SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak berkata sejak memegang tampuk
kepimpinan negara, beliau mengamalkan dasar keterbukaan untuk generasi
muda khususnya golongan mahasiswa bagi membolehkan mereka mengambil
bahagian dalam pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata sebagai bukti, kerajaan meminda Akta Universiti
dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan generasi muda bebas
berfikir dan menyuarakan pendapat masing-masing walaupun agak kritikal.
“Dengan dasar rancangan hala tuju yang dibawa oleh kerajaan pimpinan
Umno, generasi muda khususnya mahasiswa diberi peluang seluasnya untuk
berdialog.
“Mereka boleh tanya soalan tanpa sekatan sehingga ada menteri-menteri
berpeluh nak jawab,” kata Najib yang juga Presiden Umno ketika berucap
merasmikan Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional Ke-5 (Pemanas
5.0) 2017 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara
(UiTM) di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Noh Omar,
Pengerusi Biro Pendidikan Umno Tan Sri Ibrahim Abu Shah serta Pengarah
Pemanas, Mohd Shahar Abdullah.
Najib berkata kerajaan mengamalkan dasar keterbukaan untuk golongan
muda itu kerana mahu menyediakan pemimpin pelapis negara pada masa
datang.
“Kami memahami bahawa generasi hari ini adalah kesinambungan dan
kerajaan yang ada pada hari ini menyediakan landasan untuk anda bawa
negara kita ke mercu kejayaan.
“Kita sediakan platform ini... kita sediakan Parlimen Belia untuk belia
berbahas, kita sediakan program latihan amali dengan kerajaaan. Satu
daripada tanggungjawab pemimpin mestilah sediakan barisan kepimpinan
akan datang,” kata beliau.
Najib berharap generasi muda khususnya mahasiswa akan bersama-sama
dengan kerajaan dan tidak mengikut jejak bekas pemimpin tertentu dan
pembangkang yang ingin meruntuhkan apa yang dibina Umno serta Barisan
Nasional (BN) selama ini.
Beliau berkata sebagai parti yang memerintah, Umno dan BN boleh terus membawa negara menuju ke mercu kecemerlangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan