SHAH ALAM: PAS percaya Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan pelbagai
perkara 'pelik' dalam usahanya mendapatkan sokongan rakyat bagu
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Merujuk kepada sokongan bekas perdana menteri itu supaya Ketua Umum
Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara,
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Dr Mahathir
sanggup berbuat apa sahaja untuk merealisasikan kepentingan politiknya.
"Semua itu politik terdesak yang ditunjukkan Dr Mahathir kerana kita
nampak beliau sudah tidak tahu lagi cara untuk mendapatkan sokongan.
“Berdasarkan pengalaman kita, Dr Mahathir ini dilihat boleh buat apa
sahaja, mungkin dekat PRU ke-14, ada benda-benda lain lagi yang pelik
akan keluar," katanya memetik Malaysiakini.
Mohd Amar berkata demikian kepada media selepas program ceramah PAS di Kampung Lundang, Kota Bharu, malam tadi.
Baru-baru ini Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH mendesak kerajaan
membebaskan Anwar yang menjalani hukuman penjara kerana meliwat bekas
pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2003.
Pada 13 Disember lalu, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bersama
dengan peguam hak asasi manusia dari AS, Kimberly Motley, yang
menganggap Anwar sebagai tahanan politik dan perlu dibebaskan segera.
Dr Mahathir pernah menyingkirkan dan memenjarakan Anwar sekitar tahun 1999.
"Saya percaya, rakyat sama sekali tidak akan terpengaruh dan terperdaya dengan politik Dr Mahathir ini.
"Dia singkirkan Anwar, zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dia angkat Najib, sekarang dia lawan Najib.
"Dr Mahathir ini dia berlawan dengan kerosakan yang dibuatnya dulu," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan