NAMA seorang guru, Azizan Manap tiba-tiba menjadi
suatu fenomena yang hangat dalam iklim negara. Hari ini golongan
pendidik berhimpun di Mahkamah Majistret Seremban bagi menyatakan
solidariti atasnya yang didakwa di mahkamah itu. Beliau umpama wira bagi
kumpulan pendidik, kerana berani menanggung risiko, dibenci, ditohmah
dan dihina hanya kerana memperjuangkan nasib anak bangsanya sendiri.
Kesnya kerana beliau menghukum seorang pelajar yang didakwa melakukan
pelbagai kesalahan seperti menghidu gam, membuli, ponteng sekolah dan
memukul murid lain. Atas ketegasan beliau menghukum dengan merotan
pelajarnya itu, beliau pula dihukum. Mungkin dunia sudah menemui ke
pengakhirannya, guru yang tegas dan bertindak betul terhadap pelajar
yang bermasalah pula diheret ke mahkamah dan mahu dianggap bersalah.
Bagi para pelajar khususnya yang sering melakukan kesalahan,
watak seperti Cikgu Azizan adalah mala petaka yang ditakuti dan dibenci.
Begitu juga dengan ibu bapa yang sering memanjakan anak-anak, sehingga
sanggup memberi apa sahaja keinginan anak tanpa sedar baik atau buruk
tindakan mereka itu. Mereka pasti menganggap insan seperti Cikgu Azizan
adalah musuh yang perlu dibasmi. Namun bagi masyarakat terutama golongan
pendidik, Cikgu Azizan adalah hero sebenar kerana berani dan tegas demi
menyelamatkan masa depan generasi muda.
Betapa ramai guru yang tidak sanggup mengambil langkah serupa kerana
pelbagai faktor, tekanan ibu bapa, ancaman pelajar-pelajar sendiri,
tiada sokongan masyarakat, tiada bantuan pihak berkuasa dan lain-lain
lagi. Malah, ramai didapati guru yang akhirnya dipukul pelajar, dihina,
disindir, ditukar tempat kerja, tidak kurang yang dihukum serta didakwa
dengan pelbagai kesalahan. Kesannya, guru-guru mengambil sikap
membiarkan segala kebejatan berlaku, asalkan poket mereka tidak kosong
dan kedudukan mereka selamat.
Cikgu Azizan mewakili keluhan para guru di sekolah, yang berkubang
keringat, air mata dan darah demi mendidik masyarakat. Jasa dan
pengorbanan mereka dibayar dengan pelbagai kata-kata pedas yang menguris
jiwa. Sikap masyarakat yang mudah menghukum, ditambah dengan bebanan
tugas yang tidak sewajarnya umpama mereka pekerja kelas bawahan dalam
profesion mereka.
Ketika pelajar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, nama sekolah
dan pelajar-pelajar terbabit dijulang. Puji-pujian melangit tinggi serta
pelbagai penghargaan diberikan. Hanya sedikit guru diberikan
penghargaan. Lainnya, guru dilupakan. tetapi ketika pelajar menghadapi
kemerosotan, nama guru dan sekolah pula dibuang. Guru mudah dituduh
sebagai tidak acuh dalam pendidikan, mengajar sambil lewa, tidak
bersemangat, tidak profesional dan lain-lain. Inilah nasib guru dari
dulu sampai sekarang.
Jika Cikgu Azizan tidak tampil dalam isu ini, pastinya saban tahun
kejadian jenayah, ponteng sekolah, maksiat dan zina, buli, merokok dan
dadah semakin berleluasa. Akhirnya masyarakat menuding jari kepada
pesalah utama adalah guru di sekolah. Malah, ibu bapa yang sepatutnya
menjadi guru pertama di rumah turut mengambil peranan ‘membelasah’ guru
di sekolah. Kegagalan mereka mendidik anak di rumah, menjadi sebab untuk
menjadikan guru dan sekolah sebagai sasaran utama. Tidak hairan ibu
bapa yang suka menyerang sekolah, tidak langsung mempercayai kesalahan
anak-anak mereka kerana tidak pernah mengetahui keterlibatan aktiviti
anak-anak mereka di luar rumah.
Hasil sokongan dan tekanan masyarakat, para pendidik, dan mereka yang
bersimpati, hari ini terbukti tindakan Cikgu Azizan adalah betul.
Mahkamah membebaskan beliau dari tuduhan yang didakwa ke atasnya.
Mungkin ini trend terbaru dalam negara ini, dengan tekanan, solidariti
dan sokongan netizen serta masyarakat seluruhnya, golongan tertentu
mendengar dan mengendurkan tindakannya. Mungkin juga kerana musim PRU ke
14 akan tiba, maka tiba-tiba suara rakyat didengari.
Kita semua mengetahui, hasil didikan keras dan tegas ibu bapa dan
guru, selain kasih sayang yang mereka curahkan, kita menjadi manusia
berjaya seperti sekarang. Dengan libasan rotan, leteren panjang,
sergahan, dan kemarahan guru-guru di sekolah dan ibu bapa di rumah
menjadikan kita kekal ingat sepanjang hayat. Bahkan, hari ini kita
berbangga dengan kesan birat rotan di punggung, kaki dan tangan yang
menjadikan insan berguna buat masyarakat dan negara. Nasihat yang sama
perlu disampaikan kepada generasi muda sekarang, agar tidak leka dengan
belaian manja sepanjang masa! – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan