Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan
perihal nama baru calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) secara
bersendirian, dipersoal penganalisis politik, Prof Datuk Mohamed Mustafa
Ishak.
Ujar Mustafa tindakan Guan Eng berbicara isu sepenting itu seorang diri
tanpa kehadiran mana-mana pemimpin pembangkang yang lain, hanya
menguatkan persepsi bahawa 'DAP mengetuai PH'.
"Sekarang ini bila DAP buat pengumuman itu bermakna seolah-olah DAP yang menentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri.
"Adakah itu pendirian DAP atau pendirian PH, itu tidak pasti dan kena
tanya mereka (DAP). Tetapi apa yang nyata apabila pengumuman itu dibuat
oleh DAP, maka tentunya ternyata DAP mempunyai kawalan dan pengaruh yang
besar terhadap PH.
"Ini semakin mengesahkan bahawa PH sebenarnya diketuai oleh DAP," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Semalam, Guan Eng dalam satu sidang media tanpa kehadiran mana-mana
pemimpin tertinggi PH memaklumkan bahawa gagasan itu akan mengumumkan
pengganti Anwar untuk diangkat menjadi perdana menteri, jika menang
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengumuman itu akan dibuat pada bulan Januari tahun depan, ujar Guan Eng.
DAP sebelum ini mahukan Anwar menjadi calon perdana menteri PH, namun
dikatakan terpaksa menamakan pengganti baru selepas Ketua Umum PKR itu
masih dipenjarakan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya,
Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Guan Eng dalam sidang media yang sama berkata DAP tidak pernah mengimpikan untuk menjadi perdana menteri.
Mengulas perkara itu, Mustafa tidak menolak andai calon perdana menteri PH datangnya daripada DAP.
"Tidak mustahil (calon pm dari DAP) kerana pada prinsipnya calon itu
mesti datang daripada ketua parti yang mendapat kerusi terbanyak dalam
Parlimen. Jadi sebab itu kalau PH berjaya membentuk kerajaan, tentunya
parti yang mendapat kerusi terbanyak yang akan mencalonkan ketuanya
sebagai perdana menteri.
"Mana-mana ketua parti yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli
Parlimen, iaitu biasalah partinya yang mendapat undi terbanyak. Maka
biasanya dia yang akan mengetuai kerajaan sebagai perdana menteri,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan