KAJANG: Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Zuraida Kamaruddin
memaklumkan bahawa gabungan itu masih lagi belum mencapai kata sepakat
berhubung jawatan perdana menteri, walaupun perkara itu akan diumumkan
esok dalam Konvensyen PH.
Katanya lagi, perbincangan mengenai perkara itu masih diteruskan
sehingga hari ini, termasuk pembahagian kerusi, pemilihan calon dan
manifesto PH jika berjaya merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
"Saya difahamkan proses itu (calon PM) sedang berjalan. Ia bakal
dimuktamadkan hari ini dan perkara itu akan diumumkan esok," katanya
kepada media selepas Konvensyen Wanita PH di Kajang hari ini.
Sebelum ini menerusi pemukiman PH yang diadakan selama dua hari pada
awal Disember lalu, dikatakan gagasan itu menamakan Dr Mahathir dan
Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri
dan timbalannya.
Dikatakan DAP, Amanah dan PPBM bersetuju dengan dua nama berkenaan,
namun persetujuan dari PKR masih 'tergantung' memandangkan ia memerlukan
perbincangan lanjut dalaman parti dan menunggu restu Anwar.
Namun, PKR didakwa mengemukakan tiga syarat terhadap pencalonan Dr
Mahathir sebagai perdana menteri sebelum parti itu bersetuju dengan
cadangan PH untuk mencalonkan pemimpin itu sebagai perdana menteri.
Dikhabarkan keputusan itu dicapai semasa PKR mengadakan mesyuarat biro
politik pada 19 Disember lalu yang dihadiri pemimpin-pemimpin utamanya.
Syarat pertama yang didakwa diletakkan PKR adalah supaya Ketua
Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dengan segera dan dilantik
sebagai perdana menteri dalam tempoh antara enam hingga dua belas bulan.
PKR juga meminta diberikan 60 dari 165 kerusi Parlimen, jumlah
terbesar berbanding peruntukan dari parti-parti lain di bawah gagasan
pembangkang tersebut.
Malah PKR juga meminta Dr Mahathir, selaku Pengerusi PH bersetuju
dengan reformasi yang ingin dilakukan terhadap institusi-institusi
penting di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan