Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: PAS mendakwa Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dalam
keadaan ketakutan selepas dikatakan tidak lagi mahu mempertahankan
kerusi Parlimen Shah Alam.
Setiausaha PAS Selangor, Halim Omar berkata Khalid mungkin mengambil
pertimbangan itu berikutan sedar makin banyak ketidakpuasan masyakarat
di Shah Alam berkenaan prestasinya sebagai ahli Parlimen kawasan itu.
"Dia (Khalid) takut di Shah Alam sebab dah banyak isu di sini.
Tindakannya meninggalkan kesan negatif, lari dari baiah, maka orang PAS
di Shah Alam tak boleh terima beliau, bahkan tiada undi simpati dari
orang-orang PAS dan masyarakat," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub memberitahu Khalid mungkin akan bertanding di Johor.
Perkembangan itu menimbulkan perdebatan umum dan ada yang menjangkakan
Khalid bakal menentang abangnya, Tan Sri Shahrir Samad yang kini
menyanding kerusi Parlimen Johor Bharu, mewakili Umno.
Namun Khalid pada hari ini memaklumkan tidak akan bertanding di kerusi
Parlimen Johor Bahru kerana 'enggan melukakan hati ibunya'.
Kekosongan kerusi Parlimen Shah Alam dikatakan akan diisi Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau Mat Sabu.
Halim ketika mengulas hal itu sinis dengan kemampuan Mat Sabu.
"Mat Sabu dimana-mana tempat berliau bertanding pun akan kalah, beliau
tidak ada taring. Mat Sabu bukan ayam kampung, sebaliknya sudah jadi
ayam daging.
"Mat Sabu bukan ancaman kepada PAS Shah Alam mahupun PAS Selangor," tegasnya.
Pandangan yang senada diberikan seorang lagi pemimpin PAS Selangor,
Khairuddin Othman dengan menegaskan adalah lebih elok jika kesemua
kerusi di negeri ini ditandingi oleh mereka yang berasal dari Selangor.
"Presiden mana-mana parti politik layak bertanding di mana-mana, namun
yang akan menentukannya adalah rakyat. Saya kira jika sesiapa pun orang
lain bertanding di Selangor, agak sukar sedikit (menang) sebab rakyat
tahu menilai," ujar ADUN Paya Jaras itu.
Pada hujung September lalu, Amanah tampil dengan hasrat meletakkan Mat
Sabu di kerusi Parlimen Kota Raka dan DUN Taman Templer pada PRU14 akan
datang.
Kononnya usaha meletakkan Mat Sabu itu dikatakan sebagai mengukuhkan
kedudukan parti itu di Selangor selain usaha Amanah untuk mengganti
peranan PAS dalam kerajaan negeri.
Bagaimanapun perkara ini bukanlah asing buat Mat Sabu, yang berasal
dari Kedah, memandangkan beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri
(1990), Kubang Kerian (1995) dan Kuala Kedah (1999).
Bagaimanapun bekas timbalan presiden PAS itu gagal mempertahankan
kedudukannya di Kuala Kedah pada pilihan raya 2004, malah tewas sebagai
calon PAS di Kuala Terengganu dan Pendang pada pilihan raya 2008 dan
2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan