Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM : PAS Selangor mempersoal kelantangan Pertubuhan Ummah Sejahtera (PasMa) yang dilihat cuba 'membunuh' perjuangan parti Islam itu.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata PasMa perlu sedar bahawa kewujudan mereka hanya akan melemahkan hubungan sesama parti di dalam Pakatan Rakyat (PR).
"Setakat ini PasMa dilihat menumpukan serangan mereka terhadap PAS bukan Umno.
"Ianya dilihat sedang menjalankan usaha untuk memastikan PAS sebagai parti politik tidak lagi stabil.
"Oleh yang demikian, terdapat yang bertanya adakah terdapat satu komplot di antara PasMa dan Umno," kata Iskandar melalui satu kenyataan medianya hari ini.
Iskandar dalam pada itu membidas PasMa yang cuba menyemarakkan kerenggangan antara PAS-PKR-DAP dalam pelbagai bentuk kerjasama, termasuk di peringkat kerajaan negeri.
"PasMa perlu mengambil kira realiti politik berkerajaan sebelum mengambil keputusan untuk menggempur Selangor. Kecuali memang hasrat PasMa untuk melihat Pakatan Rakyat kucar-kacir di Selangor dan kerajaan negeri gagal mencapai sasaran-sasarannya," ujarnya lagi.
Semalam PasMa menyelar kenyataan Iskandar yang sebelum ini melarang PKR dan DAP menyertai sebarang program anjuran pertubuhan itu.
Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata parti Islam itu seharusnya mengeluarkan larangan kepada ahli-ahlinya menyertai Umno dan bukan pertubuhan yang diasaskannya itu.
"Tidak ada larangan pun tidak boleh sertai Umno sedangkan Umno musuh utama. Tapi ada larangan buat PasMa. Ini perkara yang pelik," kata Phahrolrazi dalam sidang medianya semalam.
Iskandar sebelum ini menggesa rakan-rakan di dalam PR menghormati pendirian PAS yang sebelum ini melarang ahli-ahlinya untuk tidak terlibat dengan PasMa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan