MALAYSIAKINI
Ramai yang masih tidak menyedari bahawa ibu bapa atau penjaga yang cuai
dalam menjaga anak-anak mereka sehingga menyebabkan kanak-kanak itu
hilang, kemalangan atau kehilangan nyawa boleh dikenakan tindakan
undang-undang.
Exco Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO)
Datuk Faridah Khalid berkata perkara tentang kesalahan itu termaktub
dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
"Jika disabit kesalahan, ibu bapa atau penjaga yang cuai boleh dikenakan
denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya kepada Bernama.
Beliau bagaimanapun mengakui banyak kes ibu bapa yang cuai itu terlepas
daripada tindakan undang-undang berikutan dasar kasihan pihak
penguatkuasa terhadap penderitaan yang dihadapi oleh keluarga mangsa
yang kehilangan anak mereka.
"Kita mempunyai undang-undang khusus di bawah Akta Kanak-Kanak 2001
[Akta611] bagi melindungi hak seseorang kanak-kanak di negara ini,"
katanya.
Faridah berkata beliau terkilan dengan sikap ambil mudah segelintir ibu
bapa kini yang memandang remeh soal keselamatan anak mereka sehingga
berlakunya kemalangan, kehilangan mahupun kematian.
Beliau berkata seolah-olah menjadi satu trend pada masa kini terdapat
ibu bapa yang sanggup meningggalkan anak mereka dalam kereta berjam-jam
tanpa pengawalan orang dewasa semata-mata ingin membeli-belah di pasar
raya.
"Saya masih ingat lagi satu kes yang berlaku di negara ini pada tahun
lepas apabila seorang kanak-kanak mati lemas dalam kereta apabila ibunya
terlupa ada membawa anak bersama ke pasar raya," katanya.
Faridah berkata perkara tersebut amat menyedihkan dan tidak sepatutnyaberlaku di negara ini.
Beliau berkata ibu bapa adalah pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya
untuk menjaga dan melindungi anak mereka daripada sebarang ancaman
keselamatan dan mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab
berkenaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan