HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Mac 2015

Tangisan kerinduan iringi pertemuan Sirul dengan ibunya

 
Mahfuz menganggap misi kemanusiaannya kali ini berjaya apabila Sirul dapat dipertemukan dengan ibunya.


Ibu Sirul_300


PETALING JAYA: Misi kemanusiaan untuk mempertemukan Piah Samad, 72, dengan anaknya, Sirul Azhar Umar dianggap berjaya selepas pihak berkuasa Pusat Tahanan Imigresen membenarkan pertemuan itu berlangsung selama hampir dua jam,” kata Datuk Mahfuz Omar.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu menambah pada hari ini beliau bersama ibu Sirul dan adik Sirul, Noriatin Omar, 37, serta tiga ahli rombongan yang lain telah diberikan kebenaran untuk bertemu dengan bekas anggota polis elit itu di Pusat Tahanan Imigresen Villawood, Sydney.

“Pertemuan ini berlangsung selama hampir dua jam iaitu bermula jam 5.30 hingga 7.30 petang waktu di sini,” katanya dalam satu kenyataan di dalam group Whatapps rasmi PAS.

Tambah Mahfuz, beliau berpandangan misi kemanusiaan itu berjaya apabila dapat mempertemukan seorang ibu dengan anaknya walaupun dalam keadaan yang hiba dan sayu.

“Suasana begitu hiba dan sayu apabila pertemuan tersebut berlaku lebih lagi apabila ibu Sirul berpelukan dengan Sirul. Ditambah dengan tangisan air mata kerinduan seorang ibu kepada anaknya yang berjauhan serta nasib yang masih belum diketahui lagi,” katanya Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau juga berkata ibu Sirul telah membawa sambal bilis dari kampung manakala beliau sendiri telah membeli anggur dan kasut sukan yang dipesan oleh Sirul.

Mahfuz juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Australia khususnya pihak berkuasa Pusat Tahanan Imigresen yang memberikan kebenaran untuk bertemu Sirul.

Di dalam pertemuan itu, Mahfuz berkata, “Sirul juga menyatakan salam penghargaan buat semua yang prihatin terhadapnya.”

Sebelum ini Mahfuz telah bertolak ke Sydney menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH123 yang bertolak pada jam 11.30 malam, Ahad.

Turut bersama Mahfuz, adalah ibu Sirul, Piah Samat, 73 dan adik Sirul, Noriatin Umar, 37 serta tiga lagi yang lain.

Tiada ulasan: