BERNAMA
KUALA LUMPUR, Sebanyak 195,170 syarikat dan premis perniagaan didapati tidak memperbaharui sijil perakuan pendaftaran perniagaan sepanjang tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, pihaknya
mengenal pasti perkara itu menerusi pemeriksaan ke atas 1.05 juta
(1,047,936) syarikat dan premis perniagaan sepanjang 2015.
“Selain tidak memperbaharui pendaftaran
perniagaan, terdapat syarikat melanggar sembilan jenis kesalahan,
antaranya tidak mempamerkan Sijil Perakuan Perniagaan, tidak mempamerkan
nama perniagaan dan nombor pendaftaran serta tidak mencetak nama dan
nombor pendaftaran syarikat pada resit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi pemeriksaan ke atas 100 premis di sebuah pusat beli-belah, hari ini.
Katanya,
sebanyak 211 pemeriksaan dijalankan ke atas syarikat dan premis
perniagaan yang melibatkan warga asing di seluruh negara, sepanjang
bulan ini.
“Daripada jumlah itu, 87 kesalahan dikenal pasti di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 1965,” katanya.
Menurut Zahrah, pihaknya akan bekerjasama
dengan pelbagai agensi, seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan
Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara, bagi
menjalankan operasi lebih kerap pada masa depan.
“Kebiasaannya, kami akan menjalankan
operasi biasa setiap hari, dengan mengunjungi premis perniagaan dan
syarikat, bagi memastikan mereka mematuhi piawaian ditetapkan,” katanya.
Mengenai perniagaan dalam talian, Zahrah
mengesa mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan seumpama itu,
supaya mendaftar dengan SSM, walaupun berskala kecil, kerana kegagalan
berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan di bawah
Akta Syarikat 1965.
“Kami bekerjasama dengan Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia, bagi memantau perniagaan dalam talian,”
katanya.
Justeru, Zahrah berkata, SSM menganjurkan
Karnival Usahawan Atas Talian SSM sebagai platform menggalakkan peniaga
untuk mendaftar.
“Mereka yang ingin membuat permohonan
pendaftaran perniagaan dalam talian, boleh melayari laman sesawang
www.ssm.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan