PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan 369 suspek pengganas
termasuk 87 warga asing, yang dipercayai militan Daesh antara 2013
hingga 2017.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata jumlah
itu turut membabitkan 19 perancang untuk melakukan keganasan tetapi
dapat ditumpaskan.
"Selama beberapa tahun, pihak keselamatan sudah menjalankan operasi
bagi menangani dan membanteras keganasan daripada berlaku di negara ini.
"Kita bersyukur kerana tiada kematian berlaku dalam serangan bom di
kelab malam Movida, Puchong pada Jun 2016," katanya ketika menyampaikan
kenyataan negara sempena Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya
(PISD) 2018 di sini, hari ini.
Nur Jazlan berkata, perkara itu menjadi peringatan mengenai hakikat
keganasan moden, di mana konflik yang berlaku beribu-ribu batu jauhnya
boleh membawa kesan kepada keselamatan dalam negara.
"Sudah tiba masanya untuk mengkaji semula pendekatan semasa dalam
menangani keganasan kerana Daesh sentiasa merekrut ahli baru di seluruh
dunia melalui media sosial, kebanyakannya menyasarkan golongan muda
terutama wanita yang masih tercari-cari hala tuju dalam kehidupan
mereka," katanya.
Tambah beliau, mereka menawarkan satu bentuk pelepasan dengan
mencemarkan minda melalui pandangan dunia dan ideologi yang sesat.
"Pendekatan secara keras, yang mungkin dilihat berkesan untuk jangka
masa pendek, tidak dapat menangani punca isu keganasan, seperti mana
perang terhadap penjenayah dan pengganas kerana ini lebih kepada hati
dan minda, perang terhadap perbezaan ideologi.
"Justeru, Malaysia mengesyorkan idea untuk menawarkan terjemahan
keagamaan yang sederhana terutama dalam menangani IS sebagai langkah
proaktif untuk menghapuskan ekstremisme," katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Sudan, Mejar (Polis), Dr Hamid
Mohamed, dalam kenyataan negaranya, berkata Sudan juga menggunakan
pendekatan yang sama seperti Malaysia untuk memulihkan mereka yang
terbabit dalam sel keganasan iaitu yang melalui program deradikalisasi.
"Anak-anak muda adalah sasaran mudah bagi pelampau untuk merekrut
mereka sebagai ahli baru, kami mempunyai program deradikalisasi sebagai
langkah anti-keganasan.
"Ini untuk memulihkan mereka yang mempunyai ideologi keagamaan atau
politik yang melampau untuk mengamalkan pandangan yang lebih sederhana,"
katanya.
Wakil Presiden Turki, Mehmet Mehdi Eker, berkata negaranya mempunyai
pengalaman luas dalam memerangi keganasan dan terbabit secara cergas
dalam memerangi pelbagai pertubuhan pengganas seperti Daesh, Kurdistan
Workers' Party (PKK) dan Fethullah Terrorist Organisation (FETO).
Beliau turut merakamkan penghargaan negaranya kepada Malaysia atas
kerjasama mengekang kegiatan pertubuhan pengganas FETO di Malaysia
selain memuji Malaysia sebagai contoh terbaik negara berbilang kaum,
berbilang budaya dan berbilang agama dengan segenap lapisan masyarakat
secara damai lagi harmoni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan