SHAH ALAM: Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut memulangkan dua darjah
kebesaran dari Istana Selangor selepas suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad
berbuat demikian.
Perkara itu disahkan jurucakap pejabat bekas perdana menteri itu,
selian memberitahu darjah kebesaran itu dipulangkan pada Khamis lepas.
“Dr Siti Hasmah juga memulangkan dua darjah kebesaran itu kepada Istana
Selangor,” kata jurucakap itu dipetik portal The Malaysian Insight.
“Darjah kebesaran yang dipulangkan ialah SPMS dan DPMS pada hari sama dengan Dr Mahathir,” katanya.
SPMS ialah singkatan kepada Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota
Selangor yang membawa gelaran Datuk Seri bagi lelaki dan Datin Paduka
Seri bagi wanita.
Sementara DPMS pula merujuk kepada Darjah Kebesaran Datuk Paduka
Mahkota Selangor yang membawa gelaran Datuk Paduka bagi lelaki dan Datin
Paduka bagi wanita.
Dr Siti Hasmah menerima darjah kebesaran DPMS daripada Istana Selangor pada 1983 dan SPMS pada tahun 1994.
Difahamkan satu kenyataan berhubung perkara itu akan dikeluarkan pihak Istana Selangor, esok.
Terdahulu, media melaporkan Dr Mahathir memulangkan dua darjah kebesaran tertinggi yang diterima daripada Istana Selangor.
Dr Mahathir menerima SPMS, Darjah Kelas Pertama pada 22 Jun 1978, yang ketika itu membawa gelaran Datuk.
Darjah kebesaran itu dikurniakan hanya kepada dua orang pada satu-satu masa dan kuota maksimum penerimanya ialah 40 orang.
Sejak 1998, darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk Seri.
Kira-kira sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003, Dr Mahathir
dianugerahkan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) pada majlis
Jasamu Dikenang di Istana Alam Shah, Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan