KUALA LUMPUR: Selepas insiden tragik meragut nyawa 23 penghuni Darul
Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, 14 September lalu,
pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood mendedahkan pusat tahfiz itu menerima
sambutan luar biasa susulan ramai ibu bapa berhasrat untuk menghantar
anak mereka belajar di situ.
“Sebenarnya pada peringkat awal selepas kejadian itu, kami menyangka ia
mungkin menyebabkan ibu bapa tidak mahu lagi menghantar anak mereka ke
pusat tahfiz, tetapi sebaliknya yang berlaku.
“Ada ibu bapa yang mengunjungi pusat tahfiz selepas tragedi itu dan
terus mahu mendaftarkan anak-anak mereka dengan pusat tahfiz kami,
tetapi saya terpaksa beritahu mereka agar menunggu dahulu sehingga
keadaan berkaitan tragedi itu selesai,” katanya dipetik Bernama.
Mohd Zahid melahirkan rasa bersyukur dengan sambutan ibu bapa dan
merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan yang
terus memberikan sumbangan dan memberi perhatian kepada pusat tahfiz itu
dan waris mangsa.
Mengenai perkembangan semasa para pelajar yang terselamat dalam
kejadian itu, Mohd Zahid berkata, pada masa ini mereka masih bercuti
bersama keluarga masing-masing untuk berehat selain menghilangkan rasa
trauma susulan tragedi itu.
Katanya, sebelum kembali semula menyambung pengajian di pusat tahfiz
itu, pelajar-pelajar tersebut akan dibawa menunaikan ibadah umrah secara
berperingkat bulan ini.
“Diharapkan selepas mereka kembali dari umrah nanti perasaan trauma
mereka akan hilang dan kembali fokus untuk pengajian semula,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua
guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkap
atas bangunan tiga tingkat yang dijilat api, ekoran perbuatan khianat
sekumpulan remaja.
Dua remaja berusia 16 tahun, yang juga suspek kepada kejadian kebakaran
pusat tahfiz berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada 28 September
lalu atas pertuduhan membunuh 23 pelajar dan guru sekolah berkenaan.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama kerana berniat membunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan