KUALA LUMPUR,  Arab Saudi mengatur perkahwinan sesama bekas militan sebagai ‘terapi’ untuk mengelak mereka kembali ke dunia keganasan.


Kerajaan berharap, apabila pasangan berkenaan sibuk dengan tanggungjawab dalam kehidupan berumahtangga, mereka tidak akan terlibat lagi dengan mana-mana kumpulan ekstremis.

Pengarah Keselamatan Ideologi, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Abdul Rahman Al Hadlag berkata, sebagai sebahagian daripada program deradikalisasi prapembebasan, bekas militan akan diberi wang untuk mas kahwin serta rumah didiami.

“Kami juga mengadakan program penjagaan prapembebasan yang memberi fokus terhadap kegiatan berkaitan keagamaan, kewangan dan psikologi,” kata Abdul Rahman pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan 2016, hari ini.

Beliau berkata, penyelidikan menunjukkan militan direkrut menggunakan pendekatan 3M – Money (wang untuk mengumpan), Man (manusia yang tidak berpuas hati) dan Mindset (pemikiran yang menerima ideologi keganasan ekstremis).

Menurutnya, kebanyakan mereka yang menganggotai kumpulan ekstremis adalah orang bujang berusia pertengahan 20 tahun, lepasan sekolah tinggi dan daripada keluarga kelas tengah.

Menyedari perkara itu, katanya, kerajaan menubuhkan pusat kaunseling pemulihan dan penjagaan untuk bekas banduan, menyediakan sesi kaunseling dan kegiatan pembinaan diri serta melengkapkan mereka dengan kemahiran bagi mendapat pekerjaan.

“Pada masa sama, kami memberi bantuan kewangan dan sokongan moral kepada keluarga mereka, memenangi hati dan pemikiran mereka serta mendidik mereka,” katanya.

Abdul Rahman berkata, kerajaan mengadakan ceramah dan persidangan secara berterusan, menerbitkan hampir 20 artikel setiap hari, mengedar cakera padat (CD) dan risalah – semuanya yang menentang keganasan.

Katanya, Arab Saudi turut bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dan berkongsi amalan terbaiknya bagi memerangi keganasan.

Persidangan dua hari yang berakhir hari ini, dihadiri wakil dari negara anggota Asean serta Australia, China, Jepun, Perancis, Itali, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.