HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2016

Tak keluar wang, pencarum masih yakin pada TH

Shakira Buang


 


TINJAUAN Ketika paras rizab Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi perhatian, rata-rata pencarumnya masih yakin simpanan mereka selamat dan tidak akan mengeluarkannya buat masa ini.

Menurut tinjauan rambang Malaysiakini, mereka antaranya berpendapat sudah lama menyimpan dengan lembaga itu dan tidak menghadapi sebarang masalah, termasuk di era kegawatan ekonomi 1997.

Amiruddin Osman, 61, berkata beliau yakin dengan jaminan Putrajaya bahawa wang pendeposit selamat, seperti termaktub dalam Akta Tabung Haji.

“Saya sudah mula menyimpan sejak tahun 1982 dan sudah dua kali pergi menunaikan ibadah Haji. Jadi, saya tak akan keluarkan sebab TH sendiri sudah beri jaminan,” kata peruncit di di medan selera Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu.

Amiruddin berkata, jika ada masalah pun, beliau yakin ia dapat diatasi seperti zaman kegawatan 1997, yang beliau ketika itu menyimpan wang “agak banyak” di TH.


Amiruddin (gambar) bagaimanapun berkata keadaan mungkin berbeza bagi pencarum baru.
 
Bank Negara Malaysia (BNM) kelmarin mengesahkan menghantar notis nasihat kepada TH mengenai amalan pengurusan risikonya tetapi mengatakan dana haji itu telah membuat pembetulan dan menuju ke "kedudukan kewangan mapan dan sihat".

Kenyataan itu tidak menyebut, mengesahkan atau menafikan jika surat 'bocor' di Internet baru-baru ini – yang dikatakan memperincikan nasihat bank pusat itu mengenai penyusutan rizab dan kemerosotan pelaburan TH.

Sebelum ini, kempen mengeluarkan wang daripada Tabung Haji telah dibuat susulan kebimbangan berkaitan keputusan perniagaan lembaga itu.

Tabung Haji semalam memberitahu pendeposit bahawa simpanan mereka selamat dan bank itu akan mengumumkan bonus pada awal bulan Februari 2016 seperti lazimnya.

Tiba masa harap duit ada

Sementara itu, seorang peniaga Shahril Osman, 60, memberitahu Malaysiakini, memang terdapat sedikit kerisauan di hatinya, namun beliau percaya kerajaan tidak akan sentuh wang tersebut.

“Risau itu memang risau tapi Tabung Haji inikan milik kerajaan jadi kita yakin deposit kita sebagai pencarum akan selamat,” katanya.

“Tapi, kalau kerajaan kata dia nak pinjam pun, saya mahu bila tiba giliran saya untuk menunaikan ibadah Haji duit itu ada,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Shahril (gambar) berkata segala perancangan mengenai dana tersebut haruslah dimaklumkan kepada pencarum terlebih dahulu dan jangan diambil “senyap-senyap”.


Sementara itu, Farah Eliana Mohd Adnand (gambar), 27, seorang suri rumah berkata pernah terlintas di fikiran beliau untuk mengeluarkan simpanan tersebut.

Namun, selepas berfikir panjang beliau mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada TH agar memperbetulkan kesilapan mereka.

“Memang, TH dah menggugat kepercayaan rakyat dan pencarumnya.

Tapi tak salah juga kalau kita memberi peluang kedua kepada TH untuk perbaiki kesilapan mereka,” kata ibu kepada seorang cahaya mata ini kepada Malaysiakini.

Manakala, menurut Md Nurudin Md Yusof, 32, penolong pengurus di salah sebuah stesen minyak, setakat ini tidak ada keperluan untuk mengeluarkan wang daripada TH.




“Saya akan keluarkan bila keadaan mendesak,” kata Nuruddin yang mahu berlapang dada dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.

“Tetapi dalam keadaan sekarang ini saya lebih mengambil sikap berserah dan bertawakal dengan segala kemungkinan yang akan berlaku sebab niat utama saya menyimpan di TH adalah untuk menunaikan ibadah Haji.”

Bagaimanapun, Nurudin (gambar) berkata dalam keadaan sekarang eloklah pengurusan TH tidak dicemarkan dengan agenda politik pihak berkepentingan.

'Mak cik susah kumpul duit'

Bagaimanapun berbeza dengan Wan Azizah Saman, 60, seorang peniaga goreng pisang yang ditemui Malaysiakini di Bangsar, Kuala Lumpur apabila diajukan soalan berhubung situasi tersebut.

Menurut Wan Azizah, beliau akan segera ke Lembaga Tabung Haji bagi bertanyakan status wang simpanannya.

“Kalau begitulah keadaannya, esok mak cik akan ajak pak cik pergi ke TH untuk tanya status duit mak cik supaya kita tahu keadaan sebenarnya,” kata Wan Azizah yang kelihatan begitu bimbang.

Kata Wan Azizah, beliau telah bersusah payah mengumpul wang tersebut dan kerajaan tidak harus menggunakannya dengan sewenang-wenangnya.

Beliau dan suami masing-masing menyimpan RM18,000 dan RM15,000 sejak beberapa tahun lalu dan masih menunggu giliran menunaikan fardu haji.

“Kena tengok dulu macam mana, sebab mak cik nak cari duit ini susah. Mak cik dah tua kena simpan duit dengan berniaga dari pagi sampai petang nak tunaikan Haji,” keluh Wan Azizah.

Malah, ketika ditanya apakah beliau akan mengeluarkan wang simpanannya itu Wan Azizah berkata beliau akan berbuat demikian.

“Mak cik akan keluarkan, sebab niat mak cik simpan duit itu dekat TH untuk tunaikan ibadah Haji.

“Jadi, mak cik tak akan izinkan sesiapa ambil duit mak cik untuk digunakan sesuka hati. Mak cik simpan duit itu untuk pergi Haji,” tegas Wan Azizah.

Tiada ulasan: