation Bukit Jelutong.

Hantu Raya mewakili borjuis nasional, cukong-cukong besar – Daim Zainuddin, Lim Genting, Vincent Tan, Ananda, Tin Phek Bakun – ini hanyalah beberapa nama cukong borjuis nasional yang diketahui umum.

Mereka ini semuanya menjadi polong kaya-raya menghisap darah kekayaan negara kerana setia kepada Hantu Raya.

Justeru pertempuran antara Hantu Raya dengan Abdullah Badawi wajib dibaca sebagai pertempuran kepentingan ekonomi dari dua kelas yang berbeza. Syarikat Scomi, ECM Libra, atau Ethos Capital adalah pendatang baru yang belum bertahap borjuis nasional. Syarikat-syarikat ini kaya tetapi belum cukup kaya-raya yang melimpah ruah.

Kumpulan kelas baru ini cuba mengambil punca-punca ekonomi melalui payung kuasa Abdullah Badawi. Inilah sebab musabab kenapa Hantu Raya siang dan malam menggodam Khairy Jamaluddin, menggodam Tingkat Empat dan menggodam Kalimullah Hassan.

Penggodaman yang dilakukan oleh Hantu Raya tidak ada sangkut paut dengan Islam, dengan Melayu, United Malays National Organisation, nilai patriotisme, dasar luar negara dan, dan, dan... Pergaduhan politik ini ialah perebutan ekonomi.

Pada akhir 2008, kuda-kuda tunggangan Hantu Raya telah tersedia untuk ditunggang. Kuda sudah sedia. Celana sudah dipasang. Malaysia akan kembali ke zaman gelap Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimana dengan Najib Razak? Najib Razak ini siapa?

PAS gesa kerajaan atasi masalah pasaran kerja graduan

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Dr Dzulkefly Ahmad (PAS- Kuala Selangor) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini meminta pihak Kementerian Sumber Manusia menyatakan apakah usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah 'mismatch' antara dunia akademik dan sektor industri serta keperluan pasaran.

Menjawab soalan tersebut, Menteri Sumber Manusia, Dato' S. Subramaniam menyatakan pihak kementerian telah dan sedang berusaha untuk menyediakan berbagai bentuk latihan kemahiran untuk mengurangkan jurang 'mismatch' antara kemahiran yang dimiliki oleh graduan dan keperluan industri.

Katanya, bagi tujuan tersebut pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi yang berkaitan khasnya Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan graduan yang keluar daripada IPTA mempunyai kemahiran yang bersesuiaan dengan keperluan sebenar industri.

Tambahnya, pihaknya juga berusaha untuk mengubah suai program pengajian bersesuaian dengan keperluan industri.

Bagaimanapun Dzulkefly dalam soalan tambahannya menyatakan semua pihak masih mencari jalan dalam menyelesaikan masalah 'missmatch' itu.

Beliau juga menyatakan, bagi mengelakkan 'mismatch' ini daripada berterusan, ia perlu diperjelaskan sama ada perkara tersebut di bawah Kementerian Pengajian Tinggi atau Kementerian Sumber Manusia.

"Saya ingin tanya kementerian manakah yang bertanggung jawab untuk akhirnya mengeluarkan satu 'blue print' agar 'mismatch' ini tidak berterusan," katanya.

Dalam jawapannya, Subramaniam menyatakan pihak kementeriaanya telah melancarkan National Labour Blueprint di mana segala isu tentang keperluan tenaga sumber manusia, daripada segi keperluannya serta cadangan bagaimana mengatasi isu tersebut daripda segi keperluan. - mns_

Kemasukan pekerja asing di bawah KDN

Oleh WAN SYAMSUL AMLY


KUALA LUMPUR - Kemasukan pekerja asing di negara ini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad menjelaskan, rakyat seharusnya memahami konsep itu dan tidak meletakkan 100 peratus isu kebanjiran pekerja asing berpunca daripada kementeriannya.

Tegasnya, agensi di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen sendiri memainkan peranan utama dalam memastikan malah mengawal kemasukan setiap pekerja asing.

''Isu kebanjiran ini menjadi skop kuasa KDN. Kita tidak ada kuasa untuk mengawal keluar masuk pekerja asing yang bekerja di sini.

''Masyarakat perlu faham sempadan kuasa setiap kementerian malahan kita sendiri tidak tahu mengapa kebanjiran serta kelonggaran kawalan kemasukan pekerja asing ini boleh berlaku," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas celahan ahli Parlimen, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat semalam yang melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini.

Malah Mohamad Aziz turut menempelak Noraini kerana memberikan jawapan terlalu panjang dan berjela-jela berhubung isu itu.

Tambah Noraini, kementeriannya tidak pernah berhasrat untuk 'lari' daripada masalah itu malah bersedia pada bila-bila masa bekerjasama dengan KDN atau mana-mana agensi untuk memastikan isu itu dapat diselesaikan dengan segera.

Katanya lagi, kementeriannya juga tidak pernah mengambil langkah 'lepas tangan' dalam isu kebajikan pekerja tempatan dan asing.

''Kita tidak pernah mendiskriminasi mana-mana pekerja dalam apa juga masalah yang ada di negara ini. Itu tanggungjawab dan ia tertakluk juga kepada pekerja asing.

''Kita akan menjaga kebajikan pekerja asing yang tertipu dan telah masuk di negara ini. Persoalannya pihak mana yang meluluskan kemasukan mereka jika terjadinya kebanjiran seperti sekarang?," ujarnya.

Hampir 20 peratus tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada warga asing dan angka itu bermakna nisbah pekerja di negara ini ialah seorang warga asing bagi setiap empat pekerja tempatan.

Jumlah itu menjadikan hampir separuh daripada lebih 252,600 pekerjaan yang diwujudkan di negara ini setiap tahun diisi oleh pekerja asing.

Jumlah pekerja asing berdaftar di negara ini ialah 2.2 juta, jika dicampur yang bergerak secara haram, jumlahnya menghampiri empat juta orang.

Mengikut sektor, sebahagian besar pekerja asing diambil bekerja dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak 36 peratus, diikuti perladangan (24.6 peratus), pembantu rumah (15.7 peratus), pembinaan (14.2 peratus) dan selebihnya dalam sektor lain.

Kerajaan mensasarkan menjelang 2015, hanya 1.5 juta warga asing bekerja di negara ini.