MALAYSIA DATELINE
Beberapa kanak-kanak termasuk seorang yang berusia tujuh tahun
didakwa turut menghidu gam atau ‘tarik bulan’ di sekitar Banda Hilir
Melaka.
Pendedahan oleh seorang remaja berusia 17 tahun di akhbar Harian
Metro hari ini juga memberitahu terdapat 17 ahli kumpulan mereka yang
aktif menghidu gam juga mengutip upah menjaga parkir kenderaan di lokasi
tersebut.
Dia yang ketagihan menghidu gam sejak dua tahun lalu pernah ditangkap
dan dikurung di rumah oleh abangnya yang bekerja sebagai anggota
keselamatan.
Menurut remaja berasal dari Sabah itu, kegiatan menghidu gam basikal
jauh lebih ‘power’ (mengkhayalkan) berbanding dadah dan minuman keras.
Mereka juga boleh berkongsi bahan merosakkan itu dengan menjadikan
bangunan rumah kedai tinggal di beberapa lokasi berasingan sekitar Banda
Hilir sebagai tempat melepaskan gian dan tidur.
“Setakat ini kami tak pernah terputus bahan sebab pasti akan ada saja
orang yang beri duit sebagai upah jaga parkir,” ujarnya ketika ditemui
pemberita semalam.
Seorang lagi penghidu gam berusia 27 tahun dilapor berkata, dirinya
telah beberapa kali disumbat ke lokap polis tetapi ketagihannya masih
tidak hilang.
Dia juga memberitahu, pihak berkuasa tidak mampu mengenakan tindakan
lebih daripada itu memandangkan kegiatan menghidu gam tidak tergolong
sebagai kesalahan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kalau kena tangkap pun, esok lusa kami dah keluar semula dan terus
hisap gam. Nak dakwa kami ambil dadah atau mabuk arak pun tak boleh,”
dipetik daripada Harian Metro.
Kumpulan terbabit turut dikatakan merekrut anggota baru terutama
remaja, tidur di kaki lima atau bangunan lama dengan bekalan gam yang
tidak putus selain makanan percuma daripada sebuah pertubuhan agama.
Penagihan gam sukar dibanteras kerana bahan itu mudah dibeli manakala
peranan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam membantu aspek
pemulihan masih bergantung atas permintaan keluarga.
Gam setakat ini dimasukkan dalam jadual Akta Racun 1952 tetapi
peningkatan kes menghidu gam dalam kalangan remaja semakin
membimbangkan.
Bungkusan plastik berisi getah gam cair sentiasa bersama penagih
bahan berbahaya itu yang lazimnya tampil berkeadaan khayal dan tidak
terurus.
Penagihan gam bukan satu masalah sosial baharu tetapi kembali
mendapat perhatian orang ramai susulan kes Guru Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid, Azizan Manap, 44, yang dihadapkan ke mahkamah selepas mendenda
muridnya kerana kesalahan menghidu gam.
Murid lelaki Darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai itu
turut dikatakan mempengaruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng
sekolah.
Bagaimanapun, Cikgu Azizan didakwa menyebabkan kecederaan pada pipi
kiri murid itu di hadapan tapak perhimpunan sekolah pada jam 7 pagi, 6
April lalu.
Semalam, beliau dilepas tanpa dibebaskan di Mahkamah Majistret
Seremban dengan lebih 300 guru dan penduduk sekitar Taman Semarak hadir
bagi memberi sokongan moral.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan