HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Disember 2008

Hadiri Intifadah Selasa ini di kedutaan Amerika!

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengajak semua rakyat Malaysia memastikan kehadiran mereka dalam perhimpunan Intifadah di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak bagi membantah keganasan terburuk pengganas-pengganas Israel di Gaza sepanjang konflik Palestin-Israel sejak 1967.

Intifadah tersebut akan diadakan Selasa ini, 30 Disember, jam 11.00 pagi.

Salahuddin menyeru semua rakyat Malaysia yang prihatin, tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik menyemarakkan Intifadah di hadapan kedutaan Amerika itu.

"Jika anda ragu-ragu untuk menyertai Intifadah rakyat Malaysia menentang keganasan Israel Selasa ini, anda boleh membaca apa yang diucapkan oleh seorang pegawai pertahanan awam entiti haram Israel bernama Ofer Shmerling: Saya akan bermain muzik hari ini dan merayakan apa yang dilakukan oleh tentera udara Israel".

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin, pengganas-pengganas Israel tidak akan bertindak sekejam itu jika tidak mendapat sokongan, dukungan dan restu Amerika.

Dalam keganasan terbaru itu, lebih dari 100 tan bom dihunjam oleh pengganas-pengganas Israel ke atas orang-orang awam, kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua di Gaza dan angka kematian kini menghampiri 250 manakala lebih 400 cedera.

Amerika hari ini menyalahkan Hamas kerana "melanggar perjanjian gencatan senjata" dan menuduh sengaja memprovokasi Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza.

Negara penaung keganasan Israel itu juga tidak menuntut supaya entiti haram itu menghentikan serangan tersebut.

Dakwaan Amerika itu bertentangan dengan pendedahan akhbar Haaretz Israel yang menyatakan, keganasan terbaru Israel di Gaza itu telah dirancang sejak enam bulan lalu dan bukan disebabkan sebarang provokasi.

Amerika dilihat cuba menyingkirkan Hamas sejak ia memenangi pilihan raya Parlimen Palestin, Januari 2006.

Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyatakan, serangan "Operation Cast Lead" itu akan berlanjutan selagi diperlukan oleh entiti haram itu._

Abdullah disaran batalkan PPSMI sebelum berundur

Roy Rasul


KUALA LUMPUR - Sekiranya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu rakyat khususnya generasi akan datang mengenang jasanya sepanjang hayat beliau sepatutnya mengambalikan pembelajaran pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kepada bahasa Melayu, saran Ketua 1 Angkatan Sasterawan Indera (Aksara), Abdul Ahmad.

Tindakan tersebut katanya, wajar sekali dilakukan sebelum beliau berundur pada bulan Mac 2009 ini.

"Isu PPSMI ini besar dan menjadi asas kepada politik negara. Tolonglah Pak Lah (Abdullah) sebelum berundur perbetulkan dahulu masalah yang dilakukan Tun Mahathir itu.

"Kami percaya jika beliau lakukan ini beliau akan meninggalkan dunia politik dengan satu sejarah yang akan dikenang selamanya dan semua anak cucunya di masa akan datang memuji keberaniannya itu," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, untuk mengembalikan PPSMI kepada Bahasa kebangsaan lebih mudah daripada membatalkan projek Jambatan Bengkok di Johor beberapa tahun lalu.

Akhbar Harakah bilangan 1402 edisi Isnin menjadikan isu PPSMI sebagai fokus utama dan ia mendapat reaksi positif daripada pejuang dan pencinta bahasa di tanah air.

Dalam pada itu kata Ahmad, apa dosanya Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970 yang dilaksanakan sebelum ini.

"Dalam isu PPSMI ini kami nampak semua parti hanya mahu menjaga kepentingan politik masing-masing.

"Sebab itu tiada parti pun yang telus perjuangkan PPSMI sebagai mana pejuang-pejuang bahasa," kata mantan editor majalah Dewan Sastera itu.

Katanya apa yang membimbangkan untuk jangka panjang pimpinan politik negara tidak memikirkan tentang keselamatan dalam negara.

Menurutnya jika masing-masing bangsa dengan bahasa masing-masing mana mungkin mereka akan temui semangat perpaduan.

Beliau berkata, tujuan utama penggunaan bahasa Melayu adalah untuk perpaduan.

Jadi katanya, jika kerajaan meneruskan pelaksanaan PPSMI ia akan menimbulkan bahasa yang carca merba.

"Dalam sistem pendidikan kita sebahagian besar subjek diajar ada kaitan dengan Sains dan Matematik jadi apa yang tinggal untuk bahasa Melayu.

"Kami selalu tertanya-tanya sistem apa yang digunakan di negara ini sebab kita hendak menggunakan bahasa Inggeris pada dua subjek saja sedangkan untuk lain tidak.

"Di mana rasionalnya. Kalau betul hendak menggunakan Bahasa Inggeris secara baik kita pertingkatkan Sistem Pelajaran Kebangsaan yang sedia ada," katanya sambil melahirkan kembimbangan tindakan mempertahankan PPSMI sebagai muslihat politik.

Oleh kerana itu katanya, bahasa kebangsaan sewajarnya diserahkan kepada kuasa Agong dan Majlis Raja-raja sebagai mana agama Islam.

"Kita harap soal bahasa Melayu mempunyai kekebalan juga sebagai mana agama Islam.

"Jadi apabila dia berada dalam bidang kuasa Majlis Raja-raja tiada siapa lagi yang dapat mengubahnya," katanya. - mns_

Calon KT: Kepala PAS sebenarnya masih berserabut

msomelayu.blogspot.com


SEHINGGA hari ini siapa yang bakal diletakkan Pas untuk berhadapan dengan Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mewakili BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari akan datang masih belum diketahui. Walaupun Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengatakan nama calon akan diumumkan 1 Januari depan, namun belum dapat dibayangkan siapakah yang akan menjadi calon Pas.

Sumber tertentu memberi tahu Pas masih lagi buntu untuk memilih siapa calon mereka.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas yang berlangsung di Kuala Terengganu Ahad lalu tidak dapat mengambil keputusan sebulat suara mengenai calon Pas. Ada banyak nama yang dikemukakan. Masalahnya nama itu mewakili fraksi masing-masing dalam Pas. Sekurang-kurangnya ada tiga fraksi yang mengemukakan calon masing-masing untuk dipertimbangkang.

Masing-masing fraksi mahukan calon masing-masing. Usaha untuk menempatkan calon masing-masing sedang dilakukan oleh fraksi-fraksi itu sehingga menggunakan individu tertentu untuk mempengaruhi pilhak lain agar memilih calon mereka.

Disebabkan mesyuarat Jawatankuasa Agung itu tidak mendapat kata putus, akhirnya Presiden diberi tanggungjawab untuk menentukan siapakah calon yang dikehendakinya.

Inilah pertama kali Abdul Hadi dikatakan menggunakan kuasa prerogatif untuk mengumumkan calon. Walaupun pada mulanya Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berbuat demikian tetapi mungkin ia tidak akan berlaku sekiranya calon yang diingininya tidak terpilih.

Calon yang dikatakan berada di hati Mursyidul Am Pas kini bukan lagi calon asalnya Mohamad Sabu. Tetapi satu nama lain yang dikemukan oleh satu fraksi lain dalam Pas. Satu fraksi sudah berjaya membuang nama Mohamad Sabu dari hati Nik Aziz.

Abdul Hadi juga dikatakan sukar untuk membuat keputusan secara terbuka melainkan beliau dikatakan akan mengadakan sembahyang istiqarah terlebih dahulu. Selalunya bila dipilih melalui istiqarah ini bermakna soal memilih calon menimbulkan masalah kepada Pas. Umno mungkin boleh merasa lega dengan keadaan yang berlaku dalam Pas ini.

Termasuk malam ini Abdul Hadi ada empat malam lagi untuk mengadakan sembahyang istiqarah. Adalah diharap beliau boleh manfaatkan malam-malam berbaki itu untuk menentukan calon yang layak dan sesuai. Yang lebih penting calon yang boleh membawa kemenangan kepada Pas tanpa mengira dari fraksi mana.

Sesiapa yang diumumkan oleh Abdul Hadi Awang pada 1 Januari ini hendaklah disokong tanpa berbelah bahagi. Apabila Presiden sudah membuat keputusan hendaknya tidak ada lagi suara yang mempertikaikan. Perangai sebotaj calon atau 'peteh geting' seperti mana berlaku dalam Umno hendaknya terhindar daripada Pas.

Pas kena ingat mereka perlu menang pilihan raya tersebut. Bukan saja Pas tetapi Pakatan Rakyat juga. Kemenangan pilihan raya pembuka kelendar 2009 itu penting kerana ia memberi petunjuk yang baik kepada politik Pas dan Pakatan Rakyat sepanjang tahun itu nanti. Kepada Pas selamat memgumumkan calon.

Keluar parti: PKR serah pada Manika

Khalid: Manikavasagam sudah cukup matang buat keputusan

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB
[DIKEMAS KINI, 10.45 MALAM]


PETALING JAYA: Pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan kepada Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam sama ada mahu meninggalkan parti itu ataupun terus kekal wakil rakyat Pakatan Rakyat.

"Beliau sudah cukup matang untuk membuat keputusan terbaik kerana beliau sendiri mewakili kira-kira 100,000 pengundi (kawasan Parlimen Kapar)," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar dan Pengerusi PKR Selangor di sini malam ini.

Ketika mengulas lanjut kenyataan Manikavasagam bahawa beliau akan membuat satu pendirian keras - dipercayai keluar PKR menjelang Rabu ini, Khalid berkata:

"Itu keputusan beliau tetapi tidak bererti Parti Keadilan menggalakkan beliau membuat keputusan itu."

"Tetapi apa pun keputusannya, ia perlu dibincangkan dalam Majlis Kepimpinan Tertinggi parti," kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Mengenai masalah dalaman PKR, yang didakwa sebagai punca Manikasavagam membuat keputusan itu, Khalid menjelaskan, beliau tidak nampak kewajaran dakwaan tersebut.

"Manikasavagam mempunyai platform dalam mesyuarat negeri dan juga dalam parti untuk menyuarakan (isu-isu yang timbul)... sebagai Ahli Parlimen beliau dijemput untuk mengadakan perbincangan," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan menemui Manikasavagam, Menteri Besar itu berkata, "terpulang kepada beliau berjumpa dengan Majlis Kepimpinan parti."

"Dalam Majlis Kepimpinan parti adalah sebuah biro politik yang diwujudkan untuk menyelesaikan hal-hal seperti ini," katanya.

Apabila ditanya bila ia akan dibawa untuk dibincangkan, Khalid memberitahu, "bila masa yang dirasakan sesuai untuk membincangkan perkara itu."

Khalid yang turut mengulas mengenai kecaman dan kritikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim terhadap ahli-ahli Parlimen PKR berkata:

"Tak ada... kalau pemimpin DAP pula nanti kata PKR mengkritik DAP, kemudian kamu masukkan pula PAS, kemudian kamu masukkan pula Umno, kemudian semualah.

"Sepanjang pengetahuan saya, perkara ini adalah normal, tiada yang tidak normal tentangnya. Dalam politik ia memerlukan perbincangan untuk membincangkan masalah... ia adalah satu proses."

Semalam, Manikasavagam dalam temu bual eksklusif dengan mStar Online memberitahu, beliau nekad untuk keluar daripada PKR dan dijadual akan mengumumkan pendiriannya secara rasmi sebelum Rabu ini.

Beliau mendakwa berasa kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat.

Menurut Manikavasagam, pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga didakwa tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka, selain segelintir berlagak sombong serta enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap isu yang diketengahkan.

Katanya, selain tidak mendapat sokongan daripada pemimpin PKR sendiri, wakil rakyat PKR juga dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rayat khususnya DAP.

Dua bulan lalu, Manikavasagam pernah mengugut akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri jika kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Sebelum itu, beliau juga pernah mencetuskan kontroversi apabila mengkritik secara terbuka dan mendakwa Khalid sebagai tidak prihatin kerana tidak turun padang melawat mangsa ribut pada Oktober lalu.

KOMEN RAKAN-RAKAN

Dalam pada itu, rakan-rakan Manikavasagam masih yakin wakil rakyat PKR itu tidak akan keluar parti di sebalik beberapa masalah yang dialami dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, beliau akan berjumpa dengan Manikavasagam, yang turut dikenali sebagai Mike dalam jangka masa terdekat berhubung pendiriannya untuk keluar parti.

Tian Chua berkata, PKR tidak sanggup kehilangan seorang Ahli Parlimen yang juga anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi kerana percaya Manikavasagam tidak berhasrat meninggalkan parti.

Sebaliknya, kata beliau, wakil rakyat itu hanya tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan negeri berhubung isu stesen bas Klang.

"Tidak timbul isu keluar atau tidak keluar parti di sini. Jangan kita tafsir kenyataan beliau itu sebagai beliau mahu keluar parti.

"Beliau hanya menggunakan pendekatan itu untuk meminta kerajaan Selangor mengambil tindakan serius tentang isu stesen bas di Klang.

"Beliau bukannya tiba-tiba merajuk dan terus mahu keluar parti," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Manikavasagam yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor sebelum ini pernah menyuarakan bantahan terhadap pemindahan stesen bas dan kereta sewa dari pusat bandar Klang ke lokasi baru, di Klang Sentral, Kapar.

Mengulas lanjut mengebai perkara itu, Tian Chua berkata, keputusan memindahkan stesen bas itu diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Selangor sebelum ini.

"Kapar (Manikavasagam) anggap, jika kita telah mengambil alih kerajaan negeri, kita perlu proaktif terhadap rasa tidak puas hati penduduk tentang keputusan itu kerana penduduk merasakan tempat baru itu tidak sesuai dan susah nak sampai.

"Tapi kerajaan Selangor dalam dilema kerana jika kita tidak ikut keputusan itu, ia akan melibatkan kos yang tinggi termasuk terpaksa mencari lokasi baru.

"Jadi dalam hal ini, saya tak boleh nak cakap siapa yang betul, siapa yang salah," katanya.

Ditanya tindakan yang akan diambil kerajaan Selangor berhubung bantahan Manikavasagam ini, Tian Chua berkata, beliau tidak boleh memberi sebarang komen mengenai perkara itu kerana ia melibatkan isu di negeri tersebut.

"Bagaimanapun saya percaya, kita akan berbincang dan akan menyelesaikannya dengan baik," katanya.

Tian Chua berkata, dakwaan Manikavasagam berhubung wakil rakyat PKR dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rayat di Selangor khususnya oleh DAP itu juga sebenarnya adalah berkaitan dengan isu stesen bas itu.

"Masalahnya di sini adalah isu stesen bas itu, bukannya isu lain," katanya.

Berhubung dakwaan Manikavasagam bahawa beliau dikritik oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Teng Chang Khim, yang didakwa menuduhnya berlagak seperti pembangkang dan pembohong kerana terbabit dalam bantahan itu, Tian Chua berkata, itu hanyalah salah faham yang timbul antara mereka.

"Ia adalah salah faham antara mereka berhubung isu yang sama. Biasalah kalau orang bergaduh tapi saya percaya, ia akan diselesaikan secara baik," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memujuk Manikavasagam jika ahli Parlimen itu benar-benar mahu meninggalkan PKR, Tian Chua berkata: "Tidak timbul istilah 'jika' di sini kerana saya percaya, beliau tidak akan keluar daripada parti."

Sementara itu, ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR, N. Gobalakrishnan berkata, beliau juga tidak percaya yang Manikavasagam akan keluar parti.

"Saya kenal beliau. Beliau adalah kawan baik saya. Beliau tidak akan berbuat demikian.

"Saya pun tidak tahu bagaimana hal ini boleh terjadi tapi saya percaya mungkin beliau berkata demikian kerana berada dalam keadaan sedikit kecewa," katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Serai.

KOMEN TIMBALAN PRESIDEN

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali berkata, PKR akan menunggu surat rasmi daripada Manikavasagam jika benar beliau ingin keluar daripada parti itu seperti yang didakwa semalam.

Syed Husin berkata, setakat ini, Manikavasagam tidak pernah menyuarakan hasrat itu kepadanya sebaliknya beliau hanya mengetahui hal tersebut daripada media.

"Saya cuma tahu hal ini melalui akhbar. Perkara dia nak keluar parti ni sebenarnya cerita lama... sekejap nak keluar, sekejap tak nak keluar.

"Jika benar dia nak keluar, kita akan tunggu surat rasmi daripadanya. Parti tidak akan bertindak berdasarkan laporan akhbar," katanya.

Ditanya berhubung dakwaan Manikavasagam bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memujuknya sebelum ini ketika beliau menyuarakan hasrat untuk keluar parti itu sebelum ini, Syed Husin berkata, beliau tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

Beliau juga enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Manikavasagam bahawa pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka.

PAS rakam takziah, pimpinan ziarah jenazah Almarhum

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - PAS merakamkan rasa dukacita dan takziah atas pemergian pemerintah negeri yang berjiwa rakyat dan amat dihormati, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang mangkat pagi semalam.

Kawat takziah itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar kepada Harakahdaily malam semalam dan berharap agar rakyat jelata sentiasa mendoakan agar Almarhum di tempatkan di kalangan orang-orang beriman dan dirahmati Allah SWT sentiasa.

"Kita berharap agar Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin dan anakanda-anakanda baginda tabah dan bersabar mengadapi ujian dan ketentuan illahi dengan penuh rela hati.

"Kita merasai kehilangan seorang pemerintah yang sentiasa mengutamakan dan prihatin masalah rakyat dan sentiasa membantu golongan yang memerlukan," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub turut merakam kedukacitaan yang sama yang turut disisipkan ke Harakahdaily.

Sementara itu jam 9 malam semalam, pimpinan PAS terdiri daripada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkifli Omar dan saf kepimpinan negeri turut menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Difahamkan antara kenamaan yang menziarahi jenazah Almarhum ialah Sultan Perak Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun dan Undang Luak Sungai Ujong Dato' Klana Petra Dato' Mubarak Dohak.

Jenazah Almarhum dibawa Ke Seri Menanti dari Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban petang semalam untuk penghormatan terakhir oleh kerabat diraja, pemimpin dan orang ramai mulai hari ini dan istiadat pengebumian baginda akan diadakan esok (Isnin) selepas solat asar.

Almarhum Tuanku Ja'afar, 86, mangkat di hospital tersebut kira-kira 11.45 pagi semalam selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

Sementara itu, difahamkan satu persidangan akan diadakan hari ini di antara Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Menteri Besar Dato' Seri Mohamad Hasan untuk memilih pengganti Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan diumumkan pada Isnin ini sebelum jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar disemadikan di makam diraja Seri Menanti.- azm _

Majlis Pelancaran Himpunan Bantah ISA esok!

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - "Kini, masih ada lebih 40 tahanan ISA di Kem Kamunting..Ketika sessi sekolah dibuka kelak, Pengetua Sekolah, penjual buku dan unifom serta pemilik bas sekolah, tidak akan bertanya samada mereka ini anak tahanan ISA atau tidak.

"'Semua anak-anak yang dizalimi ini terpaksa membayar semua urusan yang berkaitan dengan persekolahan."

Justeru bertitik- tolak daripada luahan isi hati keluarga mangsa ISA, Norlaila Othman mengajak orang ramai untuk memberi sokongan membantah kezaliman dengan menghadiri Majlis Pelancaran Himpunan Bantah ISA esok, Isnin 29 Disember jam 9 malam di Stadium Bandar Baru Bangi

Katanya bapa-bapa yang sepatutnya menjadi kepala keluarga, menjadi orang yang mencari nafkah untuk anak-anak, dikurung tanpa sebarang kerja dalam blok-blok usang di Kem Kamunting.

"Anak-anak masih kecil dan kurang memahami kenapa bapa mereka masih terus menerus di kurung di Pekan Kamunting sana..

"Hanya si ibulah yang pening kepala, memikirkan bagaimanakah hendak mencukupkan wang yang sedikit, bagi memenuhi keperluan yang begitu banyak.

"Justeru semoga sudi meringankan beban mereka dan hadirlah memberi sokongan di majlis itu nanti," kata Norlaila. - azm _

Budaya konsumer punca kemelesetan ekonomi

Hishamuddin Rais


Hari ini kita terus membaca dan diberitahu bahawa dunia kapitalis sedang dilanggar krisis yang maha besar. Krisis ekonomi yang sebesar ini belum pernah dialami oleh dunia kapitalis selama 200 tahun. Krisis kali ini lebih buruk daripada zaman kemelesetan tahun 1929.

Kita hanya membaca zaman kemelesetan pada 1929 di Amerika Syarikat. Kita tidak mengalaminya. Kita mengetahui hanya melalui surah sejarah, tidak lebih dari itu. Apa yang kita lihat hanyalah gambar-gambar hitam putih tentang zaman itu.

Apa yang kita hayati hanyalah filem-filem yang cuba menggambarkan suasana dan drama di zaman itu. Zaman kemelesetan besar di Amerika Syarikat berlaku 80 tahun dahulu.

Lapan puluh tahun dahulu Tanah Melayu masih bawah penjajah Inggeris. Getah baru sahaja sampai dari Brazil pada 1902. Sistem ekonomi kapitalis belum melebar.

Jual-beli duit ringgit belum menjadi budaya. Malah banyak warga langsung tidak memiliki duit. Bertukar-tukar barangan masih lagi budaya ekonomi. Masyarakat konsumer yang kita lihat di sekeliling kita hari ini masih belum wujud.

Rumah kita di kampung memakai lampu damar, kita memasak dengan kayu dan mengambil air dari perigi. Kita ke sawah setahun sekali. Di pekan, lampu jalan memakai lampu minyak pam.

Kereta satu benda yang ajaib – kalau bernasib baik kereta melintasi kampung kita – kita berkumpul berkerumun untuk melihatnya.

Saya sendiri belum wujud pada 1929. Apa yang saya tulis ini hanyalah menyambung surah daripada arwah ibu dan ayah saya.

Zaman itu telah lama berakhir. Hari ini kita melihat zaman itu sebagai Zaman Dahulu, kita panggil zaman ini Zaman Lampau atau Zaman Tok Kaduk. Apakah ini tepat?

Sebelum menjawab soalan itu, kita wajib melihat apakah budaya yang sedang kita anuti hari ini.

Untuk ujian pertama, sila buka almari kain baju dan lihat berapa banyak kain baju yang terkumpul dan tidak pernah kita usik-usik. Malah kita terlupa bahawa kita memiliki kain baju ini. Kemudian sila pandang rak kasut. Berapa banyak kasut yang terkumpul?

Jika kain baju bergantang-gantang dan kasut semakin membusut, maka tandanya kita sedang menghayati dan merayakan budaya konsumerisme – budaya yang lahir daripada sistem ekonomi kapitalis.

Budaya konsumer ini telah sampai ke tahap akhiran kerana sistem ekonomi kapitalis tidak lagi berkemungkinan untuk berkembang melainkan menguncup dan akhirnya meleset.

angan dengar cakap-cakap para politikus yang memerintah. Mereka sedang berbohong. Kerja dan tugas mereka hanyalah berbohong dan menipu. Jangan percaya bahawa kita semua selamat daripada krisis ekonomi ini.

Jangan percaya bahawa ekonomi Malaysia kukuh. Tidak mungkin kalau semua negara dalam dunia ini telah mengakui bahawa negara mereka sedang menghadapi krisis, mana mungkin hanya Malaysia terselamat! Ini mustahil.

Jaminan politik ini pembohongan. Ia betul-betul macam penafian bahawa Najib Razak tidak mengenal Altantuya Shaariibuu. Bohong.

Fakta: Amerika Syarikat rakan niaga terpenting Malaysia telah memasuki zaman meleset bukan pada 2008 tetapi tahun lalu lagi. Inilah fakta rasmi kerajaan Amerika Syarikat. Negara Iceland telah jatuh muflis.

Tiga syarikat kereta yang terbesar di dunia – Ford, General Motors dan Chrysler – telah jatuh muflis.

Di United Kingdom, syarikat kereta Vauxhall menjalankan dasar “beli satu kereta, dapat satu percuma”. Ini kerana tidak ada lagi orang yang ingin membeli kereta. Di Malaysia pada ketika ini kita boleh beli kereta tanpa duit pendahuluan.

Trend ini hanya permulaan. Akan sampai masanya apabila kereta dari kilang Proton akan tinggal terbengkalai. Satu demi satu bank besar dan syarikat kewangan gergasi tutup kedai.

Harga minyak sawit kita telah jatuh. Harga minyak mentah telah juga jatuh. Bila harga minyak sawit dan harga mentah jatuh, ertinya pendapatan negara kita kurang. Tahun lalu indeks komposit bursa saham Kuala Lumpur naik hingga ke 1,300 mata. Lupa?

Bukankah Abdullah Ahmad Badawi berasa amat bangga dan mengeluarkan kenyataan bahawa ekonomi kita cermerlang, gemilang dan terbilang?

Hari ini indeks komposit hanya di takuk 800 mata. Bukankah ini tanda penunjuk bahawa ekonomi kita sedang merundum? Apakah kalau indeks naik maknanya ekonomi baik - jika indeksnya turun, tidak ada seorang menteri yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka semua telah jadi rabun dan buta.

Tahun hadapan kita akan diamuk lagi. Krisis luaran ini badainya akan sampai. Seperti ombak tsunami – ia bermula di Wall Street New York. Limpahan ombak tsunami ini akan sampai enam bulan kemudian ke Malaysia. Ombak ini pasti akan datang tahun hadapan.

Apakah kita semua sedar bahawa nilai ringgit kita telah jatuh. Maknanya, kalau dulu kita boleh membeli kapal selam dari Perancis dengan harga 10 ringgit sebuah. Hari ini kapal selam yang sama harganya menjadi 12 ringgit.

Duit ringgit rupanya dan warnanya tidak berubah. Apa yang berubah ialah nilainya. Titik sebenar pertanyaan: apakah ada jalan untuk menghadapi krisis ini?

Pasti ada. Sebelum ombak krisis ekonomi ini menggelora sampai kita wajib menilai kembali budaya konsumer yang kita rayakan. Budaya ini ialah budaya pembaziran yang sedang membawa laknat kepada umat manusia.

Kita wajib kembali melihat bumi ini sebagai rahmat untuk kita bercucuk tanam. Tidak ada jalan lain kecuali kita menghidupkan tanaman yang boleh kita makan. Bukan menanam getah atau sawit untuk dieksport agar negara dapat membeli kapal selam. Ini kerja bodoh.

Di Amerika Syarikat dan di Eropah – berjuta-juta buruh telah mula kehilangan pekerjaan. Apabila mereka hilang kerja, mereka tidak ada duit. Apabila mereka tidak ada duit, mereka tidak membeli barang.

Apabila mereka tidak membeli barang – kilang kita yang membuat barang akan ditutup sama. Apabila kilang kita ditutup, kita pula hilang pekerjaan dan kita pula tidak ada duit. Beginilah lingkaran setan dalam sistem global ekonomi kapitalis.

Hari ini indeks komposit hanya di takuk 800 mata. Bukankah ini tanda penunjuk bahawa ekonomi kita sedang merundum? Apakah kalau indeks naik maknanya ekonomi baik - jika indeksnya turun, tidak ada seorang menteri yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka semua telah jadi rabun dan buta.

Tahun hadapan kita akan diamuk lagi. Krisis luaran ini badainya akan sampai. Seperti ombak tsunami – ia bermula di Wall Street New York. Limpahan ombak tsunami ini akan sampai enam bulan kemudian ke Malaysia. Ombak ini pasti akan datang tahun hadapan.

Apakah kita semua sedar bahawa nilai ringgit kita telah jatuh. Maknanya, kalau dulu kita boleh membeli kapal selam dari Perancis dengan harga 10 ringgit sebuah. Hari ini kapal selam yang sama harganya menjadi 12 ringgit.

Duit ringgit rupanya dan warnanya tidak berubah. Apa yang berubah ialah nilainya. Titik sebenar pertanyaan: apakah ada jalan untuk menghadapi krisis ini?

Pasti ada. Sebelum ombak krisis ekonomi ini menggelora sampai kita wajib menilai kembali budaya konsumer yang kita rayakan. Budaya ini ialah budaya pembaziran yang sedang membawa laknat kepada umat manusia.

Kita wajib kembali melihat bumi ini sebagai rahmat untuk kita bercucuk tanam. Tidak ada jalan lain kecuali kita menghidupkan tanaman yang boleh kita makan. Bukan menanam getah atau sawit untuk dieksport agar negara dapat membeli kapal selam. Ini kerja bodoh.

Di Amerika Syarikat dan di Eropah – berjuta-juta buruh telah mula kehilangan pekerjaan. Apabila mereka hilang kerja, mereka tidak ada duit. Apabila mereka tidak ada duit, mereka tidak membeli barang.

Apabila mereka tidak membeli barang – kilang kita yang membuat barang akan ditutup sama. Apabila kilang kita ditutup, kita pula hilang pekerjaan dan kita pula tidak ada duit. Beginilah lingkaran setan dalam sistem global ekonomi kapitalis.

Lingkaran setan ini dapat kita putuskan jika kita kembali berbakti kepada bumi. Bumi bukan untuk diruntuh-rantahkan. Bumi tempat kita bercucuk tanam dan memakmurkan tanaman untuk makanan.
Kita wajib memisahkan diri kita daripada terjerut dalam sistem global ekonomi kapitalis yang memaksa kita menjadi konsumer.

Bernoktahlah sebentar dan lihat kembali Zaman Tok Kaduk dahulu. Tidak ramai yang memiliki duit dan ringgit. Mereka bertukar tenaga bantu-membantu, bergotong-royong. Mereka hidup bukan sebagai konsumer. Mereka hidup sebagai manusia.

Kini telah muncul kembali di banyak tempat di Amerika Syarikat dan di Eropah di mana warga-warga menolak pengunaan duit rasmi dan menggunakan duit mereka sendiri. Ia diamalkan untuk memastikan mereka tidak terperangkap dalam ekonomi konsumer.

Mereka menjalankan perniagaan tukar-menukar. Mereka mahu menjadi manusia yang merdeka bebas daripada belenggu sistem ekonomi kapitalis.

Satu perkara yang wajib kita semua sedari. Pada tahun tahun 1930-an, apabila ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah meleset, apa yang muncul? Perang Dunia Kedua bermula. Dalam sistem ekonomi kapitalis, perang adalah jalan pintas untuk kaum pemodal menjual barangan mereka.

Dalam masa yang sama perang akan memusnahkan apa yang telah mereka buat. Buat, kemudian musnahkan. Buat lagi, dan musnahkan lagi. Ini cara untuk memastikan kilang akan terus bergerak.

Perang menjanjikan industri senjata berkembang. Industri senjata adalah satu-satunya industri yang menjadi pasak dan menjana ekonomi sistem kapitalis. Dalam perang, kemusnhan akan berlaku. Kapal terbang hancur, kereta kebal musnah, peluru dan bom diletupkan – semua ini perlu diganti dan dibuat lagi.

Industri perang adalah industri terbesar - numero uno - untuk Amerika Syarikat. Negara ini, atau lebih tepat Wall Street, sarang kaum pemodal multinasional berkumpul dan merancang.

Pada ketika ini, di kilang-kilang industri perang sedang menggunung dengan peralatan senjata yang belum terjual atau belum musnah.

Justeru, kemungkian perang besar akan bemula tidak boleh diketepikan. Sejarah telah menunjukkan apabila kaum pemodal dilanggar krisis, maka tidak dapat tidak mereka akan merancang perang.

Perang di Iraq, di Afghanistan, Kosovo, Somalia dan di Sudan ini masih belum mencukupi untuk memusnahkan senjata-senjata yang telah sedia dibuat. Kerana itu perang wajib diluaskan ke Iran, Pakistan dan India.

Apa yang berlaku di Mumbai baru-baru ini adalah sebahagian daripada perancangan perang yang lebih luas.

Bernoktahlah sebentar dan mari kita melihat diri kita sendiri. Apakah kita telah terperangkap dalam sistem dan budaya yang dimunculkan secara terancang oleh kaum pemodal internasional?

Apakah kita diperangkap untuk terus menjadi hamba sebagai pengguna dan konsumer untuk membeli barangan yang kini telah menyempit bilik kita sendiri?

Jawapannya – sila buka kembali almari kain baju dan lihat apa yang ada di dalamnya. Jawapannya di hadapan mata.

Hadi yakin pengundi Cina undi PAS di KT

MALAYSIA KINI


Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin pengundi Cina akan menyokong parti itu dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan kerana mereka mendapat faedah sewaktu pentadbiran PAS selama empat tahun sebelum ini.

Katanya, ketika beliau menjadi menteri besar, kerajaan negeri telah menghapuskan cukai taksiran untuk pemilik hartanah.

Bagaimanapun, kata presiden PAS itu, apabila Umno kembali memerintah, cukai taksiran itu dikenakan semula.

Katanya, daripada maklumbalas yang diterima, pengundi Cina tidak suka dengan tindakan Umno itu dan berharap mereka akan mengundi PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan kempen "Jom sertai PAS" di Dataran Sah Aalam petang tadi.

Turut hadir ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud dan Naib Presiden PAS, Ahmad Awang.

Menurut Hadi lagi, pengasas Umno, Onn Jaafar telah bertanding di Kuala Terengganu selepas meninggal parti tersebut.

Katanya, beliau menang apabila pengundi di Kuala Terengganu telah memilihnya untuk mewakili mereka di Parlimen.

Ditanya mengenai perubahan yang mahu dibawa PAS untuk penduduk Kuala Terengganu jika menang dalam pilihanraya kecil tersebut, Hadi mengakui bahawa sumber-sumber parti itu adalah terhad kerana ia tidak lagi mentadbir Terengganu.

"Tetapi kita berharap pengundi akan menghantar satu isyarat yang jelas - bahawa mereka menolak Barisan Nasional dan Umno," katanya.

Sabtu, 27 Disember 2008

PPSMI: Seruan buat ibu bapa, guru-guru di Parlimen Kuala Terengganu

Ali Bukhari Amir


Kepada semua kaum ibu dan bapa dan guru-guru yang berada di bawah Parlimen Kuala Terengganu.

Surat ini ditujukan khusus buat anda tanpa mengira latarbelakang kepartian. Surat ini daripada saya, seorang anak muda yang tidak ghairah kepada parti, hanya ghairah kepada tradisi keilmuan dan dunia akademik.

Juga, surat ini mungkin wakil daripada kawan-kawan saya yang peka dan prihatin terhadap nasib bangsa kita. Pendek kata, warkah ini dihulurkan kepada anda semua sebagai insan yang tiada memiliki apa-apa kepentingan parti.

Maka, janganlah hendaknya dilihat isi kandungan surat ini bermotifkan kepartian, walaupun ia tersiar di laman sesawang parti pembangkang. Saya memilih ruangan ini kerana saya yakin penuh percaya, bahawa isi kandungan surat ini tidak akan pernah tersiar di dalam akhbar yang telah dikawal parti pemerintah.

Warkah ini mengajak semua kaum ibu, kaum bapa dan guru-guru di Parlimen Kuala Terengganu untuk sama-sama kita berbincang daripada hati ke hati berhubung suatu permasalahan yang kronik sejak lima tahun lalu.

Barangkali kita semua sudah terlewat atau masih belum terlewat untuk merawat penyakit umat. Masa semakin suntuk! Tapi, ini semua bergantung kepada andaian masing-masing juga. Ada pihak yang masih menyatakan kita masih belum terlewat dan ada yang berkata kita sudah terlewat, nasi sudah menjadi bubur! Masing-masing punya tafsiran tersendiri.

Lidah bahasa berbelang warna

Apa pun yang berlaku, sama ada kita sudah terlewat atau tidak, penyakit-penyakit umat telah mula datang menyerang! Ia merayap ke seluruh sendi-sendi dan tiada tabib pun yang cuba datang menawarkan racun yang merayap ke setiap pembuluh darah umat ini. Biarlah kita namakan sindrom penyakit ini sebagai penyakit 'lidah bahasa berbelang warna"!

Ketika diajar matapelajaran Sains dan Matematik, anak-anak kita dan guru-guru di sekolah dihinakan dengan bahasa yang bukannya bahasa kita. Contohnya, kalau dalam suatu hari itu, ilmu sains dan matematik masing-masing diajar selama satu jam dalam kelas, bermaksud dalam sehari, kira-kira dua jam masa telah diperuntukkan untuk menghina anak-anak kita dan guru-guru dalam tempoh 24 jam melalui paksaan, bercakap, mengajar dan belajar, menerangkan dan bertanya dalam bahasa yang bukan milik nenek moyang kita.

Maka, apabila tiba masa untuk belajar ilmu geografi, pendidikan seni, agama dan lain-lainnya, boleh pula diajar dalam bahasa Melayu. Lidah anak-anak kita sudah memiliki berjalur dan berbelang warnanya. Kita mempunyai ungkapan yang tidak baik mengenai 'lidah bercabang', iaitu orang yang suka menipu, cakapnya berbelit, mungkir janji dan hal ini dibenci.

Sekarang, lidah anak-anak dan guru-guru kita berbelang warna. Bertambahlah satu lagi penyakit baru di alaf moderen ini dan pastinya penyakit 'lidah berbelang' ini sukar dirawat nanti jika kita tidak berbuat sesuatu.

Apabila kita membantah PPSMI ini, maka pihak kementerian telah mencari helah dan menyusun dalih baru. Kononnya kita anti bahasa Inggeris. Sebenarnya, mereka pun tahu, sedar bahawa bantahan ini bukannya terkait dengan sikap kita yang anti bahasa Inggeris.

Tetapi, pihak kementerian sengaja mengada-adakan tohmahan seperti ini supaya bantahan ke atas PPSMI ini akan tampil dengan wajah gelap; kononnya kita anti pembangunan, kuno, jumud dan anti bahasa Inggeris!

Sesungguhnya, kalau gerakan membantah PPSMI ini benar-benar anti bahasa Inggeris, sejak dahulu lagi kita tidak izinkan matapelajaran bahasa Inggeris diajarkan di sekolah-sekolah! Tetapi, kita tidak pernah membantah langsung matapelajaran ini diajarkan.

Kita alu-alukan pengajaran dan pembelajarannya. Kita benarkan tertegak dan tertubuhnya British Council dalam negara kita. Tiada seorang pun yang tergamak membakar segala gedung institusi pendidikan yang terkait dengan bahasa Inggeris ini.

Hati kita cuma jadi hangus terbakar dengan sebab maruah kita diinjak-injak oleh pihak kementerian sendiri yang telah menghina kita, menjatuhkan maruah nenek moyang kita yang telah berusaha keras menegakkan tiang bahasa Melayu sebagai tonggak bahasa kebangsaan, atau bahasa rasmi yang digunakan dalam pentadbiran dan urusan rasmi dalam kehidupan tatacara bernegara.

Maka pendidikan adalah salah satu cabang daripada urusan hidup bernegara. Pendidikan adalah pusat nyawa, nadi kehidupan negara ini. Tiada bermaknanya kehidupan bernegara dan tiada ertinya sesebuah peradaban yang lumpuh tradisi pendidikan dan keilmuannya. Lumpuhnya pendidikan itu ditandai dengan pengajaran dan pembelajaran ilmu yang bukan melalui bahasa kaum itu sendiri.

Wahyu yang pertama turun adalah Iqra', iaitu bacalah. Wahyu pertama itu mementingkan unsur pendidikan, menerapkan ilmu sebagai petanda aras, kayu ukur yang menyukat jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Bukanlah ekonomi yang menjadi asas dan nadi jatuh bangunnya sesebuah bangsa. Tapi, ilmu itulah asas penggerak sesebuah tamadun.

Sekarang, pendidikan kita menjadi caca-marba, roti canai dan murtabak akibat campuran dan tokok tambah rojak bahasa di sana sini. Manusia memerlukan bahasa sebagai alat berfikir. Rosaknya bahasa bermaksud akan tumpullah alat menajamkan fikiran. Dan yang menumpulkan dan menghauskan bahasa Melayu yang tajam berkilat tadi adalah pemimpin Melayu sendiri!

Bolehkah khutbah Jumaat dalam bahasa bukan Melayu?

Oleh kerana pemimpin Melayu kita memiliki kreativiti tahap agung, mari kita buat andaian begini. Kita terpaksa membuat andaian yang bukan-bukan, sebab kita terpaksa berdepan dengan kegilaan yang bukan-bukan yang mungkin wujudnya secara tiba-tiba.

Misalnya pada satu hari, kerajaan betul-betul mahu jadikan Kuala Terengganu sebagai kawasan pelancongan agar pelancong Inggeris berpusu-pusu masuk datang bercambah dan masyarakat antarabangsa pula datang berjebah maka semestinya kerajaan meminta para imam dan khatib membacakan khutbah dalam bahasa Inggeris setiap kali solat Jumaat.

Majlis-majlis tazkirah dan penyampaian agama antara Maghrib dan Isyak mestilah diajar dalam bahasa Inggeris. Latihan ini perlu agar setiap ahli masyarakat di Kuala Terengganu mencapai kualiti bahasa Inggeris yang bermutu tinggi supaya dengan itu mereka dapat berbahasa Inggeris dengan para pelancong itu.

Menteri-menteri yang 'gila' ini mungkin akan berkata, "Kita perlu menambahkan jumlah pelancong di negara kita. Apabila kita makin mahir berbahasa Inggeris, maka makin ramai pelancong mahu datang ke sini kerana orang di sini ramah-tamah serta lancar pula berbahasa Inggeris."

Apa akan jadi kalau seluruh ahli masyarakat Kuala Terengganu diminta memakai bahasa yang bukan bahasanya sendiri dalam urusan membeli ikan, sayur di pasar hanya semata-mata untuk melatih ahli masyarakat dalam kawasan Kuala Terengganu itu agar lancar berbahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa semata-mata atas nawaitu palsu, meningkatkan ekonomi dan memajukan sektor pelancongan?

Heh! Tuan-tuan.. jangan main-main. Pemimpin kita bijaksana dan bijak laksana orangnya. Kalau tidak, masakan tertegak Majid Kristal itu? Dengan 'bijaksana' mereka itu, manalah tahu kalau-kalau khutbah pun nanti dalam bahasa Inggeris! Di dalam bahasa Melayu pun, makmum kita tersengguk-sengguk, kalau dalam BI, barangkali terus makmum kita padam, dan koma sepanjang Jumaat itu!

Banyakkan tindakan bantahan, bukan sekadar berbicara!

Kaum ibu bapa dan juga guru yang dirahmati.. Anak-anak dan guru-guru kita di seluruh negara ini telah diperlakukan secara hina, maruah mereka diinjak-injakkan dan semua ini berlaku, terbentang di depan mata kita sendiri.

Anak-anak kita dipaksa bertanyakan soalan dalam bahasa yang bukannya bahasa milik kita. Dan guru-gurunya diminta mengajar dalam bahasa yang bukan miliknya.

Tuan-tuan tentu sudah tahu apakah dasar ini. Ia adalah dasar yang meminta anak-anak kita dan guru-guru kita belajar dalam bahasa yang bukan milik kita. Bukan bahasa ibunda. Maka, segelintir dalam kalangan cendekiawan negara sudah pun menunjukkan aksi bantahannya melalui protes bicara! Tapi, kita manusia dan bukannya Tuhan.

Alam ini tercipta dan bergerak melalui kata-kata Tuhan yang berbunyi 'Kun Fa Yakun', Jadi maka jadilah ia (alam ini). Kegelapan dasar PPSMI ini bagaikan malam yang pekat. Ia tidak boleh diusir melalui kata-kata, cercaan dan celaan.

Kita bukan Tuhan yang boleh mengubah alam ini melalui kata-kata 'Kun Fa Yakun' tadi. Cendekiawan kita telah menyusun nota bantahan berulangkali. Tapi, sebagai yang disebutkan di atas, "Kegelapan tidak boleh diusir lewat kata-kata."

Kita tidak boleh bersikap sebagai Tuhan dengan menyeru kegelapan tadi dengan kata-kata: "He kegelapan, pergilah dikau dari sini!" Hentakan dan sergahan lewat bicara ke atas kegelapan seperti itu tiada maknanya lagi.

Kita manusia dan bukan Tuhan. Firman Tuhan Kun Fa Yakun boleh mengubah segala warna alam itu daripada sejuta kegelapan kepada sejuta pencerahan tanwiri. Insan boleh mengubah semuanya boleh tindakan dan pelaksanaan dan bukan kata-kata.

Penyair Indonesia terkenal, W S Rendra bermadah darihal erti perjuangan, "Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata."

Tafsiran ke atas kalimat perjuangan, menurut Rendra adalah pelaksanaan ke atas kata-kata. Hal ini perlu diteliti oleh kita semua. Melaksanakan kata-kata adalah satu perjuangan. Ertinya, kita perlu bertindak dan beraksi dan bukan hanya terhad berbicara, menyusun nota bantahan, menulis memorandum semata-mata.

Kegelapan PPSMI terusir oleh pelita dan dian tindakan!

Ingatlah wahai guru-guru dan kaum ibu bapa Kuala Terengganu. Kegelapan tidak boleh diusir lewat bicara. Dahan bicara kita telah lama dipatahkan oleh semacam tenaga yang seolah-oleh tak terkalahkan.

Kegelapan tidak terusir melalui sergahan kata-kata. Ambillah dian, dan nyalakan pelita. Bawalah jamung di celah-celah kegelapan itu dan kegelapan akan terusir dengan sendirinya nanti.

Maka, hal membawa dian, pelita dan jamung itu adalah tindakan, gerakan merakyat yang nanti akan menatijahkan robohnya tembok keangkuhan Barisan Naga tadi, di mana sejak sekian lama belum ada rakyat yang berusaha keras melanggarnya.

Hati kita telah lama hangus, dihanguskan oleh sikap ahmak dan kesombongan mereka. Jiwa ibunda telah pun lama rentung, direntungkan lewat pidato liar Barisan Naga (BN) ini.

Liar lingkaran api yang menyala-nyala, dan sesekali menyembur lewat pidato naga-naga ini telah lama membakar jiwa, hati setiap perasaan manusia di daerah yang parah dengan segala prasarana pendidikan ini. Bagaimana murid-murid di Sabah Sarawak mahu mengajar, belajar dalam serba kekurangan?

Sekali lagi, pandangan ini tidaklah mewakili mana-mana parti. Ia lahir mendadak untuk meminta pandangan kaum ibu bapa dan guru-guru khasnya di Kuala Terengganu yang mungkin dapat merumuskan sesuatu tindakan, guna memberikan pengajaran ke atas para pemimpin Melayu yang telah secara biadap merobekkan bahasa ibunda kita selama ini.

Guru-guru dan kaum ibu bapa di Kuala Terengganu.. Kegelapan tidak boleh diusir lewat bicara, ubahlah melalui tindakan dan undi. Ketepikan faktor kepartian, letakkanlah matlamat memperkasa pendidikan di depan. Insya Allah, Tuhan bersama kita, RAKYAT MALAYSIA yang dahagakan kebenaran!

Pautan-pautan lain yang boleh dibaca..

(Nota: Jika terdapat saranan mengenai TINDAKAN-TINDAKAN yang boleh disusun oleh kaum ibu bapa dan guru, sila majukan kepada ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya Dan bagi mereka yang ingin membantah PPSMI atau mahu memajukan maklumbalas ke atas tulisan ini, boleh berbuat demikian dengan memajukan pandangan mereka ke mel-e yang sama.)

http://prihatin.net/index.php?option=com_content&view=article&id=105:klinik-bahasa-jawapan-terhadap-isu-ppsmi&catid=11:suara-generasi-muda&Itemid=13

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18377&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18381&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18382&Itemid=50

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18402&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18448&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18451&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18488&Itemid=50

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18489&Itemid=1

http://bmppsmi.blogspot.com

3:15 p.m, 27 Disember
Sekolah Pemikiran Kg Baru _

Masyarakat Orang Asli tidak akan maju jika terus sokong Umno

Hashim Abdullah


KUALA KRAU - Masyarakat Orang Asli di negara ini tidak akan maju berbanding orang lain selagi mereka terus menyokong Umno yang mengamalkan dasar penindasan untuk memaksa orang Asli memberi sokongan berterusan, kata Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat Kuala Krau, Haji Suhaimi Said.

Justeru, Suhaimi menambah Orang Asli mesti berani menolak Umno dalam pilihan raya akan datang dengan memilih Pakatan Rakyat yang telah jelas melakukan pembelaan kepada masyarakat itu sebagaimana dinikmati orang Asli di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

"Mereka (pemimpin Umno) datang jumpa Orang Asli bila tiba musim pilihan raya. Mereka beri sedikit gula-gula bagi melupakan Orang Asli terhadap penderitaan mereka. Bila Orang Asli berikan sokongan kepada mereka dan mereka menang mereka hilang.

"Masalahnya selama ini Orang Asli sendiri selalu lupa. Tapi, sekarang kita tahu masyarakat Orang Asli sudah bijak, sudah berani bersuara seperti hari ini. Bila pilihan raya datang nanti Orang Asli mesti berpakat tolak Umno yang menipu itu," kata Suhaimi selepas menziarahi masyarakat Orang Asli Gugusan Jenderak, dekat sini, baru-baru ini.

Sementara itu, masyarakat Orang Asli berkata akhbar Harakah selalu mendedahkan penderitaan masyarakat mereka dan mereka percaya peranan yang dimainkan Harakah amat berkesan dalam usaha merubah kehidupan mereka.

"Kami harap Harakah tolong bantu siarkan kesusahan kami. Kalau Harakah selalu dedahkan penderitaan kami ia memberi tekanan kepada pihak kerajaan Umno yang selalu tipu kami," kata mereka._