BERNAMA
Pendeposit tidak perlu
risau, kerana simpanan mereka di TH dijamin kerajaan, sebagaimana yang
termaktub dalam Akta Tabung Haji. - Foto arkib TRP
KUALA LUMPUR, Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jaminan kepada pendepositnya yang simpanan mereka selamat, kata Pengarah Urusan Kumpulan TH, Tan Sri Ismee Ismail.
Dalam satu kenyataan hari ini, TH turut
memberi jaminan tiada sebarang kelewatan dalam mengumumkan bonus kepada
pendeposit, iaitu kebiasaannya pada suku pertama setiap tahun (Januari –
Mac).
“TH akan mengumumkan bonus pada awal
Februari ini, selepas melalui proses-proses dalaman dan auditan interim
seperti lazimnya setiap tahun.
“Sebelum pengumuman dibuat, TH perlu
mengambil kira keadaan ekonomi semasa, memastikan semua proses auditan
dilalui dan kelulusan dalaman diperoleh sebagai sebahagian daripada
proses urus tadbir yang baik,” katanya.
TH telah menjadi sasaran pelbagai
spekulasi dalam laman sosial dan blog, sejak beberapa hari lalu,
mengenai tarikh pembayaran bonus pendeposit TH 2015 dan surat Bank
Negara Malaysia (BNM).
“Tahun 2015 adalah mencabar
dan hasil daripada Strategi Alokasi Aset dan Pengurusan Risikonya, ia
telah dapat menjana pulangan pendapatan yang baik,”katanya.
Bagaimanapun, Ismee berkata, TH juga
perlu membuat persediaan rapi untuk menghadapi cabaran ekonomi 2016 dan
masa hadapan, agar ia lebih berdaya saing untuk menghadapi situasi
tersebut.
“Oleh yang demikian, dalam menetapkan
kadar bonus TH mesti mengambil kira keadaan ekonomi semasa, termasuk
pasaran saham, harga minyak dan kadar pertukaran mata wang yang akan
memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.
Prestasi kewangan TH berada dalam keadaan
baik, disokong aset-asetnya yang kukuh, termasuk peratusan mudah tunai
yang tinggi, iaitu aset tunai sahaja pada 31 Disember 2015 adalah
sebanyak RM10.7 bilion.
Di samping itu, Ismee berkata, pendeposit
tidak perlu risau, kerana simpanan mereka di TH dijamin kerajaan,
sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tabung Haji.
Bagi mengukuhkan kedudukan TH, beliau
berkata, TH mengambil maklum saranan BNM untuk mengkaji semula polisi
rizabnya sebagai langkah penambahbaikan dan pengukuhan berterusan.
BNM telah memberi cadangan agar mengkaji
semula polisi rizab TH, berikutan nilai aset TH lebih rendah daripada
liabiliti, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar dan
kelembapan pasaran saham.
Ismee berkata, nilai aset TH mengambil
kira keseluruhan nilai saksama portfolio pelaburan TH, kerana nilai aset
yang dinyatakan tidak mengambil kira portfolio pelaburan, seperti saham
anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan
hartanah yang diduduki TH.
“Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015,
nilai keseluruhan aset TH lebih tinggi daripada nilai liabiliti TH, di
mana ia mengambil kira kesemua nilai saksama portfolio pelaburan TH.
“Ingin saya sarankan agar para pendeposit
lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu berita yang disebarkan melalui
media sosial. Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan bahawa TH tidak
menghadapi masalah kewangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan