HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Januari 2016

Krisis MB Kedah: Umno jangan jadi macam PAS, kata Utusan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Umno tidak boleh 'mencontohi' kaedah PAS dalam menyelesaikan kemelut jawatan Menteri Besar Kedah, demikian menurut Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor.
 
Kegagalan PAS menyelesaikan perbalahan dalaman parti akhirnya menyebabkan sebahagian pemimpin dan ahli-ahlinya membentuk parti serpihan, iaitu Parti Amanah Negara (PAN).
 
Ujarnya sekalipun parti itu benar-benar mahu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ia harus dilakukan secara betul dan pengganti perlu menepati ciri-ciri yang dimahukan.
 
"Tidak dapat dipastikan sejauh mana kekuatan Umno Kedah selepas ini. Jika Mukhriz diturunkan, adakah penggantinya benar-benar memenuhi kriteria yang diharapkan? Apakah jaminan tidak ada lagi sabotaj selepas ini? Adakah keikhlasan, kejujuran dan ketelusan mempertahankan parti menjadi keutamaan bukan sekadar 'manis mulut'?
 
"BN, khususnya Umno tidak boleh membiarkan parti itu menyertai masalah yang melanda PAS berikutan terbentuknya PAN. Jangan sesekali membiarkan 'rambut terputus dan tepung berselerak,' demikian memetik rencana menerusi Utusan Malaysia, hari ini.
 
Umum mengetahui krisis jawatan Menteri Besar Kedah mula tercetus pada April 2015 ketika Muhkriz didesak menyatakan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
Mukhriz, yang mendapat sokongan penuh Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 sebagai Menteri Besar Kedah, bagaimanapun tidak 'peduli' terhadap desakan pelbagai pihak untuk menyatakan sokongan terhadap Najib.
 
Sejak minggu lalu, ia kembali tercetus apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai satu sidang media Umno negeri itu untuk menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz untuk menerajui negeri dan Umno.
 
Hassan kemudiannya merujuk kepada krisis jawatan Menteri Besar Terengganu yang berlaku pada 2014, namun negeri itu dapat menyelesaikan krisis berkenaan dengan baik.
 
"Di Kedah suasana amat berbeza apabila pemimpin Umno hilang kepercayaan kepada Mukhriz. Di atas kertas, jika parti menguasai kerajaan, Mukhriz terpaksa diundurkan dan orang baru akan dilantik.
 
"Adakah pemimpin pemimpin Umno Kedah telah melakukan kesilapan, tergesa-ges amengisytiharkan mereka hilang kepercayaan kepada Mukhriz?," katanya lagi.
 
Tindakan Ahmad Bashah juga atas tanggungjawabnya sebagai orang nombor dua parti di negeri itu yang melahirkan kebimbangan jika Mukhriz 'silap' dalam mentadbir Umno dan negeri.
 
Hassan membangkitkan persoalan sama ada Mukhriz masih mampu mendapat sokongan parti sekiranya mesyuarat DUN diadakan untuk menentukan kedudukan anak kepada bekas Perdana Menteri itu.
 
"Isu ini perlu diselesaikan segera sebelum setiap orang yang dikatakan berpeluang menjadi MB menjadi 'lebih buruk' pada pandangan rakyat Kedah khususnya.
 
"Pihak yang tidak menyokong calon tertentu akan mencari keburukan personaliti berkenaan. Begitulah sebaliknya. 
 
"Apabila semua keburukan didedahkan, ia pasti memberi kesan kepada pemimpin berkenaan yang mungkin diperlukan lagi di peringkat kerajaan negeri atau pusat.
 
"Akhirnya keburukan itu menjejaskan imej Umno sendiri," tambah Hassan.
 
Pemimpin Umno juga diingatkan untuk tidak mensia-siakan tempoh masa yang suntuk ini untuk menyelesaikan sebarang masalah parti sebelum berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14, kelak.
 
Najib sehingga kini tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kedudukan Mukhriz, meskipun kedua-dua pemimpin berkenaan bertemu dalam satu program pelancongan di Langkawi.
 
 

Tiada ulasan: