KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengkaji peruntukan undang-undang yang
sesuai untuk dikenakan kepada pihak pengurusan pusat membeli-belah Suria
KLCC, kata menterinya Datuk Seri Hassan Malek.
Menurut beliau, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Alias Ahmad
diarahkan untuk menguruskannya, ekoran tindakan pihak Suria KLCC
mengarahkan peniaga tempatan yang sedang beroperasi di sana berpindah
keluar ke premis lain.
Katanya, pihaknya kecewa dengan tindakan Suria KLCC memandangkan beliau
secara peribadi pernah menasihatkan pengurusannya supaya tidak
mengganggu peniaga tempatan dan sebaliknya memperkasakan jenama buatan
Malaysia.
Hasan yang dipetik Utusan Malaysia berkata, soal kepentingan nasional
perlu diberi keutamaan mengatasi keuntungan dan beliau akan memanggil
pihak pengurusan KLCC bagi mendapatkan penjelasan.
"Nampaknya, nasihat saya tidak diendahkan pengurusan Suria KLCC. Kenapa
mereka melakukan perkara ini? Jangan fikir mencari keuntungan
semata-mata.
"Lebih-lebih lagi tindakan ini seolah-olah membelakangi Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilaksanakan kementerian.
"Walaupun dengan alasan yang Suria KLCC berdasarkan prinsip perniagaan
ke perniagaan (B2B), tetapi mereka perlu mempunyai tanggungjawab
mengangkat aspirasi kempen Beli Barangan Malaysia," katanya menurut
laporan akhbar itu lagi.
Kelmarin, BritishIndia (Asia) Sdn Bhd (BritishIndia) memfailkan saman
terhadap pengurusan Suria KLCC kerana mengarahkannya berpindah keluar
bagi memberi laluan kepada butik jenama asing.
Pengasasnya, Pat Liew mendakwa, syarikatnya yang menyewa di KLCC sejak
1998 diberi tempoh empat hari menerima tawaran tanpa syarat sama ada
berpindah ke lokasi lain atau diletakkan ke tempat lain.
BritishIndia merupakan jenama tempatan yang mempunyai lebih 40 cawangan Asia Tenggara termasuk Singapura dan Filipina.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam responsnya semalam
mendakwa, rungutan sama oleh peniaga lain pernah didengarnya sejak
beberapa tahun lalu.
"Saya pernah menjadi Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad
(PUNB). Saya terima banyak aduan daripada usahawan tempatan yang tidak
dilayan pengurusan Suria KLCC.
“Usahawan ini tidak minta sewaan diberi secara percuma. Mereka sanggup
bayar sewa Suria KLCC yang tinggi. Namun, kerana mereka tidak menjual
jenama antarabangsa, mereka tidak dipandang oleh Suria KLCC,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan