SHAH ALAM - Teguran dan kritikan yang dibuat ke atas pentadbiran
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh bekas Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad bukan untuk menjatuhkan beliau sebaliknya tanda
sayang kepada pemimpin itu.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia
(UUM), Dr Mohammad Fuad Othman melihat teguran yang dibuat bukan
semberono sebaliknya melibatkan isu-isu yang tidak selesai atau tidak
wajar dilaksanakan seperti perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP),
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya rasa Tun Mahathir ini mungkin dia sayangkan Perdana Menteri kita
dan dia mahukan Datuk Seri Najib memerintah dengan lebih tuntas.
“Mungkin dia banyak melihat perkara yang tidak selesai ataupun
perkara-perkara yang pada hemat Tun M tidak sesuai seperti TPP, 1MDB dan
sebagainya. Jadi, mungkin ini teguran yang sinis kepada Najib,” katanya
kepada Sinar Online.
Sebelum ini, Tun Mahathir menegaskan lebih memilih untuk meletakkan
jawatan sekiranya masih memegang tampuk pemerintahan dan gagal seperti
Najib.
Namun, Dr Mohammad Fuad menolak kemungkinan kritikan itu akan menjatuhkan Najib.
“Tapi saya tak rasa teguran itu boleh memerangkap atau menjatuhkan Najib. Sebab Najib pun ada kekuatan sendiri.
“Saya kira Tun Mahathir pun dalam menegur itu adalah bersifat teguran
orang tua kepada barisan muda bukan teguran untuk menjatuhkan Najib,”
katanya.
Sebaliknya, Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia
Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpandangan, sekiranya kritikan itu
berterusan sehingga pilihan raya akan datang, ia akan memberi kesan
kepada Najib.
“Kita sudah tahu kritikan Tun Mahathir itu memang terus terang,
langsung dan memang tidak dapat dinafikan boleh membawa kesan buruk
kepada kepimpinan Najib. Lebih-lebih lagi Tun Mahathir begitu berani
mengkritik Najib.
“Kalau ini terus-terusan dilakukan oleh Tun Mahathir, kita harus ingat
balik apa yang sudah berlaku pada zaman Pak Lah (bekas Perdana Menteri,
Tun Abdullah Ahmad Badawi) dulu. Orang masih hormat kewibawaan Tun
Mahathir.
“Beliau faham apa yang berlaku dalam kerajaan kerana beliau berada lama
dalam kerajaan. Jadi, kalau kritikan itu semakin tajam, semakin kerap,
berlarutan hingga menjelang pilihan raya akan datang, sudah tentu ia
beri kesan negatif kepada kepimpinan Najib,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain
berkata, meskipun ditegur keras, Najib tetap mengambil pertimbangan
beberapa perkara yang dibangkitkan.
“Ada juga kritikan beliau yang Najib ambil perhatian sebenarnya. Bukan
saya nak mempertahankan Najib, tidak. Tapi dalam hal ini, kritikan Tun
itu kalau ada kebenarannya dia akan ambil.
“Kritikan Tun ini bukan berseorangan. Maksudnya ahli-ahli Umno pun
setuju dengan dia. Jadi, Najib kena bersetuju dengan dia lah sebab ramai
yang setuju dengan Tun. Bukan maknanya kritikan Tun itu untuk peribadi
dia tapi kritikan itu untuk kepentingan Umno.
“Najib terima pandangan golongan veteran ini tapi tidaklah dia umumkan
‘saya terima kritikan Tun Mahathir’. Tapi dalam perjalanan atau
mesyuarat Kabinet, dia akan ubah...cuba buat perubahan dan sebenarnya
kritikan Tun itu diperlukan. Kalau tidak diperlukan, Tun tidak dilantik
sebagai penasihat Proton, Petronas dan sebagainya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan