HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Disember 2017

Skandal Forex: Penganalisis politik ramal Mahathir akan ditangkap sebelum PRU14



Skandal Forex: Penganalisis politik ramal Mahathir akan  ditangkap sebelum PRU14


Penganalisis politik dan blogger Shabudin Husin membuat andaian berkemungkinan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Pengerusi Bersatu merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad akan ditangkap atas dakwaan terbabit dalan penyalahgunaan kuasa berkaitan skandal Forex-BNM sebagaimana hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada Khamis lalu.

Beliau  dalam tulisannya pada Jumaat lalu dengan tajuk: “Adakah Tun Mahathit akan ditangkap sebelum PRU14?” turut menelah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bukanlah sasaran dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelak.

“Dalam hal ini, sudah tentu juga yang paling menjadi sasaran bukanlah Nor Mohamed Yakcop yang dipersalahkan dalam kerugian urusniaga forex itu, tetapi pastinya Tun Mahathir.

“Sehubungan itu, tiga kemungkinan paling besar bakal berlaku sebelum PRU 14 ini, Tun Mahathir akan ditangkap dan didakwa di mahkamah serta disekat daripada bertanding dalam pilihanraya;Bersatu dibatalkan pendaftarannya dan; Pakatan Harapan tidak mungkin diberikan kelulusan,” ujarnya sebagaimana di petik daripada blog beliau yang dimuat naik pada Jumaat lalu.

Shahbudin meletakkan krisis tersebut sebagai satu pilihan kepada pengundi yang akan memilih kerajaan masa depan.

“Apa akhirnya pilihan kita sebagai rakyat dan pengundi yang berakal dalam pilihanraya akan datang?

“Terus memilih Najib, Umno dan BN atas perkiraan tiada pilihan lain untuk menerajui kerajaan atau semua halangan yang disengajakan itu menjadikan kita lebih bersatu dan bulat hati asalkan perubahan benar-benar menjadi kenyataan?,” soalnya.

Rumusan beliau itu bersandarkan kepada rentetan skandal Forex-Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga tertubuhnya RCI dan keputusan mengenai laporan RCI itu yang dibentangkan di Parlimen akhirnya membawa desakan kepada tindakan PDRM.

“Tidak seperti mana-mana Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI yang pernah ditubuhkan sebelum ini, RCI berkaitan forex ini terlihat sangat-sangat istimewa kewujudannya.

“Daripada sekian banyak istimewanya seperti menyiasat perkara yang berlaku lebih 30 tahun lalu, itu pun hanya setelah Tun Mahathir yang merupakan sasaran utama bertukar menjadi pengkritik dan serius mahu menjatuhkan Najib Razak dan hasil laporannya pula dibentangkan pada hari akhir sidang Parlimen untuk mengelak daripada dibahaskan, tetapi yang paling istimewa ialah laporan polis juga segera dibuat mengenainya.

“Hampir serentak dengan pembentangannya di Parlimen semalam, Setiausaha RCI, Dr. Yusof Ismail turut membuat laporan polis di IPD Putrajaya pada waktu yang sama.

“Laporan polis itu dibuat dengan tujuan meminta pihak berkuasa menyiasat secara rasmi nama-nama yang disebutkan dalam laporan RCI tersebut atas kemungkinan terlibat dalam pecah amanah, jenayah, penipuan atau lain-lain kesalahan.

“Susulan itu, Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun segera mengumumkan tertubuhnya pasukan khas untuk menyiasat nama-nama yang dicadangkan dalam laporan RCI tersebut.

“Dengan begitu cepat membuat laporan polis, sudah tentu maksudnya ialah agar tindakan dapat diambil dengan sepantas-pantasnya atau lebih tepat sebelum tibanya tarikh PRU 14 yang habis edahnya pada Jun 2018,” telahan beliau.

Tiada ulasan: