HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Mac 2015

'Jangan tawan, 106 soalan GST ada jawapan'

MALAYSIAKINI


 


Semua 106 soalan berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) daripada kumpulan aktivis anti-GST semalam boleh dijawab jika mereka hadir bukan niat menawan, kata timbalan menteri kewangan.

"Sebanyak 106 soalan itu saya kira boleh jawab semuanya kalau mereka datang dengan baik.

"Jangan mereka cuba menawan kawasan itu. Datang dengan baik akan dilayan dengan baik, tetapi kalau datang dengan terpekik-pekik akan tukar jadi konsep demonstrasi haram," kata Datuk Ahmad Maslan di Kuala Lumpur hari ini.

"Datanglah jumpa dan buat temujanji dengan kita. Sekarang kita berjumpa dengan banyak persatuan; ada datang meminta tolong dan ada (yang) meminta diberikan pengecualian, semuanya kita sambut dengan baik."

Semasa berceramah di majlis penerangan GST dan isu emasa anjuran Alumni Kelab Umno Luar Negara, Ahmad turut memperkecil-kecilkan soalan-soalan yang dikeluarkan oleh kumpulan anti-GST itu.

"Salah satu soalan mereka tanya kenapa udang kena GST tetapi lobster (udang kara) untuk orang kaya tidak kena GST.

"(Jawapannya) udang tidak kena GST, lobster tidak kena GST, udang kering dan lobster kering pun tidak kena GST, itu antara 106 soalan, ini soalan kacang dan mudah.

"Satu dunia sudah tahu, bahawa perkara itu (udang dan lobster) tidak kena GST," katanya.

Kementerian dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan terus menganjurkan perbincangan untuk menjelaskan semua pertanyaan dan masalah berkaitan cukai yang akan diperkenalkan minggu depan, tambah Ahmad (kiri).

"Macam hari ini, jika mereka datang dengan baik dan bertanya, saya akan jawab semua," katanya.

Mengulas kebimbangan terhadap kenaikan harga apabila GST dilaksanakan pada 1 April, Ahmad berkata pihak kementerian akan mengadakan program "pembayaran balik" (special refund) untuk peniaga.

"Special refund ini bayaran balik yang diberikan kepada stok sedia ada bermula 1 April dengan syarat barang-barang ini adalah pembekalan bercukai.

"Bayaran balik ini hanya boleh dituntut oleh peniaga yang berdaftar secara maandatori bawah GST," jelasnya.

Ahmad berkata, dengan program pembayaran khas ini, peniaga tiada lagi alasan untuk menaikan harga barang.

"Sebaliknya, harga barangan akan berkurang kerana peniaga sepatutnya menolak cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) yang biasanya antara 8 peratus hingga 10 peratus sebelum menambah 6 peratus GST dalam harga," katanya.


Tiada ulasan: