HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Februari 2015

Aktivis direman kerana komen tentang Liwat 11

MALAYSIAKINI


Aktivis Lawrence Jeyaraj hari ini menjadi orang kedua ditahan reman kerana dakwaan hasutan terhubung komen dalam talian mengenai penghakiman kes Liwat 11 terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lawrence ditahan reman di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan sehingga esok, kata peguamnya Michelle Yesudas.

"Ia mengenai komen yang dibuat di Facebook tentang badan kehakiman berhubung kes Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika dihubungi.

Jeyaraj, ahli Kumpulan Kartunis Independen (KKI), ditangkap di rumahnya di Taman Cuepacs, Cheras dan dibawa ke lokap balai polis Dang Wangi semalam.

Kartunis Zunar dibebaskan selepas tiga hari ditahan reman pada 14 Februari berhubung satu tweet mengenai penghakiman tersebut, manakala Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan pula ditangkap pada 19 Februari berhubung kenyataan akhbar yang dikeluarkanya mengenai isu yang sama.

Arutchelvan dibebaskan semalam selepas polis gagal mendapatkan perintah reman.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengarahkan siasatan ke atas Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Pengerusi DAP Perak Datuk Nga Kor Ming berhubung tweet berasingan mengenai penghakiman tersebut pada 10 Februari.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap sabitan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Tiada ulasan: