HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Disember 2015

Masyarakat sivil serah memo, bantah Akta MKN

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR- Kumpulan masyarakat sivil hari ini menghantar memorandum kepada ahli-ahli parlimen bagi membantah Rang Undang-Undang Keselamatan Negara 2015 yang akan memberikan kuasa besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas pengerusi Bersih 2, Ambiga Sreenevasan yang mengetuai kumpulan tersebut berkata, rang undang-undang ini sangat jelas bertentangan dengan perlembagaan dan memberi kesan sangat buruk kepada rakyat.

“Dari segi undang-undang ia bertentangan dengan perlembagaan persekutuan artikel 150.

“RUU ini akan beri kesan buruk apabila semua kuasa akan diberi pada PM. RUU seperti ini tidak patut dilakukan sebegini dengan tergesa-gesa tanpa perbincangan dengan masyrakat.

“Ini akan tukar Malaysia dan parlimen berdemokrasi kita,” katanya.

Menurut Ambiga, beliau telah memberikan memorandum tersebut kepada beberapa Ahli Parlimen daripada pembangkang dan juga Barisan Nasional.

Bagaimanapun katanya, beliau mendapat respon negatif daripada beberapa MP BN yang langsung tidak mahu menerima dan mendengar memorandum tersebut.

“Saya telah beri kepada MP BN dan kami masyarakt sivil minta supaya rang undang-undang ini ditangguhkan sehingga ia dibincangkan oleh masyarakat tetapi tidak ada satu komitmen bahawa mereka akan buat begitu. Ini sangat mengecewakan,” katanya di lobi parlimen.

Memorandum Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam) itu turut menyatakan, mereka mendesak semua ahli Parlimen memenuhi tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan Perlembagaan dan membantah rang undang-undang itu.

Presiden KEADILAN, Wan Azizah pula berkata, RUU ini sangat merbahaya dan lebih dasyat dari Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan kerajaan.

“Ini lagi teruk pada ISA. Tidak dipertanggunjawab kepada mana-mana mahkamah, jawatankuasa, undang-undang dan majlis raja-raja.

“Ini satu undang-undang yang tidak perlu dimasukkan dalam parlimen,” katanya ketika serahan memorandum tersebut kepada ketua pembangkang.

Tiada ulasan: