Polis menembak mati empat lelaki awal pagi ini yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga rompakan bersenjata dilaporkan di Bintulu, bulan lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu
Osman berkata insiden itu berlaku dalam pukul 1 pagi semasa tiga pasukan
D9 sedang menjalankan rondaan mencegah jenayah di Jalan Tun Hussein
Onn, Bintulu, kira-kira 600 kilometer dari sini, berikutan beberapa
rompakan yang berlaku sebelum ini.
Beliau berkata semasa rondaan, pasukan itu ternampak
empat lelaki yangberkelakuan mencurigakan dalam sebuah kereta Toyota
Vios dan sejurus mereka menyedari kehadiran polis, pemandu kereta itu
memecut ke arah Miri.
"Kereta itu kemudian membelok ke dalam ladang kelapa
sawit, Ladang Maskat di Km42 Jalan Bintulu-Miri. Pasukan polis terus
mengejar kereta itu sehingga ia terbabas ke bahu jalan," katanya dalam
satu kenyataan di Kuching, Sarawak hari ini.
Beliau berkata apabila pihak polis menghampiri kenderaan
itu, polis mendengar beberapa tembakan dipercayai daripada selaras
senapang patah daripada kereta itu, dan polis membalas tembakan ke arah
kereta suspek.
Kejar suspek
Muhammad Sabtu berkata beberapa anggota polis mengejar
suspek apabila melihat dua lelaki keluar daripada kereta dan bergegas ke
ladang kelapa sawit tetapi apabila mereka hampir tiba di ladang itu
mereka berpusing balik dan cuba menyerang anggota polis.
"Seorang daripada mereka melibas sebilah parang dan
seorang lagi sebilah sabit. Polis menembak mati mereka untuk
mempertahankan diri. Pemeriksaan taktikal polis selepas itu mendapati
kesemua empat lelaki itu mati selepas polis melepaskan tembakan.
Seorang suspek rebah di kerusi pemandu, suspek kedua
ditemui di tempat duduk penumpang dengan senapang patah di sisi
tubuhnya. Dua lagi suspek berada tidak jauh daripada kereta dengan
parang dan sabit di sisi tubuh masing-masing," katanya.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemui beberapa
peralatan memecah rumah, sebilah parang dan beberapa jam tangan
dipercayai daripada rompakan awal manakala Toyota Vios yang digunakan
mereka dilaporkan hilang di Bintulu pada Julai 2015.
"Tiada dokumen pengenalan dijumpai pada suspek, yang
disyaki terlibat dalam tiga rompakan bersenjata di Bintulu pada 25 Dis,
dan terakhir pada 29 Disember," katanya.
Muhammad Sabtu juga berkata kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam beberapa kes di Miri dan Sibu tahun lepas.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Siasatan
Jenayah Sarawak atas kejayaan pasukan D9 yang telah berada di Bintulu
sejak sebulan lepas untuk mengumpul maklumat risikan dan menjejaki
kumpulan itu.
Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya mengucapkan syabas atas kejayaan itu.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan