Kelantan telah mengumumkan bahawa ia akan membentangkan rang undang-undang pindaan hudud pada 18 Mac semasa berlangsungnya pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) akan membincangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) itu apabila ia bersidang dari 16 hingga 19 Mac depan.
Sidang DUN itu akan berlangsung semasa tempoh kempen pilihan raya kecil DUN Chempaka.
DUN tersebut kosong selepas penyandangnya, bekas menteri besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia baru-baru ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan penamaan calon pada 10 Mac dan hari pengundiannya pada 22 Mac.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan untuk mengadakan sidang khas DUN bagi membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).
Sidang khas itu sepatutnya diadakan pada 29 Disember lalu tetapi ditangguhkan ekoran banjir besar melanda Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan