HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Januari 2018

Hadir mesyuarat PIBG kalau tak puas hati yuran tinggi

Manzaidi Mohd Amin
Noh Omar


KUALA LUMPUR – UMNO Selangor mahu pemimpin tempatan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu menyelesaikan masalah yang berlaku di sekolah.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, selain mengharapkan kerajaan Persekutuan menyelesaikan permasalahan pendidikan, kedua-dua pihak berkenaan juga harus saling berganding bahu menyelesaikan masalah kecil yang berbangkit.

“Sebab itu kita harap peranan PIBG kena digerakkan dan juga pemimpin tempatan pun kena bersama persatuan ini untuk sama-sama kita dapat membantu mengenai masalah yang berlaku di sekolah.

“Mungkin dari segi pembangunan itu kita serahkan kepada kerajaan Persekutuan, tetapi dari segi aktiviti, program untuk motivasi anak-anak kenalah perana PIBG dan pemimpin tempatan,” katanya di Shah Alam, semalam.

Noh turut menempelak rungutan segelintir ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan yuran persekolahan yang dikatakan tinggi dan membebankan mereka.

“Yuran sekolah dengan yuran PIBG pun mereka tidak tahu beza. Yuran PIBG ini diputuskan dalam mesyuarat agung persatuan itu. Ia tidak ada kena mengena dengan sekolah atau kerajaan.

“Yuran sekolah percuma, mana (ibu bapa) ada bayar lagi, malah bukan saja yuran percuma, kita bagi lagi bantuan awal persekolahan setiap anak dapat RM100, tidak termasuk yang dapat bantuan pakaian seragam dan peralatan sekolah,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa yang tidak bersetuju dengan kadar yuran PIBG perlu hadir ke mesyuarat agung untuk kemukakan cadangan atau bantahan.

“Kalau yuran PIBG tinggi, ibu bapa yang hadir itu kenalah berbahas supaya PIBG buka untuk dapatkan undi siapa sokog RM50 sebulan, siapa sokong RM30 sebulan.

“Tapi kalau ibu bapa tidak datang mesyuarat agung PIBG, mereka mungkin tidak tahu apa yang berlaku dan dicapai dalam mesyuarat,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: