HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Disember 2017

DAP: Tak adil tuduh PH keberatan laksana reformasi dana politik

 
Ong Kian Ming berkata gabungan pembangkang mahukan reformasi pendanaan politik yang holistik dan hasrat itu dimasukkan dalam manifesto mereka.


Muhammad-Faisal-Abdul-Aziz-Saifuddin-Abdullah-Wong-Chin-Huat-Ong-Kian-Ming-m

SHAH ALAM: Tidak adil mengatakan Pakatan Harapan (PH) keberatan melaksanakan reformasi berkaitan dengan pendanaan politik, kata Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming.

Beliau mengulas kenyataan ahli ekonomi Prof Terence Gomez yang mempertikaikan keengganan pembangkang menyokong usul mengawal pendanaan parti politik.

Ong di satu forum tentang pembiayaan politik hari ini memberi jaminan gabungan pembangkang memasukkan reformasi politik, termasuk reformasi pendanaan politik, dalam manifesto mereka.

“Mungkin Gomez tidak baca manifesto kami. Kita ada sebut tentang Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA), yang dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.

“Kita dapat mengenalpasti banyak kelemahan – antaranya PDEA tidak holistik dan tidak menyentuh reformasi pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya, di samping pembiayaan politik kepada parti politik.

“Ini menunjukkan PH ada hasrat dan rancangan holistik untuk reformasi institusi politik, termasuk memperkenalkan reformasi tentang pendanaan politik,” katanya di forum anjuran Institut Darul Ehsan (IDEA) hari ini.

Turut menyertai wacana itu ialah Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah dan penganalisis politik, Wong Chin Huat, dari Penang Institute.

Ong menjawab kenyataan Gomez di suatu forum tentang pendanaan politik minggu lepas di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Gomez tidak dapat menghadiri forum hari ini kerana ada urusan lain.

Gomez berkata matlamat cadangan daripada gerakan sivil ialah untuk menyokong parti politik dan pastikan mereka mempunyai dana secukupnya, dengan syarat ia dilakukan secara telus dan diisytiharkan.

“Pembangkang menghabiskan banyak masa mencari wang sehinggakan mereka mungkin tiada masa untuk berbincang dan merangka dasar awam.

“Saya pernah beritahu pemimpin pembangkang bahawa mereka tidak boleh asyik menganjurkan makan malam untuk mengutip dana,” katanya di forum “Pendanaan Parti Politik Oleh Orang Awam: Menghilangkan Sumpahan Politik Wang”.

Gomez dilaporkan berkata cadangan itu termasuk memperkenalkan pendanaan politik untuk parti politik, yang akan mengurangkan kelebihan kewangan Barisan Nasional (BN).

Gabungan pembangkang dikecam sejak Oktober selepas mereka enggan bersetuju dengan PDEA kerana khuatir ia akan digunakan terhadap mereka.

Akta itu dibentangkan dengan 32 syor daripada Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik, yang tidak disertai mana-mana parti politik, termasuk mewujudkan suatu jabatan untuk memantau sumbangan dan perbelanjaan politik. Low mempengerusikan jawatankuasa itu.

Syor itu juga mahu parti politik mengisytiharkan sumbangan RM3,000 ke atas kepada jabatan itu, dan mewajibkan identiti penderma didedahkan kepada orang ramai sebelum pilihan raya umum ke-15.

Ia juga melarang pembiayaan dari negara asing dan syarikat milik kerajaan menerima kontrak kerajaan daripada sumbangan kepada ahli politik atau parti politik.

Terdahulu, Saifuddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari segi moral tidak layak mencadangkan reformasi pendanaan politik, dan tugas itu dibiarkan kepada Low untuk merangka PDEA.

“Saya harus memuji low yang berusaha. Saya harus puji teman-teman yang ambil masa panjang untuk rangkakan cadangan itu.

“Terma rujukan kepada pasukan perangka terhad. Cadangan baik tetapi tak holistik.

“Kalau nak lakukan reformasi kena holistik dalam dua keadaan. Tidak cukup dengan hanya undang-undang tetapi perlu reformasi dari segi budaya,” katanya.

Saifuddin menambah undang-undang pendanaan politik tidak mencukupi, dan ada undang-undang lain, serta mekanisme dalam parti politik, yang perlu dipinda

Tiada ulasan: