Oleh Shuhaniza Said, Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar & Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Seorang perwakilan hari ini mencadangkan agar kerajaan
memperluaskan bantuan kepada golongan mahasiswa dalam meringankan
bebanan yang dihadapi mereka.
Perwakilan Mahasiswa Nasional, Ammar Adnan ketika membahaskan ucapan
dasar presiden pagi tadi mencadangkan kerajaan memperkenalkan Subsidi
Minyak Siswa 1Malaysia untuk golongan berkenaan.
“Dalam terus memastikan kebajikan mahasiswa terus dipertingkatkan,
Mahasiswa Nasional ingin mencadangkan Subsidi Minyak Siswa 1Malaysia
kepada mana-mana mahasiswa yang memiliki motorsikal yang berkapasiti
150cc ke bawah,” kata Ammar.
Ujarnya, dari segi pelaksanaan bantuan itu, kerajaan boleh
memperluaskan penggunaan Kad Debit Bank Rakyat bagi tujuan penyaluran
subsidi dan mengehadkannya kepada stesen minyak terpilih saja.
“Stesen minyak hanya terhad kepada Petronas saja. Saya ulang, hanya
Petronas bukan Petron,” tegas beliau, merujuk pemilikan Petron oleh dua
orang anak bekas Perdana Menteri, iaitu Mirzan Mahathir dan Mokhzani
Mahathir.
“Langkah ini dilihat akan banyak membantu mengurangkan kos seharian mahasiswa,” katanya.
Selain bahan api, Ammar juga mencadangkan kerajaan menukarkan status
pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukarkan
menjadi biasiswa untuk graduan B40 yang telah berjaya menamatkan
pengajian Ijazah Pertama dengan pencapaian Kelas Kedua Tertinggi (second
class upper).
“Inilah langkah bijak dalam membantu golongan ini, bukanlah ikan yang
diberikan, tetapi pancing diberikan kepada mereka untuk mencipta
kehidupan yang lebih baik.
“Langkah ini dilihat sangat positif dan akan banyak membantu graduan
B40 ini untuk kembali berbakti kepada keluarga mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan