Jabatan Perkhidmatan Awam akan hanya menyediakan dermasiswa untuk pelajar menuntut di dalam negara sama ada di universiti-universiti swasta ataupun awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, bagi tahun ini, sebanyak 744 dermasiswa akan diberikan bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka di dalam negara.
Ini susulan kebimbangan di kalangan graduan pra-universiti yang mendapati bahawa borang permohonan untuk dermasiswa tidak lagi dipamerkan di laman web JPA.
Pelajar-pelajar memulakan kempen atas talian selepas mendapati mereka tidak lagi boleh mendapat dana walaupun telah diterima masuk oleh universiti terkemuka di luar negara.
Program dermasiswa JPA sebelum ini terbuka kepada pelajar-pelajar yang memohon selepas menamatkan pegajian pra-universiti (STPM atau A-Level) manakala biasiswa JPA adalah untuk lepasan SPM.
Dalam ucapannya di Putrajaya, hari ini, Najib berkata dermasiswa dan biasiswa juga akan diberikan kepada 8,000 pelajar yang mengikuti ijazah sarjana muda dalam negara.
Menurutnya, seramai 200 pelajar akan menerima biasiswa untuk belajar di luar negara dan hanya untuk ijazah kejuruteraan di Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.
Walau bagaimanapun, 20 pelajar cemerlang SPM akan menerima biasiswa untuk belajar di mana sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan