HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Disember 2017

'Anwar calon terbaik, tapi belum dapat dicalonkan'

MALAYSIAKINI



Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah berkata pengerusi gabungan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih calon terbaik sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, katanya, bekas ketua pembangkang dan bekas timbalan perdana menteri itu tidak dapat dicalonkan buat masa ini, dipercayai kerana statusnya yang sedang dipenjarakan.

“Siapakah calonnya? Yang terbaik ialah DSAI (Anwar).

“Tapi beliau tak dapat dicalonkan sekarang,” katanya.

Anggota Biro Politik PKR Datuk Johari Abdul kelmarin berkata cadangan untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail sebagai timbalan kini hanya menunggu kelulusan Anwar.

Johari berkata cadangan itu dibuat ketika pemimpin kanan Pakatan Harapan mengadakan pemukiman dua hari di Putrajaya minggu lepas.

'Calon lebih muda? Boleh bincang'

Sementara itu, dalam kenyataan di Facebook hari ini, Saifuddin menegaskan kepentingan kombinasi Anwar-Mahathir yang menurutnya disokong dan diminati anak muda.

Bagaimanapun, katanya, kombinasi Mahathir-Azizah pula sama penting untuk mendapatkan sokongan kaum hawa.

“Pengalaman menularnya gambar Tun Mahathir dan Anwar (di mahkamah) dan gambar Tun Siti Hasmah (Mohd Ali) dan Wan Azizah perlu direnung dengan mendalam.

“Tun Mahathir juga mustahak dalam meyakinkan pengundi Melayu luar bandar dan ahli/penyokong Umno untuk mengundi HARAPAN,” katanya.

Mengulas kemungkinan calon lain untuk diangkat sebagai perdana menteri HARAPAN, Saifuddin berkata beliau terbuka untuk perbincangan.

“Bagaimana dengan calon lain - iaitu yang lebih muda, tapi tetap mengekalkan kombinasi Tun Mahathir-Anwar?

"Ini boleh dibincangkan” katanya.

Tiada ulasan: